Berita Terkini

Imam Al-Bukhari - ulama hadits dari Bukhara

Foto kredit: shoutussunnah.com
sahih bukhari
Imam Al-Bukhari rahimahullah adalah salah seorang dari enam tokoh penghimpun hadits sahih yang paling terkenal, dengan kitab-kitab terkenal yang dikenali sebagai 'Kutubu As-Sittah' (kitab-kitab yang enam), iaitu: Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmizi, Imam Nasa’i, dan Imam Ibn Majah. Beliau berada pada tobaqah (peringkat) yang kelima dari Tabi'en.

Keturunan beliau

Tak kenal maka tak cinta, begitulah pepatah mengatakan. Beliau adalah Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Ju’fi Al-Bukhari.

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 13 Syawal 194 Hijriyah (bersamaan 21 Julai 810 M) di kota Bukhara (salah satu kota terpenting di negara Uzbekistan), selepas waktu solat Jumaat. Ada riwayat mengatakan bahawa Imam Bukhari buta sewaktu lahir, dan dalam riwayat lain menyebut sejak kecil. Tetapi kemudiannya secara ajaib matanya sembuh dan dapat melihat (kisahnya boleh didengar dalam video di bawah).

Bardizbah berasal dari keturunan Persia (Parsi / Iran) dan beragama Majusi. Bardizbah dalam bahasa Persia bermakna orang yang suka bercucuk tanam (petani).

Anak kepada Bardizbah iaitu Al Mughirah masuk Islam melalui tangan Yaman Al Ju’fi seorang penguasa Bukhara.  Oleh kerana itulah Al Imam Al Bukhari disandarkan pula kepada Al Ju’fi.

Mengenai Ibrahim bin Al Mughirah, Al Hafizh Ibnu Hajar berkata: “Tidak ada satu riwayat pun yang menjelaskan tentang keadaannya.” Adapun Ismail ayah beliau, pernah meriwayatkan hadits dari Hammad bin Zaid dan Al Imam Malik serta sempat berjabat tangan dengan Abdullah Ibnul Mubarak. Kemudian orang-orang Iraq meriwayatkan hadits dari Ismail.



Imam Bukhari adalah seorang yang berbadan kurus, berperawakan sedang, tidak terlalu tinggi juga tidak pendek; kulitnya agak kecoklatan dan sedikit sekali makan. Dia sangat pemalu namun ramah, dermawan, menjauhi kesenangan dunia dan cinta akhirat. Banyak hartanya yang disedekahkan baik secara sembunyi mahupun terang-terangan, lebih-lebih lagi untuk kepentingan pendidikan dan para pelajar. Kepada para pelajar, dia memberikan bantuan dana yang cukup besar.

Perjalanan Menuntut Ilmu

Ayahnya wafat ketika beliau masih kecil, sehingga beliau dibesarkan dalam pangkuan ibunya. Beliau mulai menghafal hadits sekitar umur 10 tahun di madrasah kanak-kanak (Kuttab).

Setelah itu, beliau belajar kepada seorang ahli hadits terkenal bernama Ad-Dakhili. Suatu hari Ad-Dakhili membacakan hadits kepada manusia:”…Sufyan (telah meriwayatkan) dari Abu Zubair, kemudian Abu Zubair (telah meriwayatkan) dari Ibrahim…” Maka beliau mengatakan kepada Ad-Dakhili: “Sesungguhnya Abu Zubair tidak pernah meriwayatkan dari Ibrahim.” Maka Ad-Dakhili marah kepada beliau. Beliau berkata kepada Ad-Dakhili: “Cuba lihatlah kitab catatanmu!” Maka masuklah Ad-Dakhili ke rumahnya kemudian melihat kepada kitab catatannya, ternyata benarlah apa yang dikatakan oleh beliau. Selanjutnya Ad-Dakhili bertanya kepada beliau: “Bagaimana sanad yang benar wahai anak muda?” Maka beliau menjawab: “ Dia adalah Az-Zubair bin ‘Adi meriwayatkan dari Ibrahim (jadi bukan Abu Zubair).” Ad-Dakhili meminjam pena kepada beliau dan membenarkan catatannya, kemudian mengatakan kepada beliau: “Kamu benar.”

