Berita Terkini

Sejarah Ahli Shuffah di zaman Rasulullah S.a.w

Kaum Dhaif dari kalangan Muhajirin

Seiring dengan hijrahnya kaum Muslimin dari Makkah ke Madinah, maka muncul permasalahan yang berkaitan dengan kelangsungan hidup dan mata pencarian bagi kaum Muhajirin, yang telah meninggalkan rumah, harta, dan perhiasan mereka di Makkah untuk menyelamatkan Aqidah mereka dari ancaman taghut kalangan Musyrikin.

Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian kaum Muhajirin setibanya di Madinah tidak terus mendapat pekerjaan. Sebab bercucuk tanam merupakan sumber ekonomi utama Madinah, sedangkan kaum Muhajirin tidak mempunyai pengalaman dalam industri pertanian, sebab masyarakat Makkah merupakan masyarakat peniaga. Di samping itu, mereka tidak mempunyai tanah pertanian di Madinah ataupun modal, kerana seluruh harta mereka telah mereka tinggalkan di Makkah. Walaupun kaum Ansar telah mencurahkan sedaya upaya untuk membantu kaum Muhajirin, tapi sebahagian kaum Muhajirin tetap memerlukan tempat tinggal.

Untuk itu Rasulullah S.A.W berusaha mencari penyelesaian bagi permasalahan kaum dhuafa' Muhajirin dan kaum pendatang.

As-Shuffah

Ketika kiblat telah dipindahkan dari Baitul Maqdis ke Ka'abah setelah 16 bulan hijrahnya Rasulullah S.A.W ke Madinah, [1]  sebagai buktinya dinding kiblat pertama masih ada di bahagian belakang bangunan Masjid Nabawi sekarang, Rasulullah S.A.W memerintahkan agar memberinya atap, yang kemudian lebih dikenali dengan sebutan Ash-Shuffah atau tempat berteduh. [2]  Namun tidak ada dinding yang menutup bahagian tepi bangunan tersebut. [3]

Dr Sauqi Abu Khalil dalam Athlas al-Hadith Al-Nabawi menjelaskan, As-Shuffah sebagai teras yang luas dan tinggi. Menurutnya, As-Shuffah boleh juga bermakna tempat berteduh, dan teras rumah. ''As-Shuffah adalah tempat berteduh di Masjid Nabawi di Madinah selama masa kenabian setelah hijrah. Kaum miskin Muhajirin menjadikannya sebagai tempat tinggal,'' ujar Dr Syauqi. Tentang ahli Shuffah itu, menurutnya, disenaraikan dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim. [4]

Shuffah tidak diketahui luasnya, yang pasti tempat tersebut cukup untuk ramai orang. Sehinggakan Rasulullah S.a.w pun menggunakan tempat tersebut untuk jamuan makan yang dihadiri oleh lebih kurang 300 orang. Sebahagian mereka berada di sisi salah satu kamar isteri-isteri baginda S.a.w yang bersambungan langsung dengan Masjid Nabawi.  [5]

Jumlah dan nama-nama ahli Shuffah

Seiring perjalanan waktu, jumlah mereka tidak tetap. Jika utusan-utusan dan para tamu datang, jumlah mereka bertambah. Dan jika para musafir pulang, jumlah mereka berkurang. Biasanya jumlah mereka lebih kurang 70 orang. [6]  Dan kadang-kadang jumlah mereka ramai sekali. Hingga pernah Sa'ad bin Ubadah seorang diri menjamu 80 orang. Belum lagi yang dijamu oleh kalangan sahabat lain. [7]

As-Samhudi menyebutkan bahawa Abu Nu'aim menyebutkan nama-nama mereka dalam kitab Hilyatul Auliya' lebih dari 100 orang. [8]  Namun Abu Nu'aim hanya menyenaraikan 52 nama saja. Lima di antaranya diingkari oleh Abu Nu'aim bahawa mereka dari kalangan Ahlus Shuffah. Dan hanya Abu Nu'aim yang menyebutkan senarai nama-nama orang terkenal dari Ahli Shuffah. Dia menukilkan dari rujukan kuno tanpa menyebutkan namanya. Kemungkinan berasal dari kitab yang disusun oleh Abu Abdurrahman As-Sulami (W 412H) tentang Ahli Shuffah. [9]

