Berita Terkini

Kisah Nabi Sulaiman dituduh sebagai Ahli Sihir

Ahli sihir
Al-Aufi di dalam kitab tafsirnya meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a berkaitan dengan makna firman-Nya;

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ

"Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan......." [Al-Baqarah : 102]

Tersebutlah bahawa ketika kerajaan Nabi Sulaiman a.s terlepas dari tangannya, maka murtadlah segolongan jin dan manusia; mereka mengikuti hawa nafsu mereka. Setelah mengembalikan kerajaan kepada Sulaiman, maka orang-ramai pun menjalani hidup sesuai dengan hukum agama seperti semula. Sesungguhnya Sulaiman dapat menemui kitab-kitab mereka, lalu menanamnya di bawah singgahsananya; tidak lama kemudian Nabi Sulaiman a.s wafat. Akan tetapi, manusia dan jin dapat menemui kitab-kitab tersebut selepas Nabi Sulaiman wafat. Lalu mereka berkata, "Kitab inilah yang diturunkan oleh Allah kepada Sulaiman, tetapi Sulaiman sembunyikan." Maka mereka mengambil kitab tersebut dan menjadikannya sebagai agama.

Lalu turunlah firman Allah S.w.t;

"Dan setelah datang kepada mereka seorang rasul dari sisi Allah yang membenarkan kitab yang ada pada mereka." [Al-Baqarah : 101], hingga akhir ayat. 

Maka mereka mengikuti kemahuan hawa nafsu mereka yang dibacakan oleh syaitan-syaitan, iaitu alat-alat musik dan permainan serta segala sesuatu yang melalaikan berzikir kepada Allah S.w.t. 

Ibnu Abu Hatim meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa'id Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah, dari Al-A'masy, dari Al-Minhal, dari Sa'id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Asif adalah juru tulis Nabi Sulaiman. Dia adalah orang yang mengetahui Ismul A'zham, dan mencatat segala sesuatu atas izin Nabi Sulaiman, lalu Nabi Sulaiman menguburkan catatan tersebut di bawah singgahsananya. 

Ketika Nabi Sulaiman wafat, catatan tersebut dikeluarkan oleh syaitan-syaitan, lalu mereka menyelitkan catatan mengenai sihir dan kekufuran di antara tiap dua barisnya. Mereka mengatakan, inilah yang dahulu diamalkan oleh Sulaiman. 

Ibnu Abbas melanjutkan kisahnya, bahawa setelah ada keterangan dari syaitan, maka orang-orang yang tidak mengerti mengkafirkan Sulaiman dan mencaci-makinya, tetapi para ulama dari kalangan mereka hanya diam. Orang-orang yang jahil dari kalangan mereka terus-menerus mencaci-maki Nabi Sulaiman, hingga Allah S.w.t menurunkan ayat berikut kepada Nabi Muhammad S.a.w, iaitu;

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ

"Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir)." [Al-Baqarah : 102]

As-Saddi mengatakan berkaitan dengan tafsir firman-Nya;

"Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman......." [Al-Baqarah : 102]

Yang dimaksudkan dengan "Mulki Sulaiman" ialah di masa kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Tersebutlah bahawa syaitan-syaitan sering naik ke langit, lalu sampai pada suatu kedudukan yang darinya mereka dapat mencuri pendengaran. Lalu mereka mencuri sebahagian dari perkataan para malaikat mengenai apa yang bakal terjadi di bumi menyangkut perkara kematian, atau perkara yang ghaib atau suatu kejadian. Kemudian syaitan-syaitan itu menyampaikan perkara tersebut kepada tukang-tukang tilik, lalu tukang-tukang tilik (juru ramal) menceritakan kepada manusia perkara tersebut, dan ternyata kejadiannya mereka jumpai seperti apa yang dikatakan oleh para tukang tilik itu.

