Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa ibadah puasa pada permulaan Islam dilakukan sebagaimana yang biasa dilakukan oleh umat-umat terdahulu sebelum kita, iaitu setiap bulannya 3 hari. Riwayat ini dari Mu'az, Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas, Atha', Qatadah dan Adh-Dhahak ibnu Muzahim. Puasa demikian masih terus berlangsung sejak zaman Nabi Nuh a.s sampai Allah me-nasakh-kannya dengan puasa bulan Ramadhan.
Abbad ibnu Mansur meriwayatkan dari Al-Hasan Al-Basri berkaitan dengan makna firman-Nya;
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu......." [Surah al-Baqarah : ayat 183 - 184]
Maka Al-Hasan Al-Basri mengatakan, "Memang benar, demi Allah, sesungguhnya ibadah puasa diwajibkan ke atas semua umat yang telah lalu, sebagaimana diwajibkan ke atas kita sebulan penuh.
Ibnu Abu Hatim meriwayatkan dari hadits Abu Abdur Rahman al-Muqri yang mengatakan, telah menceritakan kepadaku Sa'id ibnu Abu Ayyub, telah menceritakan kepadaku Abdullah ibnul Walid, dari Abur Rabi' (seorang ulama Madinah), dari Abdullah ibnu Umar yang menceritakan bahawa Rasulullah S.a.w pernah bersabda;
"Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah ke atas umat-umat dahulu......."
Demikianlah nukilan dari sebuah hadits yang panjang, yang sengaja kami singkatkan seperlunya berkaitan dengan perbahasan ini.
Atha' al-Khurasani meriwayatkan dari Ibnu Abbas berhubungan dengan takwil firman-Nya;
"....... sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian......." [al-Baqarah : 183]
Yakni ke atas kaum Ahli Kitab. Telah diriwayatkan dari Asy-Sya'bi, As-Saddi serta Atha' al-Khurasani hal yang sepertinya.
Hadits ini diketengahkan pula oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim melalui hadits az-Zuhri, dari Urwah, dari Aisyah r.a yang mengatakan, "Pada mulanya puasa 'Asyura diwajibkan. Ketika turun wahyu yang mewajibkan puasa bulan Ramadhan, maka orang yang ingin puasa 'Asyura boleh melakukannya, dan orang yang ingin berbuka, boleh sahaja tidak puasa 'Asyura."
Imam Bukhari sendiri meriwayatkannya pula melalui Ibnu Umar dan Ibnu Mas'ud dengan lafaz yang semisal.
Firman Allah S.w.t, "Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin." [al-Baqarah : 184]
Seperti yang dijelaskan oleh Mu'az bin Jabal, iaitu "pada mulanya barangsiapa yang ingin puasa, maka dia boleh puasa, dan barangsiapa yang tidak ingin puasa, maka dia mesti memberi makan seorang miskin untuk setiap harinya." Hal yang sama diriwayatkan pula oleh Imam Bukhari melalui Salamah ibnul Akwa' yang menceritakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya;
"Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin." [al-Baqarah : 184]
Maka bagi orang yang hendak berbuka, dia mesti menebusnya dengan membayar fidyah hingga turunlah ayat yang selanjutnya, iaitu berfungsi me-nasakh-kannya. Telah diriwayatkan pula melalui hadits Ubaidillah, dari Nafi', dari Ibnu Umar yang pernah mengatakan bahawa memang ayat ini di-mansukh-kan oleh ayat selepasnya.
Imam Bukhari mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Ishaq, telah menceritakan kepada kami Rauh, telah menceritakan kepada kami Zakariya ibnu Ishaq, telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Dinar, dari Atha', dia pernah mendengar Ibnu Abbas membacakan firman-Nya;
"Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin." [al-Baqarah : 184]
Lalu Ibnu Abbas mengatakan bahawa ayat ini tidak di-mansukh, iaitu berkenaan warga tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu mengerjakan ibadah puasa, maka keduanya mesti memberi makan seorang miskin untuk setiap harinya.
Al-Hafidz Abu Bakr ibnu Murdawaih mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ahmad, telah menceritakan kepada kami al-Husain ibnu Muhammad ibnu Bahran al-Makhzumi, telah menceritakan kepada kami Wahb ibnu Baqiyyah, telah menceritakan kepada kami Khalid ibnu Abdullah, dari Ibnu Abu Laila yang menceritakan, "Atha' masuk menemuiku dalam bulan Ramadhan, sedangkan dia tidak berpuasa, lalu dia mengatakan, "Ibnu Abbas pernah mengatakan bahawa ayat ini (al-Baqarah : 185) diturunkan me-nasakh-kan ayat yang sebelumnya, kecuali orang yang sudah lanjut usia, maka jika ingin berbuka, dia boleh berbuka dengan memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkannya."
