Berita Terkini

Sejarah Undang-undang Islam di Malaysia

Undang-undang Islam di Malaysia picture
Hukum / Undang-undang Islam telah pun dijalankan di Tanah Melayu ini sebelum kedatangan penjajah dahulu. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib, Islam mula diterima di Melaka pada tahun 812 hijrah (1409 Masihi). Ini menjadikan Melaka sebagai kesultanan Melayu Islam pertama di tanah air ini.

Parameswara telah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Iskandar Syah. Baginda diIslam kan oleh seorang pendakwah dari Jeddah yang bernama Sayyid Abd Aziz.

Ketahuilah bahawa, Kesultanan Melayu Melaka ini telah menjadikan Undang-Undang Islam sebagai undang-undang negara. Dan usaha untuk mengkanunkan undang-undang ini telah dimulakan sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1422 - 1444) dan dilengkapkan di dalam zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 - 1450). Hukum kanun Melaka meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir.

Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin  bahawa Undang-undang Melaka itu pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam qanun tersebut;

"Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil AlQuran dan menurut amar bil ma'ruf wa nahi munkar"

Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal , Kitab Undang-undang Melaka dari Muzium British, mengandungi 44 fasal dan Undang-undang Melaka yang diselenggarakan oleh Liaw Yock Fang , mengandungi 44 fasal, setelah diteliti dan dikaji, dapatlah disimpulkan bahawa , Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafie.  

Walaupun tidak dinafikan bahawa di dalamnya terdapat juga unsur-unsur Undang-undang Adat Melayu, namun demikian ianya tidaklah menjejaskan sifat keIslamannya. Peruntukan-peruntukan undang-undang yang terdapat di dalamnya adalah menyeluruh dan luas, ianya mencakupi keseluruhan undang-undang Islam.

Pada mulanya undang-undang adat telah diikuti, akan tetapi apabila orang Melayu mula menganuti agama Islam, maka undang-undang Islam telah diterima dan adat Melayu mula diubah-suaikan supaya tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.


Undang-undang Islam dan adat

Sungguh pun adat tidak menjadi suatu sumber undang-undang Islam, akan tetapi Islam membolehkan adat diterima dan diikuti oleh penganut-penganut agama Islam, selagi adat itu tidak bercanggah dengan undang-undang Islam itu sendiri.

Mana-mana adat yang dianggap baik, bermanfaat dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam boleh diterima dan dijadikan amalan oleh orang-orang Islam. Dengan cara ini, adat dapat diserapkan ke dalam undang-undang Islam.

Cara menyelesaikan perselisihan yang timbul antara undang-undang Islam dan undang-undang adat telah dijelas kan oleh As Suyuti dalam kitabnya Al Asybah wan nazho-ir. Kaedah-kaedah yang disebutkan oleh As Suyuti adalah;

1 - Adat hanya dikira jika didapati ianya diamalkan berterusan.

2 - Jika terjadi perselisihan antara adat dan pendapat agama Islam, maka adat boleh diikuti, jika tidak terdapat hukum di dalam Syariah yang jelas.

Misalnya jika si A bersumpah bahawa dia tidak mahu makan daging, dia tidak dianggap melanggar sumpahnya jika dia makan ikan, sungguhpun ikan dinamakan daging di dalam AlQuran (16:14).

3 - Jika terdapat perselisihan antara adat dan hukum syara' yang jelas dan tepat, maka hukum syara' mestilah diikuti.

Misalnya, jika Y bersumpah bahawa dia tidak akan berkahwin, dia akan melanggar sumpah itu hanya apabila dia mengadakan akad nikah dan tidak dengan persetubuhan sahaja.

4 - Adat boleh diamalkan jika terdapat syarat-syarat Hukum Syara' itu dalam bentuk am sahaja dan tidak dijelaskan dengan tepat.

5 - Mengenai adat pula, jika ada pertelingkahan antara adat am dan adat khas, maka adat khas itu hanya sah jika ia tidak tersekat amalannya. Umpamanya, jika ianya diamalkan oleh seorang sahaja dan bukan oleh sesuatu puak.


Proses penyesuaian agama dan adat telah diganggu dan terbantut oleh pengaruh kerajaan British (satu cabang dari Illuminati). Seperti yang disebutkan oleh R.J Wilkinson dalam bukunya, "Tidak syak lagi undang-undang Islam pada akhirnya akan menjadi undang-undang negeri Melayu jika undang-undang Inggeris tidak menghalangnya."

