Ahad, 29 Jun 2014

Kisah Nabi Musa dan kaumnya yang Tersesat di Padang Pasir selama 40 tahun

Kisah Nabi Musa dan kaumnya yang Tersesat di Padang Pasir
Kemudian Allah S.w.t menceritakan perihal anjuran yang dikeluarkan oleh Musa a.s kepada Bani Israel untuk berjihad dan memasuki Baitul Muqaddas yang dahulunya adalah milik mereka di masa nenek moyang mereka, iaitu Nabi Ya'qub a.s. Nabi Ya'qub dan anak-anaknya serta semua keluarganya pergi meninggalkannya menuju ke negeri Mesir di masa Nabi Yusuf a.s. Mereka terus tinggal di Mesir, dan baru keluar meninggalkannya bersama Musa a.s. Tetapi mereka menjumpai di dalam kota Baitul Maqdis suatu kaum dari orang-orang 'Amaliqah (raksasa) yang gagah perkasa, yang telah merebut kota itu dan menguasainya. 

Maka utusan Allah (Nabi Musa a.s) memerintahkan kaum Bani Israel untuk memasuki Baitul Muqaddas dan memerangi musuh mereka serta membangkitkan semangat mereka dengan berita gembira akan mendapat pertolongan dan kemenangan atas musuh mereka. Tetapi mereka membangkang dan durhaka serta tidak mahu menuruti perintah nabinya. Akhirnya mereka dihukum oleh Allah dengan hukuman tersesat di padang pasir selama empat puluh tahun; selama itu mereka tidak mengetahui arah manakah yang mereka tempuh dan ke manakah tujuan mereka. Keadaan tersebut sebagai hukuman terhadap mereka kerana mereka menyia-nyiakan perintah Allah S.w.t dan tidak mahu mentaati-Nya. 

Untuk itu Allah S.w.t berfirman menceritakan perihal Nabi Musa a.s yang berkata kepada kaumnya;

يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ

"(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin)......." [Surah al-Ma-idah : ayat 21]

Sufyan As-Tsauri telah meriwayatkan dari Al-A'masy, dari Mujahid, dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna tanah suci ini, bahawa yang dimaksudkan ialah Bukit Tur dan daerah sekitarnya. Hal yang sama telah dikatakan oleh Mujahid dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang. 

"....... dan janganlah kalian lari ke belakang (kerana takut musuh)." [Al-Maidah : 21] 

Dengan kata lain, janganlah kalian membangkang untuk berjihad. 

Ketika kaum Bani Israel tidak mahu berperang, maka Nabi Musa a.s marah kepada mereka, dan dia berkata dalam doanya;

رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ

"Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku, sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu."  [Al-Ma-idah : 25]

Firman Allah S.w.t;

"....... maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tih) itu, maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu." [Al-Ma-idah : 26]

Setelah Nabi Musa a.s menyeru mereka untuk berjihad dan mereka menolak, tidak mahu berjihad, maka Allah memutuskan bahawa haram bagi mereka memasuki kota itu selama empat puluh tahun. Akhirnya mereka tersesat di padang Tih dan mereka berjalan berputar-putar selama masa tersebut di dalamnya tanpa mengetahui jalan keluarnya. 

Di padang Tih itu terjadi banyak hal yang ajaib dan mukjizat-mukjizat, antara lain; Mereka selalu dinaungi oleh awan, diturunkannya manna dan salwa kepada mereka, dan keluarnya air dari benda mati, iaitu sebuah batu yang mereka bawa di atas seekor haiwan kenderaan. Apabila Musa memukul batu itu dengan tongkatnya maka mengalirlah darinya dua belas mata air yang memancar, masing-masing kabilah memperolehi sebuah mata air. Terjadi pula mukjizat-mukjizat lainnya yang diberikan oleh Allah S.w.t kepada Musa ibnu Imran. 

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Ma-idah : ayat 20 - 26]


وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنْزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَى كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

"Dan Kami naungi kalian dengan awan dan Kami turunkan kepada kalian manna dan salwa. Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepada kalian, dan tidaklah mereka menganiaya Kami, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." [Surah al-Baqarah : ayat 57]

Al-Hasan dan Qatadah mengatakan berkaitan dengan makna firman-Nya, "Wazhallalna 'alaikumul ghamama,'" bahawa hal ini terjadi di padang pasir; mereka dinaungi oleh awan tersebut hingga terhindar dari teriknya matahari. Ibnu Jarir dan lain-lainnya mengatakan bahawa awan tersebut lebih sejuk dan lebih baik daripada awan biasa. 

Awan inilah yang para malaikat datang dengan membawanya dalam Perang Badar. Ibnu Abbas mengatakan, awan tersebutlah yang menaungi mereka (Bani Israel) ketika di padang pasir. 

