Berita Terkini

Dapat Harta dan Kuasa tidak semestinya Allah muliakan kita

Wallpaper Islamik - Dunia adalah kesenangan yang menipuSelalunya, manusia jika diberi nikmat dan kuasa oleh Allah S.w.t, dia merasakan Allah telah memuliakannya, sebaliknya jika diberi kesusahan atau kemelaratan, dia merasakan Allah S.w.t menghinakannya. Ini merupakan satu persepsi yang salah sama sekali, dan ini telah ditegur di dalam al-Qur'an;

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ .  وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ

"Adapun manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, dia berkata; "Tuhanku telah memuliakan aku!" Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, dia berkata; "Tuhanku telah menghinakan aku!" [Surah al-Fajr : 15 - 16]

Allah Ta'ala berfirman seraya mengingkari orang yang berkeyakinan, kalau memang Allah luaskan rezeki kepadanya adalah untuk mengujinya. Dengan demikian, dia meyakini bahawa hal itu dari Allah sebagai penghormatan baginya. Padahal tidak demikian, tetapi yang demikian itu dimaksudkan untuk menguji dan sebagai cobaan baginya. Sebagaimana firman Allah Ta'ala;

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ .  نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَلْ لَا يَشْعُرُونَ

"Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa). Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar." [Surah al-Mu'minuun : 55 - 56]

Demikian juga pada sisi lain, jika Dia menguji, memberi cobaan, dan mempersempitkan rezeki, maka dia berkeyakinan bahawa ianya sebagai penghinaan baginya dari Allah. Allah Ta'ala berfirman, "Sekali-kali tidak!" Ertinya, masalahnya tidak seperti yang disangka, tidak dalam hal ini mahupun hal lainnya. Sebab Allah Ta'ala memberikan harta kepada orang yang Dia cintai mahupun kepada orang yang Dia tidak cintai. Sesungguhnya yang menjadi paksi dalam hal tersebut ada pada ketaatan kepada Allah pada masing-masing keadaan, dimana jika dia seorang yang kaya, maka dia akan bersyukur kepada Allah dengan hal tersebut dan jika dia seorang yang miskin, maka dia sentiasa akan bersabar. [Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Fajr, ayat 15 - 16]

Al-Hasan Al-Basri mengatakan, "Barang siapa yang diberi keluasan oleh Allah, lalu dia tidak memandang bahawa hal itu merupakan ujian baginya, maka dia adalah orang yang tidak mempunyai pandangan. Dan barang siapa yang disempitkan oleh Allah, lalu dia tidak memandang bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh Allah, maka dia adalah orang yang tidak mempunyai pandangan." Kemudian Al-Hasan Al-Basri membacakan firman-Nya;

"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan mengejut, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa." [Surah Al-An'am : 44] 

Al-Hasan Al-Basri mengatakan, "Kaum itu telah terpedaya. Demi Tuhan Ka'bah, mereka diberi, kemudian diseksa." Demikianlah menurut riwayat Ibnu Abu Hatim.

Qatadah mengatakan bahawa seksaan yang menimpa suatu kaum secara tiba-tiba merupakan urusan Allah. Dan tidak sekali-kali Allah menyeksa suatu kaum melainkan di saat mereka tidak menyedarinya dan dalam keadaan lalai serta sedang tenggelam di dalam kesenangannya. Kerana itu janganlah kalian terpedaya dengan ujian Allah, kerana sesungguhnya tidaklah terpedaya dengan ujian Allah kecuali hanya kaum yang fasiq (durhaka). Demikianlah menurut riwayat Imam Abu Hatim. 

