Berita Terkini

Wanita Tanpa Wajah Jalan Malam

Bercakap dengan jinBerikut adalah satu petikan dari kisah dalam buku Bercakap dengan Jin karya Tamar Jalis. Hhmmm, teringat pula saya zaman kecik-kecik dulu, suka juga baca buku-buku dia ni. Tulisan-tulisannya adalah dalam bentuk karangan novel, tetapi sebagai penceritaan semula pengalaman-pengalaman mistik beliau bersama datuknya.

Apa-apa pun untuk membaca banyak lagi kisah misteri dan seram seperti di bawah, boleh lah ke blog Bercakap dengan jin

Pemilik lombong itu membeli tanah milik orang Melayu dengan harga yang mahal. Dan orang Melayu yang menjual tanah itu diberi tapak rumah yang terletak di satu kawasan lain. Tidak lama lagi tulang mayat yang ada di tanah perkuburan tersebut akan dipindahkan ke tempat lain. Segala perbelanjaan ditanggung oleh pihak tuan punya lombong.

“Tidak lama lagi kampung kami tinggal nama saja, semua rumah yang ada ini, paling lama boleh bertahan lima enam bulan saja lagi, lepas tu terpaksa pindah. Di bawah tempat kita berdiri ini penuh dengan bijih,” kata Ramli.

“Macam mana kalau mereka tak mahu pindah?”

“Mana boleh semuanya sudah dijual duit pun dah ambil dari tauke lombong,” jawab Ramli.

“Rugi mereka jual tanah,” kata saya.

“Awak tak boleh cakap macam ini, kalau mereka tak jual tanah, mereka juga tak boleh kaya, takkan nak cangkul tanah cari bijih, lagipun tawaran yang datang ni memang tinggi,” kata Ramli. Bila saya fikirkan dengan halus cakapnya itu memang ada benarnya.

Rupanya Ramli yang hampir sebaya dengan saya itu, terlalu pintar bercakap. Ia boleh bercerita tentang apa sahaja yang ada hubung kait dengan Kampung Bakap. Kami terus bercerita panjang. Kami berpisah ketika azan Maghrib dilaungkan.

Ramli kini menjadi pelombong Melayu yang berjaya, setelah ia meletakkan jawatan sebagai Pengarah Galian Negeri Perak. Anak sulungnya menuntut ilmu kedoktoran di England.

Kawan datuk itu namanya, Alang Abdul Rauf. Datuk memanggilnya Rauf sahaja. Sebagai orang kampung yang sederhana, ia mempunyai dua ekar tanah dusun dan tiga ekar ladang getah. Hasil dari tanah miliknya itu menjadi sumber pendapatannya.

Sejak enam bulan kebelakangan ini, ia membuat kerja tambahan menggali kubur lama waktu malam. Tulang-temulang dari kubur lama itu dikumpulkan lalu ditanam di kawasan perkuburan yang baru. Semua pembiayaan kerja itu diuruskan oleh pihak tuan punya lombong yang mahu mencari bijih di kawasan tersebut.

Alang Rauf dibantu oleh empat orang lain. Mereka menjalankan kerja selepas waktu Isyak hingga ke Subuh. Sepanjang tugas itu dilaksanakan mereka tidak menghadapi sebarang kejadian aneh. Semua kerja berjalan dengan lancar.

“Bagaimana, kalau kamu dengan cucu kamu ikut kami malam ini,” Alang Abdul Rauf membuat tawaran pada datuk setelah selesai sembahyang Isyak. Bulu tengkuk saya jadi meremang mendengar pelawaan itu. Ah, itu kerja gila, pergi kubur waktu malam dan menggalinya pula, rungut saya dalam hati.

“Minta maaf, malam ni saya ada berjanji dengan orang yang berniaga di pasar Batu Gajah,” ajar datuk tenang.

“Nak ke mana pula?”

“Orang tu beritahu saya, di kampung tempat dia menyewa rumah dikawal oleb satu lembaga putih, sesiapa yang datang ke kampungnya dengan niat nak mencuri atau mengambil sesuatu lembaga putih akan menganggunya.”

“Aku tahu cerita tu kalau tak silap di Kampung Dhobi di Pekan Lama.”