Di bawah ini adalah senarai nama ahli-ahli Shuffah yang disebutkan oleh Abu Nu'aim;

1. Abu Hurairah (beliau menisbahkan diri kepada Shuffah).  2. Abu Dzar Al-Ghifari (beliau menisbahkan diri kepada Shuffah).   3. Watsilah bin Al-Atsqaa.   4. Qais bin Thuhfah Al-Ghifari (beliau menisbahkan diri kepada Shuffah).   5. Ka'ab bin Malik Al-Anshari.   6. Said bin Amir bin Hudzaim Al-Jumahi.   7. Salman Al-Farisi.   8. Asma' bin Haritsah bin Said Al-Aslami.   9. Handzalah bin Abi Amir Al-Anshari (yang dimandikan malaikat ketika syahid).   10. Hazim bin Harmalah.   11. Haritsah bin An-Nu'man Al-Anshari An-Najjari.   12. Hudzaifah bin Usaid bin Suraihah Al-Anshari.   13. Hudzaifah ibnul Yaman (dia termasuk kalangan Muhajirin yang bersekutu dengan Anshar, untuk itu dia dianggap salah seorang dari mereka).   14. Jariyah bin Jamil bin Subbah bin Qurath.   15. Ju'ail bin SuraqahAdh-Dhamari.   16. Jurhud bin Khuwailid atau bin Razah Al-Aslami.   17. Rifa'ah Abu Lubabah Al-Anshari (dikatakan dia bersama Basyir bin Abdul Mundzir dari Bani 'Amr ibnu 'Auf).   18. Abdullah Dzul Bajadain.   19. Dukain bin Said Al-Muzani atau Al-Khats'ami.   20. Khubaib bin Yasaaf.   21. Khuraim bin Aus Ath-Tha'i.   22. Khuraim bin Fatik Al-Asadi.   23. Khunais bin Hudzafah As-Sahmi.   24. Khabbab bin Al-Arts.   25. Al-Hakam bin Umair Ats-Tsimali.   26. Harmalah bin Ayyas atau Harmalah bin Abdullah Al-'Anbari.   27. Zaid bin Al-Khattab.   28. Abdullah bin Mas'ud.   29. Ath-Thafawi Ad-Dausi.   30. Thalhah bin 'Amr An-Nadhari.   31. Shafwan bin Baidha' Al-Fihri.   32. Shuhaib bin Sinan Ar-Rumi.   33. Saddad bin Usaid.   34. Syaqran (bekas khadam Rasulullah S.a.w).   35. As-Saib bin Khallad.   36. Salim bin 'Umair.   37. Salim bin 'Ubaid Al-Asyja'i.   38. Safinah (bekas khadam Rasulullah S.a.w).   39. Salim (bekas khadam Abu Hudzaifah).   40. Abu Razin.   41. Al-Aghar Al-Muzani.   42. Bilal bin Rabah.   43. Al-Barra' bin Malik Al-Anshari.   44. Tsauban (bekas khadam Rasulullah S.a.w).   45. Tsabit bin Wadi'ah Al-Anshari.   46. Tsaqif bin Amr Ibnu Syamit Al-Asadi.   47. Sa'ad bin Malik (Abu Said Al-Khudri).   48. Al-'Irbadh bin Sariyah.   49. Ghurfah Al-Azdi.   50. Abdurrahman bin Qurth.   51. Abbad bin Khalid Al-Ghifari.

