Berita Terkini

Kisah Manusia meminta perlindungan kepada Jin dalam Surah Al-Jin


Firman Allah S.w.t yang bermaksud, "Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki dari manusia meminta perlindungan dari lelaki-lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka (manusia) kesusahan." (Surah al-Jin : ayat 6)

Maksudnya, kami (jin) melihat bahawa kami mempunyai kelebihan ke atas manusia, kerana mereka selalu meminta perlindungan kepada kami ketika mereka singgah di suatu lembah atau tempat yang menakutkan, seperti padang pasir dan sebagainya, sebagaimana yang menjadi kebiasaan bangsa Arab pada masa jahiliyyah yang meminta perlindungan diri mereka kepada "Penguasa Jin" di suatu tempat tertentu agar ia tidak menimpakan malapetaka kepada mereka.

Sebagaimana jika salah seorang dari mereka memasuki daerah musuh di samping seorang pembesar. Ketika para jin itu mengetahui bahawa manusia meminta perlindungan kepada mereka kerana rasa takut manusia kepada mereka, maka mereka pun semakin menambah rasa takut dan seram serta sifat pengecut sehingga manusia merasa lebih takut dan lebih bersungguh-sungguh dalam meminta perlindungan kepada mereka.

Sebagaimana yang dikemukakan oleh Qatadah; "... maka jin-jin itu menambah bagi mereka (manusia) kesalahan", yakni dosa. Dan dengan demikian, jin akan semakin berani melawan mereka.

[ Tafsir Ibnu Katsir, Surah Al-Jin ayat 6 - Imam Ibnu Katsir ]


Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Abu Syaikh di dalam kitab Al-Azimah, dari Kardam bin Abi Sais Al-Ansari, bahawa dia (Kardam) telah berangkat ke Madinah dengan bapanya untuk keperluan tertentu. Pada waktu itu orang ramai baru hendak mengenal Rasulullah S.a.w sebagai Rasul. Dalam perjalanan, mereka menginap di rumah seorang pengembala kambing. 

Pada tengah malam, seekor serigala membawa lari seekor anak kambing, maka keluarlah pengembala itu sambil berteriak, "Wahai penjaga lembah (iaitu jin) tetanggamu." Maka terdengar lah suara yang memanggil (tetapi tubuhnya tidak kelihatan); "Wahai Sirhan". (memanggil serigala).

Kemudian kembali lah anak kambing itu mengembik ketakutan dan masuk ke tempat asalnya.

Berhubungan dengan peristiwa ini, Allah menurunkan kepada Rasul-Nya di Mekah ayat ini (Surah Al-Jin ayat 6) yang memberitahu bahawa ada orang yang meminta perlindungan dari jin.

Diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad dari Abi Raja' al-Atharid suku Tamim pula, dikemukakan bahawa ketika Rasulullah S.a.w diutus sebagai Rasul, Abi Raja' al-Atharidi yang bekerja sebagai pengembala kambing untuk membiayai keluarganya, telah lari bersama keluarganya dan sampai ke suatu tanah dataran yang luas. 

Pada malam harinya juga, dia dan keluarganya berada di situ tanpa tempat berlindung. Orang tertua dari mereka telah berkata, "Kami berlindung kepada yang perkasa di lembah ini dari golongan jin pada malam ini." Adapun mereka yang lain turut meniru ucapan itu.

Kemudian sampai berita kepada mereka bahawa tuntutan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.a.w ialah; "Syahadatu al-laa ilaaha illAllah wa anna Muhammad ar-Rasulullah." Barangsiapa yang mengakui (berikrar) dengan syahadah ini, jiwa dan hatinya akan selamat. Maka mereka pun pulang dan memeluk Islam. Seterusnya Abu Raja' berkata; "Aku yakin bahawa ayat ini (Surah al-Jin ayat 6) turun berkenaan dengan diri dan teman-teman ku."

Diriwayatkan oleh al-Karaithi dalam kitab Hawatiful Jaan, dari Abdullah bin Muhammad al-Balawi, dari Imarah bin Zaid, dari Abdullah bin al-A'la. dari Muhammad bin Akbar, dari Said bin Jubair, mengemukakan bahawa Rafi' bin Umair (dari Bani Tamim) menceritakan peristiwa permulaan dia memeluk Islam. 

Pada suatu malam, ketika dia berjalan di pesisiran pantai, dia merasa mengantuk. Lalu dia pun turun dari kenderaannya dan tidur. Sebelum tidur, dia meminta pertolongan dari jin penjaga lembah itu agar melindunginya pada malam tersebut. 

Kemudian dalam tidurnya, dia telah bermimpi melihat seorang lelaki yang membawa tombak yang akan digunakan untuk ditusuk ke tulang rusuk untanya. Dia pun bangun secara mengejut dan terus melihat ke kiri dan ke kanan. Tetapi dia memujuk dirinya bahawa itu hanyalah mimpi, lalu tidur kembali.

