Berita Terkini

Abu Bakr as-Siddiq menyerahkan semua hartanya ke jalan Allah ketika Perang Tabuk

Perang Tabuk ialah peperangan terakhir yang Rasulullah S.a.w terlibat di dalamnya. Untuk menghadapi kerajaan Rom yang merupakan kerajaan terkuat di muka bumi ini pada masa itu, memerlukan persediaan dan dana yang besar.

Rasulullah S.a.w sendiri mula memungut derma. Dalam peperangan inilah Abu Bakr as-Siddiq r.a telah menyerahkan seluruh harta beliau. Apabila ditanya apakah yang beliau tinggalkan untuk ahli keluarganya?

Beliau menjawab; "Saya telah tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka."

Umar al-Khattab r.a pula telah menyerahkan separuh dari seluruh barangan rumahnya. Sementara Utsman r.a telah menyediakan barang keperluan untuk satu pertiga daripada jumlah tentera. [1]

"Jika kalian menampakkan sedekah (kalian), maka itu adalah baik sekali, dan jika kalian menyembunyikan-nya, lalu kalian berikan kepada orang-orang faqir, maka itu lebih baik bagi kalian." [al-Baqarah : 271]

Amir Asy-Sya'bi mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan Abu Bakar dan Umar r.a. Umar datang dengan membawa separuh harta miliknya, lalu menyerahkan-nya kepada Nabi S.a.w. Maka Nabi S.a.w bertanya kepadanya;

"Apakah yang engkau tinggalkan di belakangmu buat keluargamu wahai Umar?" Umar menjawab, "Aku tinggalkan separuh dari hartaku buat mereka."

Sedangkan Abu Bakar r.a datang membawa seluruh hartanya, hampir saja dia menyembunyikan sedekahnya itu dari dirinya sendiri, lalu dia menyerahkan-nya kepada Nabi S.a.w. Dan Nabi S.a.w bertanya kepadanya;

"Apakah yang engkau tinggalkan di belakangmu buat keluargamu wahai Abu Bakar?" Abu Bakar menjawab, "Janji Allah dan janji Rasul-Nya." Maka Umar menangis dan mengatakan, "Ayah dan ibuku menjadi tebusan-mu wahai Abu Bakar. Demi Allah, tidak sekali-kali kita berlumba menuju ke pintu kebaikan melainkan engkau selalu menang."

Hadits ini diriwayatkan juga melalui jalur yang lain dari Umar r.a. [2]

Ketua negara yang menerima bantuan dari BaitulMal

Sayyidina Abu Bakr r.a berniaga kain dan hasil daripada perniagaan itulah beliau menyara kehidupan. Selepas beliau dilantik menjadi Khalifah, beliau telah pergi ke pasar dengan membawa beberapa helai kain untuk dijual sebagaimana biasa.

Umar r.a telah bertemu dengan beliau dalam perjalanan lalu bertanya, "Ke mana engkau wahai Abu Bakr?"

Beliau menjawab "Aku hendak ke pasar."

Umar r.a kemudian berkata, "Kalau engkau sibuk dengan berniaga, apakah yang akan terjadi dengan urusan khalifah?"

Abu Bakar r.a berkata, "Jadi,daripada sumber mana aku hendak memberi makan kepada keluargaku?"

Umar r.a menjawab "Kita pergi berjumpa Ubaidah r.a yang telah digelar oleh Rasulullah S.a.w sebagai 'Amin' (pemegang amanah) supaya beliau menentukan untukmu bayaran bantuan dari Baitulmal."

Lalu kedua-dua mereka telah pergi menemui Abu Ubaidah r.a. Beliau telah menentukan bantuan untuk Abu Bakr r.a mengikut kadar yang biasa diberikan kepada orang biasa daripada kalangan kaum Muhajirin tanpa terlebih atau terkurang sedikit pun.

Pada suatu hari isteri beliau memohon, "Hatiku terasa ingin sekali untuk makan makanan yang manis."

Abu Bakr r.a berkata, "Aku tidak mempunyai wang untuk membeli makanan tersebut."

Isteri beliau berkata, "Saya akan mengumpulkan sedikit demi sedikit daripada wang saraan harian kita. Dalam beberapa hari, jumlah duit itu akan mencukupi untuk itu". Beliau lalu mengizinkan.

Selang beberapa hari isterinya telah berjaya mengumpulkan wang itu. Abu Bakar r.a berkata "Melalui pengalaman dapat diketahui bahawa kita telah mendapat bantuan dari Baitulmal lebih dari keperluan kita". Oleh itu, wang yang telah dikumpulkan oleh isterinya itu telah dipulangkan ke Baitulmal. Beliau juga mengarahkan supaya pemberian setiap hari untuk beliau dikurangkan sebanyak wang yang telah dikumpulkan oleh isterinya itu.

Khalifah dan pemerintah yang begitu besar pun menjalankan perniagaan sendiri yang hanya cukup untuk keperluannya. Seperti yang diketahui daripada satu kenyataan yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a dalam kitab Sahih Bukhari iaitu apabila Abu Bakar r.a dilantik menjadi khalifah, beliau telah memberi ucapan."Kamu semua tahu bahawa pekerjaan saya ialah berniaga. Perniagaan itu bukanlah tidak mencukupi untuk keperluan keluarga saya. Namun demikian, kerana urusan khalifah, saya sibuk dengan urusan orang Islam, maka perbelanjaan saya ditentukan dari Baitulmal."