"There can be no doubt that Muslim Law would have ended by becoming the law of Malaya had not British law stepped in to check it"



Undang-undang Melayu

Di zaman kesultanan Melayu dalam abad sebelum datangnya British ke negeri-negeri Tanah Melayu terdapat beberapa kumpulan undang-undang Melayu. R.O. Winstedt telah membahagikan kumpulan undang-undang Melayu itu kepada 3 jenis

a) Undang-undang Minangkabau

b) Undang-undang Melaka

c) Undang-undang Islam

Di antara 3 jenis undang-undang ini, ternyata undang-undang Melaka mempunyai banyak pengaruhnya. Ia telah dikumpulkan pada mulanya di Melaka dan kemudiannya telah diubahsuaikan dan digunapakai di Kedah, Pahang, Johor, Riau, Pontianak dan Brunei. Undang-undang yang kemudiannya dinamakan Undang-undang Johor, Undang-undang Pahang atau Undang-undang Kedah adalah berasal dari Undang-undang Melaka.

Undang-undang Melaka adalah kumpulan dari beberapa undang-undang dan ia mengandungi;

1 - Undang-undang Melaka yang asal

2 - Undang-undang Laut

3 - Undang-undang keluarga Islam

4 - Undang-undang Jual beli dan acara Islam

5 - Undang-undang Negeri

6 - Undang-undang Johor


Undang-undang Melaka itu telah mula dikumpulkan pada zaman Sultan Muhammad Syah (1424 - 44) dan dilengkapkan dalam zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 - 1458).

Bahagian Undang-undang Islamnya telah dimasukkan kemudian sedangkan Undang-undang Negeri mula dimasukkan pada awal kurun ke 16 Masehi, dan Undang-undang Johor disadurkan pada zaman Sultan Mahmud Syah (1761 - 1821).

Di dalam bahagian pertama Undang-undang Melaka lama, kita dapati pengaruh Undang-undang Adat masih kuat sungguhpun ternyata kesan Undang-undang Islam telah mula meresapi masyarakat Melayu. Selain dari memperuntukkan undang-undang mengenai hak dan keistimewaan raja-raja, perlantikan dan tugas menteri-menteri dan pembesar-pembesar, bahagian itu menyebut juga mengenai kesalahan-kesalahan.

Mengikut fasal 5:1 mengenai "orang membunuh dengan tidak setahu raja-raja atau orang-orang besar, jika dibunuhnya dengan tiada dosanya sekalipun, dibunuh pula ia pada buku Allah, maka adil namanya". Tetapi di dalam adat terdapat beberapa kecualian;

a) 5.3  Adapun jikalau membunuh madunya, maka ia lari ke dalam kampung orang, maka diikutnya oleh empunya madu itu, maka berkelahi dengan empunya kampung itu, maka jikalau ia melawan, maka terbunuh yang mengikut itu, mati saja dengan tiada hukum lagi. Itulah adatnya negeri, tetapi pada hukum Allah, yang membunuh itu dibunuh juga hukumnya, kerana menurut dalil Quran dan menurut amr bil ma'ruf wan nahi anil munkar.

b)  8.3  Adapun hukum orang memaki orang: Jikalau abdi memaki merdehika digocoh hukumnya atau ditanggalkan giginya, itulah hukumnya. Adapun jikalau merdehika memaki isteri abdi, tiadalah lagi salahnya pada adatnya, kerana hukum anak isteri itu tiada dapat dipermudah-mudah pada hukum qanun, tetapi kepada hukum Allah bersalahan,  yang membunuh itu , fardhu dibunuh pula, supaya jangan tertanggung haknya itu kepada kita.


Mengenai kesalahan zina pula, Undang-undang Melaka memerintahkan;

12.2 Demikian lagi menangkap  orang, maka lalu diwati'nya perempuan itu, pun sepuluh emas dendanya kerana menggagahi orang. Demikianlah hukumnya atas pihak qanun hukumnya. Adapun tiada dapat ia menangkap dan menggagahi orang. Jikalau ada orang merdehika yang ditangkapnya itu, maka lalu diwati'nya perempuan itu, maka diberinya tahu kepada hakim maka dipanggil oleh hakim, disuruh kahwinkan. Jikalau ia tidak mahu kahwin didenda tiga tahil sepaha dengan isi kahwinnya adat hamba raja. Adapun pada hukum Allah, jikalau ia muhsan direjam. Adapun erti muhsan itu perempuan yang berlaki, jikalau laki-laki yang ada beristeri, itulah erti muhsan. Jikalau ghair muhsan, dipalu delapan puluh palu dengan hukum dera. Itulah hukumnya dengan tiada bersalahan lagi.