“Agaknya, begitulah,” datuk menelan air liur. Alang Abdul Rauf menggaru pipi kiri. Kemudian menyedut rokok daun dengan penuh nafsu. Suara cengkerik jelas kedengaran menendang gegendang telinga.

Alang Abdul Rauf pun terus bercerita pada datuk. Kira-kira tiga bulan yang latu, waktu musim buah durian gugur. Tiga orang pemuda India yang nakal telah datang ke kampung tersebut untuk mencuri buah durian waktu malam.

Sedang mereka mengutip buah durian, tiba-tiba mereka terpandang lembaga putih memakai kain telekung. Pada sangkaan pemuda-pemuda India itu, orang-orang kampung cuba menakutkan mereka.

Mereka terus membalingkan kulit durian dan dahan kayu ke arah lembaga tersebt. Lembaga itu tidak bersuara malah terus duduk di tunggul buruk. Kerana memikirkan yang bertelekung itu orang perempuan, ketiga-tiga pemuda India ini terus rapat ke arah lembaga tersebut.

Bila sahaja lembaga itu merenung ke arah mereka. Ketiga-tiga pemuda India itu terus menjerit dan lari lintang-pukang. Dua hari kemudian seorang daripada pemuda India itu mati gantung diri. Manakala yang dua orang terus gila dan dihantar ke hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

“Apa yang mereka lihat.” tanya datuk.

“Entahlah,aku pun tak tahu.”

“Pelik juga ceritanya.”

“Kalau kamu nak tahu, kamu pergi sendiri. Aku nak mulakan kerja, kawan-kawan aku dah menunggu,” Alang Abdul Rauf segera bangun menuju ke pintu.

“Tak apalah Rauf, aku juga nak pergi ke tempat yang aku janjikan dengan peniaga tu,” datuk terus bangun.

“Kamu balik atau tidak malam ni?”

“Belum tahu lagi.”

“Tak apalah, kalau kamu balik dan aku tak ada di rumah kamu ketuk aja pintu, nanti orang rumah aku bukakan pintu.”

Alang Abdul Rauf terus melangkah menuju ke tempat kerjanya. Saya dan datuk juga mengatur langkah.

Sampai sahaja di depan Masjid Batu Gajah, kenalan datuk sudah pun menunggu. Di situ kami menuju ke rumahnya. Isterinya menghidangkan kopi dan biskut kering.

“Awak ni berminat sangat nampaknya, apa awak seorang pawang dan nak menghalaunya,” tanya peniaga tersebut pada datuk. Ketika itu jam sudah pun hampir pukul dua belas malam.

“Bukan apa-apa, saya cuma nak tengok, apakah cerita betul atau sengaja diada-adakan.”

“Kalau awak tak mahu, biar kami pergi berdua.”

“Tak apalah. saya hantarkan awak ke hujung kampung.”

“Boleh juga,” jawab datuk.

Tepat pukul dua belas malam. Kami meninggalkan rumah. Peniaga tersebut cuma menghantar kami hingga sampai ke pohon jejawi yang besar. Ia membekalkan lampu suluh pada datuk. Saya mula resah. Angin malam yang bertiup lembut terus menjamah wajah saya.

“Saya setakat sini saja, awak tahu menuju rumah saya,” lembut benar suara peniaga. Membayangkan rasa cemas.

“Saya tahu menuju rumah awak, terima kasih.”

“Sebenarnya, saya tak pula suruh awak buat macam ni, saya sekadar bercerita saja di masjid tadi, saya fikirkan awak olok-olok aje nak datang rupa-rupanya awak sungguh-sungguh.”

“Saya memang suka buat kerja macam ni,” jawab datuk. Dan peniaga itu meninggalkan kami di bawah pepohon jejawi yang besar itu.

Dua tiga kali saya meraba pangkal dagu bila terdengar lolongan anjing bersahut-sahutan dari bahagian tengah dan hujung kampung. Lolongan anjing itu disertai dengan salakan yang tidak putus-putus macam menyalak sesuatu. Saya lihat ke langit, saya nampak awan putih bersih bergerak lemah ke selatan.

Suara katak dan cengkerik menambahkan rasa seram. Beberapa helai daun jejawi yang tua gugur lalu menyentuh kepala saya. Datuk tetap tenang menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picitnya. Melihat dari langkah dan gerak tangan datuk, menggambarkan yang dirinya tidak perlu membuat apa-apa persiapan.