Kesimpulan bahawa nasakh berlaku bagi orang yang sihat yang bermuqim di tempat tinggalnya mesti puasa kerana berdasarkan firman-Nya;
"....... Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu ......." [al-Baqarah : 185]
Orang yang sudah lanjut usia dan tidak mampu melakukan puasa, boleh berbuka dan tidak wajib qadha' baginya kerana keadaannya bukanlah seperti keadaan orang yang mampu mengqadhanya. Tetapi bila dia berbuka, apakah wajib baginya memberi makan seorang miskin untuk setiap harinya, jika memang dia orang yang lemah keadaannya kerana usia yang sudah tua? Ada 2 pendapat di kalangan ulama berhubung dengan masalah ini;
Pertama, tidak wajib baginya memberi makan seorang miskin, mengingatkan keadaannya lemah, tidak kuat melakukan puasa kerana faktor usia yang sudah sangat tua, maka tidak wajib baginya membayar fidyah, perihalnya sama dengan anak kecil. Kerana Allah S.w.t tidak sekali-kali membebankan kepada seseorang melainkan sebatas kemampuannya. Pendapat ini merupakan salah satu pendapat Imam Syafi'e.
Kedua, pendapat yang shahih dan dijadikan pegangan oleh kebanyakan ulama, iaitu wajib baginya membayar fidyah setiap hari yang ditinggalkannya. Seperti penafsiran Ibnu Abbas dan lain-lainnya dari kalangan Ulama Salaf berdasarkan qiraat orang-orang yang membacakan "wa 'alal laziina yuthiiquunahu", yakni berat melaksanakannya.
Hal yang sama dikatakan pula oleh Ibnu Mas'ud dan lain-lainnya. Hal ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Bukhari, kerana Imam Bukhari mengatakan, "Adapun orang yang berusia lanjut, bila tidak mampu mengerjakan puasa, maka dia mesti memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkannya. Sesungguhnya Anas setelah usianya sangat lanjut, setiap hari yang ditinggalkannya dia memberi makan seorang miskin berupa roti dan daging, lalu dia sendiri berbuka (tidak puasa); hal ini dilakukannya selama satu atau dua tahun."
[Petikan dari Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah, ayat 183 - 184]
"Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka, Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma'af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam masjid. Itulah hudud (batas-batas larangan) Allah, maka janganlah kalian mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertaqwa." [Surah Al-Baqarah : 187]
Perkara ini merupakan suatu keringanan dari Allah buat kaum Muslimin, dan Allah menghapuskan apa yang berlaku di masa permulaan Islam, apabila salah seorang di antara mereka berbuka, dia hanya dihalalkan makan dan minum serta bersetubuh sampai shalat Isya' sahaja. Tetapi bila dia tidur sebelum itu atau telah shalat Isya' , maka diharamkan baginya makan dan minum serta bersetubuh hingga malam berikutnya. Maka dengan peraturan ini, mereka mengalami masyaqqah (kesukaran) yang besar.
Musa ibnu 'Uqbah telah meriwayatkan dari Kuraib, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa sesungguhnya orang-orang itu sebelum diturunkan perintah puasa seperti apa yang telah diturunkan kepada mereka sekarang, mereka masih boleh tetap makan dan minum serta dihalalkan bagi mereka menggauli isteri-isterinya. Tetapi apabila seseorang di antara mereka tidur, maka dia tidak boleh makan dan minum serta tidak boleh menyetubuhi isterinya hingga tiba saat berbuka pada keesokan malamnya. Kemudian sampailah satu berita kepada kami bahawa Umar ibnu al-Khattab setelah tidur dan wajib baginya melakukan puasa, maka dia (bangun) dan menyetubuhi isterinya. Kemudian dia datang menghadap Nabi S.a.w dan berkata, "Aku mengadu kepada Allah dan juga kepadamu atas apa yang telah aku perbuat." Nabi S.a.w bertanya, "Apakah yang telah kamu lakukan?" Umar menjawab, "Sesungguhnya hawa nafsuku telah menggoda diriku, akhirnya aku menyetubuhi isteriku setelah aku tidur, sedangkan aku berkeinginan untuk berpuasa."
Maka mereka (para sahabat) menduga bahawa Nabi S.a.w pasti menegurnya dan mengatakan kepadanya, "Tidaklah boleh kamu lakukan hal itu." Akan tetapi turunlah firman Allah S.w.t yang mengatakan;
"Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; ....... [Surah Al-Baqarah : 187] hingga akhir ayat.
Abu Ja'far Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku al-Mutsanna, telah menceritakan kepada kami Suwaid, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak, dari Abu Luhai-ah, telah menceritakan kepadaku Musa ibnu Jubair maula Bani Salamah, bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Ka'ab ibnu Malik menceritakan sebuah hadits kepadanya dari ayahnya, bahawa orang-orang dalam bulan Ramadhan, bila seorang lelaki di antara mereka puasa dan petang harinya dia tertidur, maka diharamkan ke atasnya makan, minum dan menggauli isteri hingga saat berbuka pada esok malamnya.
