Berita Terkini

Pembahagian Hati menurut Imam Ibnu Qayyim

sunlit at the love beach
Kerana hati itu memiliki sifat hidup dan mati, maka ia terbahagi menjadi 3 keadaan berikut;

1 - Hati Sihat

Disebut sebagai "qalbun salim". Pada Hari Kiamat, tidak ada orang yang selamat melainkan yang memiliki hati ini. Allah Ta'ala berfirman;

يَوْمَ لا يَنْفَعُ مَالٌ وَلا بَنُونَ إِلا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

"(Iaitu) di hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan qalbun salim." [Surah Asy-Syu'araa' : ayat 88-89]

Salim ertinya sihat. Ia merupakan kata sifat sebagaimana thawil (panjang), qashir (pendek) dan zharif (elok). As-Salimul Qalbi adalah hati yang memiliki kesihatan sebagai sifat baku. Salim adalah antonim (kata lawan) dari maridh, saqim dan 'alil yang bererti sakit.

Manusia menggunakan ungkapan yang berbeza-beza dalam menggambarkan hakikat hati yang sihat ini. Titik temunya adalah bahawa hati yang sihat adalah yang bebas dari syahwat yang bercanggah dengan perintah dan larangan Allah atau syubhah yang bercanggah dengan pengkhabaran-Nya.

Ia bebas dari peribadatan kepada selain Allah dan dari pengambilan keputusan hukum kepada selain Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wa sallam. Ia mencintai Allah dengan tulus dan mengikuti ketentuan Rasul-Nya dalam takut, harap, tawakal, dan ketundukan kepada Allah, mengutamakan redha-Nya dalam setiap keadaan, dan menjauhi kemurkaan-Nya dengan segala cara. Inilah hakikat 'ubudiyah yang hanya boleh diberikan kepada Allah.

Hati yang sihat tidak menyekutukan Allah dengan apapun dalam bentuk apapun. 'Ubudiyahnya murni ditujukan kepada Allah Ta'ala, baik yang berupa kehendak, cinta, tawakal, ikhbat (ketundukan), khauf (takut), dan roja' (harap). Ia mengikhlaskan amal untuk Allah. Bila mencintai, ia mencintai kerana Allah; bila membenci, ia membenci kerana Allah; dan bila memberi, ia memberi kerana Allah; dan bila tidak memberi, ia tidak memberi kerana Allah.

Ini saja belum cukup, kecuali bila ia juga bebas dari kepatuhan dan pengambilan hukum kepada selain Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wa sallam. Maka, ia mengikat hati kuat-kuat untuk mengikuti dan meneladani beliau saja dalam ucapan mahupun perbuatan; ucapan hati yang berupa keyakinan mahupun ucapan lisan yang berupa pernyataan dari apa yang terdapat dalam hati; juga amalan hati yang berupa kehendak, cinta, benci, dan sebagainya, serta amalan anggota badan. Dalam semua itu, baik secara garis besar mahupun terperinci, yang menjadi panutan adalah ajaran yang dibawa oleh Rasul shallallahu 'alaihi wa sallam. Ia tidak mendahului beliau dalam berkeyakinan, berbicara, mahupun beramal. Sebagaimana firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Surah Al-Hujuraat : ayat 1]

Maksudnya; "Jangan berkata (berpendapat) sebelum beliau berkata dan jangan berbuat sebelum beliau memerintahkan."

Seorang salaf berkata:  "Setiap perbuatan, sekecil apapun, pasti akan ditanya dengan dua soalan, iaitu: Mengapa dan Bagaimana. Yakni, mengapa kamu berbuat dan bagaimana kamu berbuat? Soalan pertama berkenaan dengan sebab, motivasi dan latar belakang perbuatan; apakah bertitik-tolak daripada kepentingan dan cita-cita si pelaku di dunia seperti kesenangan dipuji orang, ketakutan terhadap celaan mereka, keinginan untuk memperolehi sesuatu yang disukai, usaha mengelakkan sesuatu yang dibenci di dunia; atau perbuatan itu timbul dengan motivasi untuk menunaikan kewajiban beribadah, meraih cinta Allah, mendekatkan diri kepada-Nya, dan mencari jalan menuju redha-Nya?