Peristiwa Imam Bukhari membantah ulama besar iaitu Imam Ad-Dakhili itu terjadi pada ketika beliau berusia 11 tahun.

Ketika usia 16 tahun, beliau telah menghafal kitab-kitab karya Abdullah bin Al-Mubarak, Waki’, serta berbagai pendapat ulama kota Ray.

Bahkan pada usia 18 tahun beliau menulis kitab yang berjudul “Qadhaya Ash Shahabah wat Tabi’in wa Aqawilihim”.

Memang semenjak kecilnya beliau telah sibuk menuntut ilmu. Beliau belajar kepada para ahli hadits di kota Bukhara seperti Muhammad bin Sallam Al-Bikandi, Muhammad bin Yusuf Al-Bikandi, Abdullah bin Muhammad Al-Musnadi dan Ibnul Asy’ats serta selain mereka.

Kemudian pada tahun 210 Hijriyah beliau pergi menunaikan ibadah haji ke kota Mekkah bersama ibu dan saudara laki-lakinya yang bernama Ahmad bin Ismail. Setelah selesai menunaikan ibadah haji, ibu beserta Ahmad bin Ismail kembali ke kampung halaman. Sementara beliau terus tinggal di kota Mekkah untuk menuntut ilmu. 

Di kota Mekkah beliau belajar daripada Al-Humaidi dan selainnya. Kemudian di kota Madinah belajar kepada Abdul ‘Aziz Al-Uwaisi, Mutharrif bin Abdillah dan selain mereka. Di sanalah beliau menulis kitab yang berjudul “At-Tarikh”. Kemudian beliau bermusafir ke berbagai negeri untuk menuntut ilmu kepada para ahli hadits seperti ke negeri Khurasan, Syam, Mesir, berbagai kota di Iraq dan berkali-kali beliau mengunjungi kota Baghdad.

Jumlah keseluruhan guru-guru beliau mencapai 1,080 orang.  Di antara guru-guru besar itu adalah;

1. Ali ibn al-Madini,
2. Ahmad ibn Hanbal,
3. Yahya ibn Ma’in,
4. Muhammad ibn Yusuf al-Faryabi,
5. Maki ibn Ibrahim al-Bakhi,
6. Muhammad ibn Yusuf al-Baykandi dan
7. Ibn Rahawaih.


Di antara sekian ramai muridnya pula, yang paling menonjol adalah;

1. Muslim bin al-Hajjaj (Imam Muslim)
2. Tirmizi (Imam At-Tirmizi)
3. Nasa’i (Imam An-Nasa'i)
4. Ibn Khuzaimah.
5. Ibn Abu Daud. (Imam Abu Daud)
6. Muhammad bin Yusuf al-Firabri.
7. Ibrahim bin Ma’qil al-Nasafi.
8. Hammad bin Syakr al-Nasawi.
9. Mansur bin Muhammad al-Bazdawi.

Selain dikenali sebagai ahli hadits, Imam Bukhari juga sebenarnya adalah ahli dalam fiqh. Beberapa rujukan menyebutkan bahawa beliau mengikut Mazhab Syafi’e. Di antara guru beliau dalam fiqh Syafi’e adalah Imam al Humaidi, sahabat Imam Syafi’e. Juga beliau belajar fiqh dan Hadits kepada Za’farani dan Abu Tsur dan Al Karabisi, ketiganya adalah murid Imam Syafi’e Rhl. Demikian diterangkan oleh Imam Abu ‘Ashim al Abbadi dalam kitab “Thabaqat”nya.


Kisah keajaiban hafalan beliau

Beliau dikenali memiliki kecerdasan dan kekuatan hafalan yang luar biasa. Beliau mengatakan: “Aku hafal 100,000 hadits shahih dan 200,000 hadits dhaif.”

Suatu ketika beliau pernah mengambil sebuah kitab tentang ilmu kemudian kitab tersebut beliau amati mulai dari awal sampai akhir dengan sekali pengamatan, maka beliau telah menghafal semua hadits yang ada di dalamnya.

