Sabtu, 10 Disember 2011

Terengganu akan lancar akademi bola sepak pada Januari 2012

Akademi Bola Sepak Negeri Terengganu (ABSNT) tajaan kerajaan negeri Terengganu akan dilancarkan awal Januari, tahun depan, kata Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Zainal Abidin Hussin.

Beliau berkata, akademi itu akan dikendalikan MSN Terengganu dan ia adalah akademi pertama seumpamanya ditaja kerajaan negeri, yang akan membelanjakan lebih RM1 juta untuk projek perintis akademi itu.

"Sebelum ini, hanya ada akademi bola sepak yang diwujudkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, akademi bola sepak FAM, yang ditubuhkan pada 1995 dan melahirkan ramai pemain berkualiti itu, ditutup pada 2007.

Beliau berkata, pelantikan penolong jurulatih dan tempat tinggal pelatih akan ditentukan sebelum akademi itu dilancarkan.

"Urusan pelantikan jurulatih baru selesai dengan Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor dilantik sebagai ketua jurulatih yang akan mengendalikan akademi itu manakala yang lain-lain dalam proses perbincangan," katanya.

Zainal berkata, Che Ku Marzuki dipilih memandangkan pengalamannya yang luas ketika mengendalikan akademi bola sepak FAM sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemain yang akan menyertai akademi itu akan dipilih dalam beberapa kejohanan yang diadakan di setiap daerah sebelum akhir tahun ini.

Zainal berharap, ABSNT bukan saja akan menjadi kilang melahirkan pemain bola sepak berwibawa untuk negeri Terengganu tetapi juga untuk negara pada masa depan.

Che Ku Marzuki ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau sudah dilantik MSN untuk menjadi ketua jurulatih ABSNT.

[BERNAMA , Berita Harian]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.