Berita Terkini

Kisah Karamah Umar ibnu al-Khattab

Sungai Nil
Umar memberi arahan jarak jauh

Al-kisah, Umar r.a mengirim satu pasukan yang dipimpin oleh seorang lelaki bernama Sariyah. Ketika Umar sedang berkhutbah di atas mimbar, tiba-tiba Umar memanggil, "Wahai Sariyah! Ke gunung! Ke gunung!" Setelah itu datanglah utusan pasukan Islam menemui Umar. Ketika Umar bertanyakan tentang kondisi pasukan, utusan itu menjawab, "Wahai Amirul Mu'minin, kami telah terdesak untuk kalah. Namun, ketika kami berada dalam kondisi sedemikian, kami mendengar teriakan yang memerintah, "Wahai Sariyah! Ke gunung! Ke gunung!" Ucapan itu kami dengar sebanyak tiga kali. Kemudian, kami menyandarkan belakang kami ke gunung. Lalu Allah menghancurkan musuh kami."  Lalu seseorang berkata kepada Umar, "Sesungguhnya engkaulah yang meneriakkan kata-kata itu! Sedangkan gunung tempat Sariyah berada adalah di Nahawand yang berada di luar kawasan Arab." [1]

Dalam riwayat lain, ketika Umar ibnu Khattab berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba dia berhenti sejenak dari huraian khutbahnya dan berkata, "Wahai Sariyah! Ke gunung!" Dia mengucapkan kalimat itu dua atau tiga kali, kemudian dia melanjutkan khutbahnya. Sebahagian yang hadir di tempat itu mengatakan, "Dia telah gila. Sesungguhnya dia telah gila."

Waktu itulah, Abdur Rahman ibnu Auf  datang menemuinya di rumah beliau. Dia adalah seorang yang sangat percaya kepada ucapan Umar. Dia berkata, "Sungguh berat untuk mencaci mereka demi untuk membelamu. Sesungguhnya engkau telah beri kesempatan kepada mereka untuk membicarakanmu. Ketika engkau sedang berkhutbah, tiba-tiba engkau berteriak, "Wahai Sariyah! Ke gunung!" Apa maksudnya itu wahai Amirul Mu'minin?"

Umar berkata, "Demi Allah, sesungguhnya aku tidak sanggup untuk menahan apa yang aku ucapkan ketika itu. Aku melihat pasukan Islam sedang berperang di sebuah gunung dan mereka diserang dari seluruh arah, dari depan dan belakang. Maka dari itu, aku tidak dapat menahan untuk mengatakan, Wahai Sariyah! Ke gunung! Agar umat Islam berlindung ke gunung itu."

Tidak lama selepas itu, datanglah utusan Sariyah yang membawa sepucuk surat, "Sesungguhnya kami bertempur pada hari Jumaat melawan musuh kami. Kami memerangi mereka pada hari Jumaat hingga matahari tergelincir. Ketika itulah kami terdengar seseorang memanggil, "Wahai Sariyah! Ke gunung!" Aku mendengar perkataan itu sebanyak dua kali maka pergilah kami ke gunung hingga kami mampu mengalahkan musuh kami dan Allah memberikan kemenangan kepada kami." Namun orang-orang yang mencemuh Umar berkata, "Jangan dengarkan orang ini, kerana ini dibuat-buat!" [2]


Umar tahu rumah terbakar di tempat jauh

Suatu ketika, Umar berkata kepada seorang lelaki, "Siapa namamu?" Orang itu menjawab, "Jamrah (bara api)". Umar bertanya lagi, "Anak siapa?" Dia menjawab, "Anak Syihab (percikan api)." Umar bertanya lagi, "lalu di mana tempat tinggalmu?" Dia menjawab, "Di Harrah (tempat yang panas)." Umar bertanya, "Dengan apa ia dipanaskan?" Dia menjawab, "dengan Lazha (api yang membara)."  Umar berkata, "Kalau begitu cepatlah engkau kembali menemui keluargamu kerana mereka telah terbakar."

Kemudian lelaki itu kembali ke rumahnya, dan ternyata dia menemui keluarganya telah habis terpanggang api." [3]


Umar mengutus surat kepada Sungai Nil

Ketika Mesir berhasil dibebaskan oleh umat Islam, beberapa orang Mesir datang menemui Amr bin 'Ash. Ketika itu telah masuk salah satu bulan yang dianggap keramat oleh penduduk setempat. Orang-orang Mesir itu berkata, "Wahai gabenor, sesungguhnya Sungai Nil ini mempunyai kebiasaan bahawa airnya tidak akan mengalir, kecuali dengan tradisi tersebut." Amr ibnu 'Ash bertanya, "Apakah tradisi tersebut?" Mereka berkata, "Jika telah memasuki tanggal sebelas bulan ini, kami akan mencari perawan ke rumah orang tua mereka, lalu kami minta kedua orang tuanya untuk memberikan perawan itu kepada kami secara sukarela. Setelah itu kami hiasi perawan tersebut dengan baju dan perhiasan yang paling indah, kemudian kami lemparkan dia ke Sungai Nil." Amr ibnu 'Ash berkata, "Perkara seperti ini tidak mungkin dilakukan dalam Islam. Sesungguhnya Agama Islam telah menghapuskan tradisi lama." Lalu mereka melaksanakan apa yang dikata oleh Amr bin 'Ash. Ternyata Sungai Nil itu kering dan airnya tidak mengalir hingga para penduduk merancang untuk meninggalkan daerah tempat tinggal mereka.

