Berita Terkini

Jin mula dihalang dari mendengar Berita Langit dan Dakwah Rasulullah pada golongan Jin

Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa Rasulullah S.a.w tidak pernah membacakan kepada jin Al-Quran dan tidak pernah melihat mereka. Ketika Rasulullah S.a.w bersama rombongan sahabat menuju ke Pasar Ukkazh, setibanya baginda di Tihamah, Rasulullah S.a.w dan rombongan berhenti untuk mendirikan sembahyang Subuh.

Perkara ini menyebabkan berita-berita langit yang dicuri oleh syaitan terhalang, malahan mereka mendapat lemparan bintang-bintang sehingga terpaksa pulang kepada kaumnya. Setibanya ia di tempat kaumnya, syaitan itu pun ditanya, "Apa yang terjadi sehingga kalian kembali?"  Mereka menjawab, "Kami terhalang untuk mendapatkan berita dari langit. Bahkan kami dikejar oleh bintang-bintang." Kaumnya berkata, "Kita tidak mungkin terhalang dari berita langit. Tentu ada sebabnya. Bertebaran lah kalian ke Timur dan Barat dan carilah sebab kepada penghalangan ini."

Maka bertebaranlah mereka ke Timur dan Barat sehingga sebahagian daripada mereka pun tiba di Tuhamah tempat Rasulullah S.a.w berhenti untuk sembahyang Subuh. Mereka mendengar bacaan Rasul serta memerhatikannya, lalu berkata; "Demi Allah, ini lah yang menghalang kita untuk mendapatkan berita dari langit."

Kemudian mereka pun pulang ke kaum mereka dan menyampaikan berita tersebut sambil mengagumi Al-Quran yang membawa mereka ke jalan penuh hidayah Allah, sehingga mereka beriman. Maka turunlah ayat ini  - Surah Al-Jin : ayat 1 -, sebagai pemberitahuan kepada Nabi Muhammad S.a.w untuk diceritakan kepada umatnya tentang kejadian tersebut.  

[Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan at-Tirmidzi dan yang lainnya dari Ibnu Abbas]


Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Nabi S.a.w membaca al-Quran di tengah kebun kurma, turunlah jin di antaranya bernama Zauba'ah untuk mendengar serta mengingatkan kawan-kawannya untuk memerhatikan bacaan Rasulullah. Maka penurunan ayat - Surah Al-Ahqaaf : 29 - 31 - adalah untuk menceritakan peristiwa tersebut.

[Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dari Ibnu Mas'ud]


Sahl bin Abdillah bertemu dengan jin yang bertemu dengan Isa a.s dan Muhammad S.a.w

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa ketika Sahl bin Abdillah berada di tempat tinggalan negara 'Aad, dia terlihat kesan sebuah kota yang di tengahnya terdapat sebuah gedung batu terukir yang dihuni oleh jin. Dia pun masuk ke dalam gedung itu, dan di dalamnya terdapat seorang lelaki yang tinggi besar sedang sembahyang menghadap kiblat.

Dia memakai jubah yang dibuat dari bulu yang sangat indah. Dia mengagumi bentuk tubuh orang itu yang tinggi besar, akan tetapi dia lebih mengagumi keindahan jubahnya. 

Kemudian dia pun memberi salam kepadanya. Lalu lelaki itu menjawab salamnya dan berkata, "Hai Sahl, sesungguhnya badan itu tidak merosakkan pakaian tetapi yang merosakkan pakaian adalah bau dosa dan makanan yang haram. Jubah yang aku pakai ini berusia tujuh ratus tahun dan dalam jangka waktu itu aku bertemu dengan Isa dan Muhammad (alaihimas salam). Aku beriman kepada keduanya."