Di sebalik keadaan yang sedemikian pun, Abu Bakar r.a telah berwasiat kepada Aisyah r.a ketika hampir meninggal dunia, "Barang-barang keperluanku yang diperolehi dari Baitulmal hendaklah diserahkan kepada khalifah selepasku."

Anas r.a berkata, "Abu Bakar r.a tidak mempunyai apa-apa dirham atau dinar. Yang ada cuma seekor unta untuk mendapatkan susu, sebiji mangkuk dan seorang hamba."

Mengikut sesetengah riwayat yang lain, beliau juga mempunyai sehelai selimut dan sehelai hamparan. Apabila barang-barang itu sampai ke tangan Khalifah Umar r.a setelah beliau menggantikan Abu Bakar r.a beliau berkata, "Semoga Allah merahmati Abu Bakar r.a, beliau telah meletakkan penggantinya dalam kesusahan (untuk mencontohinya)."  [3]


Bayangkanlah, betapa mulianya hati dan pengorbanan Abu Bakr r.a, dari seorang peniaga yang kaya raya, akhirnya menjadi miskin kerana membantu orang-orang Islam dan perjuangan Islam.

Sehinggakan ketika beliau menjadi Khalifah (ketua negara dan wilayah taklukannya), beliau hanya menerima BAYARAN / GAJI yang sama seperti bayaran rakyat biasa.  Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin negara di zaman sekarang?

Ada orang yang mengatakan, tidak bagus mengeluarkan harta banyak untuk membantu orang-orang miskin, nanti akan menggalakkan orang-orang miskin tersebut semakin malas dan tidak berusaha. Mungkin yang berkata begitu TIDAK NAMPAK bahawa kelebihan bersedekah adalah untuk menyenangkan orang yang bersedekah di akhirat nanti.

Orang miskin itu pula jika seorang yang rajin beribadah dan berzikir kepada Allah S.w.t, maka zikrullah sebenarnya dapat mengundang RAHMAT dan BERKAT ke atas manusia dan bumi ini sendiri. InsyaAllah bumi akan menjadi subur, ada hasil dan sebagainya, serta dengan keberkatan tadi dapat menolak bala dan seumpamanya. Kebaikan turut akan dirasai oleh orang yang bersedekah tadi.

Jika si miskin itu malas serba-serbi, maka bantuan yang diperolehinya itu hanyalah sekadar sedikit kesenangan duniawi yang tidak menguntungkan akhiratnya. 

Dan mungkin orang yang mengatakan sedemikian tadi terlupa bahawa Rasulullah S.a.w pernah berpesan kepada Umar r.a ketika Umar r.a melihat kemiskinan pada Rasulullah S.a.w dan baginda ketika itu sedang berbaring di atas tikar tanpa alas, sehingga kesan-kesan tikar berbekas pada badan baginda S.a.w yang mulia.  Umar r.a menangis melihat keadaan sedemikian.

Umar r.a mengatakan, "Wahai Rasulullah, doakanlah semoga umat tuan pun mendapat kesenangan. Walaupun orang-orang Rom dan Parsi tidak beriman, tidak melakukan ibadat, mereka masih mendapat kesenangan. Qaisar dan Kisra tinggal di taman-taman yang dialiri sungai-sungai. Sementara tuan, walaupun tuan ialah Pesuruh Allah dan hambaNya  yang terpilih tetapi berada dalam keadaan ini."

Mendengar kata-kata Umar r.a itu Baginda S.a.w terus bangun dan bersabda; "Wahai Umar, adakah selama ini kamu masih dalam keraguan? Kesenangan akhirat jauh lebih baik daripada kesenangan dunia. Orang-orang kafir itu telah mendapat segala kebaikan dan kesenangan di dunia ini. Sementara kita akan dapat di akhirat nanti."

Lalu Umar r.a memohon, "Wahai Rasulullah, beristighfarlah untuk saya, sememangnya saya telah bersalah." [4]

Rasulullah S.a.w pernah berpesan kepada Abdullah bin Umar r.a, sambil memegang bahu iparnya ini;

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

"Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau sekadar musafir." [HR Al-Bukhari no. 6416]

Rasulullah S.a.w bersabda;

مَا قَلَّ وَكَفَى خَيْرٌ مِمَّا كَثُرَ وَأَلْهَى

"Apa yang sedikit tetapi mencukupi lebih baik daripada banyak tetapi melalaikan."  [Hadits shahih riwayat Abu Daud]

"Alangkah beruntungnya orang yang mendapat hidayah kepada Islam, lalu dia mencukupkan diri dengan kehidupan yang sederhana, serta bersifat qana'ah (senantiasa merasa cukup )."  [Hadits riwayat At-Tirmidzi]


Rujukan:

1 - Fadhail al-Amal - Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi,  Bab 2: Takut kepada Allah.
2 - Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah, ayat 271.
3 - Fadhail al-Amal - Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi,  Bab 3: Kezuhudan hidup Nabi S.a.w dan Sahabat.
4 - Fathul Bari - Imam Ibnu Hajar al-Asqolani.


Sila baca juga .......








1 ulasan:

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.