Berita Terkini

Kisah Nabi Yusya' a.s dengan Matahari yang tertahan

Matahari di padang pasir
Pengenalan

Para panglima berusaha mengumpulkan bala tentera sebanyak yang mereka mampu untuk menghadapi musuh. Mereka mengira bahawa salah satu sebab kemenangan di medan perang adalah kuantiti. Lain halnya dengan Nabi Yusya' a.s. Allah membuka tanah suci melalui tangannya untuk Bani Israil setelah Nabi Musa a.s. Yusya' a.s tidak mementingkan jumlah besar dalam menghadapi musuh. Dia lebih memberi perhatian terhadap kualiti pasukan perangnya. Oleh kerana itu, dia mengasingkan bala tenteranya dari askar-askar yang hati mereka tertambat dengan urusan dunia yang telah memenjarakan hati mereka.

Rasulullah S.a.w menyampaikan kepada kita bahawa Yusya' berperang dengan bala tentera tersebut untuk melawan penduduk sebuah bandar. Dia bimbang malam tiba sebelum kemenangan diraih di tangan. Dia pun memohon kepada Allah supaya menahan matahari, maka Dia menahannya sampai kemenangan menjadi kenyataan. Itu adalah salah satu tanda kebesaran Allah. Allah juga menunjukkan tanda kebesaranNya yang lain, melalui tangannya manakala terungkap orang-orang yang menggelapkan harta rampasan perang dan Allah memurkai mereka.

Nash Hadits

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dalam Shahih masing-masing dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah S.a.w bersabda, "Salah seorang Nabi berperang. Dia berkata kepada kaumnya, 'Jangan mengikutiku orang yang menikahi wanita sementara dia hendak membina rumah tangga dengannya, dan dia belum membina dengannya, dan tidak juga seorang yang membina rumah tapi belum melengkapi atapnya. Tidak pula orang yang telah membeli kambing atau unta betina yang bunting sementara dia menunggu kelahirannya." Lalu Nabi itu berperang. Dia mendekati sebuah desa pada waktu solat Asar atau dekat waktu Asar. Maka dia berkata kepada matahari, "Sesungguhnya kamu diperintahkan dan aku pun diperintahkan. Ya Allah, tahanlah matahari untuk kami." Matahari tertahan dan mereka meraih kemenangan.

Lalu dia mengumpulkan harta rampasan perang. Maka datanglah api untuk melahapnya tetapi ia tidak dapat memakannya. Nabi itu berkata, "Ada di antara kalian yang menggelapkan harta rampasan perang, hendaknya dari masing-masing kabilah ada satu orang yang membaiatku." Maka tangan seorang laki-laki melekat dengan tangannya dan dia berkata, "Kamu menggelapkan harta rampasan perang. Hendaknya kabilahmu membaiatku. "Maka ada dua atau tiga orang yang tangannya melekat dengan tangannya. Dia berkata, "Kalian menggelapkan rampasan perang." Maka mereka datang menyerahkan emas sebesar kepala lembu. Mereka meletakkannya, lalu datanglah api dan memakannya. Kemudian Allah menghalalkan harta rampasan perang bagi kita. Dia mengetahui kelemahan dan ketidakmampuan kita, maka Dia menghalalkannya untuk kita.

Takhrij Hadits 

Hadits ini diriwayatkan oleh Bukhari dalam Kitab Fardhul Khumus, bab sabda Nabi, "Dihalalkan harta rampasan perang untuk kalian." (6/220, no. 3124). Diriwayatkan oleh Bukhari secara ringkas dalam Kitab Nikah, bab orang yang hendak berumah tangga sebelum perang, 9/223, no. 5157. 

Diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitabul Jihad Was Siyar, bab penghalalan harta rampasan perang, 3/1366, no. 1747. Ia pun terdapat di dalam Syarah Shahih Muslim An Nawawi, 12/409.

