Berita Terkini

Biografi Imam Ahmad bin Hanbal

Biografi Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Abu ‘Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad, Iraq, pada bulan Rabi`u l-Awwal tahun 164H / 781M. Nasab Imam Ahmad kembali kepada Bani Syayban ( بني شيبان ) dan ia ialah suatu qabilah daripada Bani Rabi`ah `Adnaniyyah ( بني ربيعة عدنانية ) yang bertemu nasabnya dengan Nabi pada Nizar bin Ma`d bin `Adnan ( نزار بن معد بن عدنان ).

Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur muda, iaitu 30 tahun, ketika Imam Ahmad masih berusia tiga tahun. Ibunya bernama Safiyyah binti Maymunah binti `Abdu l-Malik Asy-Syaybaniy dari Bani `Amir (بني عامر).

Ibunya lah yang menjaga dan mendidik Imam Ahmad sejak kecil. Ada diceritakan bahawa ibunya selalu mendukung Imam Ahmad untuk pergi salat di Masjid, walaupun pada waktu subuh. Ibunya lah yang menyuruh Imam Ahmad menghafal AlQuran.

Imam Ahmad adalah seorang yang miskin. Beliau terpaksa mengambil upah menjual kain dan membawa barang-barang di jalanan untuk menyara hidup. Beliau sangat mementingkan pendapatan yang halal, justeru beliau tidak menerima hadiah atau pemberian tanpa membuat kerja. Beliau sangat mementingkan kebersihan dan kekemasan. Beliau seorang yang pendiam, suka berfikir dan tegas menentang kemungkaran. Beliau juga tidak sombong atau bongkak. Beliau mengasihi seseorang kerana Allah. Beliau bergaul dengan faqir miskin dan selalu memberi bantuan kepada mereka.

Imam Ahmad seorang yang bertaqwa dan baik hati, kurang makan dan minum, serta banyak melakukan `ibadah. Beliau banyak melakukan salat malam setiap hari sehingga 300 raka`at. Apabila usianya berusia hampir 80 tahun, beliau hanya bersalat 150 raka`at. Beliau khatam Al-Quran sekali dalam tujuh hari.


Pendidikan

Imam Ahmad menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu dan beliau rajin belajar. Beliau sentiasa membawa alat tulis dan kertas untuk menulis. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal al-Qur’an sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith yang terkenal. Beliau juga mendalami ilmu Bahasa Arab.

Imam Ahmad bin Hanbal meneruskan pengajian haditsnya dengan sekian ramai guru dan beliau pada akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal lebih daripada sejuta hadits termasuk barisan perawinya.

Pada tahun 189H/805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak lama kemudian ke Makkah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan Imam As-Syafi‘e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Al-Qadhi Abu Yusuf, Husain ibn Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abdullah ibn Khalid, ‘Abdur Rahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan ‘Abdur Razzaq ibn Humam, seorang ahli hadits yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadits-hadits yang dihafalnya setelah sekian lama.

Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadits dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadits terkenal ialah Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Al-Qasim ibn Salam pernah berkata:

“Ahmad bin Hanbal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui tentang as-Sunnah selain beliau. Beliau tidak pernah bersenda gurau, selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.”


Imam Ahmad diseksa oleh pemerintah kerajaan Abbasiyyah

Sebagai 'pewaris' para nabi, ulama silam sering tabah menghadapi pelbagai seksaan, termasuklah juga Imam Ahmad. Dalam zaman kerajaan Abbasiyyah dengan Khalifah Harun al-Rasyid, timbul suatu fahaman bahawa Al-Quran adalah suatu makhluk. Basyar al-Murisy telah menyebarluaskan pendapat itu. Namun, Khalifah Harun membanterasnya habis-habisan. Sekali gus dia memerintahkan agar penyebar itu ditangkap dan diadili. Basyar menyembunyikan diri sebaik saja mengetahui perintah itu dikeluarkan. Dia menyembunyikan diri hingga Khalifah Harun meninggal. Khalifah al-Amin, anak Khalifah Harun, menghidupkan perintah itu sebaik sahaja mewarisi kerajaan ayahnya.

Setelah Khalifah al-Amin meninggal, Khalifah al-Makmun pula mewarisi pemerintahan. Namun, beliau berfahaman Muktazilah (golongan yang mengutamakan pemikiran logik lebih dari AlQuran dan AlHadits). Makmun menyokong fahaman Basyar. Para ulama, secara bersembunyi, berfatwa ajaran Basyar itu sesat, lagi menyesatkan. Demi takut dizalimi, ramai ulama berhijrah ke negara lain. Ramai pula yang terpaksa bersembunyi. Imam Ahmad dengan tegas mengatakan al-Quran hanyalah kalamullah (pena Allah). Akibat pendapatnya itu, dia ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah Makmun. Imam Ahmad dirantai dan dibawa ke bilik persidangan. Seorang pengawal kemudian tampil dengan membawa al-Quran dan diletakkan di hadapannya.

