Ketahuilah, semakin ramai manusia menjadi jutawan, bermakna semakin banyaklah wang dan harta yang terperap dan terlonggok begitu saja tanpa manfaat.
Tidak pernahkah kita ambil iktibar dari kisah Qarun, Firaun, kaum 'Aad, Tsamud dan sebagainya umat-umat terdahulu yang telah ditelingkupkan tempat dan harta mereka ke dasar bumi, dan diturunkan bala yang sekaligus menyebabkan mereka meninggalkan segala yang mereka kumpulkan selama ini di dunia?
Dan banyak lagi kerja yang goyang kaki, hasil masuk banyak. Itu semua adalah UJIAN dari Allah S.w.t, mahu lihat kita semakin tamak atau semakin pemurah.
"Tidak (sempurna) iman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri." [HR Bukhari]
"Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya." [HR Bukhari]
Kita perlu FAHAM, tidak semua orang mempunyai KEMAMPUAN yang sama. Tidak semua orang mempunyai PELUANG yang sama. Tidak semua orang diberikan KELEBIHAN PEMIKIRAN yang sama. Dan sebagainya. Maka, kalau kita seorang yang TIDAK SUPER EGO, kita gunakan kelebihan yang ada pada kita untuk kemaslahatan ummah, bukannya untuk menunjuk kehebatan kita. Kerana kehebatan itu boleh DITARIK bila-bila masa oleh Allah S.w.t. Semua itu hanyalah pinjaman dan ujian kepada kita.
Kalau kita berterusan dengan sombong dan super ego kita, berlagak dengan kekayaan, kemahiran, keperasanan pandai kita, di kemudian hari ditakdirkan harta kita dirompak, ahli keluarga kita dibunuh kerana rompakan, rumah terbakar, bankrup dan sebagainya, ketika itu baru mahu menyesal? Bagaimana pula menyesal selepas KEMATIAN kita? Dapatkah kita patah balik untuk membetulkan keadaan?
Perlu kita ingat, betapa kuat kah kita, kaya kah kita, mahir kah kita, bijak kah kita, semua itu dikurniakan oleh Allah S.w.t. Maka sama-sama kita gunakannya ke arah kemanfaatan agama dan ummah, bukannya manfaat individu semata.
Lagi pun seseorang itu menjadi kaya biasanya di atas penat lelah, keringat, darah orang-orang bawahan dan doa serta zikir orang-orang miskin juga.
"Kalian hanyalah mendapat pertolongan dan rezeki dengan sebab adanya orang-orang lemah dari kalangan kalian." [HR an-Nasaa-i. Lihat Shahih Sunan an-Nasaa-i II/669, no. 2978]
"Sesungguhnya Allah menolong ummat ini dengan sebab orang-orang lemah di antara mereka, iaitu dengan doa, shalat, dan keikhlasan mereka." [HR al-Bukhari]
"Orang mukmin itu umpama satu binaan, saling kuat menguat diantara satu sama lain." [HR Muslim]
Kalau anda jenis yang biasa bergaul dengan semua orang tak kira miskin atau kaya, dan menyelami hati mereka, insya Allah anda akan faham apa yang saya tulis di atas. Tetapi jika anda jenis yang dari awal hidup anda di dunia ini sentiasa mewah, tak pernah miskin, apa lagi tak "standard" untuk bergaul dengan orang miskin, susah dan lemah, ataupun anda pernah miskin suatu masa dahulu tetapi telah lupa diri, mungkin anda tak akan faham lah.
Wallahu a'lam ...... :)
p/s: Ooo, rupanya saya dah pernah tulis tajuk yang lebih kurang dengan yang ini dulu. Tajuknya Jangan kumpul banyak harta jika takut SOAL AKHIRAT . Tak apa lah, kira ini sessi ulang-kaji. :-)