Hasyid bin Ismail dan selainnya menceritakan: “Dahulu Abu Abdillah Al-Bukhari belajar bersama kami kepada para ulama Bashrah, ketika itu beliau masih muda. Beliau tidak menulis hadits yang disampaikan oleh sang guru. Hal itu berlangsung selama beberapa hari. Maka kami berkata kepadanya: “Sesungguhnya engkau belajar bersama kami tapi engkau tidak menulis. Lalu apa yang kamu lakukan? Maka setelah berlalu 16 hari beliau berkata kepada kami: ‘Sesungguhnya kalian berdua terus-menerus mengeluhkanku. Cuba tunjukkan kepadaku hadits yang telah kalian tulis!’ Maka kami tunjukkan kepada beliau hadits yang telah kami tulis. Kemudian beliau menambahkan 15,000 hadits (ke dalam catatan kami) yang dia bacakan dari hafalannya sampai kami membenarkan catatan kami dari hafalan beliau.

Dikisahkan pula suatu ketika Al-Imam Al-Bukhari singgah di kota Baghdad. Begitu mendengar kedatangan beliau, para ahli hadits kota Baghdad berkumpul dan bermusyawarah untuk menyambut kedatangan beliau. Akhirnya diambil lah kesepakatan untuk menguji kekuatan hafalan beliau. Kemudian para ahli hadits mengumpulkan seratus hadits. Seratus hadits tersebut diselerakkan, baik matan mahupun sanadnya. Setelah itu, dibahagikan kepada sepuluh orang ahli hadits, sehingga masing-masing membawa sepuluh hadits.

Diringkaskan cerita, tibalah saat yang dinantikan. Manusia pun berkumpul untuk menyaksikan acara tersebut. Mulailah salah seorang penguji menyampaikan hadits satu per satu kepada Al-Bukhari. Tatkala si penguji menyampaikan hadits pertama, Al-Bukhari menyatakan tidak tahu. Sampai penguji pertama selesai menyampaikan sepuluh hadits, Al-Bukhari tetap menjawab: “Tidak tahu.” Para ahli hadits yang hadir dalam acara tersebut kelihatan saling memandang satu sama lain seraya berkata: “Lelaki ini benar-benar mengetahui.” Sedangkan orang-orang yang awam justeru menyangka sebaliknya iaitu Al-Bukhari tidak tahu apa-apa. 

Kemudian tiba giliran penguji kedua. Mulailah dia menyampaikan sepuluh hadits satu per satu. Dan Al-Bukhari tetap menjawab, “Tidak tahu.” Demikian seterusnya penguji ketiga, keempat sampai penguji kesepuluh telah menyampaikan seluruh haditsnya, Al-Bukhari tetap menjawab: “Tidak tahu.” Kemudian Al-Bukhari mengatakan kepada penguji pertama: “Hadits pertama yang engkau bacakan adalah demikian dan demikian maka yang benar adalah demikian dan demikian.” Demikianlah Al-Bukhari menyebutkan kembali hadits tersebut benar-benar sama seperti yang dibacakan oleh si penguji, kemudian beliau membenarkan letak kesalahannya. Beliau melakukan hal ini mulai dari hadits pertama sampai hadits ke seratus. Orang-ramai pun mengakui akan kehebatan hafalan beliau.

Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata:

“Semua orang menunduk di hadapan Al-Bukhari, yang menakjubkan dari beliau bukan pada sisi kemampuan membenarkan hadits yang salah kerana beliau memang seorang penghafal hadits. Namun yang menakjubkan adalah kemampuan beliau menyebutkan kembali hadits-hadits yang telah diselerakkan tadi secara tertib dan tersusun hanya dengan sekali dengar.”


Ibadah dan akhlak beliau

Para ulama Bashrah mengatakan: “Tidak ada di dunia ini orang yang seperti Muhammad bin Ismail Al-Bukhari dalam masalah ilmu dan akhlak.”

Imam Bukhari sangat hati-hati dan sopan dalam berbicara dan dalam mencari kebenaran yang hakiki di saat mengkritik para perawi. Terhadap perawi yang sudah jelas-jelas diketahui kebohongannya, dia cukup hanya berkata: “Perlu dipertimbangkan, para ulama meninggalkannya atau para ulama berdiam diri tentangnya.” Perkataan yang tegas tentang para perawi yang tercela ialah: “Haditsnya diingkari.”

Muhammad bin Yahya Adz-Dzuhli mengatakan kepada penduduk Naisabur ketika Al-Bukhari berkunjung ke negeri Naisabur: “Pergilah kalian kepada laki-laki yang shalih tersebut dan dengarlah hadits darinya.”

