Berita Terkini

Kisah Empat Sahabat Nabi yang diajarkan kelebihan Ayat Kursi oleh Jin

Ubay ibnu Kaab dan toyol

Dari Abdullah ibnu Ubay ibnu Ka'ab [1]  menceritakan, ayahnya pernah menceritakan kepadanya bahawa dia memiliki sebuah wadah besar yang berisi buah kurma. Ayahnya biasa menjaga tong berisikan kurma itu, tetapi dia mendapati isinya berkurang.

Di suatu malam dia menjaganya, tiba-tiba dia melihat seekor haiwan yang rupanya mirip dengan anak lelaki yang baru berusia baligh. Lalu aku (Ka'ab) bersalam dengannya dan dia menyambut salamku. Aku bertanya, "Siapakah kamu, jin atau manusia?" Dia menjawab, "Jin." Aku berkata, "Kemarikan tanganmu pada tanganku." Maka dia menghulurkan tangannya pada tanganku. Ternyata tangannya seperti kaki anjing, begitu juga bulunya. Lalu aku bertanya, "Apakah memang demikian bentuk jin?" Dia menjawab, "Kamu sekarang telah mengetahui jin, di kalangan mereka tidak ada yang lebih kuat dari aku."

Aku bertanya, "Apa yang mendorongmu berbuat demikian?" Dia menjawab, "Telah sampai kepadaku bahawa kamu adalah seorang manusia yang suka bersedekah, maka kami ingin memperolehi sebahagian dari makananmu." Lalu ayahku (Ka'ab) berkata kepadanya, "Hal apakah yang dapat melindungi kami dari gangguan kalian?" Jin itu menjawab, "Ayat ini," yakni Ayat Kursi.

Pada keesokan harinya, Ka'ab berangkat menemui Nabi S.a.w, lalu menceritakan perkara itu kepadanya. Nabi S.a.w bersabda; 

صَدَقَ الْخَبِيثُ

Al-Ghaul"Benarlah (apa yang dikatakan oleh) si jahat itu."

Kisah yang sama diriwayatkan oleh Imam al-Hakim di dalam kitab Mustadraknya melalui hadits Abu Daud at-Tayalisi, dari Harb ibnu Syaddad, dari Yahya ibnu Abu Kasir, dari al-Hadhrami ibnu Lahiq, dari Muhammad ibnu Amr ibnu Ubay ibnu Ka'ab, dari datuknya dengan lafaz yang sama. Imam al-Hakim mengatakan sanad hadits ini darjatnya shahih, tetapi keduanya (Imam Bukhari dan Muslim) tidak mengenengahkannya.


Abu Ayyub dan jin yang mengganggu dalam tidurnya

Imam Ahmad rahimahullah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Ibnu Abu Laila, dari saudaranya (iaitu Abdur Rahman ibnu Abu Laila), dari Abu Ayyub r.a, bahawa dia selalu kedatangan jin yang mengganggu dalam tidurnya. Dia mengadukan perkara tersebut kepada Nabi S.a.w, maka Nabi S.a.w bersabda kepadanya;

فاذا رايتها فقل باسم الله  أجيبي رسول الله

"Apabila kamu melihatnya, maka ucapkanlah "Bismillah, tunduklah kepada Rasulullah!"

Ketika jin itu datang, Abu Ayyub mengucapkan kalimah tersebut dan akhirnya dia dapat menangkapnya. Tetapi jin itu berkata, "Sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi," maka Abu Ayyub melepaskannya. Abu Ayyub datang dan Nabi S.a.w bertanya, "Apakah yang telah dilakukan oleh tawananmu?" Abu Ayyub menjawab, "Aku dapat menangkapnya dan dia berkata bahawa dia tidak akan kembali lagi, akhirnya dia kulepaskan." Nabi S.a.w menjawab, "Sesungguhnya dia akan kembali lagi."