Maka berkatalah Sahl, "Siapakah tuan?" Lelaki itu menjawab, "Aku termasuk di antara yang disebutkan dalam ayat ; .. قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ  "  [Surah Al-Jin : 1] 

[Diriwayatkan oleh Ibnu Al-Jauzi dalam kitab Shifat Ash-Shafwah dengan sanadnya dari Sahl bin Abdillah] [1]


Tambahan dari kitab Tafsir Ibnu Katsir

Mengenai firman Allah S.w.t "Dan ingatlah ketika Kami hadapkan serombongan jin kepada kalian yang mendengarkan Al-Quran," Imam Ahmad meriwayatkan dari az-Zubair dia berkata, "Yakni di Nakhlah, ketika Rasulullah S.a.w mengerjakan akhir shalat 'Isya'. "Hampir-hampir saja jin-jin itu desak-mendesak mengerumuninya."

Sufyan berkata, "Sebahagian jin desak-mendesak dengan sebahagian yang lain." Demikian yang diriwayatkan sendiri oleh Imam Ahmad. Dan akan kami kemukakan juga sebuah riwayat dari Ibnu Jarir dari Ikrimah, dari Ibnu 'Abbas, bahawa jin-jin itu berjumlah tujuh jin, dari Nashibain (ada juga riwayat yang mengatakan sembilan jin).

Imam Ahmad dan al-Hafidz Abu Bakar al-Baihaqi dalam kitabnya, Dalaa-ilun Nubuwwah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, dia mengatakan bahawa Rasulullah S.a.w tidak pernah membacakan (Al-Qur'an)  kepada jin dan tidak juga melihatnya. Pernah baginda S.a.w berangkat bersama beberapa orang sahabatnya menuju pasar Ukkazh, sedang para syaitan dihalangi dari mendengar berita langit dan dilempari dengan meteor-meteor, sehingga syaitan-syaitan itu kembali kepada kaumnya. Kemudian kaumnya itu berkata, "Apa yang terjadi kepada kalian?" Mereka menjawab, "Kami dihalangi dari mendengar berita langit, dan dilempari dengan meteor-meteor." Kaumnya berkata, "Kalian tidak dihalangi dari mendengar berita langit dan bumi melainkan hanya oleh sesuatu yang terjadi. Maka menyebarlah kalian ke sebelah timur dan barat bumi, perhatikanlah apa yang menghalangi antara kalian dan berita langit itu."

Maka mereka pun berangkat menjelajah belahan timur dan barat bumi untuk mencari apa yang menghalangi mereka dari berita langit tersebut. Kemudian, mereka yang sedang menuju Tihamah beralih arah kepada Rasulullah yang ketika itu berada di Nakhlah dan bertujuan pergi ke pasar Ukkazh. Bersama para sahabatnya, beliau sedang mengerjakan shalat Subuh. Tatkala mereka (jin) mendengar bacaan al-Quran, mereka pun berhenti untuk mendengar. Mereka berkata, "Demi Allah, inilah yang menghalangi kalian dari berita langit." Dan pada ketika mereka kembali kepada kaumnya, maka mereka berkata "Sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang menakjubkan. Yang memberi petunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman padanya, dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Tuhan kami." [Surah al-Jin : 1-2]

Imam Ahmad juga meriwayatkan dari Ibnu 'Abbas r.a , ia berkata; "Apabila jin-jin itu mendengar wahyu, mereka menambah satu kalimah dengan sepuluh kalinya, maka apa yang mereka dengar itu memang benar, sedangkan yang mereka tambahkan itu suatu kebathilan. Sebelum itu bintang-bintang itu tidak dilemparkan kepada mereka. Setelah Rasulullah S.a.w diutus, maka salah satu dari jin itu tidak mendatangi tempat duduknya melainkan dilempari dengan meteor-meteor yang dapat membakar bahagian yang dikenainya. Kemudian mereka melaporkan kejadian itu kepada Iblis. Iblis berkata; "Hal ini tidak lain hanya kerana sesuatu yang terjadi." Kemudian Iblis itu mengirimkan pasukannya hingga akhirnya sampai kepada Nabi S.a.w yang sedang mengerjakan solat di antara dua gunung Nakhlah. Kemudian mereka mendatangi beliau, lalu memberitahu hal itu kepada Iblis. Iblis pun berkata; "Inilah kejadian yang terjadi di Bumi."