Al-Husain bin Muhammad As Samarqandi berkata: Muhammad bin Ismail Al-Bukhari dikhususkan dengan tiga sifat terpuji: sedikit berbicara, tidak rakus terhadap sesuatu yang ada di tangan manusia, tidak sibuk dengan urusan orang lain dan seluruh kesibukan beliau adalah dalam masalah ilmu.”

Sulaiman bin Mujahid berkata: “Belum pernah aku melihat dengan mata kepala sendiri semenjak 60 tahun yang lalu orang yang paling faqih, paling wara’ dan paling zuhud di dunia daripada Muhammad bin Ismail.”

Al-Imam Al-Bukhari mengkhatamkan Al-Qur’an setiap siang hari di bulan Ramadhan. Kemudian di waktu malam harinya beliau mengkhatamkannya setiap tiga malam sekali pada waktu solat Tarawih. Beliau rajin melaksanakan solat malam sebanyak 13 rakaat pada waktu sahur setiap hari.

Suatu hari beliau diundang dalam satu keperluan di kebun milik muridnya. Kemudian beliau melaksanakan solat zohor dan solat sunat bersama mereka. Maka tatkala selesai dari solat, beliau mengangkat hujung pakaiannya kemudian berkata kepada seseorang: “Tolong lihatlah apakah ada sesuatu di bawah pakaianku?” ternyata seekor kumbang besar telah menyengat beliau sebanyak 16 atau 17 sengatan. Yang menyebabkan bengkak pada tubuh beliau. Kemudian ada seseorang yang berkata kepada beliau: “Mengapa engkau tidak membatalkan solat ketika kumbang tersebut mulai pertama kali menyengat?” Kata beliau: “Aku saat itu sedang membaca surat, dan aku tidak ingin memutus surat tersebut.”

Beliau pernah mengatakan: “Aku tidak lagi berbuat ghibah kepada seorang pun semenjak aku mengetahui bahawa perbuatan ghibah akan membahayakan pelakunya.”


Karya tulisan beliau

Beliau banyak menghasilkan karya tulisan dalam berbagai disiplin ilmu.. Di antaranya:

- Al-Jami’ as-Shahih Al-Musnad Min Haditsi Rasulillah wa Sunanihi wa Ayyamihi atau Shahih Al-Bukhari. Ini adalah sebuah kitab kumpulan hadits yang berisi hadits-hadits yang shahih. Beliau menyusun kitab ini selama 16 tahun. Tidaklah beliau mencantumkan satu hadits dalam kitab tersebut kecuali beliau mandi terlebih dahulu kemudian shalat dua rakaat.

Diceritakan, Imam Bukhari berkata: “Aku bermimpi melihat Rasulullah S.A.W.; seolah-olah aku berdiri di hadapannya, sambil memegang kipas yang ku pergunakan untuk menjaganya. Kemudian aku tanyakan mimpi itu kepada sebahagian ahli ta’bir, mereka menjelaskan bahawa aku akan menghancurkan dan mengikis habis kebohongan dari hadits Rasulullah S.A.W. Mimpi inilah, antara lain, yang mendorongku untuk melahirkan kitab Al-Jami’ as-Sahih.”

Kitab Sahih Bukhari telah mendapat gelaran sebagai "kitab hadits nabi yang paling sahih selepas AlQuran".  Karya-karya lain beliau ialah;

- Al-Adab Al-Mufrad
- Raf’ul Yadain fi Shalat
- Al-Qira’ah Khalfa Al-Imam
- Khalqu Af’alil ‘Ibad
- At-Tarikh Al-Kabir
- At-Tafsir al-Kabir.
- Al-Musnad al-Kabir.
- Kitab al-’Ilal.
- Raf’ul-Yadain fis-Salah.
- Birril-Walidain.
- Kitab al-Asyribah.
- Al-Qira’ah Khalf al-Imam.
- Kitab ad-Dhu’afa.
- Asami as-Sahabah.
- Kitab al-Kuna dll.



