Cara Hidup

Konspirasi

Dunia Islam

Kisah Nabi dan Sahabat

Kisah umat dahulu

Sains

Foto

Pautan Luar

» » » 1 - Muhammad dari kelahiran hingga perkahwinannya


Perkahwinan Abdullah dengan Aminah

Usia Abd'l-Muttalib sudah hampir mencapai tujuh puluh tahun atau lebih tatkala Abrahah cuba menyerang Mekah dan menghancurkan Kaabah. Ketika itu umur Abdullah anaknya sudah dua puluh empat tahun, dan sudah tiba masanya dikahwinkan. Pilihan Abdul-Muttalib jatuh kepada Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhra, - pemimpin suku Zuhra ketika itu yang sesuai pula usianya dan mempunyai kedudukan terhormat. Maka pergilah anak-beranak itu hendak mengunjungi keluarga Zuhra. Dia dengan anaknya menemui Wahb dan melamar puterinya. Sebahagian penulis sejarah berpendapat, bahawa dia pergi menemui Uhyab, bapa saudara Aminah, sebab waktu itu ayahnya sudah meninggal dan dia di bawah asuhan bapa saudaranya. Pada hari perkahwinan Abdullah dengan Aminah itu, Abdul-Muttalib juga kahwin dengan Hala, puteri bapa saudaranya. Dari perkahwinan ini lahirlah Hamzah, bapa saudara Nabi dan yang seusia dengannya.

Abdullah dengan Aminah tinggal selama tiga hari di rumah Aminah, sesuai dengan adat kebiasaan Arab bila perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin puteri. Sesudah itu mereka pindah bersama-sama ke keluarga Abdul-Muttalib. Tak seberapa lama kemudian Abdullah pun pergi dalam suatu usaha perdagangan ke Suria (Syria) dengan meninggalkan isteri yang dalam keadaan hamil. Tentang ini masih terdapat beberapa keterangan yang berbeza-beza: adakah Abdullah kahwin lagi selain dengan Aminah; adakah wanita lain yang datang menawarkan diri kepadanya? Rasanya tak ada gunanya menyelidiki keterangan-keterangan semacam ini. Yang pasti ialah Abdullah adalah seorang pemuda yang tegap dan tampan. Bukan hal yang luar biasa jika ada wanita lain yang ingin menjadi isterinya selain Aminah. Tetapi setelah perkahwinannya dengan Aminah itu hilanglah harapan yang lain walaupun untuk sementara. Siapa tahu, barangkali mereka masih menunggu dia pulang dari perjalanannya ke Syam untuk menjadi isterinya di samping Aminah.

Dalam perjalanannya itu Abdullah tinggal selama beberapa bulan. Dalam pada itu dia pergi juga ke Gaza dan kembali lagi. Kemudian dia singgah ke tempat saudara-saudara ibunya di Madinah sekadar berehat sesudah merasa letih selama dalam perjalanan. Sesudah itu dia akan kembali pulang dengan kafilah (rombongan) ke Mekah. Akan tetapi kemudian dia menderita sakit di tempat saudara-saudara ibunya itu. Kawan-kawannya pun pulang terlebih dulu meninggalkan dia. Dan mereka lah yang menyampaikan berita sakitnya itu kepada ayahnya setelah mereka sampai di Mekah.

Abdullah Wafat

Setelah berita sampai kepada Abdul-Muttalib, dia mengutus Harith - anaknya yang sulung - ke Madinah, supaya membawa kembali bila dia sudah sembuh. Tetapi sesampainya di Madinah dia mengetahui bahawa Abdullah sudah meninggal dan sudah dikuburkan pula, sebulan sesudah kafilahnya berangkat ke Mekah. Kembalilah Harith kepada keluarganya dengan membawa perasaan pilu atas kematian adiknya itu. Rasa duka dan sedih menimpa hati Abdul-Muttalib, menimpa hati Aminah, kerana dia kehilangan seorang suami yang selama ini menjadi harapan kebahagiaan hidupnya. Demikian juga Abdul-Muttalib sangat sayang kepadanya sehingga penebusannya terhadap Sang Berhala yang demikian rupa belum pernah terjadi di kalangan masyarakat Arab sebelum itu.