Datuk tidak membaca ayat-ayat suci. Ia kelihatan tenang dan adakalanya ia tersenyum panjang. Datuk duduk bersila di pangkal jejawi. Akar-akar yang bergayutan di pohon jejawi bergerak sendiri macam ada orang yang menolaknya. Akar-akar itu memukul belakang datuk dan adakalanya memukul bahagian punggung saya. Terasa juga sakitnya tetapi, saya diamkan sahaja.

“Suluh baik-baik,” datuk mengingatkan saya. Arahan datuk saya patuhi.

Saya terdengar kicau burung murai. Pelik juga macam mana murai boleh berkicau malam. Bila kicau mural itu berhenti. Ada titik air jatuh dari dahan jejawi, macam air dari perahan kain yang dibasuh. Air itu turun berjuntai. Salakan anjing beransur perlahan begitu juga dengan lolongannya.

Terdengar bunyi kaki orang memijak reranting dan dedaun kering dalam gelap malam. Bila disuluh dengan lampu picit. Tidak ada sesuatu yang dapat dilihat. Bulu tengkuk saya meremang. Badan saya terasa seram sejuk.

Beberapa ekor tikus liar. Entah dari mana datangnya melintas di depan saya dan datuk. Seekor anjing yang bertompok hitam putih melompat di depan datuk dan terus hilang. Beberapa saat kemudian terdengar suara anjing menderam macam menegur sesuatu.

“Dia tidak datang kerana kita tidak mengambil sesuatu di sini,” kata datuk pada saya sambil bangun. Ia menggeliat.

“Apa yang kita nak ambil tuk?”

“Ikut aku Tamar.”

Saya lihat datuk menyuluh ke kanan. Dari suluhan lampu picit ternampak beberapa batang pokok delima yang berdaun lebat. Datuk mengajak saya menuju ke pohon delima itu. Datuk serahkan lampu picit pada saya.

“Suluh, biar aku petik sebiji dua,” beritahu datuk pada saya.

“Baik tuk.”

Datuk memetik dua biji delima yang masak ranum. Dia masukkan ke dalam sakunya dan datuk melangkah ke arah pohon kelapa yang berada di depannya.

Tiba-tiba dari balik pohon kelapa itu muncul lembaga manusia, memakai kain putih menutup seluruh tubuh hingga ke kaki. Hujung kain putihnya mengheret dedaun dan ranting yang melekat dan mengeluarkan bunyi macam bunyi pinggan yang ditarik atas meja tanpa alas.

Ia berjalan di depan kami dalam jarak lima belas kaki. Bila datuk dan saya berhenti berjalan. Ia juga turut berhenti. B11a datuk mengalihkan perjalanan ke arah lain. Ia hilang untuk beberapa minit dan akhirnya muncul di depan kami.

Perbuatannya itu seolah-olah menyekat perjalanan saya dan datuk. Lebih dari satu jam kami berlegar-legar di situ. Ke mana sahaja kami pergi lembaga putih tetap berada di depan. Ia tidak menoleh ke arah saya dan datuk. Bagaikan ia mahu menyembunyikan wajahnya dari kami.

Ia juga tidak mengganggu atau cuba menakutkan saya dan datuk. Saya mengajak datuk pulang. Malangnya datuk tidak mahu mendengar cakap saya.

“Dia tidak berkasar, susah aku nak menduganya,” beritahu datuk pada saya dengan wajah sedikit kecewa. Dan datuk cuba mendekatinya. Lembaga putih itu bagaikan tahu ape yang tersirat di hati datuk. Ia tidak bergerak, tertegun dengan membelakangi kami.

Datuk terus menepuk bahu lembaga putih. Dengan pantas lembaga itu memusingkan badannya. Menentang wajah saya dan datuk. Badan saya menggeletar dan lembik. Saya jatuh tanpa berkata apa-apa. Datuk tidak berganjak, Ia tetap menentang wajah lembaga putih itu.

Macam mana badan saya tidak lembik dan jatuh. Lembaga putih itu tidak berwajah. Bahagian muka yang tidak ditutup dengan kain putih itu sebenarnya kosong, nampak berlubang dan hitam pekat tetapi ada kilau cahaya yang amat kecil yang menyebabkan mata jadi silau bila ditentang. Kepala terasa pening.