Sasaran soalan ini adalah: anda melakukan perbuatan ini untuk Rabb anda ataukah untuk kepentingan dan hawa nafsu anda sendiri?

Adapun pertanyaan kedua adalah berkenaan dengan mutaba'ah (peneladanan) kepada Rasul shallallahu 'alaihi wa sallam di dalam ibadah tersebut. Ertinya, perbuatan tersebut telah disyari'atkan-Nya kepadamu melalui lidah Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wa sallam ataukah tidak diperintahkan-Nya sehingga tidak diredhai-Nya?

Yang pertama adalah pertanyaan mengenai ikhlas sedangkan yang kedua adalah pertanyaan mengenai mutaba'ah. Sebab, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menerima amal kecuali dengan keduanya.

Jangkaan terhadap soalan pertama adalah dengan memurnikan keikhlasan, sedangkan terhadap soalan kedua adalah dengan merealisasikan mutaba'ah dengan sebenar-benarnya. Hati perlu bersih dari keinginan yang bercanggah dengan keikhlasan dan dari nafsu yang bercanggah dengan mutaba'ah. Inilah hakikat kesihatan bagi hati yang dijamin selamat dan bahagia. "

2. Hati Mati

Ini yang bertentangan dari yang pertama. Ini adalah hati yang mati, tanpa kehidupan sama sekali. Ia tidak mengenal Rabb serta tidak beribadah kepada-Nya dengan melaksanakan apa yang diperintahkan, dicintai, dan diredhai-Nya. Sebaliknya, ia senantiasa mengikuti hawa nafsu sekalipun dimurkai dan dibenci Rabb-nya. Ia tidak peduli apakah dengan mengikuti hawa nafsu, Rabb-nya redha atau murka kepadanya. Ia beribadah kepada selain Allah dalam kecintaan, ketakutan, pengharapan, keredhaan, kemurkaan, pengagungan, dan ketundukan.

Bila mencintai, ia mencintai kerana nafsu; bila membenci, ia membenci kerana nafsu; bila memberi, ia memberi kerana nafsu; dan bila menolak, ia menolak kerana nafsu juga. Jadi, hawa nafsu lebih diutamakan dan dicintainya daripada redha Rabb-nya.

Hawa nafsu adalah imamnya, syahwat adalah komandernya, kebodohan adalah pengendalinya, dan kelalaian adalah kenderaannya. Ia senantiasa sibuk berfikir untuk memperolehi cita-cita duniawi serta mabuk oleh hawa nafsu dan cinta dunia. Dari jauh, ia dipanggil untuk kembali kepada Allah dan mengutamakan kebahagiaan akhirat, akan tetapi ia enggan menyambut panggilan si pemberi nasihat, bahkan mengikuti pujukan syaitan yang durhaka. Murka dan redhanya bergantung oleh dunia. Hawa nafsu telah menulikan dan membutakannya.

Bergaul dengan orang yang berhati seperti ini adalah penyakit dan racun. Bersahabat dengannya adalah kebinasaan.

3. Hati Sakit

Hati jenis ketiga ini adalah hati yang mempunyai kehidupan, tetapi berpenyakit. Kadang-kadang kehidupan nampak padanya, tetapi kadang-kadang yang nampak penyakitnya, tergantung yang mana di antara keduanya yang sedang dominan.

Dalam hati yang ini, terdapat kecintaan, keimanan, keikhlasan, dan tawakal kepada Allah, yang semua ini merupakan bahan baku kehidupannya. Tetapi di dalamnya juga terdapat kecintaan kepada hawa nafsu, pengutamaan terhadapnya dan cita-cita untuk memperolehnya, kedengkian, kesombongan, dan kebanggaan terhadap diri sendiri. Ia dipengaruhi oleh dua penyeru; yang satu mengajaknya kepada Allah, Rasul-Nya dan negeri akhirat, sedangkan yang lain mengajaknya kepada dunia. Ia mengikuti salah satu dari kedua penyeru itu yang pintu dan jaraknya lebih dekat kepadanya.

