Berita Terkini

Nasihat-nasihat Umar al-Khattab berkenaan Menjaga Lidah

Flowing Dandelion wallpaper
Membicarakan hal-hal yang tidak berguna

Umar r.a berkata; "Janganlah kamu mendatangi sesuatu yang tidak penting bagimu. Asingkan dirimu dari musuhmu. Waspadalah untuk membicarakan sesuatu dengan temanmu, kecuali terhadap orang-orang yang dipercayai. Dan tiada orang yang dipercayai kecuali orang yang takut kepada Allah Ta'ala.

Janganlah kamu berteman dengan orang yang zalim, sehingga membuatkan kamu tahu akan kezaliman dan kedurhakaannya. Jangan kamu perlihatkan rahsiamu kepadanya. Dan musyawarahkan urusanmu dengan orang-orang yang takut pada Allah Ta'ala." [1]


Pertengkaran dan berbantah-bantahan

Umar r.a berkata; "Janganlah kamu mempelajari ilmu kerana tiga perkara, dan jangan pula kamu meninggalkan (dari mempelajarinya) kerana tiga perkara, iaitu; 

Janganlah kamu belajar dengan tujuan untuk berbantah-bantahan, untuk membanggakan diri, dan jangan pula kamu menuntut ilmu hanya untuk mencari populariti (riya').

Dan jangan lah kamu meninggalkan dari belajar kerana malu menuntut ilmu, jangan pula kerana zuhud terhadap ilmu, dan jangan pula kerana rela menjadi orang yang bodoh (jahil)." [2]


Muka berseri dan perkataan lemah-lembut

Umar r.a berkata, "Berbuat kebaikan itu sangatlah mudah, iaitu boleh dengan muka yang berseri-seri dan perkataan yang lemah-lembut." [3]


Bermain kata-kata dengan berlagak fasih

Umar r.a berkata, "bahawa pemaksaan keindahan kata-kata dengan lagaknya yang fasih merupakan gaya syaitan."

Rasulullah S.a.w bersabda;

 أَلا هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

"Perhatikanlah, bahawa celakalah orang-orang yang mendalam-dalamkan dan memfasih-fasihkan perkataan." Beliau mengulanginya sampai tiga kali. [HR Muslim]

Demikian itu termasuk bahaya lisan. Termasuk di dalamnya, apa saja yang dipaksakan dan difasih-fasihkan melebihi gaya bicara yang sewajarnya. Begitu pula membuat sajak-sajak secara dipaksa hanya untuk menghias pembicaraan, juga tercela.

Sedangkan perkataan yang indah dan menarik dalam berpidato atau dalam memberikan peringatan, maka tidaklah tercela, asalkan tidak berlebih-lebihan dan tidak terlalu dibuat-buat. Kerana kata-kata yang manis lebih memberikan kesan yang mendalam bagi pendengar.

Adapun kata-kata untuk memenuhi keperluan dan memudahkan urusan duniawi, tidak sepatutnya disampaikan dalam bentuk sajak atau syair secara berlebihan dengan berlagak fasih. Sebab jika kamu melakukan hal demikian, maka dipastikan tujuanmu bukan agar pendengar faham, tetapi tidak lebih dari riya', agar dilihat fasih, ahli sastera. Maka yang demikian ini, dipandang tercela oleh syariat dan mesti dijauhi. [4]


Senda gurau

Umar r.a berkata, "Barangsiapa yang banyak tertawa, tentu menjadi kurang disegani. Barangsiapa yang suka bergurau, tentu dia dipandang ringan. Barangsiapa memperbanyakkan sesuatu, tentu dia menjadi terkenal dengan sesuatu itu. Barangsiapa banyak perkataannya, maka akan banyak salahnya. Barangsiapa sedikit rasa malunya, tentu sedikit wara'nya. Dan barangsiapa yang sedikit wara'nya, tentu mati hatinya. Kerana tertawa itu menunjukkan kelalaian kepada akhirat."

Nabi S.a.w bersabda;

لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلاً وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا

"Kalaulah kalian tahu apa yang aku tahu, nescaya kalian akan sedikit ketawa dan banyak menangis." [HR Bukhari dan Muslim]

Umar r.a berkata, "Tahukah kamu, mengapa bergurau itu dinamakan senda gurau?" Mereka menjawab, "Tidak." Lalu Umar r.a berkata, "Kerana senda gurau itu menjauhkan pelakunya dari kebenaran."

Ada yang mengatakan, bahawa setiap sesuatu itu mempunyai permulaan, sedangkan permulaan permusuhan itu adalah senda gurau. Dikatakan pula bahawa bergurau itu menghilangkan kewibawaan dan memutuskan hubungan dengan teman-teman.

Apabila anda bertanya, bahawa terdapat riwayat yang menyatakan sesungguhnya Rasulullah S.a.w dan sahabatnya juga pernah bergurau, maka bagaimana mungkin bergurau itu dilarang?

Aku (Al-Ghazali) menjawab, "Jikalau kamu sanggup bergurau sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.a.w dan para sahabatnya, iaitu kamu bergurau dan tidak mengatakan selain yang benar, tidak menyakiti hati orang lain, dan tidak berlebih-lebihan dalam bergurau, serta kamu bergurau hanya sekali tempo dan itupun sedikit sekali. Jika kamu dapat melakukan sedemikian, maka tentu tidak berdosa.