Hadits tersebut juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan an-Nasa-i dalam kitab Tafsir dan Sunan mereka dari hadits Israil. At-Tirmidzi mengatakan, "Hadits ini Hasan Shahih." Demikian juga yang disampaikan oleh Hasan Al-Basri, bahawa Rasulullah S.a.w tidak menyedari tentang perkara mereka, kecuali setelah Allah Ta'ala menurunkan kepada beliau S.a.w wahyu yang beliau beritakan kepada kalian.

Abu Bakar bin Abi Syaibah meriwayatkan dari Ahmad az-Zubairi, dari Sufyan, dari 'Ashim, dari Zirr, dari Abdullah ibnu Mas'ud r.a dia berkata, "Jin-jin itu turun mendekati Nabi S.a.w, ketika itu beliau sedang membaca al-Quran di tengah-tengah Nakhlah. Ketika mendengar bacaan beliau, jin-jin itu berkata, "Diamlah kalian semua." Mereka berjumlah sembilan jin, salah satunya ialah Zauba'ah. Maka Allah S.w.t menurunkan firmanNya yang bermaksud;

"Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi, dan dia tidak akan beroleh sesiapa pun (yang lain dari Allah) sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata"." [Surah al-Ahqaaf : 29 - 32]

Hadits ini dan yang pertama dari riwayat Ibnu Abbas menunjukkan bahawa Rasulullah S.a.w tidak menyedari kehadiran mereka pada kali ini, kerana mereka hanya sekilas mendengar bacaan beliau dan kemudian kembali kepada kaumnya. Dan setelah itu, mereka mengirimkan utusan kepada beliau kelompok demi kelompok, rombongan demi rombongan.

Sedangkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, semuanya bersumber dari Ma'n bin AbdurRahman, dia berkata, "Aku pernah mendengar ayahku berkata, "Aku pernah bertanya kepada Masruq, "Siapakah yang memberitahu Nabi S.a.w pada malam para jin mendengar bacaan al-Quran?" Dia menjawab, "Ayahmu, (yakni Ibnu Mas'ud r.a) pernah memberitahuku bahawa yang memberitahu kehadiran jin itu adalah sebatang pokok. Mungkin hal ini terjadi pada pertama kali dan menjadi ketetapan yang didahulukan di atas penafian Ibnu Abbas r.a. Dan mungkin juga hal itu terjadi pada kali pertama, tetapi beliau tidak menyedari kehadiran mereka pada ketika mereka mendengar bacaan beliau, sehingga sebatang pokok memberitahu beliau tentang kehadiran mereka. Wallahu a'lam. Dan mungkin juga hal itu terjadi pada beberapa kali terakhir. Wallahu a'lam.

Al-Hafidz al-Baihaqi berkata, "Apa yang diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a ini tidak lain adalah pertama kali jin mendengar bacaan Rasulullah S.a.w dan mereka mengetahui keadaan beliau. Sedang pada ketika itu, beliau sendiri belum mengajar al-Quran kepada mereka, dan belum juga beliau melihat mereka. Kemudian setelah itu beliau didatangi oleh penyeru jin, lalu beliau membacakan al-Quran kepada mereka seraya menyeru mereka beriman kepada Allah S.w.t, sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud.

