Berita Terkini

Kedudukan AlQuran dulu dan kini di Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Pernah pada satu ketika, masyarakat Melayu Muslim Malaysia menjunjung Al-Quran dengan nilai yang sangat tinggi hinggakan kefasihan hafazan 30 juzuk kitab itu layak dijadikan hadiah mas kahwin daripada pihak lelaki kepada bakal isteri.

Pemberian mas kahwin yang biasanya dalam bentuk wang atau emas adalah sesuatu yang wajib, tetapi jika bakal suami mampu mengajar Al-Quran dengan sempurna kepada perempuan, bimbingan itu dianggap senilai dengan mas kahwin.

Ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan Al-Quran dalam urusan membina masjid menerusi perkahwinan seperti yang diterangkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

"Sekitar awal tahun 60-an, lelaki berpendidikan Al-Quran sangat laris, malah orang tua yang ada anak perempuan sanggup meminang lelaki sebegitu hanya kerana terpegun dengan kelunakan alunan suara dan mutu bacaan semasa mengaji," jelas imam yang mempunyai kelulusan Takhassus al-Qiraat, Universiti Al-Azhar itu.

Beliau dengan tenang mengimbau kembali kenangan ketika kecil bagi membandingkan penerimaan masyarakat Muslim tempatan dulu dan kini.

"Dulu sekitar tahun 1953, ibu bapa saya dan rakan-rakan sebaya amat bimbang untuk hantar kami ke sekolah di luar kampung kerana takut kami murtad ekoran pengaruh anasir luar," kata beliau dalam satu pertemuan eksklusif BERNAMA.


SERONOK BELAJAR MENGAJI

Seperti peribahasa melentur buluh biar dari rebungnya, kanak-kanak dihantar mengaji seawal usia empat tahun dengan tok guru yang sangat tegas hingga rata-rata mereka berjaya khatam seluruh Al-Quran pada usia enam atau tujuh tahun, amalan itu melahirkan generasi yang baik akhlak dan berdisiplin.

Lagipun, tambah beliau, masyarakat dulu memastikan anak lelaki khatam Quran sebelum boleh disunat atau berkhatan sebagai tanda melangkah alam dewasa. Oleh itu, ibu bapa akan malu besar jika anak belum bersunat bila mencecah usia tertentu.

Anak perempuan pula digalakkan khatam Al-Quran sebelum dianggap layak berumahtangga, lantas mewujudkan tradisi majlis khatam Quran sebelum pernikahan dalam kalangan keluarga Melayu tradisional, meskipun tradisi itu kian dilupakan.

Syaikh Ismail sedar semasa beliau kanak-kanak, belajar Al-Quran adalah pengalaman yang menyeronokkan, selain berlumba-lumba memenangi hati tok guru, kelancaran mengaji adalah cara berkesan mengambil hati ibu bapa.

"Pastinya ibu bapa akan menjamu tok guru dan kawan-kawan mengaji dengan pulut kuning sebagai tanda habis muqadam dan naik Quran, semasa mencapai separuh kitab dan setelah khatam Quran, selain dapat hadiah," kenang beliau.

Ketika itu, kebanyakan tok guru adalah pakar Al-Quran tanpa pendidikan formal, namun keikhlasan mereka mengajar secara sukarela sangat menyerlah tanpa meminta bayaran, cuma mereka biasanya dihargai dengan hadiah seperti kain pelikat atau sumbangan beras dan gula.

Sayangnya, kini, ramai ibu bapa bagaikan lepas tangan terhadap pendidikan Al-Quran, mereka tidak membina keinginan sendiri untuk belajar kitab sebaliknya hanya bergantung kepada pihak sekolah yang mempunyai ruang waktu terhad.


LEBIH PENTINGKAN HIBURAN

"Kita juga disibukkan dengan bermacam-macam program bercorak hiburan, lihat saja kanak-kanak digayakan dengan pelbagai fesyen dan solekan, menyanyi, menari dan berlakon untuk menjadi objek hiburan orang lain," keluh beliau dengan kesal.

Jika situasi sebegini berterusan, tidak mustahil disiplin dan keperibadian anak dapat dipupuk dan beliau bimbang potensi keruntuhan akhlak generasi akan datang menjadi lebih teruk sehingga tidak boleh diperbaikki lagi.

Meskipun lebih afdal jika ibu bapa sendiri yang mengajar anak mengaji, beliau yakin ibu bapa bekerjaya yang mengambil berat boleh memperuntukan sedikit wang bagi mendorong anak membaca dan menghafaz Al-Quran.

"Adakah kita sedar yang kita kini perlu mengupah orang membaca Al-Quran apabila ada kematian, sedangkan sepatutnya sebagai tanda hormat dan kasih sayang, anak yang sepatutnya membekalkan bacaan Al-Quran kepada ibu bapa," luah beliau.

Justeru, beliau amat menaruh harapan agar umat Islam Malaysia dapat kembali semula ke jalan Al-Quran dalam usaha melahirkan generasi muda dan masa depan negara yang lebih berdisiplin, bijak dan berpandangan jauh.


PANDUAN LENGKAP HIDUP MANUSIA

Secara ringkasnya, Al-Quran adalah kitab lengkap yang membimbing manusia ke jalan Allah, penciptanya.

