Berita Terkini

Kisah keberanian para remaja di zaman Rasulullah S.a.w

Fractal abstract wallpaper
Didikan agama yang bersungguh oleh para sahabat r.a terhadap anak-anak mereka bermula dari mereka kecil lagi. Berbeza dengan keadaan kita sekarang yang tidak mengendahkan sangat kelakuan dan agama kanak-kanak dengan alasan "mereka masih kecil".

Sebagai ibubapa, cuba kita tanya diri kita, adakah kita sudah memperlengkapkan anak-anak kita dengan ilmu Aqidah, Syariah dan Akhlaq yang betul? Atau kita hanya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada guru-guru di sekolah atau pihak-pihak lain? Maka, adakah kita pasti anak-anak kita sudah belajar agama dengan betul, atau mereka hanya belajar pada nama tetapi tidak meresap ke dalam hati?

"Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu ......." [Surah al-Tahrim : ayat 6]

Mujahid mengatakan, "Bertaqwalah kepada Allah dan berpesanlah kepada keluarga kalian untuk bertaqwa kepada Allah."  Sedangkan Qatadah mengatakan, "Yakni hendaklah engkau menyuruh mereka berbuat taat kepada Allah dan mencegah mereka durhaka kepadaNya. Dan hendaklah engkau menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan mereka untuk menjalankannya, serta membantu mereka dalam menjalankannya. Jika engkau melihat mereka berbuat maksiat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah mereka."

Demikian pula apa yang dikatakan oleh adh-Dhahak dan Muqatil ibnu Hayyan, dimana mereka mengatakan, "Setiap Muslim wajib mengajari keluarganya, termasuk kerabat dan hamba sahayanya, berbagai hal berkenaan dengan hal-hal yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala kepada mereka dan apa yang dilarangNya." [1]


Kisah keghairahan Umair r.a untuk menyertai Jihad

Umair r.a ialah seorang hamba kepada Abu Lahm r.a dan beliau masih kecil pada ketika itu. Keghairahan menyertai jihad menjadi sifat kehidupan orang pada zaman itu, tidak kira sama ada masih kecil ataupun dewasa. Umair r.a berkeinginan untuk menyertai Perang Khaibar. Tuannya telah pergi menemui Rasulullah S.a.w dan memberitahu sokongannya supaya Umair r.a diberi keizinan.

Rasulullah S.a.w telah mengizinkannya dan telah memberikan kepadanya sebilah pedang yang telah digantung pada lehernya. Namun demikian, pedang itu terlalu besar berbanding badannya yang kecil, maka pedang itu terheret ke bumi. Dalam keadaan itulah beliau menyertai Perang Khaibar. Oleh sebab beliau masih kecil dan merupakan seorang hamba maka beliau tidak mendapat bahagian yang sepenuhnya daripada harta ghanimah tetapi beliau hanya diberikan sedikit barang sebagai hadiah. [2]

Kisah dua remaja Ansar membunuh Abu Jahal

Abdur Rahman ibnu 'Auf ialah salah seorang sahabat yang besar lagi masyhur. Beliau berkata, "Sewaktu Perang Badar, saya berdiri dalam barisan pejuang-pejuang. Saya melihat di kiri kanan saya ada dua orang budak Ansar. Saya terfikir alangkah baiknya kalau saya berada di antara orang-orang yang kuat. Apabila ada keperluan, boleh tolong menolong antara satu sama lain. Di kedua-dua tepi saya hanya ada budak sahaja. Apakah yang mereka boleh tolong? 

Tiba-tiba salah seorang dari mereka memegang tangan saya lantas bertanya, "Pak cik, adakah pak cik kenal Abu Jahal?"  Saya berkata, "Ya, saya kenal. Apakah yang kamu kehendaki?"  Budak itu menjawab, "Saya mendengar bahawa dia telah mencaci Rasulullah S.a.w. Demi zat yang nyawaku dalam genggamanNya, jika saya melihatnya maka saya tidak akan meninggalkannya selagi dia tidak mati ataupun saya yang mati."

Saya begitu kagum dengan jawapannya itu. Kemudian budak yang kedua juga bertanya soalan yang sama dan dia juga berkata sebagaimana yang dikatakan oleh budak yang pertama tadi. Kebetulannya saya terpandang Abu Jahal yang sedang berlari-lari di medan perang. Saya pun berkata kepada mereka, "Itulah dia orang yang kamu tanyakan aku tentangnya."

