Selasa, 10 Jun 2014

Kisah Imam as-Syafi'e berkenaan Ilmu

Adapun Imam as-Syafi'e rahimallahu anhu, maka yang menunjukkan dia seorang 'abid (ahli ibadah) adalah riwayat yang menerangkan bahawa dia membahagi malam kepada 3 bahagian; satu pertiga untuk ilmu, satu pertiga untuk ibadah dan satu pertiga lagi untuk tidur.

Berkata ar-Rabi'; "Adalah Imam as-Syafi'e r.a mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadhan 60 kali. Semua itu dalam solat."

Imam as-Syafi'e pernah berkata; "Aku tidak pernah kenyang selama 16 tahun. Kerana kekenyangan itu memberatkan tubuh, mengesatkan hati, menghilangkan cerdik, menarikkan tidur dan melemahkan orang yang kenyang itu dari beribadah."

Berkata Imam as-Syafi'e r.a lagi; "Tidak pernah aku bersumpah dengan nama Allah, baik dalam hal yang benar apalagi bohong."

Lihatlah betapa hormat dan tunduknya kepada Allah ta'ala dan dibuktikan oleh demikian atas pengetahuannya dengan kebesaran Allah S.w.t.

Ditanyakan kepada Imam as-Syafi'e  tentang suatu masalah, maka dia diam. Ketika ditanyakan lagi, "Mengapa tuan tidak menjawab? Kiranya Allah merahmati tuan." Maka beliau menjawab, "Aku berfikir, sehingga aku mengetahui, mana yang lebih baik, pada diamku atau jawabku."

Lihatlah betapa diawasinya lidahnya, sedang lidah itu adalah anggota badan yang paling berkuasa bagi ulama Fiqh dan paling payah mengekang dan menundukkannya. Dengan itu jelaslah bahawa dia tidak berkata atau diam kecuali untuk memperolehi keutamaan atau pahala.

Berkata Ahmad bin Yahya bin Al-Wazir; "Pada suatu hari keluarlah Imam as-Syafi'e r.a pergi ke pasar lampu, lalu kami ikuti dia dari belakang. Tiba-tiba ada orang yang membodohkan seorang ahli ilmu. Maka Imam as-Syafi'e menoleh kepada kami seraya berkata; "Bersihkan lah pendengaranmu dari mendengar kata-kata keji seperti kamu membersihkan lidahmu dari mengucapkannya. Sesungguhnya si pendengar adalah sekutu kepada yang berkata. Orang yang lemah fikiran, melihat kepada barang yang sangat buruk dalam bekasnya. Maka dia berusaha menuangkannya ke dalam bekasmu. Kalau ditolak perkataan orang yang lemah fikiran itu, maka akan berbahagialah yang menolaknya, sebagaimana akan celakalah yang mengatakannya."

Zuhud
Adapun zuhudnya maka berkata Imam as-Syafi'e r.a ; "Barangsiapa mendakwa bahawa dia mengumpulkan antara cinta kepada dunia dan cinta kepada pencipta dunia dalam hati nuraninya, maka dia itu bohong."

Berkata al-Humaidi; "Imam as-Syafi'e pergi ke Yaman bersama beberapa orang pembesar negeri. Lalu dia berangkat ke Makkah dengan membawa wang sepuluh ribu dirham. Di luar kota Makkah dibangunkannya sebuah tempat tinggal. Maka berdatanganlah manusia berkunjung kepadanya. Dia terus menetap di tempat itu sampai wang itu habis di bahagi-bahagikannya."

Pada suatu kali, Imam as-Syafi'e keluar dari kamar mandi awam, lalu diberikannya wang yang banyak kepada penjaga kamar mandi itu. Pada suatu kali tongkatnya jatuh dari tangannya, lalu tongkat itu diserahkan orang kepadanya. Maka untuk berterima kasih kepada orang itu , Imam as-Syafi'e memberikan wang 50 dinar.

Kemurahan hati Imam as-Syafi'e r.a adalah lebih terkenal dari apa yang diceritakan. Pangkal zuhud ialah kemurahan hati. Kerana orang yang mencintai sesuatu benda, akan memegangnya erat-erat, tidak ingin berpisah darinya. Maka tidak mahu berpisah dari harta selain orang yang telah kecil lah dunia pada pandangannya. Dan itulah erti "Zuhud".

