Berita Terkini

Al-Quran dan Dunia Serangga

Banyak perkara yang boleh difikirkan oleh seseorang yang menghabiskan harinya dalam rumah. Ketika sedang membersihkan rumah, dia menjumpai seekor labah-labah yang mengait sarangnya di sebuah sudut rumah tersebut. Jika dia menyedari keperluan untuk memikirkan binatang yang seringkali tidak dihiraukan orang ini, dia akan mengerti bahawa pintu pengetahuan telah dibuka untuknya.

Serangga kecil yang sedang disaksikannya adalah sebuah keajaiban. Sarang labah-labah tersebut mempunyai bentuk simetri yang sempurna. Dia pun kagum terhadap seekor labah-labah yang kecil tetapi mempunyai kemampuan dalam membuat sebuah rekabentuk sempurna yang sedemikian menakjubkan.

Selepas itu dia membuat sebuah pengamatan singkat hingga mendapatkan beberapa fakta lain: serat yang digunakan labah-labah ternyata 30% lebih fleksibel dari serat getah dengan ketebalan yang sama. Serat yang dihasilkan oleh labah-labah ini mempunyai kualiti yang demikian tinggi sehingga ditiru oleh manusia dalam pembuatan jaket anti peluru.

Sungguh luar biasa, sarang labah-labah yang dianggap sederhana oleh kebanyakan manusia, ternyata dibuat dari bahan yang mutunya setara dengan bahan industri paling ideal di dunia. Ketika menyaksikan rekabentuk yang sempurna pada makhluk hidup di sekitarnya, manusia terus menerus berfikir hingga kemudian mendorongnya untuk mencari lebih banyak fakta-fakta yang menakjubkan.

Walaubagaimana pun, jika dibandingkan dengan sarang atau rumah makhluk-makhluk hidup yang lain, sarang labah-labah adalah sangat-sangat lemah dan tidak kukuh. Kerana itulah Allah S.w.t telah membuat perumpamaan di dalam Al-Quran;

"Perumpamaan bagi orang-orang yang menjadikan benda-benda yang selain dari Allah sebagai pelindung-pelindung, adalah seperti labah-labah yang membuat sarang, padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling lemah ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan."  [Surah Al-'Ankabut : ayat 41]


Ketika mengamati seekor lalat yang setiap saat dijumpainya namun belum pernah diperhatikannya atau bahkan merasa sangat terganggu dan ingin sekali membunuhnya, dia melihat bahawa serangga tersebut mempunyai kebiasaan membersihkan diri sampai bahagian-bahagian yang terkecil dari tubuhnya sekalipun. Lalat tersebut seringkali hinggap di suatu tempat lalu membersihkan tangan dan kakinya secara berasingan. Selepas itu lalat ini membersihkan debu yang melekat pada sayap dan kepalanya dengan menggunakan tangan dan kakinya secara menyeluruh. Lalat ini terus saja melakukan yang demikian sampai yakin akan kebersihannya.

Semua lalat dan serangga membersihkan badan mereka dengan cara yang sama dengan penuh perhatian dan ketelitian sampai ke hal-hal yang kecil sekalipun. Ini menunjukkan adanya satu-satunya Pencipta yang mengajarkan kepada mereka cara membersihkan diri mereka sendiri. 

Ketika terbang, lalat mengepakkan sayapnya lebih kurang 500 kali setiap saat. Sedangkan tidak ada satu pun mesin buatan manusia yang mampu mempunyai kelajuan yang luar biasa ini. Kalaulah ada, mesin itu akan hancur dan terbakar akibat gaya geseran. Namun sayap, otot ataupun sendi lalat ini tidak mengalami kerosakan. Lalat dapat terbang ke arah mana-mana tanpa terpengaruh oleh arah dan kelajuan angin. Dengan teknologi yang paling mutakhir sekalipun, manusia masih belum mampu membuat mesin yang mempunyai tujuan dan teknik terbang yang luar biasa sebagaimana lalat. Begitulah, makhluk hidup yang cenderung diremehkan dan tidak terlalu mendapat perhatian manusia, boleh melakukan kerja-kerja yang tak mampu dilakukan manusia.

