Oleh : Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
“Sempena Muktamar ke-57”
Firman Allah yang bermaksud: “Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).” (Surah Asy-Syams 91:8-10)
Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda dilantik oleh sebagai Rasul. Syakhsiyah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.
Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.
Justeru semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat membersih diri sebagai tangga kejayaan.
Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (syakhsiyah) seseorang itu tidak boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.
Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘taqwa.’ Melalui taqwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah apa sahaja yang kita buat––sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta mengurus kemasyarakatan––masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.
Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, syakhsiyahnya akan dilihat baik atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan Nabi Muhammad SAW. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas melakukan muhasabah diri.
Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah berbunyi: “Sekali- kali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu orang-orang yang ditimpa musibah.”
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan India dan semuanya) menjaga diri masing-masing supaya tubuh badan kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.
Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru di Kelantan kini wujud senario atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.
Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. Terasa perubahan suasana, apabila hotel-hotel yang dulunya sinonim dengan aktiviti tidak sihat, sehingga ada tok-tok lebai terasa goyah bila ke hotel. Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.
Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak gadai Islam (ar-Rahnu).
Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran.
Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan dan hubungan harmoni antara kaum––Melayu, Cina, India dan Siam––hidup dengan aman dan sejahtera.
Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan Nabi Muhammad SAW sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. Ketika sistem pemerintahan telah zaman-berzaman wujud di dunia, tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Mekah pun, Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Mekah (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.
Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Mekah hinggalah ke Madinah.
Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat ‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (qudwah hasanah) yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.
Di sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan baju rantai untuk membayar hutang. Walau pun ada sahabat sedia menyara Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.
Pengajaran daripada syakhsiyah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu, harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di dalam sembahyang. Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW jelas membawa rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam. Justeru kenapakah kita tidak mahu menjadikan Nabi sebagai qudwah hasanah?
Semoga sekalian pemimpin PAS menjadikan syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah hasanah. Kepimpinan akan beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan, yakni kemenangan Islam.
[Harakah Daily]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)