Berita Terkini

Perkembangan Baitul Mal pada masa Rasulullah dan Sahabat

Duit syiling - baitul mal
Masa Rasulullah S.a.w (1-11 Hijrah / 622-632 M)

Baitul Mal sesungguhnya telah ada sejak zaman Rasulullah S.A.W, yakni ketika kaum Muslimin mendapat ghanimah (rampasan perang) pada Perang Badar. Abdul Qadim Zallum menyebutkan dalam Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah (1983), ketika itu para sahabat berselisih pendapat mengenai cara untuk pembahagian harta rampasan tersebut sehingga turun firman Allah S.W.T menjelaskan hal itu.

Ayat itu (Surah Al-Anfaal : 1) bermaksud, "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah, "Harta rampasan perang itu adalah milik Allah dan Rasul-Nya, oleh sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesama kamu, dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman". "

Dengan ayat itu, Allah menjelaskan undang-undang tentang pembahagian ghanimah, menetapkannya sebagai hak bagi seluruh Muslim, sekaligus memberikan kuasa kepada Rasulullah S.A.W untuk membahagikannya mengikut budi bicara mengenai kemaslahatan kaum Muslimin.

Ianya bererti bahawa ghanimah Perang Badar ketika itu menjadi hak Baitul Mal, yang pengelolaannya dilakukan oleh waliyyul amri kaum Muslimin yang tak lain adalah Rasulullah S.A.W sendiri.

Dengan demikian, pada masa Rasulullah S.A.W, Baitul Mal mempunyai pengertian sebagai pihak yang mengendalikan harta benda kaum Muslimin, baik pendapatan mahupun pengeluaran. Kerana belum melembaga, harta yang ada di Baitul Mal selalu habis seketika pada hari diperolehinya harta tersebut kerana dibahagikan ataupun dibelanjakan untuk urusan kaum Muslimin.


Masa Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq r.a (11-13 H / 632-634 M)

Keadaan seperti dihuraikan di atas terus berlangsung sepanjang masa Rasulullah S.A.W hingga tahun pertama kekhalifahan Abu Bakar As-Siddiq (11 H/632). Zallum menjelaskan, jika datang kepadanya harta dari wilayah-wilayah kekuasaan Khilafah Islam yang dipimpinnya kala itu, Abu Bakar segera membawanya ke Masjid Nabawi dan membahagikannya kepada orang-orang yang berhak. Dalam urusan itu, dia dibantu oleh Abu Ubaidah bin Jarrah.

Pada tahun kedua kekhilafahannya (12 H / 633 M), Abu Bakar merintis embrio Baitul Mal dalam erti yang lebih luas. Bukan lagi sekadar pihak pengurus harta umat, Baitul Mal juga bererti tempat simpanan harta negara. Khalifah menyiapkan tempat khusus di rumahnya berupa karung atau beg untuk menyimpan harta yang dihantar ke Madinah. Ianya berlangsung hingga dia wafat pada 13 H / 634 M.


Masa Khalifah Umar bin al-Khattab r.a (13-23 H / 634-644 M)

Setelah Abu Bakar r.a wafat, seperti dikisahkan dalam Ensiklopedia Undang-undang Islam (Abdul Aziz Dahlan, 1999), Umar bin al-Khattab r.a yang meneruskan kepimpinan khilafah mengumpulkan para pengurus untuk membuka Baitul Mal yang terdapat di dalam rumah Abu Bakar. Di sana Umar hanya menjumpai satu dinar yang terjatuh dari beg simpanan harta negara.

Lalu ketika penaklukan-penaklukan (futuhat) terhadap pelbagai negeri semakin banyak terjadi pada masa Umar, termasuk penaklukan negeri Kisra (Parsi) dan Qaishar (Rom), semakin banyaklah harta yang mengalir ke Kota Madinah. Kerana itu, Umar lalu membina sebuah rumah khas untuk menyimpan harta. Dia juga membentuk sejumlah dewan (pejabat)-nya, mengangkat para penulisnya, menetapkan gaji dari harta Baitul Mal, serta membina angkatan perang.

Selama memerintah, Umar memelihara Baitul Mal secara hati-hati. Kadang-kadang, selain menyimpannya di Baitul Mal, Umar menyisihkan seperlima dari harta rampasan perang untuk dibahagikan secara langsung pada kaum Muslimin. Mengenai banyaknya. Dia hanya menerima kemasukan sesuai syariat dan mengedarkannya kepada yang berhak menerimanya.

Kejujuran Umar dalam menguruskan Baitul Mal dijelaskan dalam salah satu ucapan yang dicatat penulis sejarah dan ahli tafsir bernama Ibnu Katsir (700-774 H / 1300-1373 M), tentang hak seorang khalifah dalam Baitul Mal.