Dia suatu malam, Umar ibnu al-Khattab r.a pulang ke rumahnya dari rumah Nabi S.a.w, yang ketika itu bertandang di rumah beliau. Lalu Umar mendapati isterinya telah tidur, dan dia menginginkannya. Tetapi isterinya menjawab, "Aku telah tidur." Maka Umar menjawab, "Kamu belum tidur," lalu dia terus menyetubuhinya. Ka'ab ibnu Malik melakukan perkara yang sama juga. Pada pagi harinya Umar berangkat ke rumah Nabi S.a.w, dan menceritakan hal tersebut kepadanya. Kemudian turunlah firman-Nya;
"....... Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma'af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka......." [Surah Al-Baqarah : 187] hingga akhir ayat.
Hal yang sama diriwayatkan juga dari Mujahid, Atha', 'Ikrimah, Qatadah dan lain-lainnya dalam "asbaabun nuzul" ayat ini.
Allah S.w.t memperbolehkan pula makan dan minum disamping boleh menggauli isteri dalam malam mana pun yang disukai oleh orang yang berpuasa, hingga nampak jelas baginya cahaya waktu subuh dari gelapnya malam hari. Hal ini diungkapkan dalam ayat dengan istilah "benang putih" yang berbeza dengan "benang hitam", kemudian pengertian yang masih misteri ini diperjelaskan dengan firman-Nya;
"....... iaitu Fajar." [al-Baqarah : 187]
Seperti yang disebutkan dalam hadits riwayat Imam Abu Abdullah al-Bukhari, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abu Maryam, telah menceritakan kepada kami Abu Ghassan (iaitu Muhammad ibnu Mutarrif), telah menceritakan kepada kami Abu Hazim, dari Sahl ibnu Sa'ad yang mengatakan bahawa ketika ayat berikut ini diturunkan;
"....... dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, ......." [Surah Al-Baqarah : 187]
Sedangkan ayat selanjutnya masih belum diturunkan, iaitu firman-Nya;
"....... iaitu Fajar." [al-Baqarah : 187]
Maka orang-ramai apabila hendak berpuasa, seseorang dari mereka mengikatkan benang putih dan benang hitam pada kakinya, dia masih tetap makan dan minum hingga nampak jelas baginya kedua benang itu. Lalu Allah turunkan firman-Nya;
"....... iaitu Fajar." [al-Baqarah : 187]
Maka mengertilah mereka bahawa yang dimaksudkan dengan benang putih dan benang hitam ialah siang dan malam hari.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hisyam, telah menceritakan kepada kami Husain, dari Asy-Sya'bi, telah menceritakan kepadaku Addi ibnu Hatim yang mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yakni firman-Nya;
"....... dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, ......." [Surah Al-Baqarah : 187]
(Addi ibnu Hatim berkata), "Maka aku sengaja mencari dua utas tali, yang satu berwarna hitam, sedangkan yang lain berwarna putih, lalu aku letakkan di bawah bantalku, dan aku tinggal melihat keduanya. Dan ketika nampak jelas di mataku perbezaan antara benang putih dan benang hitam, maka aku mulai imsak (menahan diri).
Pada keesokan harinya aku datang menghadap Rasulullah S.a.w, lalu aku ceritakan kepadanya apa yang telah aku lakukan itu, maka beliau bersabda;
"Sesungguhnya bantalmu kalau demikian benar-benar lebar. Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan demikian itu hanyalah terangnya siang hari dan gelapnya malam hari."
Hadits diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari berbagai jalur dari Addi. Makna "Sesungguhnya bantalmu kalau demikian benar-benar lebar" ialah bantalmu memang lebar jika dapat memuatkan dua utas tali, yakni tali yang berwarna hitam dan yang berwarna putih. Makna yang dimaksudkan dijelaskan oleh ayat berikutnya, bahawa sesungguhnya keduanya itu adalah terangnya siang dan gelapnya malam. Maka ini bererti bantal Addi sama lebarnya dengan ufuk Timur dan ufuk Barat. (Mungkin ini gurauan dari Rasulullah S.a.w)
[Petikan dari Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah, ayat 187]
p/s: Jika zaman dulu puasa 3 hari setiap bulan, bermakna setahun 12 bulan dikalikan dengan 3 = 36.
Puasa Ramadhan seperti kita sekarang lebih kurang 30 hari.
Bermakna lebih kurang sama saja, dalam setahun kita berpuasa lebih kurang 30 hari. Cuma waktu nya sahaja yang berbeza. Wallahu a'lam ....... :-)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)