Berita Terkini

Memaafkan orang adalah tanda utama orang beriman

Ya, bukan senang sebenarnya untuk memaafkan orang. Akan tetapi ianya boleh dilatih dan dibiasakan. Puncak kemuliaan hati orang yang dizalimi dan disakiti ialah memaafkan orang yang menzaliminya.

Pembuat dosa dan maksiat tidak dapat memaafkan kawan-kawannya. Ini tanda tiada iman kerana kemaafan menjadi tanda utama orang beriman. Allah memerintahkan rasul-Nya: 

"Berilah maaf, dan suruhlah mereka (manusia) berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." [Surah A'raaf : ayat 199]

Perintah ‘maafkanlah' bukan hanya tertuju kepada Rasulullah s.a.w seorang sahaja. Ia mengenai semua orang dan tentu sahaja termasuk mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan ‘maafkanlah' bermakna jadikan tabiat memaafkan, jadikan sifat atau peribadi. Sesiapa yang ada sifat pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah (ar-Rauf) Yang Memaafkan. [1]

"Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." [Surah As-Syuura : ayat 40]

"Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Surah An-Nuur : 22]

"Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah teman yang setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar." [Surah Fusshilat : 34-35]

"Barangsiapa yang didatangi  saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah dia berada dipihak yang benar atau yang salah, apabila tidak melakukan hal  tersebut (memaafkan) , nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat)." [HR Al-Hakim]

"Barangsiapa memaafkan ketika dia mampu membalas maka Allah memberinya maaf pada hari kesulitan."  [HR Ath-Thabrani]

"Barangsiapa yang tidak mahu memberi ampun kepada orang, maka dia tidak akan di beri ampun." [HR Ahmad, dari Jabir bin Abdullah r.a]

Sifat suka memaafkan orang juga boleh mengelakkan muncul sifat dendam dalam diri seseorang. Ini sekaligus akan dapat membasmi dari pertengkaran yang tak sudah-sudah, pergaduhan, pembunuhan, khianat, zalim dan sebagainya.

Tidak rugi langsung jika kita memaafkan orang lain. Hanya hawa nafsu kita yang sukar untuk memaafkan orang dan merasa tidak puas hati. Bahkan jika kita memaafkan orang, akan dibalas pahala yang dijamin oleh Allah S.w.t.  Apa lagi jika kita memaafkan orang, nanti kita akan diberikan kemaafan oleh orang lain pula atau oleh Allah S.w.t, kerana kita tidak lari juga dari melakukan kesalahan.

Memaafkan orang dengan ikhlas sebenarnya boleh membuatkan hati menjadi tenang dan lebih sabar, kerana kita bertawakkal sepenuhnya kepada Allah S.w.t. Ingatlah, SETIAP MASA kita diuji oleh Allah S.w.t.

Tetapi jika kita TETAP TIDAK MAAFKAN orang, sudah lah pahala kita tidak dapat, kesusahan di dunia pula kita dapat, kesusahan di akhirat pun kita dapat, dan orang yang kita tidak maafkan pun susah. Sama-sama dapat susah dan rugi, serta HATI kita pun tidak tenang dan selalu merasa dendam kesumat dan amarah yang tidak berkesudahan. Dan jika kita melakukan kesalahan pada orang lain, orang itu pula TIDAK AKAN MEMAAFKAN kita, na'uzubillahi min dzaalik.

Lagi pun kita tidak pasti sama ada orang yang kita tidak maafkan itu betul-betul bersalah terhadap kita atau tidak. Katakan jika mereka tidak bersalah pada kita sebenarnya, maka rugi lah kita kerana mempunyai sifat tidak memaafkan.


Kisah Nabi Muhammad S.a.w memaafkan lelaki yang cuba membunuhnya

Suatu ketika pernah Nabi Muhammad S.a.w berehat di bawah sebatang pokok. Tiba-tiba datang seorang musyrikin mengambil pedang Rasulullah yang digantung berdekatan dan meletakkan pedang itu di tengkuk Rasulullah S.a.w.