Ketika Amr bin 'Ash melihat kondisi seperti itu, dia pun menulis surat kepada Khalifah Umar ibnu al-Khattab. Dalam surat tersebut, Amr bin 'Ash menjelaskan bahawa mereka tertimpa musibah akibat yang dikatakannya bahawa mereka ditimpa musibah kerana telah dihapusnya tradisi lama. 

Kemudian Umar menulis surat kepada Amr bin 'Ash yang di dalam surat tersebut ada nota kecil.  Dalam surat itu dia menulis, "Sesungguhnya aku telah mengirimkan kepadamu dalam suratku satu nota kecil. Lemparkanlah nota kecil itu ke Sungai Nil. Ketika surat Umar sampai ke tangan Amr bin 'Ash, dia mengambil nota kecil itu dan membukanya. Ternyata dalam nota kecil tersebut berisi tulisan sebagai berikut, "Dari hamba Allah, Amirul Mu'minin Umar bin Khattab. Jika kau mengalir kerana dirimu sendiri, janganlah mengalir. Namun, jika yang mengalirkan airmu adalah Allah, mintalah kepada Allah Yang Maha Kuasa untuk mengalirkanmu kembali."

Amr bin 'Ash kemudian melemparkan nota kecil itu ke Sungai Nil. Lalu Allah mengalirkan air Sungai Nil setinggi enam belas hasta dalam satu malam. Dengan terjadinya peristiwa itu, Allah telah menghancurkan tradisi jahiliyah dari penduduk Mesir hingga sekarang. [4]


Umar tahu seseorang berbohong padanya

Ada seseorang berbicara bohong kepada Umar, lalu Umar berkata, "Jangan ucapkan itu." Kemudian, jika orang itu mengatakan perkataan yang lain, lalu di tengah perbicaraannya itu Umar berkata lagi, "Jangan ucapkan itu." Lalu orang itu berkata kepada Umar, "Semua yang ku katakan kepadamu adalah benar, kecuali yang kau suruh aku untuk diam." [5]

Hasan berkata, "jika ada orang yang mengetahui bahawa suatu perkataan itu bohong atau benar, maka ketahuilah bahawa orang itu adalah Umar." [6]


Syaitan takut kepada Umar

Rasulullah S.a.w bersabda, "Wahai ibnu Khattab, demi Zat yang menguasai jiwaku, sekali-kali syaitan tidak akan melalui suatu jalan yang engkau lalui." [7]

Rasulullah S.a.w bersabda, "Sesungguhnya aku telah melihat syaitan-syaitan dari golongan manusia dan jin lari dari Umar." [8]

[Imam as-Suyuthi - Tarikh al-Khulafa']


Umar al-Khattab r.a memang seorang lelaki yang kuat fizikalnya, Umar pernah bergusti dengan jin dan mengalahkannya.


Berdialog dengan ahli kubur

Yahya bin Ayyub al-Khaza'i menceritakan bahawa, Umar ibnu al-Khattab mendatangi makam seorang pemuda lalu memanggilnya, "Hai Fulan! Dan orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya, akan mendapat dua syurga [Surah Al-Rahman : 46]. Dari liang kubur pemuda itu, terdengar jawapan, "Hai Umar, Tuhanku telah memberikan dua syurga itu kepadaku dua kali di dalam syurga." [9]



Rujukan:

1 - Al-Baihaqi dan Abu Nu'aim dalam kitab Dalaa-il an-Nubuwwah, Al-Lalaka'i dalam Syarhus Sunnah, Ibnu Al-'Arabi dalam Karamat al-Auliya'. Ibnu Hajar berkata dalam kitab Al-Ishabah, "sanad hadits ini Shahih."
2 - Abu Nu'aim dalam kitab Dalaa-il an-Nubuwwah, dari Umar ibnu Harits.
3 - Abul Qasim bin Basyran dalam kitab Al-Fawa-id, dari jalur Musa bin Uqbah, dari Nafi', dari Ibnu Umar.
4 - Abu Syeikh, dalam kitab Al-'Azhamah.
5 - Ibnu Asakir, dari Thariq bin Syihab.
6 - Ibnu Asakir, dari Hasan.
7 - Bukhari dan Muslim, dari Sa'ad bin Abi Waqqash.
8 - At-Tirmidzi, dari Aisyah.
9 - Ibnu Asakir, dari Yahya bin Ayyub al-Khaza'i.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (87) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.