Tetapi termasuk kesalahan besar, apabila seseorang menjadikan bergurau itu sebagai sebuah profesion (kerjaya) atau kebiasaan yang dilakukan secara rutin dan berlebih-lebihan dalam melakukannya. [5]


Baik pekerti, jujur, amanah

Umar r.a berkata, "Orang yang paling kami cintai sebelum kami mengenalnya ialah orang yang paling baik namanya. Jika kami telah mengenalnya, maka yang paling kami cintai ialah yang paling baik budi pekertinya. Jika kami telah berbicara dengannya, maka yang paling kami cintai ialah yang paling jujur perkataannya dan paling besar amanahnya." [6]


Mengumpat

Umar r.a berkata, "Berzikirlah kepada Allah Ta'ala, kerana zikir itu sungguh merupakan ubat. Dan jauhilah mengumpat orang lain, kerana mengumpat itu sungguh merupakan penyakit."

Umar r.a berkata, "Tidak ada kehormatan bagi orang yang berbuat derhaka." Maksudnya ialah, orang yang secara terang-terangan memperlihatkan kefasiqannya, bukan orang yang menutupi kefasiqannya. Jika seseorang itu menutupi kefasiqannya, maka kita harus menjaga kehormatannya."

Hasan al-Basri berkata, "Membicarakan tiga golongan manusia berikut tidaklah termasuk mengumpat, iaitu orang yang selalu memperturutkan hawa nafsunya, orang fasiq yang memperlihatkan kefasiqannya secara terang-terangan, dan pemimpin yang zalim. Kerana ketiga golongan itu telah melakukan kederhakaan, kefasiqan dan kezaliman secara terang-terangan, bahkan boleh jadi mereka bangga dengan apa yang dilakukannya itu."  [7]

Sila ikuti juga pembahasan mengenai Mengumpat yang dibolehkan oleh Imam an-Nawawi rhm.


Pujian atau sanjungan

Umar r.a pernah mendengar seseorang memuji orang lain. Lalu dia bertanya kepadanya, "Apakah kamu pernah keluar bersamanya?" Orang yang memuji itu menjawab, "Tidak." Umar bertanya lagi, "Apakah kamu pernah bergaul dengannya, dalam bentuk usaha bersama, jual beli misalnya?" Dia menjawab, "Tidak." Umar bertanya lagi, "Apakah kamu berdekatan dengannya, yang bertemu pagi dan petang?" Dia menjawab, "Tidak." Selanjutnya Umar berkata, "Demi Allah, yang tidak ada Tuhan lain selain Dia, jika demikian, menurut hematku, bererti kamu tidak mengenali dia."

Umar r.a berkata, "Pujian itu ibarat penyembelihan, kerana penyembelihan itu membuat orang yang disembelih menjadi lemah tak berdaya. Sedangkan pujian itu membuatkan orang yang dipuji merasa bangga dan sombong. Kedua perkara tersebut sangat berpotensi untuk membinasakan, kerana pujian diserupakan dengan penyembelihan."

Ketika pujian itu dipandang tidak membahayakan terhadap yang memuji dan yang dipuji, maka tidak dilarang, bahkan boleh jadi sunnah. Kerana Rasulullah S.a.w pernah memuji sahabat, seperti sabda beliau yang bermaksud;

"Seandainya iman Abu Bakr ditimbang dengan iman manusia di alam ini, tentu iman Abu Bakr lebih unggul."

"Seandainya aku tidak diutus, tentu kamu diutus, wahai Umar." [HR ad-Dailamiy]

Sedangkan pujian terhadap diri sendiri merupakan perbuatan yang buruk. Kerana pujian itu tidak boleh terlepas dari kebanggaan dan kesombongan diri sendiri.

Nabi S.a.w bersabda;

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَلا فَخْرَ

"Aku adalah pemimpin anak Adam, dan aku tidak berbangga." [HR at-Tirmidzi dan Ibnu Majah] [8]


Kesalahan halus dalam perkataan

Umar r.a berkata, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda, "Allah melarang kamu bersumpah dengan menyebut bapa-bapa kamu. Barangsiapa yang bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau sebaiknya diam." [Muttafaq 'alaih] [9]


[Imam al-Ghazali - Afatul Lisan]


___________________________________

1 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 1 , Membicarakan hal-hal yang tidak berguna
2 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 4 , Pertengkaran dan berbantah-bantahan
3 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 5 , Permusuhan
4 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 6 , Bermain kata-kata dengan berlagak fasih
5 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 10 , Senda gurau
6 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 14 , Berdusta dalam ucapan dan sumpah
7 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 15 , Mengumpat
8 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 18 , Pujian atau sanjungan
9 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 19 - Melalaikan kesalahan halus yang tersembunyi dalam perkataan



p/s: Pentingnya ada kawan yang bertaqwa dan takutkan Allah Ta'ala. Sekurang-kurangnya kita ada pengingat dikala lupa, penasihat dikala terlajak. Sama-sama ingat-mengingat untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala dan tidak lalai dengan arus dunia .......

Dan sekurang-kurangnya kita tidak selalu membuang masa bercakap perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan pahala. Apa lagi bercakap perkara yang boleh mendatangkan dosa. Allahul Musta'an.

"....... Sesungguhnya siapa saja di antara kalian yang hidup akan melihat perselisihan yang sangat banyak, maka jauhilah oleh kalian perkara-perkara yang dibuat-buat (bid'ah), kerana sesungguhnya hal itu merupakan kesesatan. Barangsiapa di antara kalian yang menjumpai hal itu hendaknya dia berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk, gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham." [HR at-Tirmidzi]

Wallahu a'lam .......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.