Abu Ayyub melanjutkan kisahnya, "Aku menangkapnya kembali sebanyak dua atau tiga kali. Setiap kali aku tangkap, dia mengatakan, "Aku sudah taubat dan tidak akan kembali menggoda lagi." Aku datang lagi kepada Nabi S.a.w, dan beliau bertanya, "Apakah yang telah dilakukan oleh tawananmu?" Aku menjawab, "Aku menangkapnya dan dia berkata bahawa tidak akan kembali lagi." Maka beliau S.a.w bersabda, "Sesungguhnya dia akan kembali lagi."

Kemudian aku menangkapnya kembali dan dia berkata, "Lepaskanlah aku, dan aku akan mengajar kepadamu suatu kalimah yang harus kamu ucapkan, nescaya tiada suatu pun yang berani mengganggumu, iaitu Ayat Kursi."

Abu Ayyub datang kepada Nabi S.a.w dan menceritakan perkara itu kepada baginda. Lalu baginda S.a.w bersabda;

صَدَقَت وَهى كَذُوبٌ

"Engkau benar, tetapi dia banyak berdusta."

Hadits ini diriwayatkan juga oleh Imam at-Turmudzi dalam bab "Keutamaan Al-Qur'an", dari Bandar, dari Abu Ahmad az-Zubairi dengan lafaz yang sama. Imam at-Turmudzi mengatakan bahawa hadits ini berstatus Hasan Gharib.

Makna Al-Ghaul yang ada dalam teks hadits, menurut istilah bahasa ialah "jin yang menampakkan dirinya di malam hari."


Abu Hurairah dan jin pencuri Makanan Zakat

Imam Bukhari di dalam bab "Keutamaan Al-Qur'an" iaitu bahagian "Wakalah", mengenai sifat Iblis, dalam kitab shahihnya mengatakan bahawa Utsman ibnu al-Haitsam yang digelar Abu Amr mengatakan, telah menceritakan  kepada kami Auf, dari Muhammad ibnu Sirin, dari Abu Hurairah r.a yang menceritakan hadits berikut;

"Rasulullah S.a.w pernah menugaskan diriku untuk menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Lalu datanglah kepadaku seseorang yang terus mengambil sebahagian dari makanan, maka aku menangkapnya dan kukatakan padanya, "Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah S.a.w." Lalu dia berkata, "Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku orang yang miskin dan ramai anak, serta aku dalam keadaan sangat memerlukan." Aku melepaskannya, dan pada pagi hari, Nabi S.a.w berkata padaku; "Wahai Abu Hurairah, apa yang telah dilakukan oleh tawananmu semalam?" Aku menjawab, "Wahai Rasulullah, dia mengadu bahawa dia sangat miskin dan ramai anak, hingga aku kasihan padanya, maka aku melepaskannya." Nabi S.a.w bersabda, "Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta padamu dan dia pasti akan kembali lagi."

Aku pun tahu bahawa dia akan kembali kerana sabda Rasul S.a.w yang mengatakan bahawa dia akan kembali. Untuk itu aku mengintainya, ternyata dia datang lagi, lalu dia mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka kutangkap dia dan aku mengatakan, "Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah S.a.w." Dia berkata, "Lepaskanlah aku, kerana aku miskin dan ramai tanggungan anak-anak. Aku taubat tidak akan kembali lagi." Aku merasa kasihan padanya dan aku lepaskan dia. Pada pagi hari, Nabi S.a.w bertanya padaku; "Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu malam tadi?" Aku menjawab, "Wahai Rasulullah, dia mengadukan keadaannya yang miskin dan punya ramai anak. Aku begitu kasihan padanya sehingga aku melepaskannya pergi." Nabi S.a.w bersabda, "Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta padamu dan dia akan kembali lagi."