Perhatian mereka terhadap ilmu Agama, Ibadah dan Jihad

Ahli Shuffah mencurahkan segala perhatiannya untuk mencari ilmu. Mereka beri'tikaf di Masjid Nabawi untuk beribadah dan membiasakan diri hidup dalam keadaan serba kekurangan.  Jika sedang berdiri, yang mereka lakukan adalah solat, membaca dan mempelajari Al-Quran, serta berzikir. Sebahagian lagi belajar membaca dan menulis. Bahkan salah seorang dari mereka menghadiahkan busur kepada Ubadah bin Ash-Shamith, kerana mengajari mereka Al-Quran, membaca dan menulis. [10]

Sehingga ramai di kalangan mereka yang dikenali sebagai ulama dan ahli hadits, kerana banyak menghafal hadits-hadits Nabi S.a.w, seperti Abu Hurairah r.a dan Hudzaifah ibnul Yaman r.a yang diketahui banyak meriwayatkan hadits tentang fitnah.

Konsentrasi dan perhatian mereka tertuju pada ilmu agama dan ibadah, namun bukan bererti mereka tidak berperanan dalam kegiatan masyarakat dan jihad. Di antara mereka ada yang mati syahid dalam Perang Badar, seperti Shafwan bin Baidha', Khuraim bin Fatik Al-Asadi, Khubaib bin Yasaaf, Salim bin Umair dan Haritsah bin An-Nu'man Al-Anshari.  Dan dalam Perang Uhud, di antara mereka yang mati syahid ialah Handzalah, yang dimandikan jenazahnya oleh malaikat. Sebahagian lagi mengikuti Perjanjian Hudaibiyyah, seperti Jurhud bin Khuwailid dan Abu Suraihah Al-Ghifari. Ada juga yang syahid dalam Perang Khaibar, seperti Tsaqf bin Amr,  di Perang Tabuk seperti Abdullah ibnul Bajadain.  Mereka adalah para ahli ibadah di malam hari dan perajurit yang gagah berani di siang hari. [11]

Pakaian mereka

Ahli Shuffah tidak memiliki pakaian yang dapat melindungi diri mereka dari hawa dingin atau menutupi seluruh anggota tubuh mereka. Mereka juga tidak memiliki selimut tebal. [12]  Tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang mempunyai pakaian lengkap. [13]  Mereka mengikatkan baju dan selimut ke leher-leher mereka. [14]  Sebahagian lagi hanya memakai baju dan kain sarung. [15]  Pakaian mereka hanya menutup sampai setengah betis, bahkan ada pula yang tidak sampai pada kedua lutut. Banyak sumber mengatakan bahawa mereka memakai serban, [16]  iaitu gulungan kain yang diikatkan di kepala. [17]

Selimut yang mereka pakai adalah Al-Hanaf, iaitu selimut yang menyerupai selimut keluaran Yaman, dibuat dari bahan yang kasar dari kain terburuk. [18]  Kadang-kadang mereka malu keluar, kerana pakaian mereka tidak lengkap dan mudah terbuka auratnya. [19]  Di samping itu pakaian mereka cepat kotor kerana Shuffah tidak berdinding, yang mengakibatkan debu dan angin mudah mengenai mereka, sehingga peluh mereka mudah sekali bercampur dengan debu dan kotoran. [20]

Makanan mereka

Kebanyakan makanan mereka adalah kurma. Rasulullah S.a.w suka memberikan satu tangkup kurma untuk dua orang dari mereka setiap hari. Mereka mengatakan bahawa dengan memakan kurma setiap hari seperti membakar perut mereka. Rasulullah S.a.w tidak mampu memenuhi keperluan mereka selain kurma. Baginda S.a.w menasihati mereka agar sentiasa bersabar, dan sentiasa menghiburkan mereka.