Sekali lagi dia bermimpi perkara yang sama dan terkejut bangun. Tiba-tiba dia lihat unta nya bergerak meronta-ronta sehingga dia melihat seorang lelaki yang membawa tombak seperti dalam mimpinya dan seorang tua yang memegang tangan si pemuda itu untuk menghalangnya dari melakukan apa yang diingini. 

Pada waktu keduanya sedang bertengkar dan berselisih, tiba-tiba datang lah tiga ekor seladang. Maka berkata lah orang tua itu kepada pemuda tadi; "Ambil lah yang mana engkau suka sebagai ganti kepada unta tetangga ku yang terdiri dari kaum manusia itu."

Maka, berangkat lah si pemuda tadi dan menangkap salah seekor seladang, dan kemudiannya menghilang. Kemudian, Rafi' menoleh ke arah orang tua tadi yang sedang berkata; "Wahai saudara! Apabila engkau berhenti di suatu lembah di antara lembah-lembah ini dan engkau merasa takut, ucapkan lah; "Aku berlindung kepada Tuhan Muhammad dari bahaya lembah ini, dan jangan lah engkau berlindung kepada jin kerana ia telah kehilangan kekuatannya."

Lalu Rafi' pun bertanya; "Siapakah Muhammad itu?" Dia menjawab; "Baginda adalah seorang Nabi berbangsa Arab, bukan bangsa Timur dan bukan juga bangsa Barat. Baginda lahir pada hari Isnin." Rafi' bertanya lagi; "Di mana tempat tinggalnya?" Dia menjawab; "Di Yathrib (Madinah) yang banyak pohon kurma."

Selepas itu Rafi' pun berangkat menaiki kenderaannya dan ketika waktu Subuh, dia pun sampai ke Madinah setelah menempuh perjalanan yang sangat sukar. Rasulullah S.a.w melihat Rafi' dan kemudian, baginda menceritakan kepadanya tentang Islam dan mengajaknya memeluk Islam.

Menurut Said bin Jubair, ayat ini (Surah al-Jin ayat 6) turun berkenaan dengan Rafi' bin Tamim ini.

[ Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzuul, Surah al-Jin ayat 6 - Imam As-Suyuthi ]


Oleh itu, jangan lah anda dengan mudah menuduh orang lain yang berinteraksi dengan jin sebagai sesat dan seumpamanya. Kenali dan kaji terlebih dahulu iman, amal dan akhlak orang tersebut. Tak kenal maka tak faham  Jangan hanya dengar cakap orang dan lihat sepintas lalu sahaja berkenaan orang yang dituduh. Walaupun cakap orang itu ialah cakap dari seorang ilmuan agama @ Pak Ustad, kerana belum tentu Pak Ustad itu mengenali orang tersebut dengan sebenar-benarnya. Dan belum tentu Pak Ustad itu faham dengan ilmu Metafizik. Belum tentu orang yang berinteraksi dengan jin tersebut meminta pertolongan daripada jin kerana takut kepada jin itu. Ada orang yang hanya sekadar berdialog sahaja. Ada yang dapat mengawal jin hingga jin yang takut padanya, ada yang setakat berkawan dengan jin baik (seperti manusia berkawan sesama manusia) kerana mereka mempunyai kemampuan melihat dengan mata batin dan sebagainya lagi.

Fahami dengan baik kisah dan maksud di sebalik ayat dari Surah al-Jin ini. Gunakan akal yang waras dan bijaksana, bukannya akal yang penuh dengan hasad dengki, buruk sangka, sombong dan penuh kebencian. Keseluruhan kisahnya menyebut perihal memohon pertolongan dan perlindungan kepada jin kerana takut kepada mereka. Ia berkaitan dengan perihal keimanan. Ini kerana apabila kita takut kepada mereka, maka mereka akan menjadi lebih berani kepada kita dan akan menguasai serta mempermainkan kita, yang akhirnya kita diperhambakan oleh mereka. Sila baca juga Jin takut pada Manusia seperti Manusia takut pada Jin.

