Berita Terkini

Kedudukan Undang-undang Islam sebelum kedatangan penjajah

....... Bersambung dari tajuk Sejarah Undang-undang Islam di Malaysia.

Sebelum kedatangan penjajah barat, Undang-undang Asas dan Dasar Negara bagi negara ini adalah Undang-undang Islam. Undang-undang ini telah dikumpulkan dan diqanunkan, ianya menjadi rujukan dan asas undang-undang negara, dilaksanakan dan dikuatkuasakan, ianya dikenali sebagai "Undang-undang negeri" atau lebih dikenali dengan nama "Hukum Qanun Melaka" atau "Undang-undang Melaka". Pengumpulannya bermula di zaman Sultan Muhammad Syah (1422 - 1444) dan dilengkapkan di dalam zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 - 1450 M).

Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin, bahawa Undang-undang Melaka ini pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam Qanun tersebut;

Qanun ini telah menegaskan bahawa:  "Mengikut Hukum Allah, pada Hukum Allah, menurut dalil Al-Quran dan menurut amar bil-ma'ruf wa nahi munkar."

Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal, Kitab Undang-undang Melaka dari muzium British mengandungi 44 fasal dan Undang-undang Melaka yang diselenggarakan oleh Liaw Yock Fang mengandungi 44 fasal. Setelah diteliti dan dikaji, dapatlah disimpulkan bahawa, Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafi'e.

Walaupun tidak dinafikan bahawa terdapat juga di dalamnya unsur-unsur adat Melayu, namun demikian ianya tidaklah menjejaskan sifat ke-Islamannya. Peruntukan-peruntukan undang-undang yang terdapat di dalamnya adalah menyeluruh dan luas, ianya mencakupi keseluruhan Undang-undang Islam.

Undang-undang Jenayah

Sebagai contoh, Undang-undang Jenayah yang terdapat di dalam Undang-undang Qanun Melaka ini adalah menyeluruh pada dasarnya. Ianya mengandungi 4 bahagian iaitu; Hukum Hudud, Qisas, Ta'zir dan Diat.

Hukum Qisas terdapat di dalam peruntukan-peruntukan fasal; 5:1, 3 / 8:2, 3 / 18:4 dan 39.

Hukum Hudud dan Diat bagi kesalahan zina, liwat, berhubung jenis dengan binatang (bestialiti), kesalahan melakukan Qazaf, kesalahan murtad, meninggalkan sembahyang, mencuri, minum arak, merompak sambil membunuh, menderhaka kepada pemerintah yang adil, membunuh hamba, membunuh dengan tidak sengaja, mencederakan seseorang dengan tidak sengaja, merosakkan harta benda bukan miliknya.

Hukuman Ta'zir diperuntukkan bagi kesalahan-kesalahan seperti mencuri tebu, pisang, sirih, buah-buahan dan sebagainya, bercumbu-cumbuan, melakukan tuduhan palsu dan menawar tunang orang.

Undang-undang Mu'amalat

Hukum Qanun Melaka telah memperturunkan di dalam Undang-undang Mu'amalatnya rukun dan syarat sah jual beli, pinjam-meminjam, pengharaman riba dan juga syarat-syarat amanah.

Undang-undang Keluarga

Hukum Qanun Melaka juga telah memperuntukkan hukum-hukum mengenai perkahwinan, perceraian, perkara-perkara yang berhubung dengan wali, saksi nikah, akad, hak pembatalan perkahwinan orang Islam dengan bukan Islam dan hukum perkahwinan orang merdeka dengan hamba.

Undang-undang Acara, Keterangan dan Adab Qadhi

Hukum Qanun Melaka juga telah membuat peruntukan-peruntukan berhubung dengan Undang-undang Acara, keterangan dan adab yang dikenakan kepada Qadhi. Peruntukan-peruntukan ini meliputi suluh, tuntut-menuntut harta, pinjaman, kesaksian, syarat dan rukun-rukunnya, sumpah, pendakwaan, iqrar dan adab Qadhi.

Undang-undang Pentadbiran dan Pemerintahan

Hukum Qanun Melaka juga tidak ketinggalan untuk menyentuh perkara-perkara berhubung dengan asas pentadbiran dan pemerintahan. Di dalam Hukum Qanun ini memperuntukkan syarat-syarat raja dan sifat-sifatnya.

Dari kenyataan di atas, adalah jelas bahawa Undang-undang Islam telah dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh Empayar Melaka, ianya meliputi seluruh aspek perundangan, iaitu Undang-undang Jenayah, Mu'amalat, Keluarga, Acara, Keterangan dan adab Qadhi, Kehakiman dan juga Undang-undang Pentadbiran dan Pemerintahan. Ianya merupakan undang-undang negara yang berdaulat dan berwibawa, ditaati dan dipatuhi oleh penduduk dan rakyat Empayar Melaka dan dikuatkuasakan ke seluruh negara.

