Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menasihatkan kerajaan negeri tidak membina replika tugu 1Malaysia yang disebut-sebutkan akan didirikan di Perlis dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun sehingga kini tiada pengumuman rasmi mengenai pembinaan tugu itu.
Juanda (gambar) berkata jawatankuasa fatwa negeri yang bermesyuarat April lalu memutuskan bahawa tugu yang disebut-sebutkan itu tidak wajar dibina kerana ia bercanggah dengan akidah Islam.
Fatwa itu antara lain berbunyi, “membina replika tugu 1Malaysia adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab sebagaimana yang ditegah dalam surah al-Maidah ayat 90.”
Kata beliau, fatwa itu telah disembah maklum kepada Raja Perlis pada 20 April, “cuma kita tidak wartakan fatwa ini.”
“Ia adalah fatwa nasihat yang perlu diikuti oleh umat Islam,” katanya lagi.
Selain itu, kata beliau, kewajaran tegahan ini juga dilihat dari sudut pembaziran yang diharamkan oleh Islam.
Fatwa berkenaan perkara itu turut dimuatkan dalam majalah bulanan Irsyad Hukum edisi terbaru.
“Sejauhmana ia akan dibina belum ada makluman rasmi, tetapi kami terima panggilan orang ramai mengenai perkara. Oleh itu, jawatankuasa fatwa datang dengan keputusan ini,” kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)