Tidak syak lagi, tidaklah mungkin mendakwa bahawa seekor lalat melakukan ini semua semata-mata kerana kemampuan dan kecerdasan yang dia miliki. Semua ciri-ciri istimewa dari lalat adalah kemampuan yang Allah berikan kepadanya. Segala sesuatu yang kelihatan sepintas oleh manusia ternyata di dalamnya terdapat kehidupan, baik yang kelihatan ataupun tidak. Tak satu sentimeter persegi pun di bumi ini yang di dalamnya tidak terkandung kehidupan.

Manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan adalah makhluk yang mampu dilihat oleh manusia. Namun, masih ada makhluk-makhluk lain yang tidak kelihatan oleh manusia akan tetapi manusia sedar akan kewujudannya. Misalnya rumah yang dia diami yang penuh dengan makhluk-makhluk mikroskopik yang dipanggil "hama". Demikian pula halnya dengan udara yang dia hirup, di dalamnya mengandungi virus yang tak terhingga banyaknya, atau tanah kebunnya yang mengandungi bakteria yang sangat banyak.

Seseorang yang merenung tentang kepelbagaian yang luar biasa dari kehidupan di bumi, akan mengetahui kesempurnaan makhluk-makhluk ini. Tiap makhluk yang dia lihat adalah tanda-tanda keagungan karya seni ciptaan Allah, demikian pula halnya dengan keajaiban luar biasa yang tersembunyi dalam makhluk-makhluk mikroskopik tersebut. 

Virus, bakteria ataupun tungau yang tidak kelihatan oleh mata telanjang mempunyai mekanisme badan yang unik. Habitat, cara makan, sistem pembiakan dan pertahanan mereka semuanya diciptakan oleh Allah. Seseorang yang memikirkan secara mendalam tentang fenomena ini teringat ayat Allah: 

"Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri, Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui," [Surah Al-Ankabuut : ayat 60]

[Unikversiti / rika / islampos.com]


Perumpamaan Lalat dalam Al-Quran

"Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptanya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah. Mereka tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa." [Surah Al-Hajj : 73-74]

Walaupun lalat nampak jijik bagi sesetengah orang, tetapi kecanggihan reka bentuknya tidak dapat dicipta oleh manusia. Seekor lalat jauh lebih canggih dari teknologi-teknologi mekanikal, bionik dan robotik yang dicapai oleh manusia.

Belum lagi dilihat lebih dekat kepada matanya yang kompleks dan tersusun rapi. Lihatlah gambar permukaan mata lalat yang dilihat di bawah Mikroskop seperti di bawah, adakah ianya terjadi dengan sendiri?   Mustahil terjadi sendiri melainkan ada Pencipta yang Maha Bijaksana. Lihatlah susunan bentuk-bentuk segienam itu yang kemas dan rapi, ma syaa Allah.

Permukaan mata lalat di bawah mikroskop

"Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minuman salah seorang di antara kamu, celuplah dan kemudian buanglah ia kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit." [Hadits riwayat Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah]



Perumpamaan Nyamuk dalam Al-Quran

"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?"  Dengan perumpamaan itu ramai orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (juga) ramai orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasiq."  [Surah Al-Baqarah : ayat 26]

Asbabun Nuzul ayat ini ialah apabila Allah S.W.T menyebut tentang lalat (dalam surah al-Hajj ayat 73) dan labah-labah (dalam surah al-`Ankabut ayat 41) di dalam al-Qur’ān, dan dikaitkan golongan musyrikin dengan perumpamaan (perumpamaan) dengan haiwan-haiwan tersebut, maka golongan Yahudi mentertawa serta mempersendakan ayat-ayat Allah ini. Mereka mempersoalkan apakah al-Qur’ān hanya membincangkan tentang haiwan-haiwan yang sekecil itu, dan apakah faedahnya menyebut tentang perkara remeh-temeh itu. Lalu turunlah ayat di atas..

