Berita Terkini

Pemikiran Dakwah Tan Sri P. Ramlee – Muhammad Ismail Ibrahim

Jika sesetengah daripada kita yang jarang menonton filem hitam putih era 50-an dan 60-an, persoalan mungkin timbul tentang apakah dakwah yang disampaikan di kala aktres yang membintangi filem tersebut boleh dikatakan 'berbungkus nangka' belaka?

Sebelum kita berbicara persoalan sejarah tentang sesuatu perkara, premis pertama yang harus diambil kira untuk difahami ialah berkenaan latar masa dan tempat yang mewujudkan satu suasana kepada seseorang seniman untuk menghasilkan sesebuah karya.

Beberapa persoalan harus diambil kira, adakah Islam benar-benar dihayati ketika itu? Apakah ada penggiat industri filem lain yang turut menghasilkan karya yang 'Islamik' seperti beliau? Kenapa sesuatu tema itu digarap dalam sesebuah filem? Ini semua perlu diberi ruang dan peluang untuk diberikan penjelasan.

Pada separuh pertama abad ke-20, perkembangan dan penghayatan tentang agama Islam tidaklah sesegar yang kita hirup hari ini. Islam ketika itu hanya tertumpu di masjid, surau, pondok-pesantren di mana tok-tok guru (tradisionalist) mengajarkan ilmu-ilmu berkaitan tasawuf dan feqah. Masyarakat kurang menghayati unsur-unsur di 'dalam masjid' itu untuk dibawa keluar supaya dapat diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Maka tidak hairanlah kenapa kita jarang melihat wanita zaman itu menutup aurat dengan sempurna. Dan jika kita masih memiliki foto lama keluarga, lihatlah cara mereka berpakaian dan ia menceritakan sedikit sebanyak tentang zaman tersebut.

Saya pernah melihat sekeping gambar Perhimpunan Muslimat Parti Islam di awal 1960-an yang dihadiri oleh perwakilan yang rata-ratanya tidak memakai tudung! Itu 'muslimat' zaman tersebut, jadi apalah nilai Islam yang hendak diharapkan kepada insan seni yang bermain wayang ketika itu. Tetapi kalau seseorang anak wayang yang tampil dengan idea-idea Islamik ketika itu, ia merupakan sesuatu yang luar biasa! Dan itulah P Ramlee yang kita kenal.  

Permulaan jalan seni

Pada awal tahun 1940-an, industri seni tanah air mula berkembang. Teater bangsawan (troupe)  mengambil tempat di pentas awam dengan tema jenaka dan tragedi. Kebanyakan bakat baru yang menyerlah ketika ini antaranya ialah Daeng Harris, A R Tompel, Siti Tanjung Perak dan lain-lain.

Ketika ini juga, industri filem tanah air mula berkembang mengikuti perkembangan filem luar yang semakin mendapat tempat terutama dari Hong Kong dan India. Shaw Brothers melihat satu potensi besar dengan merintis pembukaan studio baru di Jalan Ampas, Singapura.

Di awal perkembangan Malay Film Production (MFP) Jalan Ampas, filem kebanyakannya diarah oleh pengarah dari India seperti B S Rajhans dan L Krishnan. Kemudian lahirlah bintang-bintang filem (film stars) produk Jalan Ampas seperti S Roomai Noor, Maria Menado dan Siput Sarawak.

Persoalannya, di manakah filem arahan mereka sekarang? Kenapa tidak diputar di kaca televisyen seperti filem arahan dan lakonan P Ramlee? Aktor yang membintangi filem ini tidak kurang 'star' nya. Dan jika di ukur daripada sudut nilai filem samada jenaka atau air mata tidak kurang hebatnya.

Maka di sinilah timbul kajian tentang idea serta pemikiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam menerapkan sesuatu elemen dalam sesebuah filem arahan beliau.

Pertama, tema dalam filem-filem arahan P Ramlee sangat dekat di hati masyarakat. Konflik rumah tangga antara bapa dan anak, ibu mertua dengan menantu, cinta yang tidak kesampaian kerana darjat dan keturunan, kehidupan anak bujang, kedaifan hidup seorang miskin dan banyak lagi unsur yang menjadikan filem beliau begitu dirasai oleh setiap insan yang mewakili tema tersebut dalam setiap zaman. Inilah antara sebab mengapa filem beliau tidak lekang dek zaman.

Kedua, elemen 'Islamik' digarap dengan baik oleh beliau dalam beberapa filem seperti Anakku Sazali, Ahmad Albab, Tiga Abdul, Semerah Padi, Nasib Labu Labi dan Ali Baba Bujang Lapok. Jika ditinjau filem lain yang sezaman dengannya baik keluaran Studio Jalan Ampas milik Shaw Brothers mahupun Cathay Keris milik Ho Ah Loke, hampir tidak ada seorang pun pengarah lain yang berani menampilkan idea berunsur Islamik untuk digarap dalam filem mereka.

Ketiga, beberapa filem lakonan dan arahan P Ramlee kurang mendapat sambutan kerana tema yang cuba digarap merupakan satu idea dan percubaan baru. Ini terbukti dengan filem Sitora Harimau Jadian, Sesudah Suboh dan Gelora yang kurang mendapat sambutan baik ketika ditayangkan ketika itu mahupun diputarkan di kaca televisyen hari ini.