Mendengarkan itu, mereka berdua terus berlari dengan pedang terhunus di tangan. Mereka berdua pergi ke sana dan mula menyerang dengan pedang sehinggalah Abu Jahal dapat dijatuhkan. [3]

Kedua-dua budak tersebut ialah Mu'az ibnu Amr ibnu Jamuh r.a dan Mu'awwidz ibnu 'Afra' r.a.  Mu'az ibnu Amr r.a berkata, "Saya mendengar orang ramai berkata bahawa tiada siapa pun yang boleh membunuh Abu Jahal. Dia dikawal begitu rapi. Daripada saat itulah saya terfikir bahawa saya mesti membunuhnya.

Kedua-dua budak itu berjalan kaki sementara Abu Jahal pula menunggang kuda. Ketika Abdur Rahman ibnu 'Auf r.a melihatnya dan ketika kedua-dua budak itu berlari ke arahnya, Abu Jahal sedang membetulkan barisan-barisan tentera. Oleh sebab dia menunggang kuda maka susah untuk menyerangnya. Oleh sebab itu, salah seorang dari budak itu menyerang kuda dan seorang lagi menyerang kaki Abu Jahal. Akibat serangan itu, kuda pun rebah dan Abu Jahal pula jatuh dan tidak dapat bangun lagi.  Kedua-dua budak itu telah menyerangnya begitu sekali sehingga dia tidak dapat bangun lagi sebaliknya dia terus menggelepur di situ, kemudian barulah mereka meninggalkannya.

Mu'awwiz ibnu 'Afra' r.a telah menambahkan lagi kecederaan Abu Jahal supaya dia tidak dapat melarikan diri. Namun, Mu'awwiz r.a pun tidak terus membunuhnya. Selepas itu barulah 'Abdullah ibnu Mas'ud r.a memenggal kepalanya. (Dalam riwayat Ibnu Ishak menyebut Mu'awwidz yang membunuh Abu Jahal, sedangkan 'Abdullah ibnu Mas'ud hanya memenggal kepala Abu Jahal untuk membawa kepala itu kepada Rasulullah S.a.w)

Mu'az ibnu 'Amr r.a berkata, "Sewaktu saya menyerang kaki Abu Jahal, anaknya 'Ikrimah ada bersama. Dia telah menyerang bahagian bahu saya yang menyebabkan tangan saya terpotong, tetapi tinggal sedikit kulit yang menyebabkan tangan saya itu tergantung-gantung. [4]  Saya telah meletakkan tangan yang tergantung itu di belakang saya dan sepanjang hari saya berperang dengan sebelah tangan. Apabila keadaan tangan saya yang tergantung-gantung itu menyusahkan saya, maka saya telah menekan tangan itu di bawah kaki dan merentap dengan kuat. Tangan itu pun terpisah dari tempat ia tergantung-gantung dan saya telah membuang tangan itu."  [5]

Rafi' dan Samurah ibnu Jundub r.a bergusti

Kebiasaannya apabila Nabi S.a.w pergi untuk berjihad, baginda S.a.w akan memeriksa sendiri keadaan tentera apabila tiba di luar kota Madinah. Baginda S.a.w akan memerhatikan keadaan dan keperluan mereka dan akan memperbaiki apa-apa yang perlu. Nabi S.a.w menyuruh budak-budak muda yang turut serta kerana keghairahan mereka sendiri supaya pulang. Demikianlah yang berlaku apabila Nabi S.a.w keluar untuk Perang Uhud.

Setibanya di suatu tempat, Baginda S.a.w telah memeriksa keadaan tentera dan memerintahkan budak-budak muda supaya pulang kerana umur mereka yang masih muda. Antara mereka ialah 'Abdullah ibnu 'Umar, Zaid ibnu Tsabit, Usamah ibnu Zaid, Zaid ibnu Arqam, Bara' ibnu 'Azib, 'Amr ibnu Hazm, Usaid ibnu Zuhair, 'Arabah ibnu 'Aus, Abu Said al-Khudhri, Samurah ibnu Jundub dan Rafi' ibnu Khadij radhiallahu anhum, yang berumur sekitar 13 hingga 14 tahun.

Apabila mereka diperintahkan pulang, Khadij r.a telah pergi bertemu Rasulullah S.a.w untuk membela anaknya. Beliau berkata, "Anak saya sangat mahir dalam memanah."