"Al-Quran bukan makhluk, al-Quran adalah Kalamullah." Imam Ahmad menegaskan.

Akibatnya, Imam Ahmad dipenjara dan diseksa. Setiap hari dalam penjara seorang pegawai disuruh menemui Imam Ahmad supaya pendapatnya diubah. Namun, Imam Ahmad terus tegas. Suatu pertemuan kemudian diadakan. Tujuannya untuk menghukum Imam Ahmad. Berbagai-bagai peralatan seperti pedang, lembing dan cambuk disediakan. Jika beliau masih teguh dengan fahamannya, senjata itulah yang akan digunakan untuk menyeksanya. Namun, Imam Ahmad masih tegas. Beliau dicambuk. Pada sebatan pertama, Imam Ahmad berkata 'Bismillah'. Pada sebatan kedua beliau membaca 'La haula wala kuata illa billah'. Pada sebatan ketiga beliau membaca firman Allah bermaksud:

"Katakanlah sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami."

Kini sudah 29 kali Imam Ahmad dicambuk. Akibatnya kulitnya terkupas, darah mengalir. Ketika sedang dicambuk, Imam Ahmad merasa tali seluarnya terputus. Seluarnya sedikit demi sedikit menurun. Auratnya dirasakan hampir terbuka. Beliau segera mengangkat pandangannya ke langit. Bibirnya bergerak. Bisikan doanya dikabulkan. Tiba-tiba seluarnya yang tadi turun, naik semula ke tempat asal. Auratnya tidak sempat terbuka. Setelah dicambuk, beliau kemudian dibawa ke penjara. Al-Muktasim telah menggantikan Khalifah Makmun yang wafat. Namun, fahaman Muktazilah masih berkembang. Akibatnya Imam Ahmad terus diseksa. Debat terbuka antara Imam Ahmad dengan Kadi Besar Ahmad bin Ali Daud dianjurkan Khalifah al-Muktasim. Namun, Imam Ahmad pintar menjawab secara jitu segala soalan dan bidasan.

Walaupun terpengaruh, hadirin majlis masih takutkan seksaan khalifah. Oleh kerana malu melihat kadi besarnya itu ditewaskan oleh Imam Ahmad dalam debat itu, khalifah memaksa Imam Ahmad mengakui kesilapannya. Namun, Imam Ahmad masih tabah. Seksaan dan penjara untuknya diteruskan. Khalifah al-Muktasim meninggal dunia dan digantikan oleh Khalifah al-Watsik yang masih terpengaruh oleh ajaran sesat itu. Seksaannya ditambah kepada Imam Ahmad.

Hanya setelah al-Watsik meninggal dan digantikan oleh Khalifah al-Mutawakkil Billah, barulah berakhir seksaan ke atas Imam Ahmad. Khalifah itu menyedari kesilapan para pendahulunya dan memerintahkan pengikut Muktazilah ditangkap dan dihukum. Imam Ahmad bersyukur kepada Allah kerana terselamat. Namun, pada usia tua dan sakit, beliau masih terus berdakwah menentang ajaran sesat sehingga akhir hayatnya.

Setelah dibebaskan beliau diberikan hadiah sebanyak l0,000 dirham. Namun Imam Ahmad menolaknya. Tetapi kerana dipaksa untuk menerima, akhirnya beliau terima dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Firman Allah yang bermaksud, "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."  [Surah Al-Ankabut : 2-3]


Saat-saat akhir

Akibat ketegasan Imam Ahmad bin Hanbal serta tekanan daripada para orang ramai akhirnya menyebabkan pihak pemerintah Abbasiyyah telah terpaksa membebaskan beliau dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M, ketika berusia 77 tahun.

Jenazah beliau disembahyangkan oleh 130,000 orang Muslimin.  Semoga Allah S.w.t merahmati Imam Ahmad bin Hanbal dan berada di kalangan orang-orang soleh di sana, amin.


