Berita Terkini

Mengumpat yang dibolehkan dalam Islam, menurut Imam an-Nawawi

Mengumpat yang dibolehkan
Berikut ini adalah petikan dari kitab Riyadhus Sholihin karangan Imam an-Nawawi yang menjadi panduan kepada semua umat Islam berkenaan dengan mengumpat (ghibah) yang dibenarkan dalam Islam. Sila baca dengan teliti dan fahami baik-baik. Jazaakumullahu khoirol jazaa'.

Ketahuilah bahawasanya mengumpat itu dibolehkan kerana adanya tujuan yang dianggap benar menurut pandangan syara' Agama Islam, yang tidak akan mungkin dapat sampai kepada tujuan tadi, melainkan dengan cara mengumpat itu. 

Dalam hal ini adalah enam macam sebab-sebabnya:

Pertama: Dalam mengajukan pengaduan penganiayaan, maka bolehlah seseorang yang merasa dirinya dianiaya apabila mengajukan pengaduan penganiayaan itu kepada sultan, hakim ataupun lain-lainnya dari golongan orang yang mempunyai jawatan atau kekuasaan untuk menolong orang yang dianiaya itu dari orang yang menganiayanya. Orang yang dianiaya tadi bolehlah mengucapkan: "Si Fulan itu menganiaya saya dengan cara demikian."

Kedua: Dalam meminta pertolongan untuk menghilangkan sesuatu kemungkaran dan mengembalikan orang yang melakukan kemaksiatan kepada jalan yang benar. Orang itu bolehlah mengucapkan kepada orang yang dia harapkan dapat menggunakan kekuasaannya untuk menghilangkan kemungkaran tadi: "Si Fulan itu mengerjakan demikian, maka itu cegahlah dia dari perbuatannya itu," atau Iain-Iain sebagainya. Maksudnya ialah agar dapat melenyapkan kemungkaran tadi. Jadi apabila tidak mempunyai maksud sedemikian, maka pengumpatan itu adalah haram hukumnya.

Ketiga: Dalam meminta fatwa, yakni penerangan keagamaan. Orang yang hendak meminta fatwa itu bolehlah mengucapkan kepada orang yang dapat memberi fatwa yakni mufti: “Aku dianiaya oleh ayahku atau saudaraku atau suamiku atau si Fulan dengan perbuatan demikian, apakah dia berhak berbuat sedemikian itu padaku? Dan bagaimana jalan untuk menyelamatkan diri dari penganiayaannya itu? Bagaimana untuk memperolehi hak ku itu serta bagaimanakah caranya menolak kezalimannya itu?” dan sebagainya.

Pengumpatan semacam ini adalah boleh kerana adanya keperluan. Tetapi yang lebih berhati-hati dan pula lebih utama ialah apabila dia mengucapkan: “Bagaimanakah pendapat anda mengenai seseorang atau manusia atau suami yang berkeadaan sedemikian ini?” Dengan begitu, maka tujuan meminta fatwanya dapat dihasilkan tanpa menentukan atau menyebutkan nama seseorang. Sekalipun demikian, menentukan yakni menyebutkan nama seseorang itu dalam hal ini adalah boleh (jaiz), sebagaimana yang akan Kami cantumkan dalam Hadisnya Hindun – lihat Hadis no. 1532. Insya Allah Ta’ala.

Keempat: Dalam hal memberi peringatan atau nasihat kepada kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam kejahatan.

Kelima: Dengan terus-terang menegur kefasikan seseorang seperti kepada orang yang meminum minuman keras, orang yang merampas harta orang lain, orang yang menerapkan kebathilan dan sebagainya. Dalam hal ini, seseorang boleh berterus-terang menegur tindakannya yang tidak benar itu.

Keenam: Dalam hal memberi pengertian atau penjelasan, misalnya ada seseorang yang lebih dikenali dengan gelaran; "Si buta, si tuli, si bisu" dan sebagainya. Dalam hal ini, seseorang boleh menyebutnya dengan gelaran itu, tetapi kalau dengan maksud mengejek atau menghina maka diharamkan. Dan kalau boleh, hindarilah gelaran-gelaran yang seperti itu.

Ini lah 6 hal yang telah disepakati oleh para ulama dimana mereka menetapkan pendapat itu dengan berlandaskan hadits-hadits Shahih, antaranya ialah;

1528. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawasanya ada sesorang lelaki meminta izin kepada Nabi S.a.w untuk menemuinya, lalu beliau S.a.w bersabda; "Izinkanlah dia, dia adalah seburuk-buruknya orang dari seluruh keluarganya."  [Muttafaq ‘alaih]

Imam Bukhari mengambil keterangan dari Hadis ini akan bolehnya mengumpat pada orang-orang yang suka membuat kerosakan serta ahli bimbang (tidak berpendirian tetap).

