Slider

Cara Hidup

Konspirasi

Dunia Islam

Kisah Nabi dan Sahabat

Kisah umat dahulu

Sains

» » » » Panduan mencari jodoh menurut AlQuran dan Hadith


Kita tidak boleh berputus asa untuk mencari isteri solehah atau suami yang soleh. Biar pun sudah banyak kali kita gagal dalam menyintai seseorang dan berniat untuk menjadikannya sebagai pasangan hidup kita dunia dan akhirat.  Biar pun kita pernah bercerai setelah berkahwin dan mengalami kegagalan-kegagalan lain yang seumpamanya. 

Perkahwinan adalah suatu yang dituntut di dalam Islam kerana ianya adalah satu perkara yang mulia , banyak hikmahnya dan sudah bermula dari dalam syurga dulu lagi iaitu perkahwinan antara Adam dan Hawa. Berikut adalah beberapa panduan dari AlQuran dan AlHadith untuk mencari pasangan hidup agar kita dapat bahagia di dunia dan di akhirat insyaAllah.

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Dan orang-orang yang tidak mampu menikah hendaklah menjaga kesuciannya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurniaNya…….”. (Surah An-Nur : ayat 32-33)

“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah ?”  (Surah An Nahl : Ayat 72)

“Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yaa Sin : Ayat 36)

“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka, dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (Hadis Riwayat Ahmad 2: 251, Nasa’i, Tirmidzi, Ibnu Majah hadis No. 2518, dan Hakim 2: 160 dari shahabat Abu Hurairah radliyallahu ‘anhu).



Panduan dari AlQuran

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kalian mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.”  (Surah Ar-Ruum : 21)

“Dan Allah membuat isteri Fir’aun sebagai perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika isteri Fir’aun berkata: “Wahai Rabbku, bangunkanlah untukku di sisi-Mu sebuah rumah dalam syurga. Dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.” (Perumpamaan yang lain bagi orang-orang beriman adalah) Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimah-kalimah Rabbnya dan kitab-kitab-Nya, dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat.”  (Surah At-Tahrim: 11-12)

Al-Imam Ath-Thabari rahimahullah berkata dalam kitab tafsirnya: “Allah yang Maha Tinggi berfirman bahawasanya Dia membuat perbandingan bagi orang-orang yang membenarkan Allah dan mentauhidkanNya, dengan isteri Fir’aun yang beriman kepada Allah, mentauhidkanNya, dan membenarkan Rasulullah Musa ‘alaihissalam. Sementara wanita ini di bawah penguasaan suami yang kafir, satu dari sekian musuh Allah. Namun kekafiran suaminya itu tidak memudharatkannya, kerana dia tetap beriman kepada Allah. Sementara, termasuk ketetapan Allah kepada makhlukNya adalah seseorang tidaklah dibebani dosa orang lain (tapi masing-masing membawa dosanya sendiri, dan setiap jiwa mendapatkan apa yang dia usahakan.” (Jami’ul Bayan fi Ta`wilil Qur`an/ Tafsir Ath-Thabari, 12/162)

Seorang isteri yang shalihah, dia akan bersabar dengan kekurangan yang ada pada suaminya dan sabar dengan kesulitan hidup bersama suaminya. Tidaklah dia mudah berkeluh kesah di hadapan suaminya atau mengeluhkan suaminya kepada orang lain, apalagi mengumpat suami, menceritakan aib / cacat dan kekurangan si suami. Bagaimana pun kurangnya suami dan kesempitan hidup bersamanya, dia tetap bersyukur di sela-sela kekurangan dan kesempitan tersebut, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala memilih lelaki muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhir sebagai pendamping hidupnya. Dan tidak memberinya suami seperti suami Asiyah bintu Muzahim yang sangat kafir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan berbuat aniaya terhadap isteri kerana dia beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan bebatuan. Di dalamnya ada malaikat yang kasar lagi bengis yang tidak mengingkari terhadap apa yang diperintahkan kepadanya dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.  (Surah At-Tahrim : 6)

“Wanita yang shalihah ialah yang ta’at kepada Allah lagi memelihara diri bila suami tidak ada, sebagaimana Allah telah memelihara (mereka)”.  (Surah An-Nisaa : ayat 34)

“Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita hamba yang mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba yang mukmin lebih baik dari orang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.” (Surah Al Baqarah : Ayat 221)

“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (Surah An Nisaa’ : Ayat 23)

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa”.  (Surah Al Furqaan : Ayat 74)

Ayat dalam Surah Al-Furqaan di atas ini boleh juga dijadikan sebagai doa, dan sebaiknya dibaca dalam doa selepas solat atau waktu-waktu lainnya.