Walaupun golongan musyrikin memandang sinis terhadap ‘haiwan kecil’ yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Qur’ān, namun kajian sains pada hari ini mendapati bahawa penciptaan ‘haiwan kecil’ seumpama nyamuk sebenarnya menunjukkan kehebatan Allah SWT dalam penciptaan. Sebagai contohnya ialah nyamuk yang kecil itu mempunyai sistem radar yang hebat, oleh itu, walau dalam keadaan malam yang gelap sekalipun, ia tetap berupaya menuju secara tepat ke sasarannya iaitu kepada manusia yang sedang tidur.
Bukan sekadar itu, bahkan nyamuk mampu menganalisis darah yang dihisapnya daripada manusia, lalu ia hanya akan menghisap darah yang disukainya sahaja, dan sekiranya ia tidak menyukai darah yang ada pada mana-mana manusia yang dihinggapinya, ia akan meninggalkan orang itu dan mencari mangsa yang lain. Sehubungan dengan itu, banyak kajian yang telah dibuat mengenai nyamuk dan banyak juga penemuan-penemuan yang amat bermanfaat dapat dihasilkan. 

Melalui haiwan sekecil nyamuk inilah, Sir Ronald Ross (1857-1932) memperolehi anugerah Nobel. Beliau memperoleh anugerah nobel dalam bidang fisiologi dan perubatan pada tahun 1902. Anugerah ini telah diberikan kepada beliau hasil kajian yang beliau lakukan terhadap penyakit malaria yang mengorbankan ramai nyawa manusia. Beliau membuat kajian tentang malaria selama lebih kurang 18 tahun iaitu dari tahun 1881 sehingga 1889. Beliau telah berjaya membuktikan bahawa penyakit malaria dibawa oleh sejenis nyamuk yang dikenali sebagai nyamuk Anopheles.
Daripada penemuan ini, memberikan gambaran jelas betapa sesuatu yang didatangkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Qur’ān bukanlah sesuatu yang sia-sia dan remeh walaupun ianya kelihatan remeh dan kecil di sisi orang yang tidak beriman kepada Allah SWT.  

Sesungguhnya penggunaan perumpamaan mengenai nyamuk dalam ayat al-Qur’ān mempunyai hikmah dan rahsia yang besar yang sepatutnya dikaji oleh manusia bagi memahami maksud yang tersurat dan tersirat daripada firman Allah tersebut. Walaupun nyamuk mempunyai tubuh dan jasad yang kecil, namun ia mempunyai hubungan yang amat penting dengan kesihatan manusia. Sejak dari dahulu sehinggalah sekarang, nyamuk adalah serangga yang menjadi punca kepada masalah kesihatan yang utama bagi manusia dan haiwan ternakan di seluruh dunia. Pelbagai penyakit yang berlaku adalah disebabkan oleh nyamuk. Nyamuk Anopheles merupakan vektor malaria,  nyamuk Aedes pula merupakan vektor denggi, ‘yellow fever’  (di Amerika dan Afrika) dan ensefalitis  (di Amerika dan Eropah). Manakala nyamuk-nyamuk Mansonia dan Culex pula merupakan vektor penyakit filariasis (untut).

Penciptaan mikroskop yang digunakan untuk melihat mikroorganisma telah dapat membantu manusia mencungkil dan memahami maksud ayat-ayat al-Qur’ān. Hal ini sekaligus telah membuktikan unsur al-i`jāz al-`ilmiy yang terdapat di dalam ayat ini. Kemajuan sains dan teknologi telah membantu manusia untuk membuat kajian yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang tidak diketahui pada zaman dahulu. Ia sekaligus dapat membuktikan kehebatan dan mukjizat al-Qur’ān yang mempunyai fakta yang tidak pernah bercanggah dan sesuai digunakan di sepanjang zaman. [1]


Kehidupan sosial Semut

Di masa lalu, para saintis meyakini bahawa kehidupan binatang termasuk kumpulan serangga berjalan atas dasar naluri belaka, dan bukan berdasarkan suatu sistem perilaku yang teratur dan tertib.

