Berita Terkini

Islam itu mudah, tetapi .......

Ya, Islam itu mudah, tetapi jangan sampai kita mempermudahkan lagi perkara yang sudah mudah. Yang wajib , wajib lah dilaksanakan terlebih dahulu, seperti solat wajib, puasa Ramadhan, zakat, belajar ilmu fardhu ain dan sebagainya.

Ya sebut tentang belajar ilmu fardhu ain, terutamanya ilmu Aqidah dan Feqah, adakah kita sudah merasa cukup dengan apa yang kita belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah dulu? Jangan merasa cukup, kerana itu belum sampai tahap asas pun lagi. Lagi pun sejak penjajahan British dulu, ilmu Islam untuk umum semakin disempitkan dan banyak ditapis. Masih banyak yang perlu dipelajari dan didalami sebenarnya, apa lagi untuk diamalkan. 

Dan adakah kita sudah merasa cukup hanya dengan melaksanakan kerja-kerja (fardhu kifayah) harian kita? Dimana ilmu fardhu kifayah hanya wajib seorang untuk pandai dalam sesebuah masyarakat. Sedangkan ilmu fardhu ain, adalah wajib ke atas setiap individu untuk mempelajarinya. Baru kita akan menjadi pandai agama, dan tidak boleh digelar jahil.

Jika yang fardhu ain pun kita tidak mahu usaha untuk belajar, maka tinggal lah kita menjadi orang yang jahil. Dan banyaklah akibat buruk menjadi orang jahil agama. Sudi kah anda dipanggil sebagai orang jahil?  Tepuk dada tanya iman anda. 

Saidina Umar r.a begitu takut akan munculnya ulama yang fasiq dan ahli ibadah yang jahil. Begitu juga ada disebut dalam hadith, dari Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w., "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Hadith riwayat Ibnu Ady)

Jangan lah pula kerana kita takut digelar sebagai orang alim yang fasiq hingga kita sanggup menjadi jahil selama-lamanya. Ianya adalah pilihan kita sendiri, dan jika menuntut ilmu perlulah ikhlas kerana Allah S.w.t, bukan kerana dunia semata. Jika menjadi ulama kerana dunia, maka ditakuti akan tergolong dalam ulama yang disebut dalam hadith di atas.

Dan jika kita cuba juga untuk menuntut ilmu dengan ikhlas, sekurang-kurangnya kita sudah menjauhi dari status ahli ibadat yang jahil.  Lagi pun , orang-orang berilmu (fardhu ain) lah yang lebih mengenali Allah dan lebih takut padaNya, serta darjat mereka diangkat oleh Allah S.w.t.

"Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat."  (Surah Al-Mujadalah : Ayat 11)

Kemudian, adakah kita sudah merasa cukup hanya dengan mengerjakan solat wajib sahaja? Tunggu dulu, pastikah anda yakini bahawa solat-solat wajib yang anda laksanakan itu sudah diterima oleh Allah S.w.t? Maka jika kita sudah tahu yang solat wajib kita pun tak semestinya sempurna, tak semestinya 100% khusyu' dan bagus, maka sebaiknya lah kita tambah dengan solat-solat sunat setakat yang termampu, terutamanya solat qabliyyah dan ba'diyyah, solat tahajjud dan solat dhuha, untuk menampung solat-solat wajib.

Lagi pun, bukannya susah untuk mengerjakan solat-solat sunat. Di mana-mana tempat pun kita boleh laksanakan, asalkan tempat yang bersih. Tak perlu kita susah-susah perah otak, angkat berat-berat dan menghadapi banyak karenah manusia. Ditambah lagi dengan solat-solat sunat itu, akan lebih memberi ketenangan pada rohani kita.

Islam turun dengan mudah dan Allah tidak memberatkan seseorang itu melainkan sekadar mengikut kemampuannya. Allah S.w.t tahu setakat mana keupayaan manusia kerana Dia yang mencipta manusia.

"Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran."  (Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan, dan juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya."  (Surah Al-Baqarah : Ayat 286)

“Sesungguhnya Allah Swt. tidak mengutusku untuk mempersulit atau memperberat, melainkan sebagai seorang pengajar yang memudahkan.” (Hadith riwayat Muslim, dari ‘Aisyah ra.)

"Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang itu mempersulitkan agama melainkan dia sendiri dikalahkan ....... "  (Hadith riwayat Bukhari)

Setiap hukum dan perundangan yang ada dalam Islam adalah mudah dan mampu dilaksanakan oleh kita semua. Ianya bukan untuk menyusahkan dan menyulitkan hidup manusia, malah untuk menyenangkan dan memberi ketenangan serta kesejahteraan dalam hidup. Termasuklah Undang-undang Islam untuk mencegah jenayah dan maksiat.