Kejadian-kejadian manusia memperhambakan diri kepada jin banyak di luar sana.Contohnya seperti mereka yang memuja dewa-dewi lautan, dewa gunung, dewa api dan sebagainya, dengan meminta rezeki kepada mereka, meminta perlindungan mereka dan seumpamanya. Seolah-olah jin itu lah yang berkuasa menimpakan malapetaka dan bencana alam ke atas mereka. Padahal sebenarnya jin-jin itu lemah sahaja. Mereka akan jadi kuat kalau kita yang jadi lemah dan penakut. Kalau anda perhatikan di pulau Bali, Indonesia, sampai ada dibuat patung dewa-dewi itu. Begitu juga mereka-mereka yang melakukan upacara memuja jin yang lain, meminta itu ini dan sebagainya dengan membelakangkan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah," .... " (Surah Al-Baqarah, ayat 30)  Manusia telah ditakdirkan oleh Allah menjadi khalifah di muka bumi ini. Adalah menjadi penyelewengan jika manusia yang tunduk kepada jin. Dan manusia juga adalah sebaik-baik kejadian.  "Bahawa Kami (Allah) telah mencipta manusia itu dalam sebaik-baik kejadian." (Surah At-Thiin, ayat 4)

Kerana itu jika kita takut dan tunduk kepada jin maka ianya berlawanan dengan tugas yang diberi oleh Allah S.w.t kepada kita. Ibaratnya seorang suami yang tunduk kepada isteri hinggakan tidak berani menegur isterinya jika isterinya lakukan kesalahan. Dengan kata lain kena "Queen Control". Dalam permasalahan tajuk ini, kita boleh memanggilnya sebagai "Jin Control."

Begitu juga yang melibatkan amalan sihir. Untuk melakukan sihir seperti pengasihan, pesugihan, santau / santet dan seumpamanya, jin yang menjadi tempat mereka minta tolong akan menyuruh mereka menyediakan korban / tumbal. Semakin mahal yang dipinta maka semakin tinggi lah nilai korban itu hinggakan ada yang mesti mengorbankan keluarga sendiri atau diri sendiri apabila tiba masanya nanti. Dan jika melanggar perjanjian dengan jin tersebut, akan mendapat kecelakaan dan mungkin kematian insyaAllah. Jangan ingat dukun-dukun santau / santet itu akan hidup senang lenang, malah akan begitu menyeksakan mereka di kemudian hari.

Jangan hanya faham dan menghukum secara harfiyyah (perkataan) dari ayat Al-Quran sahaja. Kerana jika anda melulu memahami secara perkataan sahaja, maka bagaimana dengan ayat Quran? "Dan Bunuhlah dimana saja kamu jumpai mereka (orang kafir), ..." (Surah al-Baqarah ayat 191)   Kerana itu, ayat ini ada kisah di sebaliknya. Perlu kita baca tafsir dan asbab nuzul (sebab-sebab turun) ayat tersebut.

Dan banyak lagi ayat lain di dalam al-Quran yang jika kita faham secara perkataan sahaja, maka akan lari maksud yang sebenarnya. Belum lagi saya sebut tentang salah faham kita pada tafsiran ayat, contohnya ayat "Fitnah itu lebih teruk dari membunuh".dan sebagainya.

Untuk meluaskan lagi skop pemikiran kita, agar tidak terus jumud / beku kesan dari penjajahan British ke atas kita yang menyekat banyak ilmu-ilmu agama dari kitab-kitab ulama lama dari masuk ke otak kita dan memberikan kita belajar di sekolah-sekolah hanya asas yang sangat sedikit, maka sila baca Kisah Abu Musa suruh Jin pergi siasat keadaan Umar al-Khattab, Kisah Jin melaporkan berita tentang Perang Badar, Kisah lelaki diculik oleh Jin Musyrik di zaman Khalifah Umar al-Khattab dan Jin Muslim yang menolong membebaskannya, Kisah Jin menangisi kematian Umar al-Khattab dan sebagainya lagi, agar anda mengerti bahawa tidak semua jin itu jahat, dan banyak juga kisah mereka yang tercatat di zaman Nabi S.a.w, zaman sahabat, zaman tabi'ein dan sebagainya. Belum lagi dikira kisah-kisah yang tidak ada dalam catatan .

Semoga kita menjadi manusia yang sayang menyayang di antara sesama saudara seiman sepertimana yang dicontohi oleh Nabi dan sahabat-sahabatnya. Kita nasihat-menasihati kerana kita sayang dan tidak mahu melihat saudara kita susah di kemudian hari, bukannya kerana kita benci mereka. Semoga kita dijauhkan dari menjadi orang yang sombong dengan ilmu dan amal ibadahnya, suka merendahkan dan menghina orang lain, hasad dengki, buruk sangka, suka menjatuhkan orang lain, suka mentohmah dan segala macam sifat-sifat buruk lagi.

Kerana ada orang yang asyik menuduh orang lain sesat kerana berinteraksi dengan jin, sedangkan dia sendiri tidak sedar bahawa dia telah diperdaya oleh jin agar menjatuh dan memburukkan saudaranya yang lain akibat hasad dengki dan kebencian.

Wallahu a'lam .......

Kisah Manusia meminta perlindungan pertolongan bantuan kepada Jin dalam Surah Al-Jin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.