1529. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: "Aku tidak yakin kepada si fulan dan si fulan itu bahawa keduanya itu mengetahui sesuatu perihal agama kita."  [HR Bukhari]

Imam Bukhari berkata; "Allaits bin Sa'ad, salah seorang yang meriwayatkan hadits ini berkata: "Kedua orang lelaki ini termasuk golongan kaum munafik."

1530. Dari Fathimah binti Qais radhiallahu ‘anha, katanya: "Saya mendatangi Nabi S.a.w. lalu saya berkata: "Sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah itu sama-sama melamar diriku." Rasulullah S.a.w. lalu bersabda: "Adapun Mu’awiyah itu adalah seorang faqir yang tiada berharta, sedangkan Abul Jahm adalah seorang yang tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya."  [Muttafaq ‘alaih]

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:

"Adapun Abul Jahm, maka dia adalah seorang yang gemar memukul wanita." Ini adalah sebagai tafsiran dari riwayat yang menyebutkan bahawa dia tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya. Ada pula yang mengertikan lain iaitu bahawa "tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya" itu ertinya banyak sekali mengembaranya.

1531. Dari Zaid bin Arqam r.a., katanya: "Kami keluar bersama Rasulullah S.a.w. dalam suatu perjalanan yang menyebabkan orang-ramai memperolehi kesukaran, lalu Abdullah bin Ubay berkata: "Janganlah engkau semua memberikan apa-apa kepada orang yang ada dekat Rasulullah, sehingga mereka pergi (yakni berpisah dari sisi beliau s.a.w. itu)." Selanjutnya dia berkata lagi: "Nescayalah kalau kita sudah kembali ke Madinah, sesungguhnya orang yang berkuasa akan mengusir orang yang rendah."

Kemudian saya datang kepada Rasulullah S.a.w. dan memberitahukan hal ucapannya Abdullah bin Ubay di atas. Beliau S.a.w. menyuruh Abdullah bin Ubay datang padanya, tetapi dia bersungguh-sungguh dalam sumpahnya bahawa dia tidak melakukan itu (yakni tidak berkata sebagaimana di atas). Para sahabat lalu berkata: "Zaid berdusta kepada Rasulullah S.a.w." Maka betapa sedihnya hatiku menanggapi apa yang mereka katakan, sehingga Allah Ta’ala menurunkan ayat, untuk membenarkan apa yang saya katakan tadi, iaitu (yang ertinya): "Jikalau orang-orang munafik itu datang padamu......." [Surah al-Munafiqun : 1]

Nabi S.a.w. lalu memanggil mereka untuk agar mereka memohon ampun (yakni supaya orang-orang yang mengatakan bahawa Zaid berdusta itu dimohonkan pengampunan kepada Allah oleh beliau S.a.w), tetapi orang-orang itu menggelengkan kepalanya (yakni enggan untuk dimintakan pengampunan)." [Muttafaq ‘alaih]

1532. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: "Hindun iaitu isterinya Abu Sufyan berkata kepada Nabi S.a.w.: "Sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang bakhil, dia tidak memberikan nafkah yang dapat mencukupi keperluanku serta untuk keperluan anakku, melainkan dengan cara saya mengambil sesuatu daripadanya, sedang dia tidak mengetahuinya. "Beliau S.a.w. lalu bersabda:  "Ambil sajalah yang sekiranya dapat mencukupi keperluanmu dan untuk kepentingan anakmu dengan baik-baik (yakni jangan berlebih-lebihan)."  [Muttafaq ‘alaih]

[Imam an-Nawawi - Riyadhus Shalihin]


Tambahan

Umar r.a berkata, "Tidak ada kehormatan bagi orang yang berbuat derhaka." Maksudnya ialah, orang yang secara terang-terangan memperlihatkan kefasiqannya, bukan orang yang menutupi kefasiqannya. Jika seseorang itu menutupi kefasiqannya, maka kita harus menjaga kehormatannya."

Hasan al-Basri berkata, "Membicarakan tiga golongan manusia berikut tidaklah termasuk mengumpat, iaitu orang yang selalu memperturutkan hawa nafsunya, orang fasiq yang memperlihatkan kefasiqannya secara terang-terangan, dan pemimpin yang zalim. Kerana ketiga golongan itu telah melakukan kederhakaan, kefasiqan dan kezaliman secara terang-terangan, bahkan boleh jadi mereka bangga dengan apa yang dilakukannya itu. Lalu bagaimana mungkin mereka membenci penyebutan oleh orang lain akan hal yang diperbuat itu, sementara mereka melakukannya secara terus terang. Tetapi menyebutkan perbuatan yang tidak terpuji yang ditutupi dan tidak dizahirkan, maka itu adalah dosa."

[Imam al-Ghazali - Afatul Lisan]


——

p/s: Diharap kita semua dapat membezakan mana mengumpat yang boleh dan mana yang tidak boleh kerana yang penting niat dan cara kita mesti kena pada apa yang diberitahu oleh Imam an-Nawawi itu. Semoga kita tidak jadikan mengumpat sesedap rasa tanpa batasan itu sebagai hobi. Wallahu a’lam …….  :-)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.