“Aku cuma nak tengok kamu saja, apa yang aku ambil aku pulangkan ke tempatnya,” kata datuk pada lembaga itu. Perlahan-lahan lembaga itu memusingkan badannya ke arah depan. Datuk membangunkan saya. Lembaga putih masih berdiri di tempatnya.

“Kita mengambil hak orang,” beritahu datuk pada saya. Tangan saya ditariknya menuju ke pohon delima. Datuk mengeluarkan buah delima dari koceknya dan diletakkan di pangkal pokok delima. Bila kami toleh ke arah lembaga putih, lembaga itu sudah pun hilang.

Salakan dan lolongan anjing kedengaran bertalu-talu dari arah selatan. Datuk menarik tangan saya menuju ke rumah peniaga. Saya terkejut, peniaga itu menunggu kami di kaki tangga. Jam tua di tengah rumahnya berdenting dua kali.

“Jumpa?” Tanyanya.

“Jumpa, saya dah jumpa,” balas datuk.

“Apa katanya?”

“Dia mengawal kampung awak,” jawab datuk. Peniaga itu agak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh datuk.

Ia termenung. Dengan nada suara yang lembut ia berkata; “Ramai orang yang berkata, seperti yang awak katakan itu.” Datuk tersenyum panjang. Datuk terus duduk di sisinya. Saya masih berdiri.

Peniaga itu mengajak datuk tidur di rumahnya dengan alasan ia mahu datuk bercerita, bagaimana lembaga putih itu boleh berkeliaran di kampungnya. Ia juga ingin tahu betulkah lembaga itu menjelma untuk mengawal kampung tersebut.

Datuk menolak permintaannya. Datuk juga berjanji padanya, satu hari nanti, datuk akan menceritakan padanya bagaimana lembaga putih tu boleh muncul. Peniaga itu puas hati dengan penjelasan datuk dan merestui perjalanan kampung ke rumah Alang Abdul Rauf.

Along Abdul Rauf sudah pun pulang kerja ketika kami tiba di rumahnya. Ia sudah menyediakan tilam dan bantal untuk kami. Macam selalu, sebelum tidur datuk akan melakukan sembahyang sunat. Mungkin kerana terlalu letih, Along Abdul Rauf tidak mahu bercerita panjang.

“Esok kamu ceritakan pada aku apa yang kamu alami,” kata Along Abdul Rauf. Saya merasa senang hati. Saya dapat tidur cepat. Sudah tidak tahan rasa menahan kelopak mata.

“Tak apalah Rauf, esok saja.”

“Tidurlah.” Alang Abdul Rauf meninggalkan kami.

GORENG

Pagi itu, kami sarapan pagi di anjung rumah Along Abdul Rauf. Goreng pisang yang disediakan oleh isterinya membuat saya makan dengan penuh selera sekali.

“Kamu jumpa?” Along Rauf memulakan ceritanya.

“Jumpa dan bercakap dengannya.”

“Apa katanya?”

“Aku saja yang bercakap tetapi dia diam juga.”

“Ah, kamu mempermainkan aku.” balas Along Abdul Rauf sambil ketawa panjang. Saya cuma tersenyum lebar. Seronok juga melihat orang tua berjenaka.

Tanpa diminta oleh datuk, Along Abdul Rauf terus bercerita berhubung dengan lembaga putih. Menurutnya, lembaga itu sudah lama muncul di tempat tersebut.

Beberapa orang pawang telah dipanggil untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya. Penduduk di tempat tersebut terpaksa bertindak demikian kerana ramai penduduk yang terserempak dengan lembaga putih bila pulang malam. Malah, ada yang jatuh sakit.

“Saya rasa susah nak mencari orang yang boleh menghalaunya,” tercetus suara datuk.

“Kalau macam tu susahlah.”

“Tak susah satu masa nanti lembaga ini akan hilang dengan sendirinya, asalkan penduduk di situ selalu mengadakan pembacaan yasin secara beramai-ramai di masjid atau surau pada setiap malam Jumaat,” jelas datuk dengan tenang.