Aku intai untuk ketiga kalinya, ternyata dia datang lagi dan mengambil sebahagian dari makanan. Maka aku tangkap dia, dan ku katakan padanya, "Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah S.a.w. Ini sudah kali ketiga, engkau katakan tidak akan kembali namun ternyata masih kembali." Dia pun menjawab, "Lepaskanlah aku, aku akan mengajar padamu beberapa kalimah yang akan membuatmu mendapat manfaat dari Allah kerananya." Aku bertanya, "Kalimah apakah itu?" Dia pun menjawab, "Apabila engkau hendak tidur di katilmu, bacalah Ayat Kursi iaitu "Allahu laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyum …" hingga engkau menyelesaikan ayat tersebut. Sesungguhnya engkau akan terus-menerus mendapat pemeliharaan dari Allah dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi hari." Maka aku lepaskan dia. Pada pagi harinya Rasulullah S.a.w bertanya padaku, "Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" Aku menjawab, "Wahai Rasulullah, dia mengaku bahawa dia mengajarkan padaku beberapa kalimah yang menyebabkan aku mendapat manfaat dari Allah kerana (membaca) nya, sehingga aku pun melepaskan dirinya." Rasulullah S.a.w bertanya, "Apa kalimah-kalimah tersebut?" Aku menjawab, "Dia mengatakan padaku, apabila aku hendak pergi tidur di katil, bacalah ayat kursi dari awal hingga akhir ayat, iaitu "Allahu laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyum..." Dia mengatakan padaku "Engkau akan terus-menerus mendapat pemeliharaan dari Allah dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi hari." Sedangkan para sahabat adalah orang-orang yang paling suka kepada kebaikan. Maka Nabi S.a.w pun bersabda, "Ingatlah, sesungguhnya dia percaya kepadamu, tetapi dia sendiri banyak berdusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa orang yang kamu ajak bicara selama tiga malam itu?"  Aku menjawab, "Tidak," Nabi S.a.w berkata, "Dia adalah syaitan."

Kisah yang sama diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari secara ta'liq dengan memakai ungkapan yang tegas. Imam an-Nasai'e meriwayatkan hadits ini di dalam kitab Al-Yaum wal Lailah melalui Ibrahim ibnu Ya'qub, dari Utsman ibnu al-Haitsam, lalu dia menuturkan hadits ini.

Umar r.a bergusti dengan jin

Kisah yang lain diriwayatkan oleh Abu Ubaid di dalam Kitabul Gharib nya, telah menceritakan kepada kami Abu Mu'awwiyah, dari Abu 'Ashim as-Tsaqafi, dari As-Sya'bi, dari Abdullah ibnu Mas'ud, bahawa ada seorang lelaki dari kalangan manusia berangkat, lalu dia bersua dengan lelaki dari kalangan makhluk jin. Jin berkata kepadanya, "Mahukah engkau berkelahi denganku? Jika kamu dapat mengalahkan aku, aku akan mengajarkan kepadamu suatu ayat yang jika kamu katakan ketika hendak memasuki rumahmu nescaya tidak ada syaitan yang berani memasukinya." Maka manusia itu berkelahi dengannya, dan ternyata dia dapat mengalahkannya. Lalu si manusia berkata, "Sesungguhnya aku mendapatimu berbadan kurus lagi kasar, seakan-akan kedua tanganmu seperti tangan (kaki depan) anjing. Apakah memang demikian semua bentuk dan rupa kalian golongan jin, ataukah kamu hanya salah satu dari mereka?" 

Jin itu menjawab, "Sesungguhnya aku di antara mereka adalah jin yang paling kuat. Sekarang marilah kita bertarung lagi." Maka manusia itu bertarung dengannya dan dapat mengalahkannya. Akhir-nya jin itu berkata;

Kamu baca Ayat Kursi, kerana sesungguhnya tidak sekali-kali seseorang membacanya bila hendak memasuki rumahnya, melainkan syaitan (yang ada di dalamnya) keluar sambil terkentut-kentut, seperti suara keldai.

Kemudian ditanyakan kepada Ibnu Mas'ud, "Apakah yang dimaksudkan dengan manusia tersebut ialah Umar?" Ibnu Mas'ud menjawab, "Siapa lagi orangnya kalau bukan Umar."

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, tafsir Ayat Kursi]

_________________________________________________________________________

Nota kaki:

1 - Bukan Abdullah ibnu Ubay si "Bapa Munafiq", kerana Abdullah ibnu Ubay itu namanya adalah Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, bukannya ibnu Ka'ab. Sedangkan Abdullah dalam kisah di atas ialah anak kepada sahabat besar Nabi S.a.w iaitu Ubay ibnu Ka'ab.


Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.