Baginda S.a.w pun sering mengundang mereka untuk makan bersama di rumah baginda S.a.w walaupun dengan hidangan yang sangat sederhana, kerana baginda S.a.w sendiri tidak berkecukupan. Biasanya baginda S.a.w menghidangkan susu, kadang-kadang bubur, daging, atau kurma yang sudah dimasak. Kadang-kadang juga kurma yang sudah dihaluskan lalu dicampur dengan tepung dan minyak susu. Hidangan lain adalah gandum panggang atau roti yang disiram kuah maraq. Baginda S.a.w meminta maaf kerana tidak dapat menyajikan hidangan yang lebih baik.

Ahli Shuffah akan mendapatkan makanan yang lebih baik ketika ada dermawan dari kalangan sahabat yang mengadakan jamuan makan, dan ini seringkali dilakukan oleh para sahabat. Tapi biasanya Ahli Shuffah tidak mendapat makanan yang dapat menahan rasa lapar mereka. Semua itu sangat berpengaruh pada kehidupan mereka, sehingga mereka terjatuh ketika melakukan solat kerana menahan lapar. Sampaikan orang-ramai mengatakan "mereka adalah orang-orang gila". Abu Hurairah sendiri pernah pengsan antara mimbar masjid dan rumah Aisyah r.a kerana lapar yang dideritainya. Namun keadaan sedemikian tidak mendorong mereka berbuat jahat atau berebut makanan. Mereka tetap menjaga hak-hak saudara sesama Muslim dan tetap bersikap sopan-santun.

Perhatian Nabi S.a.w dan para sahabat terhadap Ahli Shuffah

Rasulullah S.a.w selalu menjaga, mengawasi dan memerhatikan Ahli Shuffah. Baginda S.a.w mengunjungi mereka, memeriksa keadaan mereka, menjenguk yang sakit di antara mereka. Baginda S.a.w juga banyak duduk-duduk bersama mereka. Baginda S.a.w menasihati, mengarahkan, mengingatkan dan menganjurkan mereka agar selalu baca al-Quran, mempelajarinya, berzikir mengingat Allah S.w.t, mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat dan tidak perlu berangan-agan untuk mendapatkan perhiasan dunia. Bila mendapat sedekah, Baginda S.a.w mengirimkan kepada mereka dan Baginda S.a.w tidak ikut memakannya sedikit pun. Dan kalau mendapat hadiah, Baginda S.a.w juga mengirimkan kepada mereka dan ikut serta menikmatinya.

Seringkali Baginda S.a.w menjamu mereka di salah sebuah rumah isteri Baginda S.a.w. Nabi S.a.w tidak pernah lalai sedikit pun tentang keadaan mereka.  Bahkan sewaktu Hasan bin Ali r.a lahir , Baginda S.a.w meminta anaknya Fatimah r.a untuk memberikan sedekah kepada mereka dengan perak seberat rambut kepala Hasan. Pernah Baginda S.a.w mendapat tawanan perang lalu Fatimah r.a meminta seorang pembantu, kerana merasa lelah dalam mengerjakan tugas-tugas rumahtangga, Baginda S.a.w menjawab;

"Patutkah aku memberi kalian berdua pembantu dan meninggalkan Ahli Shuffah kelaparan?"

Baginda S.a.w menjelaskan bahawa Baginda S.a.w akan menjual tawanan tersebut, dan akan menginfakkan hasil penjualannya untuk Ahli Shuffah. Nampaknya Fatimah r.a meminta wang juga, sebab ketika Rasulullah S.a.w mengunjungi Ali r.a, Baginda mendapati alas tidur keduanya sangat pendek dan tidak cukup. Baginda S.a.w mengajarkan kepada mereka berdua satu doa, dan mendahulukan kepentingan Ahli Shuffah, seraya bersabda;

"Aku tidak akan memberikan kalian sementara Ahli Shuffah melilit perutnya kerana lapar."  [Musnad Imam Ahmad , jil 1 hal. 79, 106.]