Datuk terus memberitahu Alang Abdul Rauf, lembaga putih itu ada hubungannya dengan orang kaya atau orang yang mula meneroka kampung tersebut. Orang kaya atau peneroka kampung tersebut memelihara sejenis makhluk untuk jadi pengapit dirinya atau untuk menjaga hartanya.

“Ilmu itu apa namanya?” Mendadak sahaja Alang Abdul Rauf bertanya.

“Setengah orang menyebutnya Pengapit dan setengah orang pula menyebutnya sebagai kembar” jelas datuk.

“Tujuannya baik, tentu tak salah?”

“Sebagal orang islam kenapa kita mesti minta pertolongan dari makhluk lain seperti syaitan atan jin, kenapa kita tidak memohon pertolongan dari Allah? Perbuatan begini sudah salah boleh memesongkan iktikad kita.”

“Tapi, kita mohon sesuatu yang baik untuk keselamatan diri dan Allah perkenankan,” Alang Abdul Rauf tidak puas hati.

“Bukankah Allah itu pemurah, apa yang diminta akan diberi tetapi, Allah memberikan fikiran pada kita untuk berfikir bagi memilih mana yang baik, Allah suka pada orang berfikir.” Sanggah datuk. Dan datuk bersedia melanjutkannya kalau Alang Abdul Rauf mahu berhujah tentang perkara itu.

“Kamu tahu tak, apakah makhluk pengapit dari jin dan syaitan atau sebagainya,” tanya Alang Abdul Rauf lagi.

“Boleh jadi kedua-duanya sekali,” pendek datuk menjawab.

“Hum,” keluh Alang Abdul Rauf.

Datuk terus menerangkan pada Alang Abdul Rauf, bila orang yang mengamalkan ilmu pengapit itu meninggal dunia. Pengapitnya akan berkeliaran mencari kerabat si mati yang mahu membelanya.

Andainya keluarga si mati itu tidak tahu simpati membela pengapit atau tidak mahu menyambung usaha si mati, pengapitnya berkeliaran ke mana sahaja di kawasan kampung yang pernah jadi tempat tinggal si mati. Pengapit itu akan menjadi penunggu kampung secara sukarela dengan harapan ada orang yang bersimpati untuk mengambilnya menjadi pengapit.

“Kamu tahu macam mana cara orang itu membela pengapitnya?” Cungkil Alang Abdul Rauf.

“Dia mengadakan kenduri, membaca doa tetapi, lebihan dari jamuan kenduri itu diambil diletakkan dalam niru lalu dicampakkan ke dalam hutan atau di bawah pokok besar.”

“Mana kamu tahu semuanya ni?”

“Aku pernah berdamping dengan orang yang membela pengapit tetapi, aku tak mengamalkannya kerana perbuatan ini bertentang dengan ajaran Agama Islam.”

“Hebat juga kamu ni?”

“Bagi aku, kita harus menyerahkan diri pada Allah minta perlindungan pada-Nya, buat apa yang disuruh, jauh dari kerja yang ditegahnya. Ajaran Islam kalau diikut dengan betul, kita selamat dunia akhirat.”

“Tetapi, ada orang campur-adukkan ajaran agama dengan ilmu dunia, campur dengan perkara tahyul, bagaimana pendapat kamu.”

“Itu cara yang salah dan tanggungjawab orang itu untuk berhadapan dengan Allah,” datuk tersenyum.

Biji mata Alang Abdul Rauf terbeliak bila datuk memberitahunya, jika datuk memasukkan segenggam tanah ke arah muka lembaga putih yang kosong itu, pasti lembaga itu akan mengikutnya dan akan menjadi hamba datuk sampai datuk mati.

“Bukan itu tujuan aku mencarinya, aku sekadar nak tahu saja. kalau aku tanya orang-orang kampung tersebut, aku mesti dapat tahu pengapit siapa lembaga putih itu, tapi kena makan masa yang panjang.”

“Tak usab buat kerja salah tu,” tahan Alang Abdul Rauf.

“Kalau kamu tak cakap pun, aku tak akan membuatnya.”

“Bagus, malam esok ikut aku ke kubur korek mayat,” pelawa Alang Abdul Rauf.

“Boleh juga,” jawab datuk pantas. Saya menarik nafas panjang.

