Berita Terkini

Abdullah ibnu Abbas, Imam para Ulama Tafsir

Abdullah ibnu Abbas
Pengenalan

Abdullah ibnu Abbas r.a ialah anak kepada bapa saudara Nabi S.a.w iaitu Abbas ibnu Abdul Muthalib. Beliau lahir 3 tahun sebelum Rasulullah S.a.w hijrah.

Dalam sesetengah riwayat disebutkan, beliau berbadan gempal, putih dan tinggi. Beliau juga seorang yang fasih berbicara.

Beliau adalah sahabat kelima yang paling banyak meriwayatkan hadits iaitu sebanyak 1,660 hadits.

Abdullah ibnu Abbas hafal Al-Quran sejak masih kecil

Abdullah ibnu Abbas r.a sendiri berkata; "Tanyalah saya tentang tafsir Al-Quran. Saya telah menghafal seluruh Al-Quran sejak kecil lagi." Dalam hadits lain beliau berkata, "Semasa berumur sepuluh tahun lagi saya telah menghafal bahagian terakhir dari Al-Quran." [1]

Pengajian pada zaman itu tidaklah sama dengan pengajian kita pada zaman ini. Terutamanya untuk mereka yang tidak berbahasa Arab. Sebaliknya apa-apa yang mereka pelajari ialah bersama dengan tafsir. Oleh sebab itu, Abdullah ibnu Abbas r.a ialah seorang Imam dalam bidang tafsir Al-Quran. Tiada orang yang meriwayatkan hadits mengenai tafsir sebanyak yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Abbas.

Perkara yang dihafal ketika kanak-kanak biasanya akan kekal dalam ingatan. Abdullah ibnu Mas'ud r.a berkata, "Penafsir Al-Quran yang paling baik ialah Abdullah ibnu Abbas r.a."

Abu Abdur Rahman r.a berkata, "Para sahabat r.a yang mengajarkan kepada kami Al-Quran menerangkan bahawa para sahabat r.a akan belajar sepuluh ayat Al-Quran daripada Nabi S.a.w. Selepas itu mereka tidak akan belajar sepuluh ayat lain selagi ilmu dan amal belum selari dengan sepuluh ayat pertama." [2]

Rasulullah S.a.w wafat ketika Abdullah ibnu Abbas r.a berumur 13 tahun. Tahap penguasaan ilmu Hadits dan Al-Quran yang beliau miliki dalam umur yang begitu muda sebenarnya satu karomah yang nyata dan patut dikagumi. Beliau ialah seorang Imam Tafsir. Sahabat-sahabat besar pun akan bertanya kepadanya tentang tafsir. Ini ialah hasil daripada doa Nabi S.a.w.

Pada suatu masa, Rasulullah S.a.w telah pergi beristinja'. Apabila baginda S.a.w keluar, satu bekas air telah diletakkan di situ. Baginda S.a.w bertanya, "Siapakan yang telah meletakkan bekas ini di sini?" Baginda S.a.w diberitahu bahawa Abdullah ibnu Abbas lah yang telah meletakkan bekas itu. Rasulullah S.a.w begitu gembira dengan khidmatnya itu lalu baginda S.a.w berdoa supaya Allah mengurniakannya kefahaman agama dan pengertian Kitabullah.

Seterusnya, pada ketika yang lain Rasulullah S.a.w sedang solat sunat. Abdullah ibnu Abbas juga telah mengikut Baginda S.a.w dengan berdiri di belakang. Lalu Baginda S.a.w menarik beliau ke sisi Baginda S.a.w. Sekiranya hanya ada seorang ma'mum dalam solat berjama'ah, ma'mum itu hendaklah berdiri di sebelah Imam. Semasa Rasulullah S.a.w sibuk dalam solatnya beliau telah undur kembali ke belakang sedikit. Setelah selesai solat, Baginda S.a.w pun menyoalnya, lalu beliau menjawab, "Tuan ialah Rasul Allah, bagaimana mungkin saya berdiri bersama-sama tuan?" Oleh sebab itu Baginda S.a.w pun mendoakan pertambahan ilmu dan kefahaman kepadanya." [3]

Abdullah ibnu Abbas menemui para sahabat Ansar untuk dapatkan ilmu

Abdullah ibnu Abbas berkata, "Selepas kewafatan Rasulullah S.a.w saya telah berkata kepada seorang sahabat Ansar, "Rasulullah S.a.w telah wafat. Sekarang ini masih ada jemaah yang besar daripada kalangan para sahabat r.a. Marilah kita bertanya kepada mereka masalah-masalah agama dan kita hafalkan masalah-masalah itu."