Setelah para jururamal percaya kepada syaitan-syaitan tersebut, maka syaitan-syaitan itu berdusta kepada mereka dan memasukkan perkara-perkara yang lain ke dalam berita yang dibawanya; mereka menambah tujuh puluh kalimat pada setiap kalimatnya. Lalu orang-ramai mencatat ucapan itu ke dalam buku-buku hingga tersebarlah di kalangan Bani Israel bahawa jin mengetahui perkara yang ghaib.

Kemudian Nabi Sulaiman menghantar utusannya kepada semua orang untuk merampas buku-buku itu. Setelah terkumpul, semua buku dimasukkan ke dalam peti, lalu peti itu di kuburnya di bawah kerusi singgahsananya. Tiada suatu syaitan pun yang berani mendekat ke kerusi tersebut melainkan dia pasti terbakar. Nabi Sulaiman berkata, "Tidak sekali-kali aku mendengar seseorang mengatakan bahawa syaitan-syaitan itu mengetahui perkara yang ghaib melainkan aku pasti menebas batang lehernya (sebagai hukumannya)."

Setelah Nabi Sulaiman wafat dan semua ulama yang mengetahui perihal Nabi Sulaiman telah tiada, lalu mereka diganti oleh generasi selepas itu, maka datanglah syaitan dalam bentuk seorang manusia. Syaitan itu mendatangi segolongan kaum Bani Israel dan berkata kepada mereka, "Mahukah kalian aku tunjukkan kepada suatu perbendaharaan yang tidak akan habis kalian makan untuk selama-lamanya?" Mereka menjawab, "Tentu saja kami mahu." Syaitan berkata, "Galilah tanah di bawah kerusi singgahsananya."

Syaitan pergi bersama mereka dan memperlihatkan tempat tersebut kepada mereka, sedangkan dia sendiri berdiri di salah satu tempat yang agak jauh dari tempat tersebut. Mereka berkata, "Mendekatlah kamu ke sini." Syaitan menjawab, "Tidak, aku hanya di sini saja dekat dengan kalian. Tetapi jika kamu tidak menemuinya, kalian boleh membunuhku."

Mereka menggali tempat tersebut dan akhirnya mereka menjumpai kitab-kitab itu. Ketika mereka mengeluarkannya, syaitan berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Sulaiman dapat menguasai dan mengatur manusia, syaitan-syaitan, dan burung-burung hanyalah melalui ilmu sihir ini." Selepas itu syaitan tersebut terbang dan pergi. Maka mulai tersebarlah di kalangan manusia bahawa Sulaiman adalah ahli sihir, dan orang-orang Bani Israel mengambil kitab-kitab itu. Ketika Nabi Muhammad S.a.w diutus oleh Allah, mereka berdebat dengan kitab-kitab tersebut, seperti yang dijelaskan oleh firman-Nya;

"....... padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir)." [Al-Baqarah : 102]

Ketika Nabi Muhammad S.a.w datang kepada mereka, mereka menentangnya dengan kitab Taurat dan berdebat, tetapi pada akhirnya kitab Taurat sehaluan dengan Al-Qur'an. Lalu mereka meninggalkan kitab Taurat dan mengambil kitab Asif serta sihir Harut dan Marut.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Al-Qasim, telah menceritakan kepada kami Husain Al-Hajjaj, dari Abu Bakar, dari Syahr ibnu Hausyab yang menceritakan bahawa ketika kerajaan Nabi Sulaiman dirampas dari tangannya, maka selama ketiadaan Nabi Sulaiman, syaitan-syaitan mencatat ilmu sihir. Syaitan-syaitan tersebut mencatat bahawa barang siapa yang ingin mendapatkan anu dan anu, hendaklah dia menghadap ke arah matahari dan mengucapkan mantera ini dan itu. Barang siapa yang hendak melakukan anu dan anu, hendaklah dia membelakangi matahari dan mengucapkan mantera ini dan itu. Syaitan-syaitan itu mencatat semuanya dan menamakan catatannya itu dengan suatu judul, iaitu "Inilah yang telah dicatat oleh Asif ibnu Barkhia buat Raja Sulaiman ibnu Daud, mengandungi perbendaharaan-perbendaharaan rahsia ilmu yang terpendam"