Saya tinggalkan datuk dan Alang Abdul Rauf yang rancak berbual. Saya duduk berjuntai kaki di tangga, melihat pepohon yang berdaun lebat di halaman rumah Alang Abdul Rauf. Dari radio jiran tetangga Alang Abdul Rauf, saya menikmati lagu ‘Tak Mengapa’ dendangan A. Rahman Hassan yang popular ketika itu.

Hati saya jadi terhibur lalu menepuk tangan perlahan-lahan mengikut rentak irama lagu tersebut. Sesekali saya menyebutkan senikatanya. Memang, semua senikata lagu itu tidak dapat saya ingati. Tetapi, iramanya memang menarik, sambil mendengar lagu tersebut, saya cuba mengkhayalkan dalam kepala yang saya sedang mendendangkan lagu itu di atas pentas di hadapan ribuan para peminat.

Saya tersenyum bila menerima tepukan yang bergemuruh. Saya lalu menundukkan badan dan kepala membalas penghormatan itu. Saya bayangkan, ketika turun dari pentas saya terus dikerumuni oleh para peniinat, mereka hulurkan tangan untuk bersalaman, mereka lari beri autograf untuk ditandatangani. Ada yang beri baju dan sapu tangan untuk ditandatangani. Saya jadi lemas di tengah para peminat yang terdiri dari para belia.
Saya juga membayangkan gambar saya jadi bahan siaran majalah hiburan. Di mana-mana saya pergi, saya tetap disanjungi dan dihormati. Setiap hari saya membalas beratus-ratus surat perninat. Oh, seronoknya.

“Eb, kamu ini tak habis-habis dengan menung, berangan-angan,” datuk terus menepuk bahu kanan saya. Semua khayalan indah yang berbunga dalam kepala hancur punah. Saya renung mukanya dengan rasa kesal. Bukannya senang mahu membina satu khayalan yang menyeronokkan.

“Kamu ikut Alang Abdul Rauf pergi ke Kota Baru,” kata datuk.

“Tuk nak ke mana?”

“Aku nak jumpa dengan peniaga di pasar Batu Gajah.”

“Kalau macam tu, saya ikut tuk saja, tak seronok dengan Alang Rauf, saya tak begitu kenal dengannya tuk.”

“Jangan bantah cakap aku.” suara datuk mula keras. Dan Alang Abdul Rauf segera mendekati saya. Perlahan-lahan saya lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

“Mari,” kata Alang Abdul Rauf. Saya tak ada pilihan. Terpaksa ikut cakap datuk dan mematuhi ajakan datuk.

Datuk, saya dan Alang Abdul Rauf meninggalkan rumah. Jalan bersaingan hingga sampai kepala simpang. Dari situ kami berpecah. Datuk menuju ke pasar Batu Gajah. Alang Abdul Rauf dan saya menuju ke tempat yang dirancangkan.

Seronok juga ikut Alang Abdul Rauf. Saya dapat pengalaman baru yang amat menyeronokkan. Melintasi ladang getah dan kawasan perlombongan yang amat luas. Tidak saya sangka Alang Abdul Rauf yang sudah tua, (saya kira usianya sekitar lima puluh tujuh) masih bertenaga mengayuh basikal
berbatu-batu. Saya yang membonceng di belakangnya perlu mengimbangkan badan supaya tidak berat sebelah.

Sesekali terpaksa angkat punggung, bila tayar basikalnya melanggar akar-akar getah yang berselirat di jalan kampung. Alang Abdul Rauf memberitahu, dia sengaja membawa saya melalui jalan tersebut, kerana jalan kampung itu merupakan jalan pintas yang terdekat untuk sampai ke Kota Baru, sebuah pekan kecil dalam daerah Kinta.

Sejam kemudian, kami sampai ke pekan kecil itu. Alang Abdul Rauf sandarkan basikal di pangkal pokok jati depan kedai kopi. Bahagian belakang baju Melayunya, saya lihat dibasahi peluh. Daging punggung saya terasa kebas dan sengal-sengal.

“Kita minum, rumah adik aku tak jauh Lagi,” kata Alang Abdul Rauf.

“Saya tak dahaga pakcik.”

“Tak dahaga pun, apa salahnya minum.”

“Tak payahlah pakcik.”