Sahabat itu berkata, "Adakah orang-orang akan datang kepadamu menanyakan masalah agama sedangkan sebilangan besar para sahabat r.a masih ada?" Ringkasnya beliau tidak berani pun mencuba.

Saya mula mencari masalah-masalah agama. Apabila saya mendapat tahu bahawa ada orang yang mendengar suatu hadits terus dari Nabi S.a.w sendiri maka saya akan pergi bertemu dengannya untuk mendapatkan kepastian. Saya telah dapat menghimpun masalah-masalah agama dalam jumlah yang besar menerusi para sahabat Ansar. Apabila saya pergi bertemu setengah orang, saya diberitahu yang mereka sedang tidur, lalu saya akan membentangkan kain di hadapan pintu rumah mereka dan akan duduk menunggu mereka. Sungguh pun mulut dan badan saya disaluti debu akibat tiupan angin namun saya tetap duduk menunggu mereka di situ. Apabila beliau bangun barulah saya bertanyakan perkara yang saya ingin tahu. Beliau akan berkata, "Kenapa kamu menyusahkan diri sedangkan kamu ialah sepupu Rasulullah? Panggilkan saja aku."

Saya akan berkata, "Saya yang ingin menuntut ilmu maka saya lah yang perlu datang." Sesetengah mereka bertanya, "Sejak bila engkau duduk di sini?" Kata saya, "Sudah agak lama." Saya berkata, "Kamu sudah melakukan sesuatu yang tidak betul. Sepatutnya kamu panggil saya."

Kata saya, "Hati saya tidak rela kamu datang kepada saya semata-mata untuk keperluan saya sebelum menyelesaikan keperluan-keperluanmu sendiri." Begitulah berlalu sehingga suatu masa ramai orang mula berkumpul di sisi saya semata-mata untuk menuntut ilmu. Sahabat Ansari itu mula menyesal dan berkata, "Nampaknya budak ini lebih bijak daripada kita." [4]

Umar r.a mengajak Abdullah ibnu Abbas ke majlis ilmu orang dewasa

Dalam Shahih Bukhari ada diceritakan, suatu ketika Umar r.a mengajak Ibnu Abbas r.a yang masih muda ke dalam majlisnya bersama para tokoh Islam. Pada waktu itu, para tokoh Badr yang telah matang dalam usia sangsi akan kemampuan Ibnu Abbas. Mereka pun bertanya kepada Umar, "Kenapa anda masukkan pemuda ini ke tengah majlis kita padahal kami juga punyai anak seperti dia?"

Umar r.a pun menjawab, "Kalian telah mengetahui tentangnya (yakni kepandaiannya)."

Suatu ketika, Umar r.a memanggil Abdullah ibnu Abbas ke tengah majlis mereka untuk memperlihatkan kepandaian Ibnu Abbas. Umar bertanya kepada mereka, "Apa yang kalian ketahui tentang firman Allah ta'ala (yang ertinya), "Jika telah datang pertolongan Allah dan pembukaan." [Surah An-Nashr : 1-3]? "

Sebahagian tokoh Badr tersebut menjawab, "Allah memerintahkan kita agar beristighfar setelah Allah menolong dan memudahkan kita untuk menakluki kota Mekah." Sedang sebahagian yang lain memilih diam.

Sekarang giliran Ibnu Abbas, "demikiankah?" Tanya Umar kepada Ibnu Abbas.

Ibnu Abbas berkata, "Tidak."

"Lantas, apa menurutmu?" Tanya Umar.

Ibnu Abbas berkata, "Itu adalah wafatnya Rasulullah. Allah memberitahu kepada beliau, "Jika datang kepadamu pertolongan dan penaklukan." [Surah An-Nashr : 1] itu adalah tanda bahawa dekatnya kewafatan Nabi, "Maka bertasbihlah dengan pujian kepada Tuhanmu dan mintalah ampun, sesungguhnya Dia Maha Pengampun." [Surah An-Nashr : 3]

Umar pun berkata, "Aku tidak mengetahuinya kecuali seperti apa yang engkau katakan."