Orang itu bertanya, "Siapa kah yang dapat menyelamatkan kamu dari aku sekarang?"

Rasulullah S.a.w jawab, "Allah".

Lantas pedang itu jatuh dari tangan lelaki tadi, dan Rasulullah S.a.w mengambilnya dan kini giliran Rasulullah S.a.w meletakkan pedang itu di tengkuk lelaki tersebut.

Rasulullah S.a.w bertanya kepada lelaki itu, "Siapa pula yang dapat menyelamatkan kamu sekarang?"

Lelaki itu mengatakan ,"tiada siapa-siapa".

Dipendekkan cerita, Rasulullah S.a.w memaafkan lelaki itu. Lelaki itu kembali ke kampungnya, menceritakan perkara itu dan memberitahu orang-orang kampungnya bahawa Rasulullah S.a.w ialah sebaik-baik manusia. Sehinggakan penduduk-penduduk kampung tersebut ramai yang memeluk Islam.

Bayangkan lah, lelaki yang cuba MEMBUNUH Rasulullah pun masih boleh baginda maafkan, apatah lagi jika perkara-perkara lain yang lebih kecil.

Sememangnya Rasulullah S.a.w diutuskan untuk MENYEMPURNAKAN AKHLAK YANG MULIA, dan dicontohi sendiri oleh baginda. Amat ramai manusia yang memeluk Islam hasil dari tertarik dengan AKHLAK Rasulullah S.a.w yang AGUNG.

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."  [Hadits Riwayat Ahmad, Al-Hakim & Al-Baihaqi]


Beberapa contoh lain yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.a.w

Dari Aisyah radhiallahu 'anha pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu sama-sekali tidak pernah memukul dengan tangannya, baik terhadap seseorang wanita ataupun pelayan, melainkan di waktu beliau s.a.w. sedang berjihad fi-sabilillah (yakni di medan pertempuran melawan kaum kafir). Tidak pernah pula beliau s.a.w. itu terkena sesuatu yang menyakiti, lalu memberikan pembalasan kepada orang yang berbuat terhadap beliau itu, kecuali jikalau ada sesuatu dari larangan-larangan Allah dilanggar, maka beliau memberikan pembalasan kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta'ala." [Hadits Riwayat Muslim]

Dari Anas r.a., katanya: "Saya berjalan bersama Rasulullah s.a.w. dan beliau mengenakan baju buatan negeri Najran yang kasar tepinya, kemudian beliau disusul oleh seorang A'rab (penduduk negeri Arab bahagian pedalaman), lalu ditariklah selendang beliau itu dengan tarikan yang keras sekali. Saya (Anas) melihat pada tepi leher Nabi s.a.w. dan amat membekas sekali tepi pakaian tadi kerana amat sangat ditariknya. Selanjutnya orang A'rab itu berkata: "Ya Muhammad, perintahkanlah untuk memberikan padaku sesuatu dari harta Allah yang ada di sisi Tuan." Nabi s.a.w. lalu menoleh pada orang itu terus ketawa dan selanjutnya menyuruh supaya orang tadi diberi sesuatu pemberian sedekah." [Muttafaq 'alaih]

Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Seolah-olah saya masih dapat melihat kepada Rasulullah s.a.w. ketika beliau menceriterakan seseorang Nabi dari para Nabi-nabi shalawatullah wasalamuhu'alaihim, iaitu ketika Nabi tadi dipukul oleh kaumnya, sehingga mereka menyebabkan keluar darahnya dan Nabi itu mengusap darah tersebut dari wajahnya sambil berdoa: "Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka itu tidak mengerti." [Muttafaq 'alaih]  [2]

Dan BANYAK lagi sebenarnya kisah Rasulullah S.a.w memaafkan manusia lain yang menyakiti jiwa dan raganya.