Betapa kuat zuhudnya dan sangat takutnya kepada Allah S.w.t serta kesungguhan kemahuannya dengan akhirat, adalah dibuktikan oleh apa yang diriwayatkan  bahawa sesungguhnya Sufyan bin 'Uyainah meriwayatkan suatu hadits  tentang sifat yang halus-halus, lalu pengsanlah as-Syafi'e r.a. Maka orang mengatakan padanya, "Imam as-Syafi'e telah wafat." Lalu Sufyan menjawab; "Jika benarlah dia telah wafat maka telah wafatlah orang yang paling utama bagi zamannya."

Dan apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Muhammad al-Balawi dengan katanya; "Adalah aku dan Umar bin Nabatah duduk memperkatakan tentang orang 'abid dan orang zahid. Maka berkata Umar kepadaku; "Belum pernah aku melihat orang yang lebih wara' dan lancar berbicara dari Muhammad bin Idris as-Syafi'e r.a.  Aku, Imam as-Syafi'e dan Al-Harits bin Lubaid pergi ke bukit Shafa. al-Harits adalah murid as-Shalih al-Marri. Dia mula membaca al-Quran. Adalah dia mempunyai suara merdu, lalu dia membaca ayat ini;

هَذَا يَوْمُ لَا يَنْطِقُونَ.  وَلَا يُؤْذَنُ لَهُمْ فَيَعْتَذِرُونَ

"Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu). dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur sehingga mereka (dapat) minta uzur."  [Surah al-Mursalat : 35 - 36]

Maka aku lihat Imam as-Syafi'e berubah warna mukanya, berkerut kulit keningnya, badannya gementar lalu jatuh tersungkur. Ketika dia sedar kembali maka dia berkata; "Aku berlindung dengan Engkau ya Allah dari tempat berdirinya orang-orang dusta dan penyelewengan orang-orang lalai. Ya Allah, kepadaMu jua tunduk hati orang-orang 'arifin (orang yang mengenal Allah) dan membongkok merendahkan diri orang-orang yang rindu kepada Engkau! Tuhanku! Anugerahilah kepadaku limpah kurniaMu! Muliakanlah aku dengan lindunganMu! Maafkan kelalaianku dengan kemurahanMu!"

Abdullah bin Muhammad al-Balawi menerangkan, "Kemudian dia pergi dan kami pun pergi. Tatkala aku masuk Baghdad dan as-Syafi'e r.a masih di Iraq, maka aku duduk di tepi sungai, mengambil wudhu' untuk solat. Tiba-tiba melalui di sampingku seorang lelaki, seraya berkata kepadaku, "Wahai saudara! Berwudhu' lah dengan baik, nescaya Allah berikan kebaikan kepadamu di dunia dan di akhirat." Lalu aku menoleh, maka tiba-tiba aku dengan orang yang diikuti oleh orang ramai, maka bergegaslah aku berwudhu'  dan mengikutinya dari belakang. Maka dia memandang kepadaku seraya berkata; "Adakah bagimu keperluan?"

"Ada!" jawabku. "Ajarilah aku sedikit dari pengetahuan yang dianugerahi oleh kepadamu!"

Maka dia menjawab; "Ketahuilah! Orang yang membenarkan Allah, nescaya terlepas dari bahaya. Orang yang sayang kepada agamaNya nescaya selamat dari kehinaan. Orang yang zuhud kepada dunia nescaya tetaplah kedua matanya memandang pahala dari Allah Ta'ala pada hari esok. Apakah perlu aku tambahkan lagi?"

"Ya!" Jawabku.

Lalu dia menyambung; "Orang yang ada padanya 3 perkara, maka sempurna lah imannya; orang yang menegakkan amar ma'ruf terhadap orang lain dan terhadap dirinya, orang yang menjalankan nahi mungkar terhadap orang lain dan terhadap dirinya, dan orang yang menjaga batas-batas yang ditentukan oleh Allah Ta'ala.  Apakah perlu aku tambahkan lagi?"

"Ya!" Jawabku.

Maka dia menyambung; "Hendaklah kamu zuhud di dunia dan gemar pada akhirat. Dan benarkan lah Allah Ta'ala dalam segala pekerjaanmu, nescaya engkau terlepas bersama orang-orang yang terlepas dari segala mara bahaya." Kemudian dia pergi lalu aku tanyakan, siapakah orang itu? Maka menjawab orang ramai, "Itulah Imam as-Syafi'e."