Hanya orang yang suka mengikut hawa nafsu, gilakan dunia dan terpengaruh dengan syaitan yang merasakan bahawa Islam itu sulit dan menyulitkan. Apabila manusia merasakan Islam itu sulit, maka mudah lah muncul fikiran dan ideologi untuk menolak Islam dan rimas dengan perkembangan Islam. Hingga yang paling teruk, orang Islam sendiri yang menentang perjuangan Islam, na'uzubillahi min zaalik.

"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu ejek-ejekan,  mereka itu akan memperolehi azab yang menghinakan.  Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada penyumbat di kedua telinganya; maka beri khabar gembiralah dia dengan azab yang pedih."  (Surah Luqman : Ayat 6-7)

Kita boleh kenal diri kita sama ada kita ada sifat munafiq atau tidak. Tak perlu menuding jari pada orang lain, kerana anda mungkin akan bersangka buruk atau salah sangka. Tetapi tuding jari kita ini pada diri kita sendiri dulu. Ya diri kita sendiri, siapa lagi.

Kalau kita rasa rajin beramal apabila berada di depan manusia lain, tapi bila sendirian kita malas, maka itu tandanya kita ada sifat munafiq. Begitu juga kalau kita suka menipu, talam dua muka, selalu lupa pada Allah, suka riya', suka fitnah, suka mengumpat, suka mukmin lain dapat susah, dan seumpamanya lagi, maka persiapkan lah diri kita untuk menerima balasan azab siksa nanti, na'uzubillah. 

Rasulullah Solallahu 'Alaihi Wassalam bersabda, "Tanda orang munafik ada tiga, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia menyalahi janji dan apabila dipercayai dia khianat." (Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Nasa'i dari Anas)


Jangan juga dipersulitkan

Perkara-perkara yang sudah mudah dalam Islam jangan pula semakin dirumitkan dengan menambah perkara-perkara yang tidak ada dan sengaja membuatkan orang takut kepada Islam.  Begitu juga jangan sampai menyiksa diri hingga beramal dengan terlalu berlebihan dan boleh mendatangkan mudarat pada tubuh badan.

Sebagaimana contoh kisah ada sahabat yang mahu berpuasa setiap hari tanpa selang. Dan Nabi Muhammad S.a.w pun memberitahu bahawa dia pun berpuasa dan berbuka, dan menasihatkan jika mahu puasa banyak, ikutlah puasa Nabi Daud a.s iaitu berpuasa selang sehari.

“Permudahkanlah dan jangan persulitkan. Gembirakanlah dan jangan menakut-nakutkan.”  (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah juga dalam hal mahu mengajak orang lain kepada kebaikan. Kita juga dilarang dari bersifat ghuluw (berlebih-lebihan) dan menggunakan bahasa-bahasa yang kesat dan kutukan.  Jangan kita ingat kita sudah mengajak orang ke arah kebaikan kita boleh lakukan apa saja tanpa langsung cuba untuk menjaga hati dan menarik hati orang lain agar tertarik dengan Islam. 

“Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.” (Hadith Riwayat Ibnu Mas'ud)

“Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya”. (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Kerana itulah Allah S.w.t menjadikan Rasulullah s.a.w dengan sifat lemah lembut dan tidak keras serta paling tinggi sabarnya.  Lagi pun Islam diturunkan dengan hujjah, maka yang paling penting ialah sertakan hujjah-hujjah yang berkesan, bukannya kekerasan membabi-buta sehingga boleh menyebabkan syaitan-syaitan tertawa.

“Jika engkau kasar dan keras hati, nescaya mereka akan lari dari engkau, maka maafkanlah mereka dan pohonkan keampunan untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka.”  (Surah Ali-Imran : Ayat 159).

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”  (Hadis riwayat Ahmad & Al-Baihaqi)

Sekurang-kurangnya, cuba lah kenal-kenal dulu dengan orang yang kita mahu dakwah atau ajak kepada kebaikan itu, bukannya main ikut sedap mulut menegurnya tanpa kenal batang hidung dan hati budi terlebih dahulu. Lagi pun kita tidak tahu, mungkin di masa depan, orang itu akan jadi lebih baik dari kita, dan kita pula yang akan jadi lebih teruk, na'uzubillahi min zaalik.

"Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik, dan berdialoglah dengan cara yang lebih baik, Allah lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan siapa yang mendapat petunjuk." (Surah an-Nahl : Ayat 125)


Kesimpulan


Perkara yang asalnya sudah mudah dalam Islam, jangan dipersulitkan. Tetapi jangan pula mempermudah-mudahkan perkara yang sudah mudah. Ketahui mana yang lebih penting dari yang kurang penting dan tidak penting.

Imam Ibnu Qayyim menyatakan, “Hakikat ajaran Islam semuanya mengandungi rahmah dan hikmah. Kalau ada yang keluar dari makna rahmah, akan menjadi kekerasan, atau keluar dari makna hikmah menjadi kesia-siaan, bererti itu bukan termasuk ajaran Islam. Jika dimasukkan oleh sebahagian orang, maka itu adalah kesalahan."

Sila baca juga tajuk Islam itu mudah di laman web JAIS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.