Peninggalan Abdullah sesudah wafat terdiri dari lima ekor unta, sekelompok ternak kambing dan seorang hamba perempuan, iaitu Ummu Ayman - yang kemudian menjadi pengasuh Nabi. Boleh jadi peninggalan serupa itu bukan bererti suatu tanda kekayaan; tapi tidak juga merupakan suatu kemiskinan. Di samping itu umur Abdullah yang masih dalam usia muda belia, sudah mampu bekerja dan berusaha mencapai kekayaan. Dalam pada itu dia memang tidak mewarisi sesuatu dari ayahnya yang masih hidup itu.

Muhammad Lahir

Aminah sudah hamil, dan kemudian, seperti wanita lain dia pun melahirkan. Selesai bersalin dikirimnya berita kepada Abdul Muttalib di Ka'bah, bahawa dia melahirkan seorang anak lelaki. Alangkah gembiranya orang tua itu setelah menerima berita. Sekaligus dia teringat kepada Abdullah anaknya. Gembira sekali hatinya kerana ternyata pengganti anaknya sudah ada. Cepat-cepat dia menemui menantunya itu, diangkatnya bayi itu lalu dibawanya ke Ka'bah. Dia diberi nama Muhammad. Nama ini tidak umum di kalangan orang Arab tapi cukup dikenal. Kemudian dikembalikannya bayi itu kepada ibunya. Kini mereka sedang menantikan orang yang akan menyusukannya dari Keluarga Saad (Banu Saad), untuk kemudian menyerahkan anaknya itu kepada salah seorang dari mereka, sebagaimana sudah menjadi adat kaum bangsawan Arab di Mekah.

Mengenai tahun ketika Muhammad dilahirkan, beberapa ahli berlainan pendapat. Sebahagian besar mengatakan pada Tahun Gajah (570 Masihi). Ibnu Abbas mengatakan dia dilahirkan pada Tahun Gajah itu. Yang lain berpendapat kelahirannya itu lima belas tahun sebelum peristiwa gajah. Selanjutnya ada yang mengatakan dia dilahirkan beberapa hari atau beberapa bulan atau juga beberapa tahun sesudah Tahun Gajah. Ada yang menaksir tiga puluh tahun, dan ada juga yang menaksir sampai tujuh puluh tahun.

Juga para ahli berlainan pendapat mengenai bulan kelahirannya. Sebahagian besar mengatakan dia dilahirkan bulan Rabiul Awal. Ada yang berkata lahir dalam bulan Muharam, yang lain berpendapat dalam bulan Safar, sebahagian lagi menyatakan dalam bulan Rejab, sementara yang lain mengatakan dalam bulan Ramadhan.

Kelainan pendapat itu juga mengenai hari bulan dia dilahirkan. Satu pendapat mengatakan pada malam kedua Rabiul Awal, atau malam kelapan, atau kesembilan. Tetapi pada umumnya mengatakan, bahawa dia dilahirkan pada tarikh dua belas Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq dan yang lain.

Selanjutnya terdapat perbezaan pendapat mengenai waktu kelahirannya, iaitu siang atau malam, demikian juga mengenai tempat kelahirannya di Mekah. Caussin de Perceval dalam Essai sur l'Histoire des Arabes menyatakan, bahawa Muhammad dilahirkan bulan Ogos 570, yakni Tahun Gajah, dan bahawa dia dilahirkan di Mekah di rumah datuknya Abdul-Muttalib.

Pada hari ketujuh kelahirannya itu Abdul-Muttalib minta disembelihkan unta. Hal ini kemudian dilakukan dengan mengundang makan masyarakat Quraisy. Setelah mereka mengetahui bahawa anak itu diberi nama Muhammad, mereka bertanya-tanya mengapa dia tidak suka memakai nama nenek moyang. "Ku inginkan dia akan menjadi orang yang Terpuji [1] bagi Tuhan di langit dan bagi makhlukNya di bumi," jawab Abdul Muttalib.