“Jangan begitu, datuk kamu tak marah, dia suruh aku bawa kamu, biar kamu tahu tentang keadaan orang di sini.”

“Hummmm,” ketuh saya lalu mengikutnya masuk kekedai kopi.

Alang Abdul Rauf minta dua cawan kopi. Sementara menanti kopi yang dipesan, Alang Abdul Rauf menatap akhbar Utusan Melayu yang memang disediakan okh pihak pekedai untuk para pelanggan yang datang minum. Saya lihat tidak berapa ramai orang yang minum dalam kedai tersebut.

Kebanyakannya sudab tua-tua belaka. Tetapi, mereka tetap bersikap ramah pada saya dan Alang Abdul Rauf. Mereka tidak kedekut untuk memberikan senyuman pada kami. Sikap mereka itu membuat saya gembira dan senang hati. Kopi yang dipesan pun sampai.

“Minumlah” kata Alang Abdul Rauf pada saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala lalu mendekatkan piring dan cawan ke tepi meja. Saya kacau air dalam cawan dengan sudu. Biar gula, kopi dan susu jadi sebati. Alang Abdul Rauf masih lagi menatap akhbar. Seolah-olah buat tidak kisah dengan air kopi yang dipesannya.

“Pak cik kenapa tak minum?” Tanya saya. Alang Abdul Rauf jatuhkan suratkhabar atas meja. Muka saya ditentangnya sambil menolak suratkhabar Utusan Melayu ke tepi. Saya terus mendermakan senyum padanya sambil mengangkat cawan untuk menghirup air kopi.

“Tamar.”

Cawan kopi saya letakkan atas meja kembali. Saya lihat Alang Abdul Rauf menekup kedua belah telinganya dengan telapak tangan. Matanya tertatap pada dada meja. Memang saya, tidak mengerti kenapa Alang Abdul Rauf berbuat demikian. Mungkin itu kebiasaan yang sering dilakukannya atau dia mengalami sakit telinga, saya membuat andaian yang tersendiri.

Alang Abdul Rauf terus menghirup kopi. Bahu kanan saya dicuitnya, menyuruh saya minum. Tanpa membuang masa, air kopi terus saya hirup. Rasa kering di anak tekak terus berakhir.

“Makan kuih,” kata Alang Abdul Rauf. Ia terus mengambil pulut udang dalam piring. Pembalut pulut udang dikoyakkannya dengan berhati-hati.

Sebelum pulut udang disumbat ke dalam mulut, pembalut bahagian atas dan bawah terus dibuang. Alang Abdul Rauf terus mengunyah pulut udang dan kemudian ditelan.

Saya terus mengambil kuih Seri Muka, bila kuih itu saya dekatkan ke mulut. Alang Abdul Rauf terus berdehem. Saya segera memandang padanya dengan ragu-ragu. Kenapa setiap kali saya mahu minum dan makan, Alang Abdul Rauf melakukan sesuatu.

“Kau tak baca bismillah,” Alang Abdul Rauf mengingatkan.

“Oh. terima kasih.”

Saya terus membaca bismillah. Kuih Seri Muka saya kunyah dengan rakus sekali. Alang Abdul Rauf tersenyum memandang pada saya. Beberapa orang pelanggan, masuk dan keluar dari kedai kopi. Matahari yang memancar garang di luar menghantar bahang panas ke dalam kedai.

Badan saya jadi berpeluh. Alang Abdul Rauf menghabiskan sisa-sisa kopi di cawan. Ia minta lagi secawan kopi. Jumlah pulut udang dalam piring terus berkurangan. Saya kira kopi dan pulut udang merupakan makanan dan minuman yang amat digemari olch Alang Abdul Rauf.

“Tamar, kau mahu mengamalkan petua orang tua-tua.”

‘Mahu pakcik.”

Alang Abdul Rauf kacau kopi dengan sudu berkali-kali. Sudu yang berlaga dengan bibir cawan melahirkan bunyi yang amat menyeronokkan bagi diri saya. Sebelum minum kopi, Alang Abdul Rauf menggosok-gosok rambutnya dengan telapak tangan. Kemudian baru ia minum dengan tenang.

“Apa petua yang pakcik nak cakapkan dengan saya?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (58) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.