Namun setelah dicapainya kemajuan dan perkembangan pengetahuan tentang dunia serangga, yang didasarkan pada ilmu fisiologi yang membincangkan fungsi setiap anggota tubuh yang dimilikinya, juga ilmu genetik, para saintis mendapati bahawa kehidupan serangga berjalan di atas dasar fungsi-fungsi tertentu-sesuai dengan sifat genetik yang menetapkan perilakunya.

Semut mempunyai sistem kehidupan yang tertib yang menghadkan tingkah laku tiap-tiap anggota masyarakatnya. Untuk tempat tinggalnya, semut biasanya hidup secara berkelompok di suatu tempat tertentu. Di mana kadang-kadang, sekumpulan semut boleh memenuhi satu lembah yang luas sebagai tempat tinggal mereka.

Mereka hidup atas dasar kerjasama di antara sesama ahli kumpulan. Ketika mereka dihadapkan pada rintangan yang berupa air, misalnya, maka semut-semut yang muda, khususnya yang jantan dan mempunyai badan yang kuat akan membina suatu jambatan dengan cara mengaitkan kaki mereka masing-masing, sehingga semut-semut yang lemah dan terluka serta yang sudah tua atau masih kecil, boleh melewati rintangan itu dengan selamat. Pembuatan jambatan ini adalah merupakan perintah dari seorang ratu semut yang memimpin kerajaan mereka. 

Yang unik, di kerajaan semut pun terdapat 'majlis syura' yang ahli-ahlinya bertugas untuk memberikan input kepada ratu, dalam menetapkan setiap keputusan yang akan diambilnya, lebih-lebih lagi pada saat genting.

Di kerajaan semut ini, yang menjadi pemimpin adalah semut betina dan bukan semut jantan. Kerana itu mereka hanya mempunyai ratu, dan tidak mempunyai raja. Fenomena ini, merupakan perkara yang biasa berlaku dalam kumpulan serangga. Adapun sebabnya, kerana bentuk tubuh sang ratu yang besar dan peranan penting yang dimainkannya. Di mana serangga jantan mempunyai peranan yang kurang penting berbanding peranan serangga betina.

Para betina mempunyai tugas antara lain; mendidik, menjaga dan mengawasi pertumbuhan anak-anaknya, menyiapkan dan menyimpan persediaan makanan. Adapun jantannya, hanya bertugas untuk mempertahankan dan membela kehidupan mereka. Untuk itu, mereka akan mendapati ganjaran dengan dipenuhinya semua keperluan pokok mereka tanpa perlu bersusah-payah bekerja. Semua ini berjalan mengikut perintah dari ratu dan para pembantunya.

Tentunya, interaksi yang berlaku antara sesama semut memerlukan suatu media komunikasi. Dan sesuai kajian, terdapat bukti bahawa semut ini mempunyai 'bahasa khas' yang mereka gunakan untuk saling berkomunikasi di antara sesama mereka, sehingga kehidupan mereka boleh berjalan secara teratur dan tertib. 

Al-Quran, secara menakjubkan telah membuka tabir rahsia kehidupan semut ini, sejak empat belas abad yang lalu. Hal itu kita dapati dalam firman Allah S.W.T; "Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: "Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya. Sedangkan mereka tidak menyedari." [Surah An-Naml : ayat 18]

Dalam ayat di atas, kita dapati bahawa Al-Quran telah membicarakan tentang sistem yang mengatur kehidupan semut yang berjalan sesuai dengan sistem yang telah dipersetujui di antara mereka. Termasuk tentang struktur tempat tinggal mereka yang dibina dengan teknik seni bina yang teliti, disesuaikan dengan persekitaran di mana mereka tinggal.

Demikianlah, semua apa yang dijelaskan di atas, merupakan bukti kebenaran bagi Al-Quran sebagai wahyu Ilahi.  [2]


Helikopter diilhamkan dari Pepatung

Sayap pepatung (beliung) tidak dapat dilipat pada tubuhnya. Selain itu, cara otot terbang digunakan ketika sayap bergerak, berbeza dengan kebanyakan serangga lain. Kerana sifat ini, para penyokong evolusi menyatakan bahawa pepatung adalah "serangga mundur."