Khalifah berkata, "Tidak dihalalkan bagiku dari harta milik Allah ini melainkan dua potong pakaian musim panas dan sepotong pakaian musim sejuk, dan wang yang cukup untuk kehidupan sehari-hari seorang di antara orang-orang Quraisy biasa. Dan aku adalah seorang biasa seperti kebanyakan kaum Muslimin." (Dahlan, 1999).

Umar adalah khalifah Islam kedua yang membina asas sistem ekonomi Islam. Umar mengambil sunnah Rasul dan prinsip Qurani dan menyatukan kedua-duanya ke dalam sebuah program ekonomi yang berjaya. Pada masa kepemimpinan Umar, persamaan dapat dirasakan oleh setiap orang, termasuk dirinya sendiri. Khalifah memilih kehidupan sederhana yang tidak membezakannya daripada masyarakat umum. Di masa yang sama, dia memperjuangkan keadilan, termasuk di bidang ekonomi melalui pengurusan Baitul Mal.

Di masa kekhalifahan Umar, ketika seseorang terluka atau kehilangan kemampuannya sehingga tidak dapat bekerja, maka negara bertanggungjawab memenuhi keperluan asasnya. Khilafah Umar juga memberikan 'keselamatan sosial' bagi orang lanjut usia. Mereka yang telah berhenti bekerja boleh tetap memperolehi upah tetap dari tempat simpanan wang awam.

Bahkan, bayi-bayi yang dicampakkan oleh orang tua mereka dipelihara negara, dan menghabiskan 100 dirham wang negara setiap tahun. Sewaktu kekhalifahan dilanda kekeringan hebat pada 18 H, Umar melaksanakan kupon makanan bagi masyarakat yang boleh ditukar dengan gandum dan tepung.


Masa Khalifah Utsman bin 'Affan r.a (23-35 H / 644-656 M)

Kewujudan Baitul Mal berlaku sama pada masa kekhalifahan Utsman bin Affan. Namun, kerana pengaruh yang besar dari keluarganya, tindakan Utsman dalam pengurusan Baitul Mal banyak menuai protes dari umat.

Dalam hal ini, Ibnu Sa'ad menukilkan ucapan Ibnu Syihab Az-Zuhri (51-123 H / 670-742 M), seorang yang sangat besar jasanya dalam mengumpulkan hadits.

Ibnu Syihab berkata, "Utsman telah mengangkat kaum kerabat dan keluarganya dalam jabatan-jabatan tertentu pada enam tahun terakhir masa pemerintahannya. Dia memberikan seperlima ghanimah dari pendapatan Mesir kepada Marwan (yang kelak menjadi Khalifah ke-4 Bani Umayyah), serta memberikan harta yang banyak sekali, kepada kaum kerabat. Dan dia (Utsman) menafsirkan tindakannya itu sebagai suatu bentuk silaturahim yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. "

Dia juga menggunakan harta benda dan meminjamnya dari Baitul Mal sambil berkata, "Abu Bakar dan Umar tidak mengambil hak mereka dari Baitul Mal, sedangkan aku telah mengambil dan membahagikannya kepada kaum kerabatku." Itulah sebab rakyat memprotesnya. Padahal, tujuan pemberian wang tersebut kerana Utsman ingin menjaga tali silaturahim.

Ditambah lagi kerana ramai pegawainya yang meninggalkan Utsman kerana tidak yakin dengan pentadbiran beliau. Maka Utsman terpaksa mengganti pegawai-pegawai tersebut dengan kaum kerabatnya yang mempercayai dirinya.

Tuduhan Utsman melakukan nepotisme itu semakin kuat lebih-lebih lagi dengan muncul golongan Syiah. Syiah fanatik terhadap Ali dan berharap Ali yang menjadi khalifah. Tuduhan-tuduhan terhadap Utsman ini lah yang akhirnya menyebabkan beliau dibunuh di rumahnya sendiri.


Masa Khalifah Ali bin Abi Talib r.a (35-40 H / 656-661 M)

Pada masa pemerintahan Ali bin Abi Talib, keadaan Baitul Mal dikembalikan seperti kedudukannya sebelum masa Utsman bin Affan. Ali, seperti disebutkan Ibnu Katsir, juga mendapat santunan dari Baitul Mal. Dia mendapatkan bahagian pakaian yang hanya boleh menutupi tubuh sampai separuh kakinya. Bahkan, seringkali bajunya dipenuhi tampalan.

Ketika berkobar peperangan antara Ali bin Abi Talib dan Mu'awiyah bin Abu Sufyan (khalifah pertama Bani Umayyah), orang-orang di sekitar Ali menyarankannya agar mengambil dana dari Baitul Mal sebagai hadiah bagi orang-orang yang membantunya.

Tujuannya, untuk mempertahankan diri Ali dan kaum Muslimin. Mendengar ucapan itu, Ali sangat marah dan berkata, "Apakah kamu memerintahkanku untuk mencari kemenangan dengan kezaliman? Demi Allah, aku tidak akan melakukannya selama matahari masih terbit dan selama masih ada bintang di langit. "

[Di olah dari Republika]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (55) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.