Beberapa riwayat dari Ibnu Mas'ud mengenai hal itu

Imam Ahmad meriwayatkan dari 'AlQamah, dia mengatakan, "Aku pernah bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud r.a, "Adakah salah seorang dari kalian yang menemani Rasulullah S.a.w pada malam hadirnya jin itu? Ibnu Mas'ud menjawab, "Tidak ada seorang pun dari kami yang menemani beliau, tetapi kami memang pernah kehilangan beliau pada suatu malam di Makkah, maka kami katakan, "Apakah beliau diculik? Apakah beliau dibawa lari? Apa yang sedang beliau kerjakan?" Lebih lanjut Ibnu Mas'ud mengatakan, "Maka kami menjalani malam yang amat kelabu. Dan pada permulaan pagi hari (atau dia berkata pada waktu sahur) tiba-tiba kami dapati beliau datang dari arah Hira'. Lalu kami tanyakan, "Ya Rasulullah," maka mereka menyebutkan apa yang mereka alami. Beliau menjawab, "Sesungguhnya aku didatangi penyeru jin, lalu aku datangi mereka dan kemudian aku bacakan (al-Quran) kepada mereka."

Kemudian beliau berangkat, lanjut Ibnu Mas'ud, dan memperlihatkan kepada kami bekas-bekas mereka dan bekas api mereka."

Dia mengatakan, as-Sya'bi berkata, "Mereka bertanya kepada Rasulullah S.a.w tentang bekal para jin itu. 'Amir mengungkapkan bahawa mereka bertanya kepada beliau di Makkah, dan mereka itu termasuk jin jazirah Arab. Maka beliau menjawab, "Iaitu setiap tulang binatang yang disembelih dengan menyebut Nama Allah yang kalian perolehi dengan tangan kalian adalah lebih melimpah (bagi kalian) daripada bila ia menjadi daging, dan setiap kotoran binatang adalah sebagai makanan bagi binatang tunggangan mereka. Oleh kerana itu, janganlah kalian beristinja' dengan menggunakan keduanya, kerana keduanya adalah bekal saudara kalian dari bangsa jin." Demikian pula diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Shahih Muslim.

Sedangkan dari jalur lain, Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a dia berkata, "Pada ketika malam hadirnya jin, Nabi S.a.w berkata kepadaku, "Apakah ada air bersamamu?" Ku katakan, "Tidak ada air bersamaku, tetapi aku membawa tempat yang di dalamnya terdapat nabidz (perahan kurma)." Maka Nabi S.a.w berkata, "Ia merupakan buah yang baik dan air yang suci." Demikian hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, at-Tirmidzi, dan Ibnu Majah dari hadits Ibnu Zaid.

Semua jalur hadits tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah S.a.w pergi menemui jin itu dengan sengaja, lalu beliau membacakan ayat al-Quran kepada mereka dan mengajak mereka ke jalan Allah S.w.t. Dan Allah Ta'ala telah mensyariatkan kepada mereka melalui lisan beliau apa yang memang mereka sangat perlukan pada saat itu.

Adapun Ibnu Mas'ud r.a , maka dia tidak bersama Rasulullah S.a.w pada ketika beliau berbicara dengan jin dan berdakwah kepada mereka, tetapi pada ketika itu dia berada jauh dari beliau. Dan tidak seorang pun bersama beliau selain dia. Namun, dia pun tidak menyaksikan tatkala beliau berbicara dengan jin. Demikianlah kaedah Imam al-Baihaqi.

Sufyan ats-Tsauri menyebutkan dari Ibnu Mas'ud r.a, mereka ini berjumlah 9 jin yang salah satu dari mereka ialah Zauba'ah. Mereka mendatangi Rasulullah S.a.w dari bukit Nakhlah. Diriwayatkan dari mereka, bahawa mereka ini berjumlah 15 jin. Dan dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa mereka berada di atas 60 haiwan tunggangan.