Padahal sebaliknya, sistem terbang makhluk yang disebut "serangga terbelakang" ini tidak lain adalah keajaiban perancangan. Pembuat helikopter terbaik dunia, Sikorsky, menyempurnakan perancangan satu daripada helikopter mereka dengan menjadikan pepatung sebagai model. IBM, rakan Sikorsky dalam projek ini memulakan dengan meletakkan suatu model pepatung ke dalam komputer (IBM 3081). Dua ribu jenis penggambaran khusus dilakukan di komputer dalam hal manuver (gerakan jungkir balik) pepatung di udara. Jadi, model helikopter Sikorsky yang ditujukan untuk pengangkutan tentera dan persenjataan telah dibuat berdasarkan contoh yang berasal dari pepatung.

Pepatung boleh melakukan perjalanan selaju 25 mph (40 km / j). Serangga yang lebih kecil boleh mencecah sehingga 31 mph (50km / h). Kelajuan ini sama dengan manusia bergerak pada kelajuan beribu-ribu batu sejam. Manusia hanya boleh mencapai kelajuan ini menggunakan pesawat jet. Walau bagaimanapun, apabila seseorang mempertimbangkan saiz pesawat jet berbanding dengan saiz manusia, adalah menjadi jelas bahawa serangga-serangga terbang ini sebenarnya terbang lebih laju daripada kapal terbang.

Pesawat jet menggunakan bahan api yang sangat istimewa untuk menjana enjin kelajuan tinggi. Penerbangan lalat juga memerlukan tenaga tahap tinggi. Terdapat juga keperluan untuk jumlah yang besar oksigen untuk membakar tenaga ini. Keperluan untuk jumlah yang besar oksigen dipenuhi oleh sistem pernafasan yang luar biasa yang dibuat di dalam badan lalat dan serangga lain.

Sistem pernafasan ini agak berlainan daripada kita. Kita menyedut udara ke dalam paru-paru kita. Di sini, oksigen bercampur dengan darah dan kemudian dijalankan ke semua bahagian badan oleh darah. Keperluan serangga terbang pada oksigen begitu tinggi maka tidak ada masa untuk menunggu oksigen dihantar ke sel-sel tubuh oleh darah. Untuk menangani masalah ini, terdapat satu sistem yang sangat istimewa. Tiub udara dalam badan serangga membawa udara ke bahagian yang berlainan dalam badannya. Sama seperti sistem peredaran darah dalam badan, terdapat rangkaian tiub yang rumit dan kompleks (dipanggil sistem trakea) yang menyampaikan oksigen yang mengandungi udara kepada setiap sel badan.

Terima kasih kepada sistem ini, sel-sel yang membentuk otot penerbangan mengambil oksigen secara langsung dari tiub-tiub ini. Sistem ini juga membantu untuk menyejukkan otot yang berfungsi pada kadar yang tinggi iaitu 1000 kitaran sesaat.

Ianya terbukti bahawa sistem ini adalah satu contoh penciptaan. Tiada proses kebetulan dapat menjelaskan reka bentuk yang rumit.  [3]  Adalah mustahil suatu sistem yang sangat canggih terjadi dengan sendiri!

Menyebut tentang beliung dan lalat, jangan lupa saksikan video gerak perlahan Beliung makan lalat.

Dan begitulah seterusnya dengan serangga-serangga lain.  Sila lihat juga Al-Quran dan dunia lebah.


Wallahu a'lam .......


Rujukan:

1 - Mohd Sukki Othman & M. Y. Zulkifli bin Haji Mohd Yusoff - Perumpamaan serangga dalam Al-Quran: Analisis i'jaz.
2 - Dr. Abdul Basith Jamal & Dr. Daliya Shadiq Jamal - Ensaiklopedia Petunjuk Sains dalam AlQuran dan Sunnah.
3 - Harun Yahya - The Miraculous Design in The Flight of Insects.

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.