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Gailan, telah menceritakan kepada kami Rasyidin (yakni Ibnu Sa'ad alias Abul Hajjaj Al-Muhri), dari Harmalah ibnu Imran at-Tajibi, dari Uqbah ibnu Muslim, dari Uqbah ibnu Amir, dari Nabi S.a.w yang telah bersabda;

"Apabila kamu lihat Allah memberikan kesenangan duniawi kepada seorang hamba yang gemar berbuat maksiat terhadap-Nya sesuka hati, maka sesungguhnya itu adalah istidraj (membinasakannya secara perlahan-lahan)." [Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-An'am, ayat 44]

Yang lebih parah lagi ialah apabila kita merasakan kesenangan dan kekuasaan yang kita dapat itu adalah tanda sebagai kita di pihak yang benar. Sementara manusia yang kalah, melarat dan seumpamanya dilabelkan sebagai pihak yang bersalah dan bermasalah. Ini sama sekali sudah jauh tersasar dari kebenaran. Jika begitulah sangkaan kita, maka Firaun, Namrud, Qarun, Abu Lahab, Abu Jahal, Dajjal dan macam-macam lagi yang dikurniakan dengan kemewahan dan kekuasaan, mereka semua berada di pihak yang benar lah? Contohnya Firaun di zaman Nabi Musa a.s itu diberikan oleh Allah Ta'ala dapat memerintah selama berpuluh-puluh tahun. 

Sedarlah, bahawa kesenangan dan kekuasaan yang kita perolehi itu hanyalah salah satu bentuk ujian dari Allah Ta'ala kepada kita, tidak lebih dari itu. Kalau masing-masing faham bahawa itu semua hanyalah cobaan, insyaAllah tidak akan muncul perasaan angkuh, bangga, perasan dalam diri merasakan kita di pihak yang benar sedangkan jalan yang kita lalui bercanggah dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi S.a.w.

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

"Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai fitnah (cobaan) dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar." [Surah al-Anfaal : 28]

Yakni merupakan cobaan dan ujian dari Allah bagi kalian, kerana semuanya itu Dialah yang memberikannya kepada kalian, untuk melihat secara nyata, apakah kalian bersyukur kepadaNya di atas semua itu dan menggunakannya di jalan ketaatan kepadaNya, ataukah kalian sibuk dengan semua itu hingga kalian melalaikan-Nya dan menjadikan semuanya sebagai ganti dari-Nya.

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ 

"Dan dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu......." [Surah al-An'am : 165]

".......dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat.......". Yakni Dia membeza-bezakan kalian dalam hal rejeki, akhlak, kebaikan, kejahatan, penampilan, bentuk dan warna, hanya Dia lah yang mengetahui hikmah di sebalik itu.

"....... untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu.......". Maksudnya, untuk menguji kalian dalam nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kalian. Dia melakukan ujian kepada kalian, orang kaya diuji dengan kekayaannya yang menuntutnya mesti mensyukuri nikmat itu, dan orang miskin diuji dengan kemiskinannya yang menuntutnya untuk bersikap sabar. [Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-An'am, ayat 165]

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah, barangsiapa berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi." [Surah al-Munaafiquun : 9]  [Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Anfaal, ayat 28]

"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, dan perhiasan dan bermegah-megah antara kamu, dan berbangga-bangga tentang harta dan anak-anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani, kemudian ia menjadi kering, maka kamu melihatnya kuning, kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah dan keredhaan-Nya. Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan kesenangan yang menipu." [Surah Al-Hadiid : Ayat 20]

Semoga kita tidak tamak dengan dunia dan mengambil dari dunia ini dalam kadar sederhana sahaja. Yang penting, jangan sampai tergadai akhirat, kerana akhirat yang kekal lebih penting dari dunia yang sementara.

"Dan kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal."  [Surah Al-A'laa : Ayat 17]

"Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara." [HR Al-Bukhari, dari Ibnu Umar]

Abu Darda' berkata,  Rasulullah S.a.w bersabda; "Jikalau kamu ketahui apa yang aku tahu, nescaya kamu akan tertawa sedikit dan menangis banyak. Dan akan hina kepadamu dunia, dan kamu akan memilih akhirat."  [HR Al-Bukhari , dari Anas]

Wallahu a'lam .......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.