Jumlah hadits di dalam Kitab Al-Jami’ as-Sahih (Sahih Bukhari)

‘Allamah Ibnu al-Solah dalam kitabnya Muqaddimah ada menyebutkan, bahawa jumlah hadits Sahih Bukhari sebanyak 7,275 buah hadits, termasuk hadits-hadits yang disebutnya berulang kali atau dihitung sebanyak 4,000 buah hadits tanpa pengulangan.  Perhitungan ini diikuti oleh Syeikh Muhyiddin al-Nawawi dalam kitabnya, al-Taqrib.

Selain pendapat tersebut di atas, Ibn Hajar di dalam mukadimah kitabnya yang terunggul iaitu kitab Fath al-Bari merupakan kitab syarah Sahih Bukhari, ada menyebutkan bahawa semua hadits sahih yang terkandung di dalam Sahih Bukhari tanpa hadits yang disebut berulang sebanyak 2,602 buah hadits.

Sedangkan matan hadits yang mu’allaq namun marfu’, iaitu hadits sahih namun tidak diwasalkan (tidak disebutkan sanadnya secara sambung menyambung) pada tempat yang lain sebanyak 159 hadits. Semua hadits Sahih Bukhari termasuk hadits yang disebutkan berulang-ulang sebanyak 7,397 buah. Hadits yang mu’allaq berjumlah 1,341 buah, hadits yang muttabi’ sebanyak 344 buah hadits.

Jadi, berdasarkan perhitungan ini dan termasuk yang berulang-ulang, jumlah keseluruhannya sebanyak 9,082 buah hadits. Jumlah ini di luar lingkungan hadis mauquf yang terkait dengan sahabat dan (perkataan) yang diriwayatkan dari para tabiin serta ulama sesudah mereka.

Diriwayatkan bahawa Imam Bukhari berkata: “Tidaklah ku masukkan ke dalam kitab Al-Jami’as-Sahih ini kecuali hadits-hadits yang sahih; dan kutinggalkan banyak hadits sahih kerana khuatir membosankan.”


Kewafatan beliau

Beliau pernah mengalami ujian yang berat dalam hidupnya. Ceritanya adalah ada sebahagian orang yang iri hati dengan kelebihan yang Allah Ta’ala berikan kepada beliau. Maka mereka pun menyebarkan isu bahawasanya beliau memiliki keyakinan yang mengarah kepada pendapat “ Al-Qur’an adalah makhluk”, sebuah keyakinan yang kufur. Beliau akhirnya mengalami beberapa kali pengusiran mulai dari daerah Naisabur, Bukhara dan terakhir Khartanka. Beliau hadapi semua itu dengan penuh ketabahan, dengan tidak melakukan reaksi apa pun.

Suatu malam beliau pernah berdoa: “Ya Allah sesungguhnya bumi yang luas ini telah terasa sempit bagiku, maka matikan lah aku.” Tidak sampai sebulan setelah itu beliau meninggal dunia. Beliau meninggal pada malam Sabtu bertepatan dengan malam Idul Fitri selesai solat ‘Isya´. Dan dikuburkan pada keesokan harinya setelah solat zohor pada tahun 256 Hijriyah di desa Khartanka bahagian dari kota Samarkand. Beliau wafat pada usia 62 tahun. Semoga Allah merahmati beliau rahimahullah, dan memasukkannya ke dalam Al-Jannah (Syurga). Amin.

Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata: “Kalau seandainya pintu pujian para ulama belakangan terhadap beliau dibuka, nescaya akan menghabiskan lembaran kertas dan menghabiskan nafas manusia, kerana yang demikian merupakan lautan yang tiada batas.“

Wallahu a`lam bishshawab.

_______________________________________________________________

Rujukan:

1 - “Siyar A’lamin Nubala” Al-Imam Adz-Dzahabi, Mu´assasah Ar Risalah hal 391 – 470
2 - “Al-Imam Al-Bukhari wa Kitabuhu Al-Jami’ Ash-Shahih” Asy-Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad
3 - “Ta’rif Bil A’lam Al-Waridah fi Al-Bidayah wa An Nihayah li Ibni Katsir” -Maktabah Asy-Syamilah
4 - “Mu’jam Al-Buldan”
5 - “Atsar Al-Bilad wa Akhbar Al-Ibad”
6 - “Sirah Al-Imam Al-Bukhari”, karya Asy-Syaikh Abdus Salam Al-Mubarakfuri

[Di olah dari buletin-alilmu.com , shoutussunnah.com dan kisah.web.id]

1 ulasan:

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (55) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.