Meskipun telah diturunkan sejak 1,400 tahun yang lepas, kandungan kitab itu sentiasa relevan dengan kehidupan manusia meskipun dunia menghadapi pelbagai perubahan dalam bentuk fahaman dan pentadbiran politik.

Ia mengandungi pelbagai petunjuk, nasihat, undang-undang dan penawar untuk menguruskan kehidupan manusia, yang merangkumi panduan dan pendidikan dari pelbagai aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi, sains, ibadah, akhlak, politik serta pelbagai kisah teladan daripada kaum terdahulu dan kehidupan selepas mati.

Bermula dengan turunnya ayat pertama iaitu surah al-Alaq yang dimulai dengan perkataan terjemahan 'Bacalah', wahyu Allah disampaikan oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad S.A.W secara berterusan selama 23 tahun.

Wahyu diturunkan secara beransur-ansur bagi menguatkan semangat Nabi dalam perjuangan baginda menyebarkan syiar Islam, bagi memudahkan didikan akhlak umat Islam serta memudahkan hafazan dan amalan.

"Sekiranya terdapat persoalan yang perlu dijawab dalam pentadbiran baginda, Allah akan turunkan surah tertentu bagi menerangkan kemusykilan berkenaan," jelas imam perintis penubuhan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei pada 1993 itu lagi.


ISLAM KERANA SEPOTONG AYAT

Semasa zaman Rasulullah, Syaikh Ismail menjelaskan bahawa bukanlah perkara yang pelik apabila ada yang menangis dan memeluk Islam hanya dengan hanya mendengar sepotong ayat Al-Quran.

Ini termasuklah kisah pengIslaman Saiyidina Umar al-Khattab yang asalnya seorang yang amat garang dan panas baran, berubah menjadi lemah lembut dan sahabat sejati selepas menerima hidayah daripada Allah.

Keadaan kini agak berbeza, apabila Syaikh Ismail mendapati ramai golongan bijak pandai memeluk Islam selepas mengkaji Al-Quran, sedangkan tujuan asal mereka ialah mencari kelemahan dalam kitab itu bagi menjatuhkan Islam.

Allah telah berjanji untuk memelihara isi kandungan Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Qur'an dan sesungguhnya kamilah yang benar-benar memeliharanya," (al-Hijr: 9).


TERPELIHARA HINGGA KIAMAT

Rasulullah telah mengarahkan penulis wahyu menulis dengan tepat selain baginda sendiri, keluarga, sahabat dan ribuan umat Islam yang lain menghafal Al-Quran, ini berbeza dengan kitab sebelumnya iaitu Zabur, Taurat dan Injil yang tidak dihafal mengikut apa yang diwahyukan tetapi kandungannya diubah-ubah oleh manusia.

Pada awalnya, penulis wahyu telah menitip wahyu Allah di atas pelepah tamar, kulit binatang dan batu sebelum dikumpul secara tersusun pada zaman Khalifah Abu Bakar As Siddiq dan Khalifah Umar al-Khattab dan disalin menjadi jilid-jilid buku yang seragam pada zaman Khalifah Uthman al-Affan.

Ini menunjukkan kebesaran mukjizat Al-Quran, yang adalah kitab terakhir yang diturunkan dari langit, dan kandungannya kekal terpelihara dalam bentuk hafazan dan tulisan meskipun selepas lebih 1,000 tahun baginda wafat.

Malah panduan daripada mukjizat itu akan terus relevan kepada manusia hingga kiamat, malah Syaikh Ismail menjelaskan bahawa antara tanda kiamat sebenarnya ialah Allah akan angkat Al-Quran kembali ke langit dan dicabut dari hati umat, iaitu isi Al-Quran yang selama ini terpelihara dalam bentuk tulisan jutaan nashkah kitab dan hafalan oleh jutaan Muslim seluruh dunia akan hilang lenyap.


KAJI QURAN MELALUI TADARUS

Sepanjang bulan Ramadan setiap tahun, Rasulullah akan bertadarus dengan Jibrail hingga khatam untuk memperbaiki sebutan dan mendalami isi kandungan dan pelaksanaan tuntutan Al-Quran itu sendiri. Pada tahun kewafatannya, baginda khatam sebanyak dua kali.

"Dari situ lahir amalan tadarus pada bulan Ramadan yang bermakna saling tegur menegur dalam mempertingkatkan mutu dan ketepatan bacaan masing-masing," jelas Syaikh Ismail.

Beliau mahu umat Islam tempatan mengamalkan cara tadarus dengan betul iaitu memperbaiki bacaan sambil mengkaji isi kandungan kitab dan bukan berlumba-lumba menghabiskan bacaan 30 juzuk Quran.

Kelebihan tadarus dijelaskan menerusi hadis sahih Muslim yang menyebut, Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Tidak ada satu kaum yang berhimpun pada satu rumah Allah daripada rumah-rumah Allah yang membaca Al-Quran dan belajar memahaminya di kalangan mereka melainkan Allah menurunkan rahmat dan ketenangan, dilindungi oleh para malaikat dan diingati oleh Allah disisi-Nya".

[Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali - BERNAMA]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (49) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.