Berita Terkini

Haid

Haid atau datang bulan merujuk kepada satu fisiologi tetap dan teratur yang dialami oleh perempuan yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung. Semasa kedatangan haid, seseorang perempuan akan kehilangan darah. Tempoh pembiakan seseorang perempuan dicirikan dengan perubahan ritma pada rembesan hormon yang diperlukan untuk pembiakan. Corak ritma ini dikenali sebagai kitaran haid.

Fungsi kitaran haid ialah untuk menghasilkan ovum yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk penempelan embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, ovum akan mengalami kemerosotan dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita melalui faraj.


Proses haid akan membuang keluar darah, mukus dan sel-sel yang sudah mati. Proses ini berlaku dalam tempoh yang agak tetap daripada masa akil baligh sehinggalah menopaus (putus haid) kecuali semasa mengandung dan penyusuan. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun (julat umur antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran haid bagi wanita yang biasa ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap sebagai hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang wanita yang biasa dan sihat ialah antara 20 hingga 45 hari. Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur. Tempoh aliran keluar haid juga berbeza-beza.


Purata kitaran haid ialah 6.6 hari manakala pada umur 21 tahun, purata tempoh haid menjadi enam hari sehinggalah mencapai tahap putus haid. Lebih kurang lima peratus perempuan yang sihat datang haid kurang daripada empat hari dan lima peratus lagi perempuan yang mengalami lebih daripada lapan hari. Jumlah purata darah dan tisu yang hilang semasa kedatangan haid ialah 70 mililiter. Wanita yang berumur kurang daripada 35 tahun akan kehilangan darah lebih banyak berbanding wanita yang berumur 35 tahun ke atas.

Jumlah keseluruhan cecair badan yang hilang semasa haid ialah antara 60 hingga 200 mililiter.

Sesetengah perempuan akan mengalami simptom atau gejala yang tidak selesa dalam tempoh haid tersebut. Dalam tempoh tersebut, wanita akan mengalami masalah seperti sakit kepala, pengumpulan cecair, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan.

Kehadiran dan keterukan gejala ini berbeza-beza di kalangan perempuan. Masalah ini boleh dibantu oleh ahli farmasi atau diurus sendiri oleh perempuan tersebut. Mereka yang mengunjungi kedai farmasi akan ditemu bual untuk memastikan keterukan masalah dan sama ada perempuan berkenaan harus mendapatkan pemerhatian doktor. Temu bual ini juga dapat membantu ahli farmasi untuk menilai masalah pesakit dan memilih atau menyarankan ubat yang sesuai dan berkesan bagi mengatasi masalah tersebut.

Abnormal semasa haid dan cara mengatasi

Tidak semua wanita yang akan mengalami kedatangan haid tanpa masalah. Adalah dianggarkan seramai 10 peratus wanita mempunyai masalah sakit puan yang kronik. Sesetengah wanita mempunyai masalah seperti berikut:

1. Dismenorea

Merupakan satu keadaan di mana wanita mengalami kesakitan dan kekejangan yang teruk semasa haid. Dianggarkan sebanyak 50% wanita mengalami masalah ini dengan gejala kekejangan yang berlaku pada awal kedatangan haid dan hilang selepas satu hingga dua hari tanpa menjejaskan aktiviti harian. Sebanyak 10% wanita dikatakan mengalami sakit kekejangan yang teruk pada bahagian bawah abdomen dan kerap kali disertai gejala sistematik seperti mual, muntah, cirit-birit, sakit kepala dan kepeningan. Ia juga kerap berlaku di awal tempoh haid. Masalah dismenorea boleh dikelaskan kepada primer atau skunder. Dismenorea primer berlaku kerana pengecutan otot rahim dan akan disebabkan oleh masalah penyakit tertentu. Sebaliknya, dismenorea sekunder berlaku disebabkan masalah tertentu seperti endometriosis, fibroids (ketumbuhan otot-otot pada bahagian rahim) atau penyakit inflamasi pelvik.

Sebelum menyarankan kaedah rawatan, ahli farmasi atau doktor harus mengenalpasti masa bermulanya sakit berhubung dengan haid tersebut. Sakit akibat dismenorea primer berlaku sebelum atau semasa dua hari pertama haid. Jika kesakitan berlanjutan dan menjadi lebih teruk, ia mungkin diakibatkan oleh masalah yang serius dan perlu dirujuk kepada doktor pakar.

2. Menoragia

Merupakan pendarahah yang banyak semasa haid. Ini berlaku pada sembilan peratus hingga 14% wanita dan boleh mengakibatkan beberapa masalah. Pembekuan darah biasa berlaku semasa pendarahan yang banyak tetapi ia tidak merbahaya. Wanita perlu berjumpa doktor jika pendarahan berlaku di antara tempoh haid atau semasa mengandung.

3. Amenorea

Merupakan masalah tidak datang haid (primer) atau kurang alami haid (sekunder). Sesetengah wanita tidak datang haid melebihi tempoh tiga bulan. Amenorea primer selalunya dikaitkan dengan kegagalan berlaku haid sebelum 18 tahun dan dikaitkan dengan disfungsi kromosomal, pituitari atau ovarian. Pesakit yang mengalami amenorea primer dan sekunder perlu dirujuk kepada doktor. Amenorea sekunder biasanya disebabkan oleh mengandung, penyusuan, menopaus dan pemberhentian pil kontraseptik. Sebab-sebab lain ialah gangguan bahagian hipotalamus (bahagian otak), kelenjara pituitari, kelenjar adrenal, ovari dan uterus.