Kisah Pemuda memaafkan Saudaranya kemudian dapat masuk Syurga

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Hafiz Abu Ya'la Ahmad ibnu Ali ibnu Al-Musanna Al-Mausuli di dalam kitab Musnad-nya. Dia mengatakan, telah menceritakan kepada kami Mujahid ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Bukair, telah menceritakan kepada kami Abbad ibnu Syaibah Al-Habti, dari Sa'id ibnu Anas, dari Anas r.a. yang mengatakan,

"Ketika Rasulullah S.a.w sedang duduk, kami melihat beliau tersenyum sehingga kelihatan gigi serinya. Maka Umar berkata, 'Apakah yang membuat engkau tertawa, wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku yang menjadi tebusanmu?' Rasulullah S.a.w menjawab, "Ada dua orang lelaki dari kalangan umatku sedang bersideku di hadapan Tuhan Yang Mahaagung, Mahasuci, lagi Mahatinggi. Lalu salah seorang-nya berkata, 'Wahai Tuhanku, ambillah hakku dari saudaraku ini.' Allah S.w.t berfirman, 'Berikanlah kepada saudaramu itu akan haknya.' Lelaki yang dituntut berkata, 'Wahai Tuhanku, tiada sesuatu pun dari amal baikku yang tersisa." Lelaki yang menuntut berkata, 'Wahai Tuhanku, bebankanlah kepadanya sebahagian dari dosa-dosaku'." 

Anas melanjutkan kisahnya, "Lalu kedua mata Rasulullah S.a.w mencucurkan air matanya, kemudian bersabda, "Sesungguhnya hari itu adalah hari yang sangat berat, iaitu hari manusia memerlukan orang-orang yang menanggung sebahagian dari dosa-dosa mereka.' Maka Allah Swt. berfirman kepada si penuntut, 'Angkatlah penglihatanmu dan lihatlah ke syurga-syurga itu!' Lelaki itu mengangkat kepalanya dan berkata, 'Wahai Tuhanku, saya melihat kota-kota dari perak dan gedung-gedung dari emas yang dihiasi dengan batu permata. Untuk nabi manakah ini, untuk siddiq siapakah ini, dan untuk syahid siapakah ini?' Allah berfirman, 'Untuk orang yang mahu membayar harganya.' Lelaki itu bertanya, 'Siapakah yang memiliki harganya?' Allah berfirman, 'Engkau pun memiliki harganya.' Lelaki itu bertanya, 'Apakah harganya, wahai Tuhanku?' Allah berfirman, 'Kamu maafkan saudaramu ini.' Lelaki itu berkata, 'Wahai Tuhanku sesungguhnya sekarang saya memaafkannya.' Allah S.w.t berfirman, 'Peganglah tangan saudaramu ini, dan masuklah kamu berdua ke syurga'." Kemudian Rasulullah Saw. bersabda;

"Kerana itu, bertakwalah kalian kepada Allah, dan perbaikilah hubungan di antara sesama kalian. Kerana sesungguhnya Allah kelak di hari kiamat akan memperbaiki hubungan di antara sesama orang-orang mukmin," [3]


Penutup

Semoga kita dapat memaafkan kesalahan-kesalahan orang lain terhadap kita, terutamanya kesalahan-kesalahan kecil. Apa-apa yang menimpa kita adalah ujian dan juga kifarah di atas dosa-dosa kita selama ini. Bayangkan, jika semua orang saling memaaf, akan aman damai lah bumi ini insyaAllah.

Jangan lupa juga untuk memaafkan diri sendiri, agar kita tidak dirundung perasaan bersalah sepanjang masa yang boleh mengganggu dan membantutkan apa-apa pekerjaan yang kita lakukan.

Walaubagaimana pun, jangan lah pula kita mengambil kesempatan dari orang yang memaafkan kita dengan berbuat jahat dan MENZALIMI mereka pula. Kita TIDAK AKAN TERLEPAS, kerana Allah S.w.t PASTI akan membalasnya suatu masa kelak.




Rujukan:

1 - Syeikh Abdul Qadir Al-Jeilani - Sirrul Asraar
2 - Imam An-Nawawi - Riyadhus Shalihin
3 - Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Anfaal, ayat 1

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (58) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.