Hati jenis pertama adalah hati yang khusyu', lembut dan sihat. Hati jenis kedua adalah hati yang kering dan mati. Sedangkan hati yang ketiga ini adalah hati yang sakit, yang boleh jadi lebih dekat kepada kesihatan atau sebaliknya lebih dekat kepada kematian (hati). Allah Ta'ala telah menyebutkan ketiga jenis hati ini dalam firman-Nya:

"Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah (cubaan) bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran. Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus." [Surah al-Hajj : ayat 52 - 54]

Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala membahagikan hati menjadi tiga: dua di antaranya terkena fitnah dan hanya satu yang selamat. Dua jenis hati yang terkena fitnah adalah hati yang berpenyakit dan hati yang keras. Sedangkan yang selamat adalah hati orang mukmin yang tunduk dan patuh kepada Rabb-nya. Diharapkan, hati dan anggota badan lain dalam keadaan sihat tanpa penyakit apapun, sehingga boleh berfungsi dengan betul. 

Hati yang terkena fitnah, senantiasa dalam keraguan disebabkan oleh bisikan syaitan, tetapi hati yang sihat tidak akan terkena mudharat darinya. Hudzaifah Ibnul Yaman r.a berkata bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

"Fitnah-fitnah dibentangkan dan dilekatkan di hati, sebagaimana dibentangkannya serat-serat tikar satu persatu. Hati mana pun yang dirasukinya, nescaya padanya membekas sebuah noda hitam, sedang hati mana pun yang menolaknya, nescaya padanya membekas sebuah titik putih, sehingga seluruh hati akan terbahagi menjadi dua: ada hati yang hitam berbintik putih dan seperti kendi yang terbalik, ia tidak mengenal yang ma'ruf dan tidak menolak yang mungkar, yang diketahuinya hanyalah hawa nafsu yang dirasukkan kepadanya. ada pula hati yang putih, ia tidak terkena mudharat fitnah selama ada langit dan bumi." [HR Muslim dan Ahmad]

Beliau menyerupakan pembentangan dan pelekatan fitnah di hati seperti serat-serat tikar yang dibentangkan dan dilekatkan satu persatu. Beliau juga membahagikan hati pada semasa pembentangan fitnah tersebut, menjadi dua iaitu: Ada hati yang ketika fitnah dibentangkan, terasuki olehnya sebagaimana bunga karang yang diresapi air. Pada hati tersebut akan timbul sebuah titik hitam. Setiap fitnah yang dibentangkan akan terus meresap padanya, sehingga warnanya menjadi hitam dan kedudukannya terbalik. Inilah sabda baginda "seperti kendi yang terbalik". Apabila hati menjadi hitam dan terbalik, maka ia terancam oleh dua penyakit yang berbahaya yang akan mencampakkannya ke dalam kebinasaan, iaitu:

1. Ia akan kabur dalam melihat yang ma'ruf dan yang mungkar. Ia tidak mengenal yang ma'ruf dan tidak menolak yang mungkar. Boleh jadi penyakit ini semakin parah sehingga ia meyakini yang ma'ruf sebagai kemungkaran dan yang mungkar sebagai yang ma'ruf; yang sunnah sebagai bid'ah dan yang bid'ah sebagai sunnah; serta kebenaran sebagai kebathilan dan kebathilan sebagai kebenaran. 

2. Ia lebih mengutamakan hawa nafsu daripada ajaran Rasul shallallahu 'alaihi wa sallam. Ia tunduk dan mengikuti hawa nafsunya.

Ada pula hati yang putih. Cahaya dan pelita-pelita iman memancar dan menyala di dalamnya. Apabila fitnah dibentangkan kepadanya, ia menolak, sehingga cahaya, pancaran dan kekuatannya semakin bertambah. 

Fitnah-fitnah yang dibentangkan pada hati merupakan penyebab sakitnya. Itulah fitnah syahwat dan syubhah, atau fitnah al-ghayy (penyimpangan) dan adh-dhalal (kesesatan), atau fitnah maksiat dan bid'ah, atau fitnah kezaliman dan kebodohan. 

