Selasa, 7 Jun 2011

Apa kata mereka berkenaan 'Negara Berkebajikan'?

Konsep Membangun Negara Berkebajikan yang telah dicanangkan oleh PAS sejak Muktamar Tahunan PAS ke 57 lalu menimbulkan pelbagai kontroversi. Sedangkan konsep 'Negara Berkebajikan' itu bukan kali pertama ditimbulkan oleh PAS, tetapi pernah suatu masa dulu.

Pihak BN memperbesar dan memperkecohkan isu ini kerana selain dari isu video seks, mereka nampaknya tiada isu lain lagi yang kukuh untuk dijaja bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti.  Sedangkan ianya hanya slogan bagi sebuah negara, berlainan dengan slogan MENGUBAH nama Islam oleh Pak Lah dulu kepada Islam Hadhari, yang ternyata satu bid'ah dhalalah yang besar hingga membuatkan ramai yang keliru dan terjadi percakaran sesama Islam.

Begitu juga dengan UMNO yang tidak mahu melaksanakan Undang-undang Allah dari dulu sampai sekarang. Mahu disembunyikan ke mana perkara yang lebih besar lagi itu berbanding dengan hanya SLOGAN sebuah negara?

Kita dengar dulu apa kata mereka-mereka ini berkenaan isu Negara Berkebajikan.


Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata “Bentuk kepimpinan yang layak menunaikan amanah adalah kepimpinan yang menjadikan politik adalah amal yang tidak memisahkan agama dan politik.

“Pemikiran politik yang tidak berlandaskan Islam dengan sendiri akan mencemari politik Islam yang sebenar.”

Katanya lagi, kesilapan politik yang tidak mengabungkan antara Islam dan politik telah menumbuhkan penyakit-penyakit yang semakin berleluasa dalam pemerintahan BN dan UMNO hari ini seperti politik wang yang bermatlamatkan materealistik dalam pelbagai aspek.


Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mahu PAS segera mengadakan jawatankuasa pemandu bagi menggubal konsep negara kebajikan yang digariskan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar muktamar parti itu Jumaat lalu.

“Jawatankuasa ini perlu terdiri daripada profesional, ulama bebas, ahli politik terulung dan negarawan dan perlu bersidang dan keluarkan segera pelan rangka.

“Ini penting agar mereka di atas pagar, mereka yang tidak memihak mana-mana parti, profesional Muslim dan bukan Muslim boleh tertarik dengan agenda PAS,” katanya dalam kenyataan SMS mengenai agenda negara berkebajikan yang diketengahkan oleh Hadi Jumaat lalu. [Malaysian Insider]


Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa UMNO sudah lama memperjuangkan 'Negara Berkebajikan'. Perdana Menteri berkata perjuangan Umno dan BN selama ini menepati ciri-ciri negara kebajikan seperti dalam bidang pendidikan, kesihatan, subsidi makanan dan minyak yang semuanya sudah dinikmati oleh rakyat sejak sekian lama.

"Perubahan slogan tagline PAS yang bukan lagi untuk mewujudkan negara Islam tetapi negara kebajikan bukan perkara baru tetapi labelling baru saja," katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia di hari pertama lawatan rasminya ke Kazakhstan di Astana, Isnin. [Malaysia Kini]

Dr Zulkifli Noordin menulis dalam blognya, "Deklarasi YB Tuan Guru Haji Hadi bahawa PAS akan mengetepikan perjuangan penubuhan "Negara Islam" dan mengubahnya kepada slogan "Negara Kebajikan" adalah bukti jelas kenyataan diatas. Kesanggupan beliau menyatakan "konsep Negara Islam" tidak ada dalam Al Quran bagi menghalalkan perubahan dasar itu membuktikan kesanggupan Neo-PAS melakukan apa sahaja untuk memenuhi impian ke takhta Putrajaya. Ini adalah kenyataan daripada seseorang yang 30 tahun lepas sanggup mengisytiharkan UMNO sebagai kafir kerana tidak mahu melaksanakan hudud, qisas & ta'zir dan menolak penubuhan "Negara Islam". Sebab itu ada hadis Melayu menyebut "kalau nak meludah jangan ke langit, kerana kelak akan terkena muka sendiri!".

Melaksanakan "negara Islam" bermakna melaksanakan juga konsep kebajikan, sebab didalam Islam ada ciri kebajikan. Tetapi melaksanakan "negara kebajikan" belum tentu melaksanakan negara Islam, sebab bukan semua kebajikan itu Islamik. Abu Talib adalah antara manusia paling hebat membuat kebajikan; beliau membela, membesarkan, melindungi dan mempertahankan Rasulullah saw, tetapi beliau tetap kafir. Negara New Zealand dan Sweden adalah antara negara yang dikenali sebagai "welfare state", "negara kebajikan", tetapi mereka tetap negara kafir. Menukar slogan daripada "Negara Islam" kepada "Negara Kebajikan" adalah sekadar retorik politik, tetapi malangnya Al Quran dijadikan sandaran kepada retorik ini!!!" [zul4kulim.blogspot.com]


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata, “Saya melihat penolakan konsep Negara Islam satu isyarat jelas kepada rakyat bahawa PAS sanggup menggadai prinsip demi meraih kemenangan politik.”

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, “PAS sudah terpengaruh dengan DAP menyebabkan mereka sanggup menjual agama demi mencapai matlamat untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa, dan kalau soal Negara Kebajikan, BN sudah lama buat.”