Ketika Nabi Sulaiman mengetahui kitab catatan itu, maka dia menguburkannya di bawah kursi singgahsananya. Setelah Nabi Sulaiman meninggal dunia, iblis berdiri, lalu berkhutbah dengan mengatakan, "Hai manusia, sesungguhnya Sulaiman itu bukanlah seorang nabi, melainkan seorang penyihir. Maka carilah ilmu sihirnya itu di antara barang-barang miliknya dan rumah-rumahnya." Kemudian iblis menunjukkan" kepada mereka tempat Nabi Sulaiman menguburkan kitab tersebut.

Maka mereka berkata, "Demi Allah, sesungguhnya Sulaiman adalah seorang penyihir. Inilah sihirnya. Dengan sihir ini kita diperbudak, dan dengan sihir ini kita dikalahkan." Orang-orang yang beriman mengatakan, "Tidak, bahkan dia adalah seorang nabi lagi mukmin." 

Ketika Allah mengutus Nabi Muhammad S.a.w dan beliau S.a.w menceritakan perihal Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, maka orang-orang Yahudi mengatakan, "Lihatlah oleh kalian Muhammad ini, dia mencampur-adukkan antara yang hak dengan yang batil. Dia menyebut Sulaiman bersama para nabi, padahal sesungguhnya Sulaiman hanyalah tukang sihir yang dapat menaiki angin." Maka Allah S.w.t menurunkan firman-Nya;

"Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir)." [Al-Baqarah : 102]

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu Hatim, telah menceritakan kepada kami Isam ibnu Rawwad, telah menceritakan kepada kami Adam, telah menceritakan kepada kami Al-Mas'udi, dari Ziad maula Mus'ab, dari Al-Hasan berkaitan dengan tarsir firman-Nya;

"Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan ......." [Al-Baqarah : 102]

Bahawa sepertiganya berisikan syair, sepertiganya lagi berisikan sihir, sedangkan sepertiga yang terakhir berisikan ramalan.

Ibnu Abu Hatim mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Al-Hasan ibnu Ahmad, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Abdullah ibnu Basysyar Al-Wasiti, telah menceritakan kepadaku Surur ibnul Mugirah, dari Abbad ibnu Mansur, dari Al-Hasan sehubungan dengan makna firman-Nya;

"Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman ......." [Al-Baqarah : 102]

Ertinya, orang-orang Yahudi mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan itu di masa kerajaan Nabi Sulaiman. Sebelum itu ilmu sihir memang telah ada di muka bumi ini, tetapi baru diikuti hanya pada masa kerajaan Nabi Sulaiman.

Demikianlah sekilas dari pendapat para imam terdahulu berhubungan dengan makna ayat ini. Tetapi pada garis besarnya tidak samar lagi kesemuanya dapat digabungkan menjadi suatu kesimpulan, dan pada hakikatnya di antara pendapat-pendapat tersebut tidak ada pertentangan, menurut pandangan orang-orang yang mempunyai pemahaman yang mendalam.

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah : ayat 102]


p/s: Kerana itu tidak hairan jika sekiranya ada bomoh-bomoh yang mengamalkan khurafat "juga" kadang-kala menyebut nama-nama Allah dan Ismul A'zham. Perkara ini sudah berlaku sejak zaman Nabi Sulaiman a.s dulu lagi. Semuanya itu adalah putar-belit syaitan untuk mengelabui mata kita, dengan mencampurkan yang haq dengan yang bathil. Semoga kita dapat lebih berwaspada.  Wallahu a'lam ....... :-)

1 ulasan:

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (58) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.