Pengaruh Undang-undang Qanun Melaka

Undang-undang Qanun Melaka ini mempunyai pengaruh yang besar dan berkesan di negeri-negeri Melayu di bawah pemerintahan Empayar Melaka dan di negeri-negeri yang berjiran dengannya, seperti Undang-undang Negeri Johor, Undang-undang Negeri Kedah, Undang-undang Negeri Pahang, Undang-undang 99 Negeri Perak, Undang-undang Sungai Ujung, malah lebih jauh dari itu, hingga ke timur Melaka seperti Brunei (yang satu ketika menjadi sebuah kuasa besar di rantau ini) dan Pontianak.

Hukum Qanun Melaka
Sumber gambar dari Perpustakaan Negara Malaysia

Adalah jelas, negeri-negeri tersebut telah menjadikan undang-undang Qanun Melaka sebagai asas kepada undang-undang di negeri mereka, berasaskan Undang-undang Islam. Walaupun Melaka jatuh ke tangan penjajah Barat pada tahun 1511 M, namun kesan dan pengaruh undang-undangnya tetap tidak terjejas, malahan masih tersebar luas di rantau ini.

Sementara itu pula, undang-undang yang dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu sebelum kedatangan Inggeris ialah Undang-undang Islam.

Umumnya, Undang-undang Islam menjadi undang-undang dasar bagi negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan penjajah Barat, malahan pada permulaan kedatangan Inggeris, Undang-undang Islam masih lagi menjadi undang-undang dasar negara dan ianya adalah dikuatkuasakan.

Dalam kes Laton dan Rahmah (1927) F.M.S.L.R. 6 (128) Hakim Acton dan Hakim Thomas telah berkata bahawa Undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing di negeri-negeri Melayu, akan tetapi ianya adalah undang-undang tempatan dan undang-undang negeri.

Adalah jelas bahawa, tidak benar dan kurang tepat untuk mengatakan bahawa, sebelum kedatangan Inggeris tidak wujud undang-undang yang berdaulat dan berwibawa di negara ini.

Kemasukan Undang-undang Inggeris

Dengan kedatangan Inggeris ke rantau ini, dan berjayanya penjajah Inggeris menguasai negeri-negeri Melayu, bererti masuknya pengaruh Undang-undang Inggeris ini, telah mengembang dan mendalam hingga ia berjaya memperkecilkan peranan Undang-undang Islam, yang tadinya menjadi undang-undang asas dan dasar bagi negeri-negeri Melayu, akhirnya Undang-undang Islam hanya dilaksanakan dalam bidang yang sempit, seperti nikah cerai, pembahagian harta pusaka dan hal-hal yang berhubung dengan kekeluargaan.

Untuk menjamin dan memastikan pemakaian Undang-undang Inggeris dan penafian sebahagian besar Undang-undang Islam, dan supaya Undang-undang Inggeris menjadi undang-undang negara, pihak penjajah Inggeris telah menggunakan 3 cara;

1 - Melalui keputusan hakim

Hakim-hakim British yang mendengar dan memutuskan kes-kes di mahkamah adalah berdasarkan Undang-undang Inggeris yang berasaskan undang-undang Common Law dan kaedah ekuiti mereka.  Mereka ini adalah orang-orang yang berpengalaman dan arif dalam bidang ini. Mereka menjadikan Undang-undang Inggeris sebagai rujukan, keputusan mereka pula adalah mengikat dan terpakai sebagai "duluan yang mengikat."

2 - Melalui perundangan

Di atas nasihat British yang nasihatnya adalah wajib diterima, beberapa Undang-undang Inggeris dari India telah dibawa ke negeri-negeri Melayu dan dikuatkuasakan sebagai undang-undang negeri ini, seperti Contract Ordinance, Guidance Ordinance dan Penal Code.

3 - Penubuhan Majlis Mesyuarat Negeri

Majlis Mesyuarat Negeri yang ditubuhkan telah diberikan kuasa membuat undang-undang berasaskan undang-undang ciptaan manusia, umumnya, undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh majlis ini adalah berdasarkan Undang-undang Inggeris.


Sebagai kesan langsung dari pengaruh perundangan Inggeris ini ialah peranan Mahkamah Syari'ah juga semakin kerdil dan kecil, bidang kuasanya menjadi sempit dan tarafnya juga menjadi rendah, akhirnya Undang-undang Islam yang pada mulanya menjadi undang-undang dasar dan teras di dalam pentadbiran negara menjadi lemah, tersisih dan tidak berdaya. Ianya tidak diambil kira di dalam menentukan dasar keadilan negara dan perundangannya, bidang kuasa Qadhi dan Mahkamah Syari'ah yang luas dan menyeluruh telah diperkecilkan dan dipersempitkan. Tarafnya yang tinggi telah direndahkan malah diatasi oleh Mahkamah Awam dan hakim-hakimnya. Keadaan ini berterusan walaupun negara telah mencapai kemerdekaannya dari penjajah British.

[Petikan dari tulisan Ke arah mempertingkatkan Mahkamah Syari'ah oleh Prof. Madya Dr. Mahmud Saedon Awang Othman, Kuliah Undang-undang, UIA, dari buku Ke arah Islamisasi Undang-undang di Malaysia]

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (54) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (49) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (334) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.