Berita Terkini

Kisah Nabi Nuh membina bahtera untuk hadapi Banjir Besar

Bahtera di tengah gelombang banjir besar
Sebahagian ulama Salaf mengatakan; setelah Allah mengabulkan permohonannya, maka Dia memerintahkan Nuh untuk menanam pohon bagi membuat bahtera. Maka Nuh menanamnya dan menunggu selama 100 tahun. Kemudian menebangnya selama 100 tahun, ada yang mengatakan selama 40 tahun, wallahu a'lam.

Riwayat dari Ibnu Abbas mengatakan, panjang bahtera tersebut adalah 1,200 hasta dan lebar 600 hasta. Semua riwayat mengatakan tinggi bahtera tersebut ialah 30 hasta. Bahtera tersebut terdiri dari 3 tingkat. Setiap tingkat dengan ketinggian 10 hasta. Tingkat bawah disediakan untuk haiwan ternak dan binatang buas. Bahagian tengah untuk manusia sedangkan tingkat atas untuk bangsa burung. Pintu bahtera tersebut berada di bahagian lebar bahtera. Dan bahtera tersebut mempunyai penutup yang berada di atas yang menutupi bahtera.

Allah Ta'ala berfirman yang ertinya, "Nuh berdoa; "Ya Tuhanku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku. Lalu Kami wahyukan kepadanya, "Buatlah bahtera di bawah pengawasan dan petunjuk Kami......."  [Surah Mu'minun : 26 - 27]

"....... Maka apabila perintah Kami telah datang dan Tannur telah memancarkan air, maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang dari tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu, kecuali orang yang terlebih dahulu ditetapkan (akan ditimpa azab) di kalangan mereka, dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan." [Surah Mu'minun : 27]

Menurut jumhur ulama berkata; yang dimaksudkan dengan "at-Tannur" adalah permukaan bumi. Yakni bumi akan memancarkan air dari segala penjuru, bahkan akan muncul dari tempat-tempat keluarnya api.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dia berkata, "at-Tannur adalah mata air di India." Diriwayatkan dari as-Sya'bi mengatakan bahawa mata air tersebut berada di Kufah. Sedangkan dari Qatadah bahawa mata air tersebut berada di jazirah (negara Teluk).

Sebahagian dari mereka menyebutkan (iaitu diriwayatkan dari Ibnu Abbas); bahawasanya bangsa burung yang pertama sekali masuk ke dalam bahtera adalah burung kakaktua. Sedangkan haiwan yang terakhir masuk adalah keldai. Adapun Iblis masuk dengan bergantungan pada ekor keldai.

Firman Allah Ta'ala, "....... kecuali orang yang terlebih dahulu ditetapkan (akan ditimpa azab) di kalangan mereka......."   [Surah Mu'minun : 27]

Iaitu orang-orang yang mengengkari dakwah. Di antara mereka ialah anaknya sendiri yang bernama Yam.

Firman Allah Ta'ala; ""Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata; `Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim'. Dan berdoalah dengan berkata: `Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat.' " [Surah Mu'minun : 28 - 29]

Nuh a.s telah melaksanakan wasiat ini seraya berkata, "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata; 'Dengan nama Allah pada belayarnya dan berlabuhnya.' Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Huud : 41]

Haiwan menuju ke bahtera

Maksudnya, di atas nama Allah di awal dan di akhir perjalanan bahtera. Firman Allah Ta'ala ertinya, "Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Yakni dia juga memiliki azab yang pedih walaupun Dia Maha Pengampun dan Penyayang. Azabnya tidak akan mampu ditolak oleh orang-orang yang berbuat dosa sebagaimana yang menimpa penduduk bumi yang kafir dan menyembah selain Allah.

"Dan bahtera itu belayar membawa mereka dengan ombak laksana gunung." [Surah Huud : 42]

"Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang engkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)! Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku (ad-dusur)." [Surah al-Qamar : 10 - 13]

"Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung), Kami bawa (nenek moyang) kamu ke dalam bahtera untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran."  [Surah al-Haaqqah : 11 - 12]

Para ahli tafsir mengatakan bahawa ketinggian air mencapai 15 hasta di atas gunung yang paling tinggi di dunia. Pendapat inilah yang tertera di kalangan ahlu kitab. Ada yang mengatakan tingginya lapan puluh hasta yang memenuhi seluruh permukaan bumi dataran rendah mahupun dataran tinggi,  pergunungan mahupun pesisir. Tidak tersisa satu makhluk hidup pun di muka bumi baik yang kecil mahupun yang besar.