Rasulullah S.a.w mewasiatkan para sahabat agar menginfakkan harta mereka kepada Ahli Shuffah. Maka para sahabat pun berlumba-lumba berbuat baik kepada Ahli Shuffah. Para hartawan dari kalangan sahabat mengirimkan makanan kepada mereka. Rasulullah S.a.w membahagikan Ahli Shuffah kepada para sahabat selepas solat 'Isya' agar mereka dijamu di rumah para sahabat tersebut. Rasulullah S.a.w bersabda yang maksudnya;

"Barangsiapa di rumahnya ada makanan yang cukup untuk dua orang, hendaklah mengajak orang ketiga untuk makan, kalau cukup bagi empat orang, maka hendaklah mengajak orang kelima atau keenam."

Para sahabat r.a mulai mengajak mereka, sampai yang tersisa ikut ke rumah Rasulullah S.a.w untuk makan malam bersama Baginda S.a.w.

Kejadian di atas nampaknya terjadi di awal-awal Hijrah. Setelah Allah S.w.t mencukupkan mereka kemudiannya, maka tidak perlu lagi mengajak mereka untuk makan di rumah para sahabat.

Ada 70 orang sahabat dari kalangan Anshar yang dikenali sebagai ahli Qiro-ah (mereka yang mati syahid dalam Peperangan Bi'ru Ma'unah) yang merasa prihatin dengan keadaan Ahli Shuffah. Mereka lalu membaca dan mempelajari Al-Quran di malam hari, dan di siang hari mereka mengambil air untuk diletakkan di masjid. Mereka mencari kayu bakar yang kemudiannya dijual, dan hasilnya untuk Ahli Shuffah dan Faqir Miskin.

Muhammad ibnu Maslamah Al-Anshari dan para sahabat lainnya mengusulkan kepada Rasulullah S.a.w, agar setiap orang dari kaum Anshar mengeluarkan setandan kurma dari kebun masing-masing untuk Ahli Shuffah dan Faqir miskin. Rasulullah S.a.w lalu bersetuju dengan usul tersebut, dan meletakkan tali di antara dua ruangan bahagian atas masjid. Mulailah para sahabat mengikat tandan-tandan kurma tersebut pada tali itu. Jumlah yang terkumpul lebih kurang 20 tandan.

Mu'adz bin Jabal bertugas menjaga tandan-tandan kurma itu. Dalam riwayat lain menyebutkan bahawa yang mengusulkan hal tersebut adalah Rasulullah S.a.w sendiri, dengan tujuan agar Allah S.w.t  menghilangkan gangguan yang menimpa kebun-kebun mereka, maka mereka pun melaksanakannya.

Pernah Rasulullah S.a.w menolak setandan kurma yang kering, Baginda S.a.w ingin agar sedekah bagi Ahli Shuffah diberikan dari kurma yang lebih baik dari itu. Dalam riwayat yang dipaparkan oleh As-Samhudi disebutkan, bahawa kebiasaan menggantungkan tandan kurma di Masjid Nabawi terus berlangsung, sekurang-kurangnya, sampai abad ke 2 Hijrah.

Semoga Allah S.w.t merahmati Ahli Shuffah yang merupakan ahli ibadah, puasa, para Mujahid yang zuhud. Jauh berbeza dengan kaum faqir miskin jahiliyyah yang tidak lain membentuk kumpulan pencuri, pembunuh dan segala bentuk jenayah yang telah melenyapkan ketenangan dan rasa aman dalam masyarakat. Ini adalah perbezaan yang menonjol antara generasi didikan Rasulullah S.a.w dengan generasi didikan jahiliyyah. Perbezaan antara Undang-undang Allah S.w.t dengan Undang-undang ciptaan manusia.  [21]

Ahli Shuffah meninggalkan kehidupan di As-Shuffah

Betapa mulia dan istimewanya kedudukan Ahli Shuffah di sisi Rasulullah S.a.w. Dan mereka inilah antara golongan yang cuba dicontohi oleh mereka-mereka yang ingin menyucikan akhlaq lahir dan batin, dan menjadi sumber rujukan dalam Ilmu Tasawwuf.

