Berita Terkini

Kisah Abu Bakar r.a dalam Al-Quran

Kisah Abu Bakar as-shiddiq dalam Al-Quran
Ketika Rasulullah S.a.w hijrah ke Madinah baginda ditemani oleh Abu Bakr r.a. Dalam perjalanan, mereka sempat singgah di Gua Tsur untuk menghindari kejaran kaum kafir. Berkaitan dengan kisah tersebut Allah S.w.t berfirman, "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya......."  [Surah at-Taubah : ayat 40]

Mengenai firman Allah, "Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya", Ibnu Abbas berkata, "Maksudnya, Allah menurunkan ketenangan kepada Abu Bakr kerana Rasulullah S.a.w sentiasa diliputi ketenangan." [1]

Dikisahkan bahawa Abu Bakr r.a membeli Bilal r.a dari Umayyah ibnu Khalaf dan Ubay ibnu Khalaf dengan satu selendang dan sepuluh uqiyah emas (timbangan seberat 40 dirham). Lalu Abu Bakr membebaskan Bilal dengan mengharapkan keredhaan Allah. [2] Kemudian Allah menurunkan firman-Nya tentang sikap itu, "Sesungguhnya usaha kamu sekalian memang berbeza-beza." [Surah al-Lail : ayat 4] Maksudnya ialah usaha Abu Bakr, Umayyah dan Ubay.

Suatu ketika Abu Bakr memerdekakan hamba-hamba di Makkah. Dia juga membebaskan hamba-hamba perempuan yang sudah tua apabila mereka masuk Islam. Kemudian ayahnya berkata, "Wahai anakku, aku melihat engkau memerdekakan hamba-hamba yang lemah. Kenapa engkau tidak membebaskan hamba-hamba lelaki yang kuat agar dapat membantumu, membela dan melindungimu?" Abu Bakr berkata, "Wahai ayahku, aku menginginkan apa yang ada di sisi Allah."

Amir ibnu Abdullah ibnu Zubair berkata, "Sebahagian keluargaku mengatakan kepadaku bahawa ayat ini turun mengenai Abu Bakr, "Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa." [Surah al-Lail : ayat 5] [3]

Diriwayatkan dari Urwah bahawa Abu Bakr as-Shiddiq r.a memerdekakan 7 orang hamba. Mereka semua diseksa kerana Allah. Lalu turunlah ayat kepada Rasulullah S.a.w mengenai Abu Bakr, "Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling taqwa dari neraka itu. Yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya......." [Surah al-Lail : ayat 17 - 18] hingga akhir surah. [4]

Dari Aisyah r.a, ayat ini, "padahal tidak ada seseorangpun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya." [Surah al-Lail : ayat 19] hingga akhir surah turun berkenaan Abu Bakr. [5]

Aisyah r.a berkata, "Abu Bakr tidak pernah melanggar satu sumpah pun sampai Allah menurunkan ayat tentang tebusan sumpah." [6]

Ali r.a berkata, Allah S.w.t berfirman, "Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa." [Surah az-Zumar : ayat 33]  Yang membawa kebenaran maksudnya adalah Rasulullah S.a.w, dan yang membenarkannya adalah Abu Bakr as-Shiddiq."  Ibnu Asakir berkata, "Demikianlah riwayat yang menggunakan lafaz "membawa kebenaran" dan barangkali ini adalah "qira-ah" Ali.

Mengenai firman Allah, "....... dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu......." [Surah Aali- Imran : ayat 159], Ibnu Abbas berkata, "Ayat ini turun mengenai Abu Bakr dan Umar." [7]

Ibnu Syaudzab berkata, "Ayat berikut ini turun berkaitan dengan Abu Bakr,"  "Dan orang yang takut ketika menghadap Tuhannya (untuk dihitung amalnya), baginya dua Syurga." [Surah ar-Rahman : ayat 46] [8]

Firman Allah, "Dan orang-orang mu'min yang baik," [Surah at-Tahrim : ayat 4] turun berkenaan dengan Abu Bakr as-Shiddiq. [9]

Ketika turun firman Allah, "Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya bersolawat kepada Nabi," [Surah al-Ahzaab : ayat 56], Abu Bakr berkata, "Ya Rasulullah, Allah tidak menurunkan suatu kebaikan padamu, melainkan kami ikut serta di dalamnya." [10]  Lalu turunlah ayat, "Dia lah yang memberi rahmat kepadamu, dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu)......." [Surah al-Ahzaab : ayat 43]

Ayat berikut ini turun berkenaan dengan Abu Bakr, Umar dan Ali, "Dan Kami lenyapkan dendam dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin."  [Surah al-Hijr : ayat 47] [11]

Ayat berikut ini turun berkenaan dengan Abu Bakr, "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".  Mereka itu ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka." [Surah al-Ahqaf : ayat 15 - 16] [12]

Ibnu Uyainah berkata, "Semua orang mendapat teguran dari Allah berkaitan sikap mereka kepada Rasulullah, kecuali Abu Bakr. Dia tidak terkena teguran tersebut." Kemudian dia membaca firman Allah, "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua." [Surah at-Taubah : ayat 40]


Rujukan:

1 - Riwayat Ibnu Abu Hatim, dari Ibnu Abbas.
2 - Riwayat Ibnu Abu Hatim, dari Ibnu Mas'ud.
3 - Riwayat Ibnu Jarir, dari Amir ibnu Abdullah ibnu Zubair.
4 - Riwayat Ibnu Abu Hatim dan Thabrani, dari Urwah.
5 - Riwayat Bazzar, dari Abdullah ibnu Zubair.
6 - Riwayat Bukhari.
7 - Riwayat al-Hakim, dari Ibnu Abbas.
8 - Riwayat Ibnu Abu Hatim, dari Ibnu Syaudzab.
9 - Riwayat Thabrani dalam kitab Al-Ausath, dari Ibnu Umar dan Ibnu Abbas.
10 - Abdullah bin Abu Hamid dalam tafsirnya dari Mujahid.
11 - Riwayat Ibnu Asakir, dari Ali ibnu Husain.
12 - Riwayat Ibnu Asakir, dari Ibnu Abbas.
13 - Riwayat Ibnu Asakir, dari Ibnu Uyainah.


[Imam as-Suyuthi - Tarikh al-Khulafa']

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.