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pula mengatakan, “Abdul Hadi tidak sebut soal Negara Islam kerana takut kepada pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang. Presiden PAS lebih nak jaga hati DAP. Ini satu tragedi dalam sejarah di mana PAS kini tersungkur dan menyembah DAP.” [Malaysia Today]


Konsep 'Negara Berkebajikan' bukannya pertama kali dilaungkan oleh PAS, tetapi pernah juga suatu ketika dulu. Walaupun begitu, ia tidak semestinya terus menolak konsep untuk menubuhkan 'Negara Islam', bukannya untuk menjual agama, bukannya takut kepada pemimpin DAP, tetapi ada langkah-langkahnya yang perlu disusun secara berhikmah. Saya nampak, PAS cuba melakukan yang terbaik , agar rakyat semua faham dulu bahawa Islam ini adalah untuk kebajikan, bukannya untuk memecah belah dan terlalu keras.


“Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan peringatan yang baik serta debatlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu lah Yang Maha Tahu siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Yang Maha tahu siapa yang mendapat petunjuk”.   (Surah An-Nahl  : ayat 125)


“Dan siapakah yang lebih bagus pernyataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah dan beramal shalih, serta menyatakan, ‘Aku adalah termasuk orang-orang muslim’.  (Surah Fushilat : ayat 33)


Untuk membaca kenyataan rasmi berkenaan Negara Berkebajikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebelum Pilihanraya Umum tahun 2008 dulu, sila ke laman web beliau di http://presiden.pas.org.my.


Adakah kerajaan BN sekarang melaksanakan Negara Berkebajikan?

Jika dilihat dengan mata kasar dan secara umum, usahkan kerajaan BN di Malaysia ini, kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan Israel pun MELAKSANAKAN Negara Berkebajikan. Mereka pun cuba membuat kebajikan kepada rakyatnya.

Ya memang Malaysia sekarang ini juga Negara Berkebajikan, tetapi bukan sahaja untuk rakyat malah lebih utama kepada pemimpin-pemimpinnya sendiri. Dengan kata lain, Negara Berkebajikan untuk Kerajaan sendiri.  Kerajaan diutamakan, rakyat dikemudiankan.

Dan cuba kita tanya IMAN kita, adakah mereka melaksanakannya mengikut apa yang diperintahkan oleh Tuhan semesta alam?  Adakah mereka melaksanakannya mengikut AlQuran dan AsSunnah?

Maka tak perlu saya hurai lebih banyak, kerana di sini pun sudah JELAS tentang Negara Berkebajikan yang macam mana yang perlu dilaksanakan.

Jika rasa tidak cukup lagi dengan kenyataan ini, baca lagi tulisan saya berkenaan Allah memberi jaminan, laksanakan Undang-undang Islam negara pasti aman.

Dengar dan hayatilah dengan sebaik mungkin ucapan pergulungan Presiden PAS di bawah ini dengan sebaik mungkin, jangan hanya dengar ucapan pendek-pendek dalam berita TV sahaja, sampai bila-bila lah anda tidak akan tahu perkara sebenar jika main dengar sikit-sikit begitu.


Ucapan Pergulungan Presiden PAS pada Muktamar PAS ke 57


Antara yang perlu diberi perhatian dalam ucapan Tok Guru Haji Abdul Hadi di atas, tentang kenapa tidak bekerjasama dengan UMNO?

Presiden PAS berkata bahawa DAP, Parti Keadilan tidak mempunyai KUASA memerintah, tetapi UMNO mempunyai kuasa memerintah dan menggubal UNDANG-UNDANG. Mengapa UMNO tidak menggubal lagi undang-undang British dan melaksanakan Undang-undang Islam. Itu yang menjadi masalahnya dengan UMNO! Yang ada kuasa sudah 50 tahun!


Antara nasihat lain yang menarik dan perlu diambil berat bersama ialah isu-isu fitnah yang melanda sekarang ini mesti ditangani dengan ILMU, bukannya dengan GERAM. Jangan terikut dengan parti lain.

Mesti menggunakan bahasa yang difahami dan uslub yang menarik untuk menarik pengundi. Jangan gunakan bahasa yang dapat halau pengundi.  Mesti menggunakan cara yang bijaksana , bukan yang bijaksini dan syok sendiri.

Perlu mendekati mereka-mereka yang tidak mengerti. Tunjukkan bahawa Islam adalah rahmat kepada seluruh alam. Kemudian Tok Guru Haji Abdul Hadi menyebutkan tentang Negara berkebajikan, iaitu antaranya ialah sebuah negara yang bukan ala komunis dan sosialis, bukan ala 'welfare state' yang diamalkan di negara barat.

Islam tidak menafikan hak individu, tidak boleh zalim, ada perhitungan dosa dan pahala. Berkebajikan bukan sahaja melibatkan projek-projek untuk menyenangkan rakyat, tetapi tidak membebankan rakyat dengan cukai-cukai yang tidak bertanggungjawab, kerajaan yang tidak tamak, pemimpin yang menjalankan tanggungjawab sebagai amanah dan kewajipannya.  Projek yang dibuat adalah duit rakyat, sama ada yang menyokong atau tidak menyokong, bukannya duit kerajaan.

Tok Guru memberi contoh-contoh pemerintahan pada zaman Nabi Yusuf, Nabi Sulaiman, Iskandar Zulkarnain. Wawasan negara berkebajikan bukan hanya sampai ke tahun 2020, tetapi wawasannya ialah hingga ke akhirat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.