Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan produk yang digunakan sebagai bahan tampalan gigi hadapan berteknologi nano dikenali 'KeLFiL' dan kertas pelapik dada pesakit gigi, iaitu 'MyDental Bib'.
Produk KeLFiL yang dimajukan melalui nanokomposit dibangunkan sepasukan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Pergigian, Dr Dasmawati Mohamad, Profesor Ismail Ab Rahman, Profesor Madya Dr Hazizan Md Akil, Profesor Madya Abdul Rashid Ismail dan Tuan Noraihan Azila Tuan Mohd Yusof.
'MyDental Bib' dibangunkan Profesor Madya Dr Zainul Ahmad Rajion dan Mohd Zaidan Zakaria dari Pusat Pengajian Sains Pergigian; Profesor Wan Rosli Wan Daud dan Dr Mazlan Ibrahim dari Pusat Pengajian Teknologi Industri serta Profesor Hanafi Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.
Dasmawati berkata, pihaknya mengambil masa setahun untuk membangunkan produk KeLFiL membabitkan geran penyelidikan USM berjumlah RM998,000.
Katanya, produk yang dihasilkan adalah komposit resin yang menggunakan pengisi silika bersaiz nano nanopartikel bagi menampal gigi hadapan yang rosak.
"Produk ini seakan-akan gigi asal, berkilat, tidak bertoksid dan mempunyai ciri memenuhi piawaian ISO iaitu kemampatan, kekerasan, penyerapan air dan keterlarutan.
"Ia juga lebih estetik dan murah daripada produk yang berada di pasaran. Produk ini kini pada peringkat akhir paten sebelum berada di pasaran dua tahun lagi," katanya pada sidang media di USM di sini, semalam.
Sumber - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)