"....... dan Kami turunkan kepada kalian manna ......." [al-Baqarah : 57]

Keterangan para ahli tafsir berbeza-beza berkaitan dengan hakikat dari manna ini. Ali ibnu Abu Talhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa manna turun pada mereka di pohon-pohon, lalu mereka me- naikinya dan memakannya dengan sepuas-puasnya. 

Mujahid mengatakan bahawa manna adalah getah. Ikrimah mengatakan bahawa manna ialah sesuatu makanan yang diturunkan oleh Allah kepada mereka seperti hujan gerimis. 

As-Saddi mengatakan bahawa mereka berkata, "Hai Musa, bagaimanakah kami dapat hidup di sini tanpa ada makanan?" Maka Allah menurunkan manna kepada mereka. Manna itu turun, lalu terjatuh pada pohon zanjabil (halia). 

Qatadah mengatakan bahawa manna turun di tempat mereka berada seperti turunnya salji, rupanya lebih putih daripada susu dan rasanya lebih manis daripada madu; manna turun kepada mereka mulai dari terbitnya fajar hingga matahari terbit. Seseorang dari mereka mengambil sekadar apa yang cukup bagi keperluannya di hari itu. Apabila dia mengambil lebih dari itu, maka manna menjadi busuk dan tidak tersisa. Akan tetapi, bila hari yang keenam tiba (yakni hari Jumaat) maka seseorang mengambil keperluannya dari manna untuk hari ini dan hari esoknya, mengingat hari esoknya adalah hari Sabtu. Kerana hari Sabtu merupakan hari cuti mereka, tiada seorang pun yang bekerja pada hari itu untuk penghidupannya, hal ini semua terjadi di daratan. 

Ar-Rabi' ibnu Anas mengatakan bahawa manna adalah minuman yang diturunkan kepada mereka (kaum Bani Israel), rupanya seperti madu; mereka mencampurnya dengan air, lalu meminumnya.

Imam Bukhari telah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Na'im, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Abdul Malik ibnu Umair ibnu Hurayyis, dari Sa'id ibnu Zaid r.a. yang menceritakan bahawa Nabi S.a.w pernah bersabda;

"Cendawan kam-ah berasal dari manna; airnya mengandungi ubat penawar bagi mata." 

Imam Turmudzi mengatakan bahawa hadis ini berpredikat hasan sahih.

Imam Turmudzi meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Abu Ubaidah ibnu Abus Safar dan Mahmud ibnu Ghailan; keduanya mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Sa'id ibnu Amri, dari Muhammad ibnu Amr, dari Abu Salamah, dari Abu Hurairah r.a yang mengatakan bahawa Rasulullah S.a.w pernah bersabda;

"Ajwah (buah kurma masak) berasal dari syurga, di dalamnya terkandung ubat penyembuh dari keracunan; dan jamur kam-ah berasal dari manna, airnya mengandungi ubat penyembuh bagi (penyakit) mata."

Hadis ini hanya diketengahkan oleh Imam Turmudzi, kemudian dia mengatakan bahawa hadis ini Hasan Gharib.

Mengenai salwa, disebutkan oleh Ali ibnu Abu Talhah, dari Ibnu Abbas, bahawa salwa adalah sejenis burung yang mirip dengan burung samani yang biasa mereka makan. 

As-Saddi mengatakan dalam kisahnya yang dia ketengahkan dari Abu Malik dan Abu Saleh, dari Ibnu Abbas r.a.; juga dari Murrah, dari Ibnu Mas'ud, dari sejumlah sahabat Nabi S.a.w., bahawa salwa adalah burung yang mirip dengan burung samani. 

Diriwayatkan dari Ikrimah, salwa adalah sejenis burung seperti burung yang kelak ada di syurga, bentuknya lcbih besar daripada burung pipit atau sama dengannya. 

Wahb ibnu Munabbih mengatakan bahawa salwa adalah burung yang gemuk seperti burung merpati, burung-burung tersebut datang kepada mereka dengan berduyun-duyun dari Sabtu ke Sabtu yang lainnya, kemudian mereka mengambil sebahagian darinya. 

Di dalam riwayat yang lain dari Wahb disebutkan bahawa kaum Bani Israel meminta kepada Musa a.s agar diberi daging, lalu Allah berfirman, "Aku benar-benar akan memberi mereka makan berupa daging yang paling sedikit didapati di muka bumi." Kemudian Allah mengirimkan angin kepada mereka, lalu berjatuhanlah salwa di tempat tinggal mereka; salwa tersebut adalah samani yang berduyun-duyun terbang setinggi tombak. Mereka menyimpan daging burung samani itu untuk keesokan harinya, tetapi daging itu membusuk dan roti pun menjadi basi. 

As-Saddi mengatakan bahawa tatkala Bani Israel memasuki padang Sahara, mereka berkata kepada Musa a.s, "Bagaimana kami dapat tahan di tempat seperti ini? Di manakah makanannya?" Maka Allah menurunkan manna kepada mereka. Manna turun kepada mereka berjatuhan di atas pohon halia. Sedangkan salwa adalah sejenis burung yang bentuknya mirip dengan burung samani, tetapi lebih besar sedikit. 