Imam Malik mengatakan dari Zaid bin Aslam, "Penduduk bumi pada waktu itu telah memenuhi bumi baik di dataran rendah mahupun di pergunungan.

Allah Ta'ala berfirman yang ertinya, "....... Dan Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir". Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air." Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu jadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan." [Surah Huud : 42 - 43]

Nama anak Nabi Nuh ini adalah Yam, iaitu saudara kepada Sam, Ham dan Yafits. Ada yang mengatakan bahawa namanya Kan'an. Dia adalah seorang yang kafir dan berbuat keburukan.

"Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu", dan surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu, dan bahtera berlabuh di atas gunung "Juudi",  dan dikatakan "binasalah kaum yang zalim." [Huud : 44]

Alba' bin Ahmar telah meriwayatkan dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas dia berkata, "Ketika itu ada 80 orang beserta isteri mereka bersama Nuh dalam bahtera. Mereka berada dalam bahtera tersebut selama 150 hari. Allah Ta'ala mengarahkan bahtera tersebut ke Makkah dan berpusing mengelilingi Ka'bah selama 40 hari. Kemudian Allah Ta'ala mengarahkan bahtera tersebut ke gunung al-Juudi dan berlabuh di sana. Lalu Nuh a.s mengutuskan seekor burung gagak untuk mengetahui keadaan bumi. Burung gagak tersebut pergi dan hinggap pada bangkai sehingga terlambat kembali pada Nuh.

Kemudian Nuh a.s mengutus burung merpati. Burung merpati pun datang dengan membawa dua pohon Zaitun dan melumuri kakinya dengan tanah. Dengan itu maka Nuh a.s mengetahui bahawa air telah surut. Dia pun turun ke bawah gunung Juudi dan membangun sebuah negeri yang diberi nama Tsamaniin (ertinya lapan puluh - pent). Di kemudian hari, lisan mereka terbahagi menjadi lapan puluh bahasa, salah satunya adalah Bahasa Arab. Mereka tidak boleh memahami bahasa antara satu sama lain. Maka Nuh a.s yang menjelaskan kepada mereka (bahasa-bahasa tersebut).

Qatadah dan lainnya berkata, mereka menaiki bahtera pada tanggal 10 bulan Rejab. Mereka belayar selama 150 hari. Dan berlabuh di gunung al-Juudi selama sebulan. Mereka keluar dari bahtera tersebut pada tanggal 10 Muharram.

Maka semuanya keluar dari dalam bahtera.  Nuh a.s membina sebuah tempat penyembelihan. Nuh a.s mengambil semua haiwan ternak yang halal, dan burung-burung yang halal dan disembelih sebagai taqarrub kepada Allah Azza wa Jalla.  Allah berjanji padanya tidak mengulangi peristiwa taufan tersebut kepada penduduk bumi. Sebagai bukti perjanjian itu, Allah Ta'ala membuat pelangi di atas awan. Pelangi itulah yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang menunjukkan bahawa telah selamat dari banjir. [1]

Adapun berkaitan dengan umur Nuh a.s, maka Ibnu Jarir dan al-Azraqi telah meriwayatkan secara mursal dari Abdur Rahman bin Tsabits atau lainnya dari kalangan tabi'in bahawa kubur Nuh adalah di Masjidil Haram. Pendapat ini lebih kuat jika dibandingkan dengan pendapat para ulama mutaakhirin yang mengatakan, bahawa kubur Nuh a.s  di daerah al-Biqa' yang sekarang dikenal dengan sebutan Kark Nuh. Disebutkan, bahawa di tempat itu telah didirikan sebuah masjid kerana perkara di atas. Wallahu a'lam.

[Imam Ibnu Katsir - Qashashul Anbiya']


Rujukan:

1 - Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim dalam kitab al-Hilyah yang diriwayatkan secara marfu' dengan sanad marfu'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (86) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.