Sumbangannya

Kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Ahmad:

1- Kitab Al-Irja’ (كتاب الإرجاء)
2- As’ilatu `Ani r-Ruwati s-Siqati Wadh-Dhu`afa’ (أسئلة عن الرواة الثقات والضعفاء)
3- Al-Asma’ Wal-Kuna (الأسماء والكنى)
4- Al-Asyribatu As-Saghir (الأشربة الصغير)
5- Al-Asyribatu Al-Kabir (الأشربة الكبير)
6- Kitab Al-Imamah (كتاب الإمامة)
7- Ahlu l-Milalu War-Riddatu Waz-Zanadiqatu Watariku s-Salati Wal-Fara’idhi (أهل الملل والردة والزنادقة وتارك الصلاة والفرائض)
8- Al-Iman (الإيمان)
9- Bab Ahkamu n-Nisa’ (باب أحكام النسائ)
10-At-Tarajjul (الترجل)
11-At-Tarikh (التاريخ)
12-At-Tafsir (التفسير)
13- As-Salasu l-Ahadisu llati Rawaha Al-Imamu Ahmad `Ani n-Nabiy Fi l-Manam (الثلاث الأحاديث التي وراها الإمام أحمد عن النبي صلى الله عليه وسلم في المنام)
14- Juz’u Intiqa’u l-Imamu Muhammad bin `Aliy bin Bahr bin Bariy ( جزء انتقاء الإمام .(محمد علي بن بحر بن بري)
15- Juz’un Fihi Ahadisu `Ani sy-Syafi`iy (جزء فيه أحاديث عن الشافعي)
16- Jawabu l-Imamu Ahmad `An Su’alin Fi Khalqi l-Qur’an ( جواب الإمام أحمد عن .(سؤال في خلق القرآن)
17- Jawabatu l-Qur’an (جوابات القرآن)
18-Hadisu Syu`bah (حديث شعبة)
19-Hadisu sy-Syuyukh (حديث الشيوخ)
20-Ar-Raddu `Ala l-Jahmiyyah (الرد على الجهمية)
21-Ar-Raddu `Ala z-Zanadiqah (الرد على الزنادقة)
22-Risalatun Ila Musaddad bin Musarhad (رسالة إلى مسدد بن مسرهد)
23-Az-Zuhd (الزهد)
24-Kitab As-Sunnatu s-Saghir (كتاب السنة الصغير)
25-Kitab As-Sunnatu l-Kabir (كتاب السنة الكبير)
26- Syi`run `Ani l-Mawti Wal-Yawmi l-Akhar (شعر عن الموت واليوم الآخر)
27-As-Salah (الصلاة)
28- Ta`atu r-Rasul (طاعة الرسول)
29-Al-`Aqidah (العقيدة)
30- `Ilalu l-Hadis (علل الحديث)
31- Fadha’ilu `Aliy (فضائل علي)
32-Kitab Al-Fara’idh (كتاب الفرائض)
33- Fadha’ilu s-Sahabah (فضائل الصحابة)
34- Fadha’ilu Ahlu l-Bayt (فضائل أهل البيت)
35-Mukhtasar Fi Usuli d-Din Was-Sunnah (مختصر في أصول الدين والسنة)
36-Al-Masa’il (المسائل)
37-Al-Musnad (المسند)
38-Al-Manasiku s-Saghir (المناسك الصغير)
39-Kitab Al-Manasiku l-Kabir (كتاب المناسك الكبير)
40-Kitab Al-Muqaddam Wal-Mu’akhkhar Fi Kitabi Llah ( كتاب المقدم والمؤخر في
كتاب الله)
41-Kitab An-Nasikh Wal-Mansukh (كتاب الناسخ والمنسوخ)
42-Kitab Nafyu t-Tasybih (كتاب نفي التشبيه)
43-Kitab Al-War`u Wal-Iman (كتاب الورع والإيمان)
44-Kitab Al-Wuqufu Wal-Wasaya (كتاب الوقوف والوصايا)

Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab haditsnya yang terkenal iaitu "al-Musnad" yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar para sahabat radhiallahu ‘anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan ayah mereka, iaitu ‘Abdullah bin Ahmad dan Shaleh bin Ahmad.

Antara ulama’ yang terkenal yang menyebarkan mazhabnya ialah Abu Bakr bin Hani’, Abu Qasim Al-Kharqiy, Muwaffiqu d-Din bin Qudamah, Syamsu d-Din bin Qudamah Al-Maqdisiy, dan Taqiyyuddin Ahmad bin Taymiyyah. Mazhabnya tersebar ke Mesir, Iraq, Syria, Hijjaz dan Najd.


Rujukan:

1 - Biografi Imam Mazhab Empat - Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
2 - Ringkasan riwayat hidup 4 Imam pengasas mazhab
3 - www.tranungkite.net/teladan/teladan318.htm




Kisah Imam Ahmad & Jin - Ustaz Azhar Idrus


Kisah Imam Ahmad bin Hanbal - Dr Asri

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.