Sementara Rafi' r.a sendiri telah berdiri dengan menggunakan hujung-hujung jari kakinya supaya kelihatan lebih tinggi kerana keghairahannya untuk mendapat keizinan Rasulullah S.a.w. Baginda S.a.w telah memberi keizinan kepadanya.

Maka Samurah ibnu Jundub r.a telah berkata kepada bapa tirinya Muraiy ibnu Sinan r.a, "Rasulullah S.a.w telah mengizinkan Rafi' manakala saya tidak diizinkan oleh Baginda S.a.w sedangkan kalau saya berlawan dengannya sudah tentu saya dapat menjatuhkannya."

Rasulullah S.a.w telah menyuruh mereka bergusti dan sememangnya, Samurah r.a dapat mengalahkan Rafi'  r.a. Oleh sebab itu, Rasulullah S.a.w turut mengizinkan Samurah r.a juga.  Selepas itu budak-budak lain cuba mendapatkan keizinan Rasulullah S.a.w juga dan ada di antara mereka yang berjaya mendapat keizinan.  [6]

Zaid ibnu Tsabit r.a diberi keutamaan kerana Al-Quran

Zaid ibnu Tsabit r.a berumur 11 tahun semasa Hijrah dan beliau telah menjadi yatim sejak berumur 6 tahun lagi. Sewaktu Perang Badar beliau telah menawarkan dirinya tetapi tidak mendapat keizinan. Kemudian beliau keluar sekali lagi untuk menyertai Perang Uhud dan diperintahkan pulang seperti yang diketahui dalam kisah yang lalu. Sesetengah perawi pula mengatakan, oleh kerana Samurah r.a dan Rafi' r.a telah mendapat keizinan, maka Zaid ibnu Tsabit r.a juga telah mendapat keizinan. Selepas itu beliau menyertai setiap peperangan.

Semasa Perang Tabuk, bendera Bani Malik berada di tangan 'Ammarah r.a. Rasulullah S.a.w telah mengambil bendera itu daripadanya lalu menyerahkan kepada Zaid r.a. 'Ammarah terfikir bahawa mungkin beliau telah melakukan suatu kesilapan ataupun Baginda S.a.w telah marah kerana suatu sebab, lalu beliau pun bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah apa-apa laporan tentang saya telah sampai kepada tuan?"

Baginda S.a.w menjawab, "Bukan kerana itu, tetapi Zaid lebih banyak mengetahui al-Quran daripadamu." Al-Quran lah yang menyebabkan beliau diutamakan untuk memegang bendera. [7]

Umumnya, kebiasaan Rasulullah S.a.w ialah Baginda S.a.w akan mengutamakan seseorang berdasarkan kelebihan dalam agama. Dalam kisah ini, walaupun perkara itu berkaitan dengan urusan peperangan yang tidak ada kaitan langsung dengan penguasaan lebih banyak pengetahuan al-Quran, tetapi Baginda S.a.w tetap mengutamakan Zaid r.a yang mengetahui lebih banyak tentang al-Quran untuk memegang bendera.  Rasulullah S.a.w mengambil kira perkara ini dalam kebanyakan urusan.  Sehinggakan jika berlaku keadaan yang menyebabkan beberapa orang perlu dikebumikan dalam satu liang lahad, Baginda S.a.w masih mendahulukan orang yang lebih banyak mengetahui al-Quran sebagaimana yang telah berlaku di medan Uhud. [8]

Dan banyak lagi kisah-kisah keberanian dan keghairahan remaja / budak-budak muda di zaman Nabi S.a.w. Semoga kisah-kisah contoh yang disebutkan di atas dapat menjadi pengajaran kepada kita bersama agar lebih bersemangat dan ghairah juga untuk berjuang memartabatkan Agama Islam yang tercinta dalam apa jua cara yang dibenarkan oleh syara'.  Wallahu a'lam .......


Rujukan:

1 - Tafsir Ibnu Katsir
2 - Riwayat Sunan Abu Daud
3 - Riwayat al-Bukhari
4 - Usdul Ghabah fi ma'rifat as-Shahabah r.a - Syeikh Ibnu Athir
5 - Tarikh al-Khamis
6 - Tarikh al-Khamis
7 - Usdul Ghabah fi ma'rifat as-Shahabah r.a - Syeikh Ibnu Athir
8 - Fadha-il al-'Amal - Syeikh Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi


Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.