Demikianlah ketajaman dan ketelitian Ibnu Abbas dalam memahami wahyu. Dia mengetahui bahawa perintah istighfar tidak biasa digunakan ketika terjadi kemenangan dan penaklukan. Dia mengetahui bahawa perintah istighfar dan taubat biasanya digunakan untuk menamatkan sesuatu, maka beliau pun menafsirkan pertolongan dan penaklukan dalam ayat tersebut sebagai tanda akan diwafatkannya Baginda S.a.w. [5]


Abdullah ibnu Abbas merantai hamba sahayanya

Ikrimah r.a ialah hamba sahaya kepada Abdullah ibnu Abbas r.a. Ikrimah r.a juga merupakan seorang alim yang masyhur. Beliau berkata, "Tuan saya iaitu Sayyidina Abdullah ibnu Abbas r.a akan merantaikan kaki saya untuk mengajarkan kepada saya Al-Quran, hadits dan hukum-hukum syara' supaya saya tidak ke mana-mana. Beliaulah yang mengajarkan kepada saya Al-Quran dan hadits-hadits."  [6]

Sememangnya itulah cara yang boleh digunakan untuk belajar agama. Mereka yang suka berjalan-jalan dan bersiar-siar di kedai-kedai semasa tempoh pembelajaran ialah tidak berguna dan mensia-siakan umur mereka.

Kesan daripada itulah yang telah mengubah kedudukan Ikrimah r.a daripada seorang hamba kepada Ikrimah r.a yang diingati dengan gelaran "Bahrul Ummah" dan "Hibrul Ummah". Qatadah r.a berkata, "Terdapat 4 orang yang sangat alim dalam kalangan tabi'en dan Ikrimah r.a ialah salah seorang daripada mereka. [7]

Nasihat Abdullah ibnu Abbas

Wahab ibnu Munabbih rahimahullah berkata, "Pada suatu ketika setelah penglihatan Abdullah ibnu Abbas r.a hilang, saya telah membawa beliau ke Masjidil Haram. Setiba di sana kedengaran suara sekumpulan orang sedang bergaduh. Beliau berkata, "Bawalah aku ke tempat kumpulan itu."

Saya telah membawa beliau ke situ. Apabila tiba di sana, beliau memberi salam. Mereka telah mempersilakan beliau duduk tetapi beliau enggan dan berkata, "Tidakkah kamu mengetahui tentang kumpulan hamba Allah yang istimewa? Sifat takutkan Allah telah menyebabkan mereka berdiam diri. Sedangkan mereka itu bukanlah bodoh dan tidak juga bisu. Namun demikian, kerana ingatan kepada Allah menguasai akal mereka, hati mereka menjadi lembut dan lidah mereka menjadi kelu. Apabila mereka telah tetap teguh dalam keadaan itu, mereka akan bersegera ke arah kebaikan. Ke manakah kamu telah terpesong daripada jalan mereka?" Wahab ibnu Munabbih berkata, "Selepas peristiwa itu, aku tidak lagi melihat orang berkumpul di situ walaupun 2 orang."

Ketakutan Abdullah ibnu Abbas kepada Allah S.w.t begitu hebat sekali sehingga air mata yang sentiasa mengalir di wajahnya meninggalkan kesan aliran yang kekal. Dalam kisah di atas, Abdullah ibnu Abbas telah memberikan satu petua yang mudah supaya kita dapat mengambil berat amal-amal kebaikan iaitu dengan memikirkan kebesaran dan kehebatan Allah S.w.t. Setelah itu, semua jenis amal baik akan menjadi mudah dan amal itu pasti akan penuh dengan keikhlasan. Apalah susahnya untuk melapangkan sedikit masa daripada  24 jam sehari semalam untuk merenungkan perkara ini. [8]

Meninggal dunia

Abdullah ibnu Abbas, wafat di Thaif ketika berusia 71 tahun pada tahun 68H. Di antara yang mensolati beliau adalah seorang ulama tabi'in iaitu Muhammad ibnu Ali ibnu Abu Thalib yang dikenali dengan gelaran Ibnul Hanafiyah (w. 80 H).


Rujukan:

1 - Shahih Bukhari dan Fathul Bari.
2 - Muntakhab al-Kanzul. Dicatat oleh Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kadhlawi - Fadha-il al-'Amal.
3 - Al-Ishabah. Dicatat oleh Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kadhlawi - Fadha-il al-'Amal.
4 - Sunan ad-Darimi.
5 - Ibnul Qayyim al-Jauziyyah - I’laamul Muwaqqi’in. Petikan dari darussalaf.or.id.
6 - Shahih Bukhari dan Thabaqat ibnu Sa'ad.
7 - Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kadhlawi - Fadha-il al-'Amal, bab: 11.
8 - Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kadhlawi - Fadha-il al-'Amal, bab: 2.

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (55) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.