Ketakutan dan kezuhudan ini tidak datang selain kerana Mengenal Allah 'Azza wa Jalla.

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari hambaNya ialah ulama."  [Surah Fathir : ayat 28]

Maka Imam as-Syafi'e r.a tidak memperolehi ketakutan dan kezuhudan itu dari ilmu kitab berjual-beli dan sewa-menyewa, dan lain-lain kitab Fiqh. Tetapi diperolehinya dari ilmu akhirat yang bersumber dari Al-Quran dan Al-Hadits. Kerana hukum kepada orang terdahulu dan terkemudian, tersimpan pada keduanya.

Ilmu rahsia hati

Adapun tentang kealimannya mengetahui segala rahsia hati dan ilmu-ilmu akhirat, maka anda dapat mengetahuinya dari kata-kata hikmah yang berasal daripadanya.

Menurut riwayat, pernah orang bertanya kepada Imam as-Syafi'e  r.a tentang Riya', maka dia menjawab dengan tegas; "Riya' adalah suatu fitnah yang diikatkan oleh hawa nafsu untuk mendindingi penglihatan mata hati ulama-ulama. Lalu mereka lihat kepada riya' itu, dengan jahatnya pilihan jiwa. Maka binasalah segala amalannya."

Berkata Imam as-Syafi'e r.a; "Apabila engkau takuti timbul 'ujub pada amalanmu, maka pandanglah kepada redha Tuhan yang engkau cari, pada pahala yang engkau gemari, pada seksa mana pun yang engkau takuti, pada sihat yang engkau syukuri dan pada bala yang engkau ingati. Apabila engkau renungkan salah satu dari perkara-perkara tadi, maka kecillah rasanya pada matamu amalanmu itu."

Lihatlah bagaimana Imam as-Syafi'e menerangkan hakikat riya' dan cara mengubati 'ujub. Keduanya itu adalah bahaya besar bagi hati.

Berkata Imam as-Syafi'e r.a; "Barangsiapa tidak menjaga dirinya maka tidak bergunalah ilmunya."

Katanya lagi; "Barangsiapa taat kepada Allah Ta'ala dengan ilmu, maka bermanfaatlah batinnya." Katanya lagi; "Tiada seorang pun melainkan mempunyai yang dikasihi dan yang dimarahi. Apabila ada seperti demikian, maka hendaklah engkau bersama golongan orang yang taat kepada Allah Ta'ala."

Diceritakan bahawa Abdul Qadir bin Abdul Aziz adalah seorang shalih yang wara'. Dan dia bertanya kepada Imam as-Syafi'e r.a tentang masalah wara' itu. Dan Imam as-Syafi'e amat suka menerima kedatangannya kerana wara'nya. Maka pada suatu hari bertanyalah dia kepada Imam as-Syafi'e r.a, "Mana kah yang lebih utama; sabar, atau diuji, atau diberi keteguhan hati?"

Maka jawab Imam as-Syafi'e r.a; "Diberi keteguhan hati adalah darjat para nabi. Dan tidak ada keteguhan hati itu selain selepas diuji. Apabila diuji maka bersabar. Apabila sudah bersabar maka teguhlah hati. Tidakkah engkau lihat bahawa Allah S.w.t menguji Nabi Ibrahim a.s, kemudian Dia memberikannya keteguhan hati? Dia menguji Nabi Musa a.s, kemudian Dia memberikannya keteguhan hati. Dia menguji Nabi Ayyub a.s, kemudian Dia memberikannya keteguhan hati. Dan Dia menguji Nabi Sulaiman a.s, kemudian Dia memberikannya keteguhan hati dan menganugerahinya kerajaan. Maka keteguhan hati itu adalah darjat yang paling utama."

Allah S.w.t berfirman; 

"Dan begitulah kami teguhkan kedudukan Yusuf di muka bumi." [Surah Yusuf : ayat 21]

Nabi Ayyub a.s sesudah menghadapi ujian besar, barulah diberi keteguhan hati.  Berfirman Allah Ta'ala;

"Kami berikan kepadanya pengikut-pengikutnya dan tambahannya lagi sebanyak itu pula." [Surah al-Anbiyaa' : ayat 84]

Kata-kata tersebut dari Imam as-Syafi'e r.a menunjukkan betapa melaut kefahamannya akan rahsia yang terkandung dalam Al-Quran dan pandangannya tentang orang-orang yang menuju kepada Allah S.w.t, baik nabi-nabi atau wali-wali. Semuanya itu adalah dari Ilmu Akhirat.