Tetapi perlu juga diketahui, bahawa Ahli Shuffah terpaksa tinggal di tepi masjid itu kerana darurat. Tetapi setelah Islam gemilang, mereka beransur-ansur tinggalkan As-Shuffah.

Sebagai contohnya ialah ketua Ahli Shuffah sendiri iaitu Abu Hurairah r.a. Majikannya yang kaya telah menikahkan beliau dengan anaknya Bisrah binti Gazwan. Sejak menikah, Abu Hurairah membahagi malamnya kepada tiga bahagian: untuk membaca Al-Quran, untuk tidur dan keluarga, dan untuk mengulang-ulang hadits. Dia dan keluarganya meski pun kemudian menjadi orang berada, tetapi tetap hidup sederhana. Dia suka bersedekah, menjamu tamu, bahkan menyedekahkan rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya.

Abu Hurairah hidup sebagai seorang ahli ibadah dan seorang mujahid, tidak pernah dia ketinggalan dalam perang, dan tidak pula dari ibadat. Di zaman Umar bin Khatthab, dia dilantik sebagai Amir (gabenor) untuk wilayah Bahrain. [22]

Wallahu a'lam .......


Nota kaki:

1 - Khalifah dalam at-Tarikh jilid 1 hal. 23 , dia mengutip riwayat-riwayat lain yang menyebutkan bahawa perpindahan kiblat tersebut setelah 9, 10, 17 bulan atau 2 tahun, namun dalam Shahih Bukhari pada Kitab Solat: Bab mengadap Kiblat jil 1 hal. 104 , peristiwa itu terjadi setelah 16 atau 17 bulan dari hijrahnya Nabi S.a.w.
2 - As-Samhudi dalam Wafa-ul Wafa jild 1 hal. 321 , Yaqut dalam Mu'jamul Buldan (Dzullah) , Ibnu Mandzur dalam Lisanul Arab.
3 - Rekondurf dalam Da'iratul Ma'arifil Islamiyyah (Ensiklopedia Islam) hal. 106.
4 - Mengenal Ash-Shuffah: Tempat Berlindungnya Kaum Miskin Muhajirin , republika.co.id
5 - Riwayat Muslim dalam Shahihnya kitab an-Nikah, hadits no. 93.
6 - Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 339 - 341.
7 - Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 341.
8 - As-Samhudi dalam Wafa-ul Wafa , jil 1 hal. 331.
9 - Haji Khalifah - Kasyfuth Thunun, jil 1 hal. 285.  Ibnu Hajar - Al-Ishabah, jil 1 hal. 601. 
10 - Abu Daud dalam Sunannya , jil 2 hal. 237.  Ibnu Majjah dalam Sunannya , jil 2 hal. 730.
11 - Shahih Sirah Nabi - Dr Akram Dhiya' Al-Umuri , hal. 267.
12 - Ibnu Sa'ad dalam Thabaqat al-Kubra , jil 1 hal. 255.  Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 377.
13 - Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 341.
14 - Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 377.
15 - Shahih Bukhari jil 1 hal. 114.  Ibnu Sa'ad dalam Thabaqat al-Kubra , jil 1 hal. 255.
16 - Ahmad dalam Musnadnya , jil 14 hal.  128.
17 - Ibnu Mandzur dalam Lisanul Arab.
18 - Ahmad dalam Musnadnya , jil 3 hal.  487. Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 374. As-Samhudi dalam Wafa-ul Wafa , jil 1 hal. 323.
19 - Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 342.
20 - Abu Nu'aim dalam Hilyatul Auliya' , jil 1 hal. 341.
21 - Shahih Sirah Nabi - Dr Akram Dhiya' Al-Umuri , hal. 267-271.
22 - Rijal Haular Rasul - Khalid Muh. Khalid.


[Shahih Sirah Nabi - Dr Akram Dhiya' Al-Umuri / Athlas al-Hadith Al-Nabawi - Dr Sauqi Abu Khalil / Rijal Haular Rasul - Khalid Muh. Khalid]

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (55) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.