Memang benar filem-filem ini diterbitkan di Studio Merdeka yang kurang mahir daripada segi kepakaran dan teknologi yang digunakan. Bagaimanapun, idea pengarah merupakan sesuatu yang paling menonjol dalam sesebuah filem.

Pemikiran dakwah P Ramlee

Jika diimbas secara sepintas lalu, filem Tiga Abdul, Ahmad Albab dan Ali Baba Bujang Lapok merupakan babak yang paling banyak menerapkan unsur Islamik berbanding filem lain arahan beliau yang lebih merupakan pentas kritik sosial tanpa kita sedar.

Walaupun P Ramlee cuba menerapkan elemen keagamaan dalam Semerah Padi, versi hudud yang dilaksanakan masih boleh diberikan kredit walaupun tidak mencerminkan pelaksanaan hudud yang sebenar. Di dalam filem Tiga Abdul, P Ramlee menggunakan latar Isketambola yang mungkin boleh dirujuk Istanbul dalam keseluruhan cerita tersebut.

Melalui watak Abdul Wahub, beliau berjaya menghimpunkan segala sifat kebaikan dan nilai positif dalam menghadapi kejahatan abang-abangnya, Sidek Segaraga dan Kassim Patalon.

Di dalam filem ini juga, P Ramlee mengajar kita supaya menyantuni anak-anak yatim, berkahwin dengan orang yang tidak disukai pada awalnya tidaklah menandakan tidak bahagia pada akhirnya, membalas dendam kepada orang yang mengkhianati hanya semata-mata untuk menyedarkan mereka dan banyak lagi unsur Islamik yang digarap melalui watak-watak tersebut.

Di dalam Anakku Sazali, ia memberi teladan kepada bapa yang terlalu memberikan kesenangan kepada anaknya atas nama ingin mencurah kasih sayang sehingga ia memberi kesan buruk kepada kehidupan si anak. Melalui watak Haji Bakhil lakonan Udo Umar (Nasib Labu Labi) P Ramlee ingin menegur orang kaya supaya ikhlas dalam menginfaqkan harta mereka kepada rumah anak-anak yatim.

Allahyarham Tan Sri P RamleeSelain itu, menurut kenalan yang rapat dengan beliau, P Ramlee memang seorang yang pemurah. Dan sifat kepemurahan ini ditonjolkan dalam filem beliau melalui watak Abdul Wahub yang menghadiahkan rumah kedai kepada persatuan anak yatim, watak Ali Baba (Ali Baba Bujang Lapok) yang menderma wang emas kepada orang ramai, watak Ramli (Bujang Lapok) yang ditipu oleh seorang wanita tetapi selepas mengekori, beliau membiarkannya setelah menyedari wanita itu adalah orang miskin, watak Harun (Anak Bapak) yang menjaga kebajikan pekerja ladang milik bapanya, watak Syawal (Ahmad Albab) yang mengadakan kenduri kesyukuran setelah diberi kesenangan.

Ini merupakan sebagai elemen yang digarap oleh P Ramlee di dalam kebanyakan filem arahan beliau. Begitu juga lagu-lagu beliau di mana lirik-lirik tersebut cukup bermakna yang memberi bekas kepada pendengarnya.

Kita tidak tahu sampai bila tulisan berkenaan P Ramlee akan berhenti. Ia akan terus-menerus dinukil oleh pengkaji dan peminat filem kerana akan ada sisi-sisi baru yang dapat dianalisis daripada pemikiran beliau.

Ia bergantung kepada kita bagaimana kita melihat sesebuah filem itu. Adakah kita ingin tahu tentang jalan ceritanya, atau adakah kita ingin melepaskan tekanan dengan menonton filem humor? Atau adakah kita ingin mengkaji apakah idea pengarah di sebalik wayang yang dpertontonkan kepada orang awam? Terpulanglah.

Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh (22 March 1929 – 29 May 1973). Semoga roh beliau ducucuri rahmat. – 29 Mei, 2014.

* Penulis merupakan editor di The Kelantan Times.

[The Malaysian Insider]


p/s:
Maka tidak hairanlah kenapa kita jarang melihat wanita zaman itu menutup aurat dengan sempurna. Dan jika kita masih memiliki foto lama keluarga, lihatlah cara mereka berpakaian dan ia menceritakan sedikit sebanyak tentang zaman tersebut.
Benar sekali kenyataan ini. Saya sendiri kalau membelek-belek foto lama keturunan nenek moyang saya termasuk generasi emak saya, era 60an dan 70an dulu rata-ratanya tidak pakai tudung kepala pun.  Maka sesuai lah dengan perkembangan Islam dan dalil-dalil pada zaman itu yang belum mantap.

Tambah lagi waktu itu Tanah Melayu baru sahaja lepas merdeka dari penjajah. Banyak yang telah penjajah ubah dan kotorkan tentang pengaruh Islam. Televisyen pun tidak ada lagi dalam kampung-kampung. Orang dapat tengok filem dengan berkunjung ke panggung wayang. Ataupun tunggu panggung wayang bergerak masuk ke kampung-kampung.

Tetapi zaman sekarang, saban hari para ustaz dan pendakwah memberi nasihat dan memperingati agar menutup aurat dengan betul, dengan mengemukakan pelbagai dalil dari Al-Quran dan Al-Hadits, perbahasan ulama, dengan pelbagai medianya untuk menyampaikan dan mudah diakses, maka tidak ada alasan lagi untuk wanita sekarang tidak menutup aurat dengan betul!  :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (58) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.