Penjelasan Hadits 

Rasulullah S.a.w menyampaikan kepada kita bahawa salah seorang Nabiyullah berperang untuk membuka sebuah desa. Nabi ini adalah Yusya' bin Nun a.s, salah seorang Nabi Bani Israil. [1]  Dia ini telah menyertai Nabi Musa a.s dalam hidupnya. Dia menemani Nabi Musa a.s dalam perjalanannya kepada Khidhir  a.s sebagaimana telah dijelaskan dalam kisah Nabi Musa dan Khidhir. Allah memberinya wahyu setelah Nabi Musa wafat dan Nabi Musa mengangkatnya sebagai penggantinya dalam Bani Israil. Dialah pemimpin yang berkat jasanya tanah suci boleh direbut kembali. 

Nabi Yusya' a.s pada saat persiapannya menuju bandar yang hendak ditawan dia berusaha supaya pasukannya menjadi pasukan yang kuat dan berdaya tahan. Oleh kerananya, dia mengasingkan askar-askar yang boleh menjadi punca kekalahan, kerana hati mereka lebih disibukkan oleh perkara dunia yang membelenggu hati dan fikiran mereka. Yusya' mengeluarkan tiga kumpulan askar yang mana tidak dibenarkan untuk pergi berperang.

Kumpulan pertama adalah orang yang telah akad nikah tetapi belum menyentuh isterinya. Kumpulan ini tidak diragukan pastilah sangat bergantung hatinya dengan isterinya, lebih-lebih lagi jika dia masih muda.

Kumpulan kedua adalah orang yang sibuk membina rumah dan belum menyelesaikan binaannya.

Kumpulan ketiga adalah orang yang membeli unta atau kambing bunting sementara dia menantikan kelahirannya.

Prinsip yang dipegang oleh Nabi ini menunjukkan bahawa dia adalah panglima yang unggul, pemilik taktik jitu dalam memimpin dan menyiapkan bala tentera sehingga kemenangan boleh diwujudkan. Askar tidak menang dengan jumlah besarnya, akan tetapi dengan kualiti. Ini lebih penting daripada jumlah dan kuantiti. 

Oleh kerananya, Yusya' a.s mengeluarkan orang-orang yang berhati sibuk dari pasukannya, yakni orang-orang yang badannya di medan perang tetapi fikirannya bersama isteri yang belum disentuhnya atau rumah yang belum diselesaikan atau ternakan yang ditunggu kelahirannya.

Apa yang dilakukan oleh Yusya' a.s ini mirip dengan apa yang dilakukan oleh Thalut ketika melarang pasukannya untuk minum dari sungai kecuali orang yang mencedok air dengan tangannya. Ketika itu sedikit dari mereka yang minum. Thalut telah membersihkan pasukannya dari unsur-unsur pelemah yang menjadi titik kekalahan.

Allah telah menyampaikan kepada Rasul-Nya bahawa pengunduran orang-orang munafik dalam Perang Uhud mengandungi kebaikan bagi orang-orang mukmin. "Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas-gegas maju ke muka di celah-celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan di antara kamu." [Surah At-Taubah : 47]

Dengan pasukannya Yusya' a.s berangkat ke bandar yang hendak ditaklukinya. Dia mendekati kota itu pada waktu Ashar di hari yang sama. Ini bermakna peluang untuk membuka bandar itu tidaklah banyak, kerana berperang di malam hari tidaklah mudah dan boleh jadi hari itu adalah hari Jumaat. Dia harus menghentikan perang apabila matahari terbenam, kerana itu bermakna tiba pada hari Sabtu telah tiba dan perang di hari Sabtu hukumnya haram bagi Bani Israil. Maka dia harus berundur dari bandar itu sebelum mengambilnya, dan ini bermakna memberi peluang kepada penduduk bandar untuk mengukuhkan pasukannya, memperbaiki benteng-bentengnya dan menambah kekuatan senjata. Yusya' menghadap matahari dan berkata kepadanya, "Kamu diperintahkan, aku juga diperintahkan." Kemudian Yusya' berdoa kepada Allah, "Ya Allah, tahanlah ia untuk kami." Allah mengabulkan permintaannya dan menunda terbenamnya matahari hingga kemenangannya diwujudkan.