Dari Ibnu Mas'ud disebutkan bahawa nama tokoh mereka ialah Wardan. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka terdiri dari 300 jin. Sedangkan dari 'Ikrimah disebutkan mereka berjumlah 12 ribu jin. Boleh jadi perbezaan jumlah ini menunjukkan kedatangan utusan mereka kepada Rasulullah S.a.w terjadi berulang kali. Di antara dalil yang menunjukkan hal tersebut adalah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya dari Abdullah bin Umar r.a dia bercerita, "Aku tidak pernah mendengar Umar r.a  berkata dalam suatu pun, "Sesungguhnya aku kira seperti begini," melainkan seperti yang menjadi dugaannya. Ketika Umar bin al-Khattab sedang duduk, tiba-tiba ada seorang lelaki tampan melewatinya, maka dia berkata, "Dugaanku salah. Atau bahawa dia dalam keadaan memeluk agamanya pada masa jahiliyyah, atau dia merupakan seorang dukun mereka, bawa orang itu kepadaku." Maka orang itu dipanggil untuknya, dan Umar pun mengatakan hal tersebut, lalu orang itu berkata, "Aku tidak pernah melihat seperti hari ini, dimana aku berjumpa dengan seorang Muslim." Umar bin al-Khattab berkata, "Sesungguhnya aku ingin engkau benar-benar memberitahuku." Dia mengatakan, "Aku dulu adalah seorang dukun mereka pada masa jahiliyyah." Umar berkata, "Betapa menakjubkan apa yang dibawa oleh jin wanitamu." Dia menjawab, "Ketika pada suatu hari aku sedang berada di pasar, dia datang kepadaku, aku melihat adanya ketakutan dalam dirinya, lalu berkata,

"Tidakkah kamu melihat para jin dan kebingungannya,
juga keputusannya setelah lemah tidak berdaya,
serta menjadi mengerut dan muflis."

Lalu Umar r.a berkata, "Benarlah ketika aku tertidur di antara tuhan-tuhan mereka, tiba-tiba ada seorang yang datang dengan membawa anak sapi dan menyembelihnya. Lalu ada suara yang meneriakinya dengan kuat yang belum pernah aku dengar sebelumnya suara sekuat itu. Suara itu menyeru, "Hai si botak, adalah suatu keberuntungan, ada seorang fasih menyeru, "La ilaaha illaAllah." Orang-ramai pun melompat-lompat dan ku katakan, "Aku tidak akan berganjak sehingga aku mengetahui apa di sebalik ini." Kemudian ia menyeru lagi, "Hai botak, adalah suatu keberuntungan, ada seorang fasih menyeru, "La ilaaha illaAllah." Lalu aku terbangun, dan tidak lama kemudian ada yang mengatakan, inilah Nabi." Demikian menurut kata al-Bukhari."

Al-Hafidz Abu Bakar Al-Baihaqi meriwayatkan dari Jabir bin Abdillah r.a, ia berkata, "Rasulullah S.a.w membaca Surah Ar-Rahman sampai khatam, lalu beliau bersabda; "Mengapa kulihat kalian diam saja? Jin mempunyai jawapan yang lebih baik dari kalian. Aku tidak membacakan ayat berikut ini - فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ  (Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?) -  sekalipun kepada mereka, melainkan mereka akan mengatakan; "Dan tidak ada suatu pun dari nikmatMu yang kami dustakan. Segala puji hanya bagiMu."  Demikian pula diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dalam bab Tafsir, dan dia mengatakan, "Hadits ini Gharib, kami tidak mengetahuinya kecuali dari hadits al-Walid dari Zuhair."  [2]

Tempat Rasulullah S.a.w dan para sahabat sembahyang Subuh dan didengari oleh jin itulah yang kemudiannya didirikan masjid yang diberi nama Masjid Al-Jin atau Al-Bai’ah, yang terletak 1.5 km sebelah utara Masjidil Haram.  Wallahu a'lam .......

"Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala." 

"Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya." 

"Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka."  (Surah Al-Jin : ayat 8 - 10)



Rujukan:

1 - Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzul - Imam As-Suyuthi
2 - Tafsir Ibnu Katsir (Tafsir Surah Al-Ahqaaf, ayat 29 hingga 32)


* Nashibain ialah satu daerah antara Syria dan Iraq.


Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (58) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.