4. Pendarahan dan kesakitan semasa tempoh antara haid

Berlaku di pertengahan kitar haid dan boleh berlaku selama beberapa jam sehingga beberapa hari. Kesakitan ini boleh disertai dengan pendarahan. Terdapat hubungan di antara kesakitan interhaid, pendarahan dan ovulasi. Ramai wanita yang mengalami pendarahan dan kesakitan yang singkat di antara kitaran haid. Ketidakselesaan ini biasanya disebabkan oleh ovulasi. Jika masalah in berlanjutan dan menjadi teruk (melebihi dua hari), wanita tersebut perlu dirujuk kepada doktor.

5. Sindrom prahaid

Ramai wanita yang mengalami gejala berulang-ulang yang kompleks. Ini dikenali sebagai Sindrom Prahaid. Biasanya gejala ini membabitkan rasa mual selama dua atau tiga hari sebelum kedatangan haid atau di akhir-ahir tempoh haid. Ia disebabkan oleh naik turun paras hormon. Masa bermula gejala berbeza di kalangan wanita tetapi ia adalah konsisten bagi setiap wanita. Kebiasaannya, gejala ini disebabkan oleh gabungan keadaan fisiologi. Psikologi dan faktor budaya. Di antara gejala yang sering dialami ialah:

* Psikologikal - emosi menjadi terlalu sensitif, meradang, lesu, tertekan, keresahan dan gangguan tidur.

* Neurologik - sakit kepala (migrain), pening, pitam, sawan

* Payu dara - ketegangan, bengkak

* Saluran gastrousus - sembelit, kembung perut, kekejangan pada bahagian abdomen, ketagihan gula-gula

* Kaki dan tangan - bengkak dan berair (edema)

* Kurang kencing

* Kulit berjerawat


Kenalpasti Sindrom

Kebanyakan wanita yang menggunakan produk farmaseutikal atau ubat tanpa nasihat doktor dan dengan kata lain mengamalkan swa-pengubatan adalah wanita-wanita yang sihat dan mengalami gejala-gejala sindrom prahaid seperti sakit kepala, pengumpulan cecair atau kekejangan pada bahagian abdomen. Produk atau ubat yang berkaitan dengan masalah tersebut boleh didapati di kedai farmasi dengan nasihat ahli farmasi. Adalah penting untuk mendapatkan ubat yang biasa diambil tanpa memberikan kesan samping serta mujarab. Namun, ahli farmasi mesti mengenalpasti gejala yang dialami semasa kitaran haid yang lalu dan bukannya gejala akibat penyakit yang lebih serius dan memerlukan permerhatian doktor pakar sakit puan (obstretrik dan ginaekologi).

Wanita harus berwaspada terhadap gejala yang boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lebih serius dan memerlukan rawatan segera. Di antara masalah yang memerlukan pemerhatian doktor pakar dengan segera ialah pendarahan yang teruk, tidak datang haid, discaj yang tidak normal daripada bahagian vagina, kesakitan yang amat sangat sebelum dan semasa haid, kesakitan ketika melakukan hubungan seksual, ketumbuhan pada bahagian payu dara atau dicaj yang tidak normal daripada bahagian puting payu dara.


Kaedah rawatan

Jenis dan keberkesanan rawatan bagi masalah di atas bergantung kepada kumpulan gejala atau simtom yang dialami oleh wanita:

1. Sakit - kekejangan otot, sakit kepala, sakit payu dara, sakit belakang dan lesu.

2. Pengumpulan cecair - kenaikan berat badan, masalah kulit, sakit payu dara dan pembengkakan.

3. Kesan psikologi - sedih, kesepian, keresahan, tidak selesa, mudah meradang, murung, tertekan.

Ubat-ubat yang ingin dipreskripsi haruslah bergantung kepada kumpulan gejala di atas serta mengenalpasti tahap gangguan haid yang telah diterangkan seperti di atas.


Di antara ubat dan kaedah rawatan yang boleh digunakan ialah:

1. Ubat penahan atau menghilangkan rasa sakit

* NSAIDs - ubat anti-inflamasi bukan steroid seperti aspirin, ibuprofen, asid mefenamik - berkesan untuk mengurangkan pendarahan dan kekejangan. Ia patut diambil tujuh atau sepuluh hari sebelum datang haid untuk mendapatkan kesan yang maksimum.

* Asetaminofen - Kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan paras fonadotrofin dan estradiol

2. Hormon

* Pil kontraseptif - Ia menghalang penghasilan hormon lelaki dan merencat reseptor estrogen dalam uterus wanita. Ia kerap digunakan untuk mengawalatur tempoh haid termasuk masalah dismenorea, amenorea dan menoragia.

* Progesteron dalam bentuk sintetik - Progestin, contoh, medroksiprogesteron, noretindron, norgestrel, digunakan untuk masalah menoragia dan mengembalikan masalah haid (seperti tempoh haid yang tidak tetap) kepada normal.

3. Analog GnRH (suntikan agen hormon)
Mengurangkan paras hormon estrogen

4. Kaedah tanpa drug seperti cara pemakanan yang sihat, senaman, teknik mengurangkan tekanan, kebersihan (penggunaan tuala wanita) dan sokongan sosial.


Oleh Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim & Dr. Norlela Maarup, Pusat Racun Negara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (64) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.