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”  (Surah Al Israa’ : Ayat 32)



Panduan dari AlHadith

Rasulullah S.a.w bersabda yang mafhumnya, “Barangsiapa menikah, maka dia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi”. (Hadith Riwayat Thabrani dan Hakim).

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Nikahilah perempuan yang penyayang dan dapat mempunyai ramai anak (subur), kerana aku bangga dengan sebab ramainya kalian di hadapan para nabi nanti pada hari Kiamat.” (Hadith Riwayat Ahmad No: 13594 , dan disahihkan oleh Ibnu Hibban)

“Wanita dikahwini kerana empat hal: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu pilih kerana agamanya, sebab kalau tidak demikian, nescaya kamu akan celaka”. (Hadith Shahih Riwayat Bukhari 6:123, Muslim 4:175).

“Daripada Abu Hurairah r.a berkata, sabda Rasullullah s.a.w kepada seorang lelaki yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan: “Adakah kamu telah melihatnya?" jawabnya tidak (kata lelaki itu kepada Rasullullah). "Pergilah melihatnya supaya perkahwinan kamu terjamin berkekalan.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Nasai)

Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis, ‘Jika kamu meminang wanita, maka jika boleh melihat pada wanita tersebut untuk dinikahi, maka laksanakanlah.” (Hadis Riwayat Jabir)

Abdullah Ibnu Mas’ud Radliyallaahu ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda pada kami: “Wahai generasi muda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya dia kahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.”  (Muttafaq Alaih)

Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah seseorang di antara kamu melamar seseorang yang sedang dilamar saudaranya, hingga pelamar pertama meninggalkan atau mengizinkannya.” (Muttafaq Alaihi dan lafadznya menurut Bukhari)

Hadith di atas menunjukkan tentang haramnya mengganggu apa lagi cuba merampas tunang orang lain. Menurut Dr Yusof AlQardhawi, adalah diharamkan juga seorang muslim meminang pinangan saudaranya kalau ternyata sudah mencapai tingkat persetujuan dengan pihak yang lain. Sebab laki-laki yang meminang pertama itu telah memperolehi suatu hak dan hak ini harus dipelihara dan dilindungi, demi memelihara persahabatan dan pergaulan sesama manusia serta menjauhkan seorang muslim dari sikap-sikap yang dapat merosakkan identiti. Sebab meminang pinangan saudaranya itu serupa dengan perampasan dan permusuhan. 

Tetapi jika laki-laki yang meminang pertama itu sudah memalingkan pandangannya kepada si perempuan tersebut atau memberikan izin kepada laki-laki yang kedua, maka waktu itu laki-laki kedua tersebut tidak berdosa untuk meminangnya. Kerana sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan sebagai berikut: 

"Seorang laki-laki tidak boleh meminang pinangan laki-laki lain, sehingga peminang pertama itu meninggalkan (membatalkan) atau mengizinkannya." (Hadith Riwayat Bukhari)

“Barangsiapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.” (Hadith Riwayat Abu Dawud)

Dari Zakwan dia berkata: Aku mendengar Aisyah berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang seorang gadis perawan yang dinikahkan oleh keluarganya, apakah dia harus dimintai persetujuan atau kah tidak? Beliau menjawab: "Ya, harus dimintai persetujuan!" Lalu Aisyah berkata: Aku katakan kepada beliau, perempuan itu merasa malu. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Itulah tanda setujunya bila dia diam." (Shahih Muslim No.2544)

“Sesungguhnya dunia seluruhnya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita (isteri) yang sholehah.” (Hadith Riwayat Muslim)



Kesimpulan

Banyak lagi panduan lain dari AlQuran dan AlHadith tentang perihal mencari pasangan hidup. Di sini hanya disertakan beberapa sahaja yang sempat saya cari.  Jika anda ada tambahan-tambahan lagi, sila berkongsi di ruangan komen deh.

Tiada tempat lagi untuk kita bergantung dan berharap agar diberi kebaikan selain dari bergantung dan berharap kepada Allah S.w.t.  Semoga Dia memberi segala kebaikan dan yang terbaik buat kita semua termasuklah pasangan yang dapat membahagiakan hidup kita di dunia dan di akhirat, amiin.

Ibnu Mas’ud r.a pernah berkata yang maksudnya, “Jika umurku tinggal sepuluh hari lagi, sungguh aku lebih suka menikah daripada aku harus menemui Allah sebagai seorang bujang.”  [Ihya' Ulumuddin dan Tuhfatul 'Arus  hal 20]

“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

“…(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”  (Surah Ar-Ra’d : ayat 28)

«
Next
Catatan Terbaru
»
Previous
Catatan Lama


Artikel berkaitan: