Cara Hidup

Konspirasi

Dunia Islam

Kisah Nabi dan Sahabat

Kisah umat dahulu

Sains

Foto

» » Menjawab tuduhan kaum orientalis mengenai perkahwinan nabi dengan Zainab binti Jahsy

Muhammad the last prophet wallpaper
Di antara tohmahan yang paling terkenal yang dilakukan oleh para orientalis dan mereka-mereka yang busuk hati pada Islam ialah tentang perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan Zainab binti Jahsy. Di bawah ini adalah ulasan-ulasan tentang isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w, terutama kepada Zainab, sebagai jawapan dari tuduhan kaum orientalis mengenai perkahwinan nabi dengan Zainab.

Teriakan dan tuduhan Orientalis tentang Zainab binti Jahsy

Muhammad s.a.w kahwin dengan Zainab binti Khuzaima, kemudian kahwin dengan Umm Salamah binti Abi Umayyah bin'l-Mughira, selanjutnya kahwin lagi dengan Zainab binti Jahsy setelah dicerai oleh Zaid bin Haritsah. Zaid inilah yang telah diangkat sebagai anak oleh Muhammad selepas dibebaskan sebagai hamba sejak dia dibeli oleh Yasar untuk Khadijah. Di sinilah kaum Orientalis dan misi-misi penginjil itu kemudian berteriak keras-keras: Lihat! Muhammad sudah berubah. Tadinya, ketika ia masih di Mekah sebagai pengajar yang hidup sederhana, yang dapat menahan diri dan mengajarkan tauhid, sangat menjauhi nafsu hidup di dunia, sekarang dia sudah menjadi orang yang diburu syahwat, air liurnya mengalir bila melihat wanita. Tidak cukup tiga orang isteri saja dalam rumah, bahkan dia kahwin lagi dengan tiga orang wanita seperti yang disebutkan di atas.

Sesudah itu mengahwini tiga orang wanita lagi, selain Raihana. Tidak cukup kahwin dengan wanita-wanita yang tidak bersuami, bahkan dia jatuh cinta kepada Zainab binti Jahsy yang masih terikat sebagai isteri Zaid bin Harithah bekas hambanya. Sebab yang dikemukakan oleh para orientalis itu tidak lain kerana dia pernah singgah di rumah Zaid ketika Zaid tidak ada di rumah, lalu dia disambut oleh Zainab. Tatkala itu dia sedang memakai pakaian yang memperlihatkan kecantikannya, dan kecantikan ini sangat mempengaruhi hatinya. Waktu itu dia berkata "Maha suci Dia yang telah dapat membalikkan hati manusia!" Kata-kata ini diulanginya lagi ketika dia meninggalkan tempat itu. Zainab mendengar kata-kata itu dan dia melihat api cinta itu bersinar dari matanya. Zainab merasa bangga terhadap dirinya dan apa yang didengarnya itu dan menerangkan kepada Zaid. Langsung waktu itu juga Zaid menemui Nabi dan mengatakan bahawa dia sudah menceraikannya. Lalu kata Nabi kepadanya:

"Jaga baik-baik isterimu, jangan diceraikan. Hendaklah engkau takut kepada Allah."

Tetapi pergaulan Zainab dengan Zaid sudah tidak baik iagi. Kemudian da dicerai. Muhammad menahan diri tidak akan berkahwin sekalipun hatinya gelisah. Ketika itu firman Tuhan datang:

"Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan ni'mat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi ni'mat kepadanya: "Jagalah baik-baik isterimu dan bertaqwalah kepada Allah", sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah lah yang lebih berhak untuk kamu takuti, maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami nikahkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mu'min untuk (menikahi) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya, dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi." (Surah Al-Ahzaab : Ayat 37)

Ketika itulah wanita itu dikahwininya. Dengan perkahwinan ini semarak cinta berahi dan api asmaranya yang menyala-nyala dapat dipadamkan. Nabi apa itu!? Bagaimana dia membenarkan hal itu buat dirinya sedang buat orang lain tidak?! Bagaimana dia tidak tunduk kepada undang-undang yang katanya diturunkan Tuhan kepadanya?! Bagaimana pula "harem" ini diciptakan, yang mengingatkan orang pada raja-raja yang hidup mewah-mewah, bukan pada para nabi yang soleh dan memperbaiki kehidupan umat?! Selanjutnya bagaimana pula dia menyerah kepada kuasa cinta dalam hubungannya dengan Zainab sehingga dia menghubungi Zaid bekas hambanya supaya menceraikannya, kemudian dia tampil berkahwin! Hal seperti ini pada zaman jahiliah dilarang, tapi nabinya orang Islam ini membolehkan, kerana mahu menuruti kehendak nafsunya, mahu memenuhi dorongan cintanya.


Zainab menurut gambaran kaum Orientalis

Bilamana kaum orientalis dan para misi penginjil berbicara mengenai masalah ini dalam sejarah Muhammad, maka mereka membiarkan khayalan mereka itu tidak terkawal lagi, sehingga ada di antara mereka itu yang menggambarkan Zainab - ketika dilihat oleh Nabi - dalam keadaan setengah telanjang atau hampir telanjang, dengan rambutnya yang hitam panjang lepas terurai sampai menjamah tubuhnya yang lembut gemalai, yang akan dapat menterjemahkan segala erti cinta berahi. Yang lain lagi menyebutkan, bahawa ketika dia membuka pintu rumah Zaid, angin menghembus menguakkan tabir bilik Zainab. Ketika itu dia sedang terlentang di tempat tidur dengan memakai baju tidur. Pemandangan ini sangat menggetarkan jantung laki-laki yang gila perempuan dengan kecantikannya itu. Dia menyembunyikan perasaan hatinya walaupun sebenarnya dia tidak boleh tahan lama demikian!

Gambaran yang dicipta oleh khayalan demikian itu banyak sekali. Akan kita jumpai ini dalam karya-karya Muir, Dermenghem, Washington Irving, Lammens dan yang lain, baik mereka ini para orientalis atau misi-misi penginjil. Dan yang sungguh disayangkan lagi kerana dalam membuat cerita-cerita itu, semua mereka memang mengambil sumbernya dari kitab-kitab sejarah Nabi dan tidak sedikit pula dari hadis. Kemudian dengan apa yang mereka gambarkan itu, mereka membina istana-istana gading dari khayalan mereka sendiri tentang Muhammad serta hubungannya dengan wanita. Alasan mereka ialah kerana isterinya banyak, yang sampai sembilan orang menurut pendapat yang lebih tepat, atau lebih dari itu menurut sumber-sumber lain.

Mungkin kerana Alkitab mereka telah parah dituduh kerana banyak mengandungi unsur-unsur lucah dan cerita-cerita seks, terutamanya dalam kitab Perjanjian Lama. Maka mereka mencipta tuduhan terhadap nabi Muhammad s.a.w dan merekacipta cerita-cerita yang berunsurkan seks juga, sedangkan cerita sebenarnya jauh sekali dari khayalan-khayalan mereka itu.


Orang-orang besar tidak tunduk kepada undang-undang

Sebenarnya dapat saja kita membantah semua kata-kata mereka itu dengan ucapan: Anggaplah semua itu benar, tetapi dengan itu apa pula kiranya yang akan dapat mendiskreditkan kebesaran Muhammad atau kenabian dan kerasulannya. Undang-undang yang biasanya berlaku pada umum, tidak mampan terhadap orang-orang besar, lebih-lebih lagi terhadap para Rasul dan nabi. Bukankah ketika Nabi Musa a.s. melihat perselisihan dua orang, yang seorang dari golongannya sendiri, dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya, ditinjunya orang yang dari pihak musuh itu hingga menemui ajalnya, padahal pembunuhan demikian itu dilarang, baik dalam perang atau pun setengah perang? Ini bererti melanggar undang-undang.

Jadi Musa tidak tunduk kepada undang-undang, tetapi juga tidak bererti ini dapat mendiskreditkan kenabian atau kerasulannya, bahkan mengurangkan kebesarannya pun juga tidak. Dan dalam hal Isa a.s, dalam menyalahi undang-undang lebih besar lagi dari masalah Muhammad, dari Nabi-nabi dan para rasul semuanya. Dan soalnya tidak hanya terbatas pada besarnya kekuatan dan keinginan saja, bahkan kelahiran dan kehidupannya pun sudah melanggar undang-undang dan kudrat alam. Di hadapan ibunya malaikat muncul sebagai manusia yang sempurna, yang akan membawa seorang anak yang suci bersih kepadanya. Wanita itu kehairanan, sambil berkata: "Bagaimana aku akan beroleh seorang putera, padahal aku tidak disentuh seorang manusia, juga aku bukan seorang pelacur." Malaikat berkata, bahawa Tuhan menghendaki supaya ia menjadi petanda bagi umat manusia.

Setelah terasa sakit hendak melahirkan, dia berkata: "Aduhai, cuba sebelum ini aku mati saja, maka aku akan hilang dilupakan orang." Lalu datang suara memanggilnya dari bawah: "Jangan berdukacita, Tuhan telah mengalirkan sebatang anak sungai di bawahmu." Dibawanya kanak-kanak itu kepada keluarganya. Mereka pun berkata: "Maryam, engkau datang membawa masalah besar. Dalam buaiannya itu (usia semuda itu) Nabi Isa berkata kepada mereka:" Aku adalah hamba Allah " dan seterusnya.

Betapapun orang-orang Yahudi menolak semua ini, dan oleh mereka Isa a.s dinasabkan kepada Yusuf an-Najjar (Yusuf anak Heli), sebahagian sarjana seperti Renan sampai sekarang pun memang menganggapnya demikian. Kebesaran Isa, kenabian dan kerasulannya dan penyimpangannya dari undang-undang dan kudrat alam adalah suatu petanda mukjizat Tuhan kepadanya. Tapi anehnya, misi-misi penginjil Kristian itu minta orang supaya percaya kepada hal-hal yang di luar undang-undang alam mengenai diri Yesus (Isa a.s), sementara mengenai diri Muhammad mereka sudah menjatuhkan hukuman sendiri. Padahal apa yang dilakukannya tidak seberapa dan tidak lebih kerana Muhammad memang terlalu tinggi untuk dapat tunduk kepada undang-undang masyarakat yang berlaku terhadap setiap orang besar, terhadap raja-raja, kepala-kepala negara yang pada umumnya sudah didahului oleh undang-undang dasar sehingga membuat mereka tak boleh diganggu-gugat.


Penggambaran Orientalis yang keliru

Sebenarnya dapat saja kita membantah semua kata-kata mereka itu dengan jawapan yang sudah tentu akan menjatuhkan semua hujah misi-misi penginjil dan orang-orang orientalis yang juga mahu ikut cara-cara mereka itu. Tetapi dalam hal ini kita lalu memperkosa sejarah dan memperkosa kebesaran Muhammad dan kerasulannya. Dia bukanlah orang seperti yang mereka gambarkan, yakni orang yang fikirannya dipengaruhi oleh hawa nafsu. Tak ada isterinya itu yang dikahwininya hanya kerana dia terdorong oleh syahwat atau nafsu berahi sahaja. Kalaupun ada beberapa penulis Muslim pada zaman-zaman tertentu dengan sesuka hati berkata demikian dan mengemukakan alasan itu kepada lawan-lawan Islam dengan niat baik, soalnya ialah kerana tradisi yang berlaku telah membawa mereka kepada pengertian material. Mereka ingin menggambarkan Muhammad itu besar dalam segalanya, juga besar dalam kehidupan hawa nafsu. Sudah tentu ini suatu penggambaran yang salah sama sekali. Sejarah hidup Muhammad sama sekali tidak boleh menerima ini, dan seluruh hidup peribadinya pun dengan sendirinya sudah menolak.


Sampai usia 50 tahun hanya beristerikan Khadijah

Rasulullah s.a.w kahwin dengan Khadijah dalam usia dua puluh tiga tahun, usia muda-remaja, dengan perawakan yang indah dan paras muka yang begitu tampan, gagah dan tegap. Namun sungguh pun begitu Khadijah adalah tetap isteri satu-satunya, selama dua puluh lapan tahun, sampai melampaui usia lima puluhan. Padahal masalah poligami ialah masalah yang umum sekali di kalangan masyarakat Arab waktu itu. Di samping itu Muhammad pun tidak kahwin dengan Khadijah atau dengan yang lain, dalam hal dia dengan isterinya tidak beroleh anak laki-laki yang hidup, sedang anak perempuan pada waktu itu ditanam hidup-hidup dan yang boleh dianggap sebagai keturunan pengganti hanyalah anak laki-laki.

Muhammad hidup hanya dengan Khadijah selama tujuh belas tahun sebelum kerasulannya dan sebelas tahun selepas itu dan dalam pada itu pun sama sekali tak terlintas dalam fikirannya dia ingin kahwin lagi dengan wanita lain. Baik pada masa Khadijah masih hidup, atau pun pada waktu dia belum berkahwin dengan Khadijah, belum pernah terdengar bahawa dia termasuk orang yang mudah tergoda oleh kecantikan wanita-wanita yang pada waktu itu justeru wanita-wanita belum tertutup.

Bahkan mereka itu suka mempamerkan diri dan mempamerkan segala macam perhiasan, yang kemudian dilarang oleh Islam. Sudah tentu tidak wajar sama sekali apabila akan kita lihat, sesudah lima puluh tahun, tiba-tiba dia berubah demikian rupa setelah melihat Zainab binti Jahsy - padahal waktu itu isterinya sudah lima orang di antaranya Aisyah yang selalu dicintainya - tiba-tiba dia tertarik sampai dia hanyut siang-malam memikirkannya.

Juga tidak wajar sekali apabila kita lihat, sesudah lebih lima puluh tahun usianya, yang selama lima tahun sudah beristerikan lebih dari tujuh orang, dan dalam tujuh tahun sembilan orang isteri. Semuanya itu, motifnya hanya kerana dia terdorong oleh nafsu kepada wanita, sehingga ada beberapa penulis Muslim - dan juga penulis-penulis Barat mengikuti jejaknya - melukiskannya sedemikian rupa, demikian merendahkan yang bagi seorang materialis sekalipun sudah tidak layak, apalagi buat orang besar, yang ajarannya boleh mengubah dunia dan menukar perjalanan roda sejarah, dan masih selalu akan mengubah dunia sekali lagi, dan akan mengubah jalannya roda sejarah sekali lagi.


Hanya Khadijah yang membawa keturunan

Apabila ini suatu hal yang aneh dan tidak wajar, maka akan jadi aneh juga kita melihat bahawa perkahwinan Muhammad dengan Khadijah telah memberikan keturunan, laki-laki dan perempuan, sampai sebelum dia mencapai usia lima puluh tahun, dan bahawa Maria melahirkan Ibrahim sesudah Muhammad berusia enam puluh tahun dan hanya dari yang dua orang ini sajalah yang membawa keturunan. Padahal isteri-isteri itu ada yang dalam usia muda, yang akan dapat juga hamil dan melahirkan, baik dari pihak suami atau pihak isteri, dan ada yang sudah cukup usia, sudah lebih dari tiga puluh tahun umurnya, dan sebelum itu pun pernah pula mempunyai anak. Bagaimana pula gejala aneh dalam hidup Nabi ini ditafsirkan, suatu gejala yang tidak tunduk kepada undang-undang yang biasa, yang sekaligus terhadap kesembilan wanita itu?! Sebagai manusia, sudah tentu jiwa Muhammad cenderung sekali ingin beroleh seorang putera, sekalipun - dalam kedudukannya sebagai nabi dan rasul - dari segi rohani dia sudah menjadi bapa seluruh umat Muslimin.


Perkahwinan dengan Saudah binti Zam'a

Kemudian peristiwa-peristiwa sejarah serta logiknya juga menjadi saksi yang jujur ​​mendustakan cerita misi-misi penginjil dan para orientalis itu berkaitan dengan poligami Nabi. Seperti kita sebutkan tadi, selama 28 tahun dia hanya beristerikan Khadijah seorang, tiada yang lain. Setelah Khadijah wafat, dia kahwin dengan Saudah binti Zam'a, janda Sakran bin 'Amr bin 'Abd Syams. Tidak ada suatu sumber yang menyebutkan, bahawa Saudah adalah seorang wanita yang cantik, atau berharta atau mempunyai kedudukan yang akan memberi pengaruh kerana hasrat duniawi dalam perkahwinannya itu. Melainkan soalnya ialah, Saudah adalah isteri orang yang termasuk mula-mula dalam lslam, termasuk orang-orang yang dalam membela agama, turut memikul pelbagai macam penderitaan, turut berhijrah ke Abisinia selepas dianjurkan Nabi berhijrah ke seberang lautan itu. Saudah juga sudah Islam dan ikut hijrah bersama-sama, dia juga turut sengsara, turut menderita. Kalau sesudah itu Muhammad kemudian berkahwin untuk memberi perlindungan hidup dan untuk memberikan tempat setaraf dengan Umm'l-Mu'minin, maka hal ini patut sekali dipuji dan patut mendapat penghargaan yang tinggi.

Adapun Aisyah dan Hafshah adalah puteri-puteri dua orang pembantu dekatnya, Abu Bakr dan Umar. Dari segi inilah yang membuatkan Muhammad mengikatkan diri dengan kedua-dua orang itu dengan lebih rapat lagi melalui perkahwinan dengan puteri-puteri mereka. Sama juga halnya dia mengikatkan diri dengan Usman dan Ali dengan jalan mengawinkan kedua puterinya kepada mereka. Kalaupun benar kata orang mengenai Aisyah serta kecintaan Muhammad kepadanya itu, maka cinta itu timbul selepas perkahwinan, bukan ketika kahwin. Gadis itu dipinangnya kepada orang tuanya ketika dia berusia sembilan tahun dan dibiarkannya dua tahun sebelum perkahwinan dilangsungkan. Logik tidak akan menerima kiranya, bahawa dia sudah mencintainya dalam usia yang masih begitu kecil. Hal ini diperkuatkan lagi oleh perkahwinannya dengan Hafshah binti Umar yang juga bukan kerana dorongan cinta berahi, dengan ayahnya sendiri sebagai saksi.

"Sungguh," kata Umar, "tatkala kami dalam zaman jahiliah, wanita-wanita tidak lagi kami hargai. Baru setelah Tuhan memberikan peruntukan tentang mereka dan memberikan pula hak kepada mereka." Dan katanya lagi: "Ketika saya sedang dalam suatu urusan tiba-tiba isteri saya berkata: 'Cuba kau berbuat begini atau begitu." Jawab saya: "Ada urusan apa engkau di sini, dan perlu apa engkau dengan urusanku!" Dia pun membalas: "Aneh sekali engkau Umar. Engkau tidak mahu ditentang, padahal puterimu menentang Rasulullah s.a.w sehingga dia gusar sepanjang hari." Kata Umar selanjutnya: "Ku ambil mantelku, lalu aku keluar, pergi menemui Hafshah." Anakku," kataku kepadanya." Engkau menentang Rasulullah s.a.w sampai dia merasa gusar sepanjang hari?! "Hafshah menjawab:" Memang kami menentangnya. "" Engkau harus tahu," kataku." Kuperingatkan engkau akan azab Tuhan serta kemurkaan RasulNya. Anakku, engkau jangan terpedaya oleh kecintaan orang yang telah terpesona oleh kecantikannya sendiri dengan kecintaan Rasulullah s.a.w " Katanya lagi:" Engkau sudah mengetahui, Rasulullah tidak mencintaimu, dan kalau tidak kerana aku engkau tentu sudah diceraikan."

Kita sudah melihat bukan, bahawa Muhammad mengahwini Aisyah atau mengahwini Hafshah bukan kerana cintanya atau kerana suatu dorongan berahi, tapi kerana hendak memperkukuhkan tali masyarakat Islam yang baru tumbuh dalam diri dua orang pembantu dekatnya itu. Sama halnya ketika dia kahwin dengan Sauda, ​​maksudnya supaya pejuang-pejuang Muslimin itu mengetahui, bahawa kalau mereka gugur untuk agama Allah, isteri-isteri dan anak-anak mereka tidak akan dibiarkan hidup sengsara dalam kemiskinan.

Perkahwinannya dengah Zainab binti Khuzaimah dan dengan Umm Salamah menegaskan lagi hal itu. Zainab adalah isteri 'Ubaidah bin 'l-Harith bin 'l-Muttalib yang telah mati syahid, gugur dalam perang Badr. Dia tidak cantik, hanya terkenal kerana kebaikan hatinya dan suka menolong orang, sampai dia diberi gelaran Umm'l-Masakin (Ibu orang-orang miskin). Umurnya pun sudah tidak muda lagi. Hanya setahun dua saja sesudah itu dia pun meninggal. Selepas Khadijah, dialah satu-satunya isteri Nabi yang telah wafat dahulu selepas wafatnya nabi, iaitu pada tahun 20 Hijrah ketika berusia 53 tahun, masa Khalifah Umar bin Khattab.

Sedang Umm Salamah sudah ramai anaknya sebagai isteri Abu Salamah, dan bahawa dalam perang Uhud dia menderita luka-luka, kemudian sembuh kembali. Oleh Nabi dia diserahi pimpinan untuk menghadapi Banu Asad yang berjaya di kucar-kacirkan dan dia kembali ke Madinah dengan membawa rampasan perang. Tetapi bekas lukanya di Uhud itu terbuka dan kembali mencucurkan darah yang dideritanya terus sampai meninggalnya. Ketika sudah di atas katil kematiannya, Nabi juga hadir dan terus mendampinginya sambil mendoakan untuk kebaikannya, sampai dia meninggal dunia. Empat bulan selepas kematiannya itu Muhammad meminta tangan Umm Salamah. Tetapi wanita ini menolak dengan lemah lembut kerana dia sudah ramai anak dan sudah tidak muda lagi. Hanya dalam pada itu akhirnya sampai juga dia mengahwini dan dia sendiri yang bertindak menguruskan dan memelihara anak-anaknya.


Penelitian sejarah dan kesimpulannya cerita Zainab binti Jahsy

Adakah sesudah ini semua para misi penginjil dan orientalis itu masih akan mendakwa, bahawa kerana kecantikan Umm Salamah itulah maka Muhammad terdorong hendak berkahwin? Kalaulah hanya kerana itu sahaja, masih ramai gadis-gadis kaum Muhajirin dan Ansar yang lain, yang jauh lebih cantik, lebih muda, lebih kaya dan bersemarak, dan tidak pula dia akan dibebani dengan anak-anaknya. Akan tetapi sebaliknya, dia berkahwin itu kerana pertimbangan yang luhur juga, sama halnya dengan perkahwinannya dengan Zainab binti Khuzaimah, yang membuat kaum Muslimin bahkan makin cinta kepadanya dan membuat mereka lebih-lebih lagi memandangnya sebagai Nabi dan Rasul Allah. Di samping itu mereka semua memang sudah menganggapnya sebagai ayah mereka. Ayah bagi segenap orang miskin, orang yang tertekan, orang lemah, orang yang sengsara dan tak berdaya. Ayah bagi setiap orang yang kehilangan ayah, yang gugur membela agama Allah.

Dari apa yang sudah diterangkan di atas, apakah yang dapat disimpulkan oleh kajian sejarah yang murni? Yang dapat disimpulkan ialah bahawa Muhammad menganjurkan orang beristeri satu dalam kehidupan biasa. Dia menganjurkan cara demikian seperti contoh yang sudah diberikan selama masa Khadijah. Untuk itu firman Tuhan dalam al-Quran menyebutkan:

"Dan kalau kamu khuatir takkan dapat berlaku lurus terhadap anak-anak yatim itu, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu sukai: dua, tiga dan (sampai) empat. Tetapi kalau kamu khuatir takkan dapat berlaku adil, hendaklah seorang sahaja atau yang sedia ada menjadi milik kamu." (Surah An-Nisaa' : Ayat 3)

"Dan (itu pun) tidak akan kamu dapat berlaku adil terhadap wanita, betapa kamu sendiri menginginkan itu. Sebab itu, janganlah kamu terlalu condong kepada yang seorang, lalu kamu biarkan dia terkapai-kapai......." (Surah An-Nisaa' : Ayat 129)

Ayat-ayat ini turun pada akhir-akhir tahun kelapan Hijrah, setelah Nabi kahwin dengan semua isterinya, maksudnya untuk menyekat jumlah isteri itu sampai empat orang, sementara sebelum turun ayat tersebut sekatan tidak ada. Ini juga yang telah menggugurkan kata-kata orang: Muhammad membenarkan buat dirinya sendiri dan melarang buat orang lain. Kemudian turun ayat yang mengukuhkan diutamakannya isteri satu dan menganjurkan demikian kerana dikhuatirkan takkan berlaku adil dengan ditekankan bahawa berlaku adil itu tidak akan disanggupi. Hanya saja dalam keadaan kehidupan masyarakat yang dikecualikan dia melihat suatu kemungkinan yang mendesak perlunya kahwin sampai empat dengan syarat berlaku adil. Dia telah melakukan itu dengan contoh yang diberikannya ketika kaum Muslimin terlibat dalam peperangan dan banyak di antara mereka itu yang gugur dan mati syahid.

Sehubungan dengan cerita tentang Zainab binti Jahsy serta apa yang ditambah-tambah oleh beberapa orang ahli hadis, oleh kaum orientalis dan misi-misi penginjil dengan bermacam-macam tabir khayal sehingga ia dijadikan sebuah cerita roman percintaan, sejarah yang sebenarnya boleh mencatat, bahawa teladan yang diberikan oleh Muhammad dan patut dibanggakan , dan sebagai contoh iman yang sempurna, ialah bahawa dia telah melaksanakan bunyi hadis yang maksudnya: Iman seseorang belum sempurna sebelum dia mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri. Dirinya telah dijadikan contoh pertama manakala dia melaksanakan suatu undang-undang yang pada dasarnya hendak menghapuskan tradisi dan segala adat-istiadat jahiliah, dan yang sekaligus dengan itu dia menetapkan peraturan baru, yang diturunkan Tuhan sebagai bimbingan dan rahmat buat sekalian alam.


Kekeluargaan Muhammad dengan Zainab - Melamarnya untuk Zaid dan penolakan Zainab

Untuk menghapuskan semua cerita mereka yang kita baca itu dari dasarnya, cukup kalau kita sebutkan, bahawa Zainab binti Jahsy ini adalah puteri Umaima binti Abdul Muthalib, bibi Rasulullah s.a.w. Dia dibesarkan di bawah asuhannya sendiri dan dengan bantuannya pula. Maka dengan demikian dia sudah seperti puterinya atau seperti adiknya sendiri. Rasulullah sudah mengenali Zainab dan sangat mengetahui apakah dia cantik atau tidak, sebelum dia dikahwinkan dengan Zaid. Dia sudah melihatnya sejak dari mula tumbesarannya, dari bayi yang masih merangkak hingga menjelang gadis remaja dan dewasa, dan dia juga yang melamarnya buat Zaid bekas hambanya itu.

Jadi, kalau orang sudah mengetahui semua ini, maka hancurlah segala macam khayalan dan cerita-cerita yang menyebutkan bahawa dia pernah ke rumah Zaid dan Zaid tidak ada di rumah, lalu dilihatnya Zainab, dia terpesona sekali melihat begitu cantik, dan seperti yang diceritakan di atas. Kalau perasaan cinta itu sedikit sebanyak sudah terlintas dalam hati, tentu dia akan melamar Zainab untuk dirinya sendiri dari dulu lagi, bukan untuk Zaid. Dengan melihat hubungan Zainab dengan Muhammad ini serta gambaran yang kita kemukakan di atas, maka segala macam cerita khayalan yang dibawa orang para orientalis itu, sudah tidak lagi dapat dipertahankan dan ternyata sama sekali memang tidak mempunyai asas yang benar.


Terpaksa menerima

Sejarah mencatat bahawa Muhammad telah melamar Zainab anak bibinya itu buat Zaid bekas hambanya. Abdullah bin Jahsy saudara Zainab menolak, kalau saudara perempuannya sebagai orang dari suku Quraisy dan keluarga Hasyim pula (keturunan bangsawan), di samping itu semua mereka masih sepupu Rasul dari pihak ibu akan berada di bawah seorang hamba yang dibeli oleh Khadijah lalu dimerdekakan oleh Muhammad. Hal ini dianggap sebagai suatu aib besar buat Zainab. Dan memang benar sekali hal ini di kalangan Arab ketika itu merupakan suatu aib yang besar sekali. Memang tidak ada gadis-gadis kaum bangsawan yang terhormat akan kahwin dengan bekas-bekas hamba sekalipun yang sudah dimerdekakan. Tetapi Muhammad justeru ingin menghilangkan segala macam pertimbangan yang masih berkuasa dalam jiwa mereka hanya atas dasar ashabiyyah (fanatisma) itu. Baginda ingin supaya orang mengerti bahawa orang Arab tidak lebih tinggi daripada yang bukan Arab, kecuali dengan takwa.

"Bahawa orang yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Tuhan ialah orang yang lebih bertakwa." (Surah Al-Hujuraat : Ayat 13)

Sungguhpun begitu dia merasa tidak perlu memaksa wanita lain untuk itu di luar keluarganya. Biarlah Zainab binti Jahsy, sepupunya sendiri itu juga yang menanggung, yang kerana telah meninggalkan tradisi dan menghancurkan adat-lembaga Arab, menjadi sasaran buah mulut orang tentang dirinya, suatu hal yang memang tidak mahu didengarnya. Juga biarlah Zaid, bekas hambanya yang dijadikannya anak angkat, dan yang menurut undang-undang adat dan tradisi Arab orang yang berhak menerima waris sama seperti anak-anaknya sendiri itu, dia juga yang berkahwin. Maka dia pun bersedia berkorban, kerana sudah ditentukan oleh Tuhan bagi anak-anak angkat yang sudah dijadikan anaknya itu. Biarlah Muhammad memperlihatkan desakannya itu supaya Zainab dan saudaranya Abdullah bin Jahsy juga mahu menerima Zaid sebagai suami. Dan untuk itu biarlah firman Tuhan juga yang datang:

"Bagi laki-laki dan wanita yang beriman, bilamana Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketentuan, mereka tidak boleh mengambil kemahuan sendiri dalam urusan mereka itu. Dan sesiapa yang tidak mematuhi Allah dan RasulNya, mereka telah melakukan kesesatan yang nyata sekali." (Surah Al-Ahzaab : Ayat 36)

Setelah turun ayat ini tak ada jalan lain buat Abdullah dan Zainab saudaranya, selain harus tunduk menerima. "Kami menerima, Rasulullah," kata mereka. Lalu Zaid dikahwinkan kepada Zainab setelah mas-kahwinnya oleh Nabi disampaikan. Dan sesudah Zainab menjadi isteri, ternyata dia tidak mudah dikawal dan tidak mahu tunduk. Malah dia banyak mengganggu Zaid. Dia membanggakan diri kepadanya dari segi keturunan dan bahawa dia katanya tidak mahu ditundukkan oleh seorang hamba.


Zaid mengadukan Zainab dan perceraian

Sikap Zainab yang tidak baik kepadanya itu tidak jarang diadukan kepada Nabi oleh Zaid, dan bukan sekali saja dia meminta izin kepadanya hendak menceraikannya. Tetapi Nabi menjawabnya: "Jaga baik-baik isterimu, jangan diceraikan. Hendaklah engkau takut kepada Allah." Tetapi Zaid tidak tahan lama bergaul dengan Zainab serta sikapnya yang angkuh kepadanya itu. Lalu diceraikannya.


Undang-undang pengaduan dalam Islam

Kehendak Tuhan juga kiranya yang mahu menghapuskan melekatnya hubungan anak angkat dengan keluarga bersangkutan dan asal-usul keluarga itu, yang selama itu menjadi anutan masyarakat Arab, juga pemberian segala hak anak kandung kepada anak angkat, segala pelaksanaan hukum termasuk undang-undang waris dan nasab, dan supaya anak angkat dan pengikut itu hanya mempunyai hak sebagai pengikut dan sebagai saudara seagama. Demikian firman Tuhan turun:

"Dan tiada pula Dia menjadikan anak-anak angkat kamu menjadi anak-anak kamu, itu hanya kata-kata kamu dengan mulut kamu saja, Tuhan mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan yang benar." (Surah Al-Ahzaab : Ayat 4)


Bagaimana Muhammad kahwin dengan Zainab

Ini bererti bahawa anak angkat boleh kahwin dengan bekas isteri bapa angkatnya, dan bapa boleh kahwin dengan bekas isteri anak angkatnya. Tetapi bagaimana caranya melaksanakan ini? Siapa pula dari kalangan Arab yang dapat membongkar adat-istiadat yang sudah turun-temurun itu. Muhammad sendiri sekalipun dengan kemahuannya yang sudah begitu keras dan memahami benar erti perintah Tuhan itu, masih merasa kurang mampu melaksanakan ketentuan itu dengan jalan mengahwini Zainab setelah diceraikan oleh Zaid, masih terlintas dalam fikirannya apa yang kira-kira akan dikatakan orang, kerana dia telah menolak adat lapuk yang sudah berurat berakar dalam jiwa masyarakat Arab itu. Itulah yang dikehendaki Tuhan dalam firmanNya:

"Dan engkau menyembunyikan sesuatu dalam hatimu yang oleh Tuhan sudah diterangkan, engkau takut kepada manusia padahal hanya Allah yang lebih patut kau takuti." (Surah Al-Ahzaab : Ayat 37)

Akan tetapi Muhammad adalah contoh teladan dalam segala hal, yang oleh Tuhan telah diperintahkan dan telah dibebankan kepadanya supaya disampaikan kepada umat manusia. Tidak takut dia apa yang akan dikatakan orang dalam hal perkahwinannya dengan isteri bekas hambanya itu. Takut kepada manusia tak ada ertinya dibandingkan dengan takutnya kepada Tuhan dalam melaksanakan segala perintahNya. Biarlah dia kahwin saja dengan Zainab supaya menjadi teladan akan apa yang telah dihapuskan Tuhan mengenai hak-hak yang sudah ditentukan dalam hal bapa angkat dan anak angkat itu. Dalam hal inilah firman Tuhan itu turun:

"....... Maka setelah Zaid meluluskan kehendak wanita itu, Kami kahwinkan dia dengan engkau, supaya kelak tidak menjadi halangan bagi orang-orang yang beriman kahwin dengan (bekas) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, bilamana kehendak mereka (wanita-wanita) itu sudah diluluskan, dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi." (Surah Al-Ahzaab : Ayat 37)

Ayat di atas merupakan perintah Allah agar Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menikahi Zainab dengan tujuan meluruskan pemahaman keliru tentang kedudukan anak angkat.

Rasulullah s.a.w mengutus seseorang untuk memberitahu Zainab tentang perintah Allah tersebut. Betapa gembiranya hati Zainab mendengar berita tersebut, dan majlis pernikahan pun segera dilaksanakan serta dihadiri warga Madinah.

Zainab mula memasuki rumah tangga Rasulullah dengan dasar wahyu Allah. Dialah satu-satunya isteri Nabi yang berasal dari keluarga dekatnya. Rasulullah tidak perlu meminta izin jika memasuki rumah Zainab sedangkan kepada isteri-isteri lainnya beliau selalu meminta izin. Kebiasaan seperti itu ternyata menimbulkan kecemburuan di hati isteri Rasul lainnya.

Orang-orang munafik yang tidak senang dengan perkembangan Islam membesar-besarkan fitnah bahawa Rasulullah telah menikahi isteri anaknya sendiri. Kerana itu, turunlah ayat yang berbunyi,

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi…. “ (Surah Al-Ahzaab : Ayat 40)

Inilah peristiwa sejarah yang sebenarnya berkaitan dengan soal Zainab binti Jahsy dan perkahwinannya dengan Muhammad. Zainab binti Jahsy adalah puteri bibi Rasulullah, sudah dilihatnya dan sudah diketahuinya sejauh mana kecantikannya sebelum dikahwinkan dengan Zaid, dan dia pula yang melamarnya buat Zaid, juga dia melihatnya selepas perkahwinannya dengan Zaid, kerana pada waktu itu tutup muka belum lagi menjadi amalan mereka. Sebelum menikah dengan Rasulullah, namanya adalah Barrah, kemudian diganti oleh Rasulullah menjadi Zainab setelah menikah dengan baginda.

Tentang Zainab, Aisyah berkata, “Semoga Allah mengasihi Zainab. Dia banyak menyamaiku dalam kedudukannya di hati Rasulullah. Aku belum pernah melihat wanita yang lebih baik agamanya daripada Zainab. Dia sangat bertakwa kepada Allah, perkataannya paling jujur, paling suka menyambung tali silaturrahim, paling banyak bersedekah, banyak mengorbankan diri dalam bekerja untuk dapat bersedekah, dan selalu mendekatkan diri kepada Allah. Selain Saudah, dia yang memiliki tabiat yang keras.”


Rujukan:

1 - Sejarah Hidup Muhammad s.a.w - Muhammad Husain Haekal.

2 - Dzaujatur-Rasulullah - Amru Yusuf.


«
Next
Catatan Terbaru
»
Previous
Catatan Lama


Artikel berkaitan:

1 komen:

  1. jika itu hak Allah tak der sapa perlu persoalkan nak beristeri lebih
    muliakan akhlak anda dan kemampuan anda,pimpin mereka ke syurga Allah

    BalasPadam

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Alam sekitar (10) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (48) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (112) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (2) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (24) Dunia Hiburan (127) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (346) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (52) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (26) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (91) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (35) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (57) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (191) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (59) Kristologi (47) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (5) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (49) Paranormal (28) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (19) Perubatan Islam (5) Polis (9) Politik (130) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (101) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (5) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (42) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (241) Teknologi Nano (7) Teori konspirasi (163) Time lapse (39) Timur Tengah (176) Tumbuhan (36) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (292) Wallpaper Islamik (39) Yahudi (10) Zionis (20)