Fitnah pertama (fitnah syahwat) mengakibatkan rosaknya maksud dan kehendak.Sedangkan fitnah kedua (fitnah syubhah) mengakibatkan rosaknya ilmu dan keyakinan.

Hudzaifah ibnul Yaman r.a berkata:  "Hati itu ada empat: ada hati yang bersih, di dalamnya terdapat pelita yang menyala, itulah hati orang mukmin. Ada hati yang tertutup, itulah hati orang kafir. Ada hati yang terbalik, itulah hati orang munafik, yang telah mengetahui tetapi kemudian menolak dan telah melihat tetapi kemudian buta. Ada pula hati yang terdiri dari dua unsur, iaitu unsur keimanan dan kemunafikan. Keadaannya tergantung kepada salah satu dari kedua unsur tersebut yang paling dominan." [HR Ibnu Abi Syaibah dan Abdullah bin Imam Ahmad. Syaikh Al-Albani berkata Hadits ini mauquf shahih]

Perkataan beliau "hati yang bersih", maksudnya adalah hati yang bersih dari selain Allah dan Rasul-Nya. Jadi, hati tersebut bersih dari selain kebenaran.

Adapun hati yang tertutup, adalah hati orang kafir, kerana hati tersebut masuk di dalam tudung, sehingga cahaya ilmu dan iman tidak boleh mencapainya. Sebagaimana firman Allah Ta'ala:

"Dan mereka berkata: "Hati kami tertutup". Tetapi sebenarnya Allah telah mengutuk mereka kerana keingkaran mereka; maka sedikit sekali mereka yang beriman." [Surah Al-Baqarah : ayat 88]

Penutup di sini adalah yang dipasang oleh Allah di hati mereka sebagai hukuman atas penolakan mereka terhadap kebenaan dan kesombongan mereka untuk menerimanya. Ghulf adalah sebutan yang sama dengan akinnah (penutup-penutup) bagi hati, Waqr (penyumbat) bagi telinga, 'umy (kebutaan) bagi mata, dan hijab mastur (dinding penutup) yang disebutkan dalam firman Allah berikut:

"Dan apabila kamu membaca Al Qur'an nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup. Dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur'an, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya." [Surah Al-Israa ' : ayat 45-46]

Apabila hati semacam ini diingatkan untuk memurnikan tauhid dan mutaba'ah, para pemiliknya akan berpaling menjauh. 

Beliau juga menyebutkan hati yang terbalik sebagai isyarat bagi hati orang munafik. Sebagaimana firman Allah Ta'ala:

"Maka mengapa kamu (terpecah) menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang-orang munafik, padahal Allah telah membalikkan mereka kepada kekafiran, disebabkan usaha mereka sendiri? Apakah kamu bermaksud memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan Allah? Barang siapa yang disesatkan Allah, sekali-kali kamu tidak mendapatkan jalan (untuk memberi petunjuk) kepadanya." [Surah An-Nisaa ' : ayat 88]

Ertinya, Allah telah membalikkan dan mengembalikan mereka kepada kebathilan mereka semula, disebabkan oleh usaha dan perbuatan mereka yang bathil. Ini adalah hati yang paling buruk. Ia meyakini kebathilan sebagai kebenaran dan mencintai para pelaku kebathilan, sebaliknya menganggap kebenaran sebagai kebathilan dan memusuhi para pelaku kebenaran tersebut. Hanya Allah tempat memohon pertolongan. 

Sedangkan yang dimaksud beliau dengan hati yang mempunyai dua unsur, adalah hati yang di dalamnya terdapat keimanan, akan tetapi pelita keimanan tersebut tidak menyala di dalamnya. Kebenaran yang ada di dalamnya, yang dengannya Allah mengutus Rasul-Nya, tidak murni. Di dalamnya terdapat unsur tersebut dan unsur kebalikannya. Kadang-kadang ia lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan, tetapi kadang-kadang lebih dekat kepada keimanan daripada kekafiran. Yang menentukan adalah unsur yang sedang dominan. Ke situlah ia kembali.

[Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah - Ighatsatul Lahfan min Mashayidisy Syaithan, bab 1]


Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.