Seseorang dari mereka bila menangkap burung salwa itu terlebih dahulu mereka melihatnya. Jika burung yang ditangkapnya itu gemuk, maka mereka menyembelihnya; tetapi jika kurus, mereka melepaskannya; jika telah gemuk, maka burung itu baru ditangkap. Mereka berkata (kepada Musa a.s), "Ini makanannya, manakah minuman-nya?" Maka Allah memerintahkan kepada Musa a.s. untuk memukul tongkatnya pada sebuah batu besar. Setelah batu itu dipukul dengan tongkatnya, memancarlah dua belas mata air yang mengalir, hingga tiap-tiap puak dari Bani Israel mempunyai mata airnya sendiri-sendiri. Mereka berkata lagi, "Ini minuman, maka manakah naungan-nya?" Mereka dinaungi oleh awan, dan mereka berkata lagi, "Ini naungan, manakah pakaiannya?" Tersebutlah bahawa mereka mendapat pakaian yang tahan lama dan tidak koyak-koyak.

Sunaid meriwayatkan dari Hajjaj, dari Ibnu Juraij yang menceritakan, "Ibnu Abbas r.a. pernah mengatakan bahawa Allah menciptakan bagi mereka di padang pasir pakaian yang anti robek dan anti kotor." 

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah : ayat 57]


Di padang Tih itulah kitab Taurat diturunkan, disyariatkan untuk mereka berbagai hukum, serta dibuatkan kubah perjanjian yang dikenal dengan sebutan "Kubah Zaman". 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa mereka tersesat di padang itu selama empat puluh tahun, setiap hari mereka berjalan tanpa ada tempat yang tetap bagi mereka. Kemudian di padang itulah mereka dinaungi oleh awan, dan diturunkan kepada mereka manna dan salwa. Inilah yang disebutkan oleh sebahagian dari hadits Futun. 

Kemudian pada masa itulah Harun a.s wafat, selang tiga tahun kemudian Musa a.s pun wafat. Lalu Allah mengangkat Yusya' ibnu Nun sebagai nabi mereka menggantikan Musa ibnu Imran a.s. Kebanyakan kaum Bani Israel meninggal dunia pada masa itu, sehingga dikatakan bahawa tiada seorang pun dari mereka yang tersisa selain Yusya' ibnu Nun dan Kalib.

Setelah masa empat puluh tahun berlalu, maka Yusya' ibnu Nun membawa mereka keluar dari padang itu bersama orang-orang yang masih hidup dari mereka atau dengan Bani Israel seluruhnya dari bukit yang berikutnya. Lalu Yusya' ibnu Nun a.s membawa mereka dengan tujuan menawan Baitul Maqdis, kemudian Yusya' mengepung kota itu, dan akhirnya kota itu berhasil dia jatuhkan pada hari Jumaat selepas Asar. 

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Ma-idah : ayat 26]




Dari keterangan ini nampak jelas keutamaan para sahabat Nabi Muhammad S.a.w yang berada di atas semua sahabat nabi-nabi lain-nya dalam hal kesabaran, keteguhan, dan ketegaran mereka yang tidak pemah surut. Padahal mereka selalu bersamanya dalam semua perjalanan dan peperangan, antara lain ialah dalam Perang Tabuk yang situasinya sangat panas dan melelahkan. Sekalipun demikian, mereka tidak pernah meminta kepada Nabi S.a.w mengadakan hal-hal yang bertentangan dengan hukum alam dan hal-hal yang aneh, padahal perkara tersebut amatlah mudah bagi Nabi S.a.w. Hanya ketika merasa terlalu lapar yang melemahkan tubuh, barulah mereka meminta kepada Nabi S.a.w agar makanan yang mereka bawa diperbanyakkan. Untuk itu mereka mengumpulkan semua makanan yang ada pada mereka, lalu ter- kumpullah makanan yang jumlah keseluruhannya sama dengan tinggi seekor kambing yang sedang duduk istirahat. Kemudian Nabi S.a.w berdoa agar makanan tersebut diberkahi, ternyata akhirnya mereka dapat memenuhi semua wadah makanan yang mereka bawa. 

Demikian pula ketika mereka memerlukan air, Nabi memohon kepada Allah S.w.t, lalu datanglah awan yang langsung menghujani mereka. Akhirnya mereka minum dan memberi minum ternak mereka hingga dapat memenuhi wadah air minum yang mereka bawa. Kemudian mereka melihat keadaan hujan tersebut, ternyata hujan tidak melampaui batas pasukan kaum muslim bermarkas. 

Perkara ini jelas lebih utama dan lebih sempurna, yang menunjukkan keikhlasan mereka dalam mengikuti Nabi S.a.w, padahal Allah berkuasa untuk memenuhi apa yang diminta oleh Rasulullah S.a.w buat pasukan kaum muslimin yang mengikutnya ketika itu.

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah : ayat 57]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.