Iman Yusya' a.s begitu kuat. Dia yakin kudrat Allah di atas segala sesuatu. Dia mampu memanjangkan siang sehingga kemenangan boleh diraih sebelum terbenamnya matahari. Urusan seperti ini tidak sukar bagi Allah, dan kita mengetahui pada hari ini bahawa siang dan malam terjadi kerana berputarnya bumi mengelilingi dirinya. Dan sepertinya - ilmu yang sebenarnya berada di sisi Allah - perputaran bumi berjalan lambat dengan kudrat Allah hingga kemenangan terjadi.

Allah S.w.t tidak menghalalkan harta rampasan perang bagi umat manapun sebelum kita. Harta rampasan perang dikumpulkan, lalu api turun dari langit dan membakar kecuali tidak seorang pun dari pasukan yang menggelapkannya (mencurinya). Jika harta rampasan perang ada yang digelapkan, maka api menolak untuk melahapnya. Ini bermakna Allah tidak redha kepada mereka.

Harta rampasan perang dikumpulkan, api pun turun tetapi tidak memakan apa pun. Maka Yusya' a.s berkata, "Di antara kalian ada yang menggelapkan harta rampasan perang." Untuk membongkarnya Yusya' menyuruh masing-masing kabilah mengeluarkan satu orang untuk membaiatnya. Maka tangannya melekat dengan tangan orang yang berasal dari kabilah yang menggelapkan harta rampasan perang. Yusya' membaiat anggota kabilah itu satu per satu. Tangannya melekat dengan tangan dua atau tiga orang, dan Yusya' berkata, "Penggelapannya ada pada kalian." Akhirnya mereka mengeluarkan sebongkah emas besar dalam bentuk kepala lembu dan diletakkan di antara harta rampasan yang lain. Api turun dan memakannya. Hukum ini telah mansukh bagi kita. Harta rampasan perang telah dihalalkan bagi kita sebagai rahmat dari Allah kepada kita dan kurnia-Nya. Dan dihalalkannya harta rampasan perang merupakan salah satu kekhususan atas umat ini.

[Sumber dari kitab Shahih al-Qisas an-Nabawiy - Syeikh Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar]


Di dalam kota itu Yusya' ibnu Nun menjumpai harta yang berlimpah yang tidak pernah mereka lihat sebelumnya. Kemudian dia memasukkan semua harta ghanimah itu ke dalam api, tetapi api tidak mahu melahapnya. Maka dia berkata, "Di antara kalian ada orang yang korupsi." Lalu dia memanggil semua pemimpin kabilah yang berjumlah dua belas orang. Kemudian Yusya' membaiat mereka, ternyata tangan seorang dari mereka ada yang menempel, tidak mahu lepas dari tangannya. Maka Yusya' ibnu Nun berkata, "Penggelapan ini terjadi di antara orang-orangmu. maka keluarkanlah barang itu!"

Maka orang yang tangannya menempel itu mengeluarkan sebuah patung kepala sapi dari emas yang kedua matanya dibuat dari batu yaqut dan giginya dari mutiara. Lalu Yusya' ibnu Nun meletakkan patung sapi itu bersama dengan ghanimah lainnya yang akan dibakar oleh api, maka saat itu juga api baru mahu melahapnya.

Konteks asar ini mempunyai bukti yang menguatkannya di dalam kitab Sahih.

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Maidah, ayat 26]


Kisah ini bersambung dari Kisah Nabi Musa dan kaumnya yang Tersesat di Padang Pasir selama 40 tahun


Nota kaki:

1 - Hadis shahih menyatakan hal itu diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya. Lihat Fathul Bari, 6/221

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.