Mengenai orang yang menuduh orang zina, Undang-undang Melaka memperuntukkan;

12.3  Pada hukum Allah didera delapan puluh kali deranya. Jikalau pada hukum qanun didenda sepuluh tahil.


Bahagian Ketiga dalam Undang-undang Melaka menyebutkan tentang undang-undang Islam mengenai wali, ijab qabul pada kahwin, saksi, khiar, talak dan orang-orang yang boleh dikahwin. Bahagian ini adalah mengikuti undang-undang Islam dan ianya mungkin diterjemahkan dari kitab Abu Syuja' iaitu At Taqrib.

Begitu juga Bahagian Keempat dalam Undang-undang Melaka menyebutkan Undang-undang Islam mengenai jual-beli, orang muflis atau bankrap, pinjam-meminjam, amanah, ikrar, murtad dan acara. Bahagian ini mungkin diterjemahkan dari kitab Abu Syuja' iaitu At Taqrib, Ibn Al Qasim Al Ghazzi iaitu Fath Al Qarib dan Ibrahim Al Bajuri iaitu Hasyia Alal Fath Al Qarib.

Ada terdapat beberapa peruntukan dalam bahagian ini berlawanan dengan peruntukan di Bahagian Pertama dimana undang-undang adat telah disebutkan. Umpamanya ;

- Fasal 37 - 38 mengenai saksi-saksi dan acara adalah berlawanan dengan Fasal 14.

- Fasal 39 mengenai pembunuhan adalah berlawanan dengan Fasal 5 - 9.

- Fasal 40 mengenai zina dan liwat adalah berlawanan dengan Fasal 12.

- Fasal 41 mengenai memaki adalah berlawanan dengan Fasal 12:3

Jelaslah Undang-undang Melaka dalam bahagian ini memperuntukkan Undang-undang Islam mengenai pembunuhan, zina, tohmah dan minum arak.

Bahagian Kelima Undang-undang Negeri menyebut tentang tugas raja dan tugas rakyat dan tentang binatang yang masuk kawasan orang lain, hukum dapat barang yang ditinggal, rogol , rampasan, judi dan hutang.

Bahagian Keenam adalah tambahan yang dibuat di Johor mengenai hamba raja dan kesalahan anak-anak raja.


Pengaruh Islam dalam Undang-undang Kedah

1 - Penentuan tarikh

2 - Undang-undang yang disuruh buat oleh raja adalah untuk negeri Islam.

3 - Terdapat peruntukan memberi kuasa kepada syahbandar dan mata-mata menangkap pesalah dan dihukum dengan ta'zir raja.

4 - Orang yang makan di khalayak ramai dalam bulan puasa ditangkap dan diberi makan rumput di hadapan balai atau dipukul atas kadarnya.

5 - Hukum berkaitan jual-beli, timbang-menimbang dan sukat-menyukat hendaklah sama berdasarkan nas "aufu mikyala wal mizana".

6 - Menjelaskan peranan masjid.

7 - Segala hukum bersesuaian dengan Islam dan diberitahu kepada rakyat setahun sekali.

8 - Sebutan tentang 'tanah mati' yang menjadi hak Allah Ta'ala dan seterusnya menjadi hak raja.

9 - Disebut 4 syarat raja-raja iaitu ;

a) Manis mukanya sentiasa bertitah pada segala hamba yang di bawahnya.

b) Titah tiada berubah-ubah

c) Kerja kebajikan disuruh segera kerjakan tiadalah kejahatan.

d) Kerja kejahatan disuruh beri jadikan kebaikan. Tatkala tetaplah 4 perkara ini Allah S.w.t menetapkan masanya raja-raja itu.

10 - Terdapat juga hukum-hukum bagi kesalahan membunuh, qazaf, mencuri, pinjam-meminjam matrimoni, khiar, talak, berniaga yang haram, ikrar, murtad, syarat menjadi saksi dan hukum bersumpah yang selaras dengan hukum Islam.