Ditanya kepada Imam as-Syafi'e r.a; "Bilakah seorang itu dipandang alim?" Dia menjawab; "Apabila dia yakin pada suatu ilmu lalu diajari ilmu itu. Kemudian dia menempuh ilmu-ilmu yang lain, maka dilihatnya, mana yang belum diperolehinya. Ketika itu, barulah dia seorang yang "alim"."

Berhati-hatinya dengan ilmu

Adapun maksudnya dengan Ilmu Fiqh dan perdebatan di dalamnya, adalah semata-mata kerana wajah Allah S.w.t. Dalil tentang itu adalah riwayat yang menerangkan bahawa Imam as-Syafi'e r.a pernah berkata; "Aku ingin manusia mengambil manfaat dari ilmu ini dan ilmu-ilmu lain yang ada padaku, walaupun sedikit."

Maka lihatlah betapa Imam as-Syafi'e r.a memerhatikan kepada bahaya ilmu dan mencari nama dengannya. Dan bagaimana dia membersihkan hati daripada berpaling kepadanya, yang semata-mata niatnya adalah kerana wajah Allah S.w.t. As-Syafi'e r.a berkata; "Tidaklah sekali-kali aku bertukar fikiran dengan seseorang, dengan tujuan bahawa aku lebih suka dia salah." Katanya lagi, "Tidaklah sekali-kali aku berkata kepada seseorang, selain aku menyukai supaya dia mendapat taufiq dan kebenaran, pertolongan dan pimpinan dari Allah Ta'ala serta pemeliharaanNya. Dan tidaklah sekali-kali aku berbicara kepada seseorang, selain perhatianku supaya kebenaran diterangkan oleh Allah sama ada dengan lidahku atau lidahnya."

Berkata lagi Imam as-Syafi'e r.a; "Tidaklah aku kemukakan kebenaran dan keterangan kepada seseorang, lalu diterimanya daripadaku, melainkan aku takut kepadanya dan aku percaya akan kasih sayangnya. Sebaliknya, kalau orang menyombongkan diri dengan aku terhadap kebenaran dan menolak keterangan maka jatuhlah orang itu dari pandanganku dan aku menolak berhadapan dengannya."

Berkata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah anhu; "Tidak pernah aku melakukan solat selama 40 tahun, yang aku tidak berdoa kepada Imam as-Syafi'e r.a."

Lihatlah betapa adanya keinsafan dari orang yang mendoakan dan betapa pula darjat orang yang didoakan. Cubalah bandingkan dengan Imam as-Syafi'e r.a akan teman-teman dan tokoh-tokoh ulama pada masa ini. Dan apa yang terjadi di kalangan mereka yang merupakan pendendaman dan permusuhan. Supaya engkau tahu kelalaian mereka mengakui mengikuti ulama-ulama besar itu.

Kerana banyaknya doa Imam Ahmad bin Hanbal r.a kepada Imam as-Syafi'e r.a , lalu bertanyalah anaknya, "Orang mana as-Syafi'e itu sampai ayah mendoakan semua doa ini?" Maka jawab Imam Ahmad, "Wahai anakku! Imam as-Syafi'e itu adalah seumpama matahari bagi dunia dan kesihatan bagi manusia."

Imam Ahmad bin Hanbal r.a pernah berkata; "Tiada seorang pun menyentuh botol tinta dengan tangannya,  melainkan ada jasa Imam as-Syafi'e padanya."

Berkata Yahya bin Sa'id al-Qattan; "Tidak pernah aku solat selama 40 tahun, yang tidak aku berdoa di dalamnya kepada Imam as-Syafi'e. Kerana Allah 'Azza wa Jalla telah membuka ilmu baginya dan memberinya taufiq kepada jalan yang benar."

Kiranya kita cukupkan sekian mengenai hal-ehwal Imam as-Syafi'e itu, kerana banyaknya tidak terhingga. Sebahagian besar dari perjalanan hidup Imam as-Syafi'e ini kami salin dari kitab biografinya, karangan Syeikh Nasar bin Ibrahim al-Muqaddasi rahimahullah anhu. Semoga Allah meredhai Imam as-Syafi'e dan seluruh kaum Muslimin.

[Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Jilid 1, Kitab Ilmu]



Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.