Pengaruh British

Tidak dapat dinafikan bahawa kedatangan penjajah Inggeris / British dan campur tangannya di Tanah Melayu adalah bertujuan untuk menguasai ekonomi, politik, pentadbiran dan undang-undang di negara ini. Penjajah Inggeris menduduki Pulau Pinang dalam tahun 1786, Singapura 1819 dan Melaka pada tahun 1824.

Setelah itu, dengan perjanjian bahawa Sultan bersetuju menerima seorang Residen British yang akan menasihati Sultan dalam semua perkara berhubung dengan pemerintahan kecuali dalam hal yang berkaitan dengan agama dan adat orang-orang Melayu, nasihat Residen British ini mestilah diikuti oleh Sultan. Perjanjian pertama yang dilakukan ialah Perjanjian Pangkor pada 1874 di antara Sultan Perak iaitu Raja Abdullah ibni Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah dan pembesar-pembesar Melayu di Perak bagi satu pihak dan kuasa British yang diwakili oleh Sir Andrew Clarke bagi pihak yang kedua.

Penjajah Inggeris memasuki negeri Perak mulai 20 Januari 1874, negeri Selangor mulai Ogos 1874, menyatukan kesembilan negeri di dalam satu persekutuan pada tahun 1895 di bawah pemerintahan Yang Di Pertuan Besar dan seorang Residen Inggeris sebagai penasihat di Negeri Sembilan, dan dalam tahun 1888 di negeri Pahang.

Penjajah Inggeris kemudiannya bertindak campur tangan di negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu melalui Perjanjian Bangkok pada 9 Julai 1909.

Melalui perjanjian tersebut, Kerajaan Siam memindahkan segala hak kekuasaannya ke atas keempat-empat buah negeri itu kepada Inggeris, sementara Pattani diserahkan kepada Siam. Dalam tahun 1914 negeri Johor pula menerima Penasihat Inggeris. Dengan yang demikian sempurnalah sudah seluruh Tanah Melayu, selain Pattani, dijajahi oleh Inggeris.

Menurut pakar undang-undang, penjajah Inggeris mengenepikan undang-undang Islam dan adat Melayu dan menggantikannya dengan undang-undang Inggeris di Tanah Melayu (yang telah dijajah itu) adalah dengan dua cara, iaitu pertamanya dengan mengadakan undang-undang yang memerlukan undang-undang Inggeris itu diikuti dan yang keduanya dengan mengadakan mahkamah diketuai oleh hakim-hakim yang dapat mentadbir dan ada kalanya memasukkan undang-undang Inggeris.


Kita tertipu

British dulu sudah merancang rapi, mereka meletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam ialah agama rasmi negara. Mereka beri peluang kepada rakyat Malaysia membina masjid, musabaqah Al-Quran, membaca al-Quran dan sebagainya, kerana mereka tahu jika mereka TIDAK MEMBENARKAN semua itu, rakyat akan memberontak.

Maka mereka telah mengambil hati dan menjinakkan rakyat negara ini dengan mengaburkan mata kita yang beragama Islam dengan memberi beberapa kelepasan. Akan tetapi kita semua tidak sedar, bahawa di dalam Perlembagaan, ada ditulis bahawa "Semua undang-undang yang ada tidak boleh berlawanan dengan perlembagaan[4]. Dengan tidak memberikan pengecualian kepada al-Quran langsung.

BERMAKNA,  undang-undang yang ada di dalam al-Quran pun akan TERBATAL jika ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan  Dengan kata lain, Perlembagaan Persekutuan telah MEMBATALKAN Undang-undang Allah, astaghfirullah.

Di tempat yang lain pula di tulis dalam perlembagaan negara bahawa "Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara". [4] Ini bermakna, Undang-undang dalam al-Quran adalah LEBIH RENDAH dari Perlembagaan Persekutuan. Dan lain-lain lagi.  Apakah kita sebagai seorang yang mengaku Muslim boleh BERSETUJU begitu saja Undang-undang Allah direndahkan sebegitu rupa? Astaghfirullah, insaflah wahai saudara-saudariku.

Bersambung ke Kedudukan Undang-undang Islam sebelum kedatangan penjajah


Rujukan:


1 - Ke arah Islamisasi Undang-undang di Malaysia - Prof Amiritus Ahmad Ibrahim & Prof Madya Dr Mahmud Saedon Awang Othman
2 - Perkembangan Undang-undang Islam di Kedah - Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah & Mohd Afandi Salleh
3 - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu
4 - Perlembagaan Persekutuan.



Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.