Disusukan Oleh Keluarga Saad

Aminah masih menunggu akan menyerahkan anaknya itu kepada salah seorang Keluarga Saad yang akan menyusukan anaknya, sebagaimana sudah menjadi kebiasaan bangsawan-bangsawan Arab di Mekah. Adat demikian ini masih berlaku pada bangsawan-bangsawan Mekah. Pada hari kelapan selepas dilahirkan anak itupun dikirimkan ke pedalaman dan baru kembali pulang ke kota sesudah dia berumur lapan atau sepuluh tahun. Di kalangan kabilah-kabilah pedalaman yang terkenal dalam menyusukan ini di antaranya ialah kabilah Banu Sa'ad. Sementara masih menunggu orang yang akan menyusukan itu Aminah menyerahkan anaknya kepada Thuwaibah, hamba perempuan bapa saudaranya, Abu Lahab. Selama beberapa waktu dia disusukan, seperti Hamzah yang juga kemudian disusukannya. Jadi mereka adalah saudara susuan.

Sekalipun Thuwaibah hanya beberapa hari saja menyusukan, namun dia tetap memelihara hubungan yang baik sekali selama hidupnya. Setelah wanita itu meninggal pada tahun ketujuh sesudah dia hijrah ke Madinah, untuk meneruskan hubungan baik itu, dia menanyakan tentang anaknya yang juga menjadi saudara susuan. Tetapi kemudian dia mengetahui bahawa anak itu juga sudah meninggal sebelum ibunya.

Akhirnya datang juga wanita-wanita Keluarga Saad yang akan menyusukan itu ke Mekah. Mereka memang mencari bayi yang akan mereka susukan. Akan tetapi mereka menghindari anak-anak yatim. Sebenarnya mereka masih mengharapkan sesuatu jasa dari sang ayah. Sedang dari anak-anak yatim sedikit sekali yang dapat mereka harapkan. Oleh kerana itu di antara mereka itu tak ada yang mahu mendatangi Muhammad. Mereka akan mendapat hasil yang lumayan bila mendatangi keluarga yang dapat mereka harapkan.

Akan tetapi Halimah binti Abi-Dhua'ib yang pada mulanya menolak Muhammad, seperti yang lain-lain juga, ternyata tidak mendapat bayi lain sebagai gantinya. Di samping itu kerana dia memang seorang wanita yang kurang mampu, ibu-ibu lain pun tidak menghiraukannya. Setelah sepakat mereka akan meninggalkan Mekah. Halimah berkata kepada Harith bin Abdul-'Uzza suaminya: "Tidak senang aku pulang bersama dengan teman-temanku tanpa membawa seorang bayi. Biarlah aku pergi kepada anak-anak yatim itu dan akan ku bawa juga."

"Baiklah," jawab suaminya. "Mudah-mudahan kerana itu Tuhan akan memberi berkah kepada kita."

Halimah kemudian mengambil Muhammad dan dibawanya pergi bersama-sama dengan rakan-rakannya ke kawasan pedalaman. Dia bercerita, bahwa sejak diambilnya anak itu ia merasa mendapat berkat. Ternak kambingnya gemuk-gemuk dan susunyapun bertambah. Tuhan telah memberkati semua yang ada padanya.

Selama dua tahun Muhammad tinggal di sahara, disusukan oleh Halimah dan diasuh oleh Syaima ', puterinya. Udara sahara dan kehidupan pedalaman yang kasar menyebabkannya cepat sekali menjadi besar, dan menambah indah bentuk dan pertumbuhan badannya. Setelah cukup dua tahun dan tiba masanya disapih (berhenti menyusu), Halimah membawa anak itu kepada ibunya dan sesudah itu membawanya kembali ke pedalaman. Hal ini dilakukan kerana kehendak ibunya, kata sebuah keterangan, dan keterangan lain mengatakan kerana kehendak Halimah sendiri. Dia dibawa kembali supaya lebih matang, juga memang dikuatirkan dari adanya serangan wabak di Mekah.

Dua tahun lagi anak itu tinggal di sahara, menikmati udara pedalaman yang jernih dan bebas, tidak terikat oleh sesuatu ikatan jiwa, juga tidak oleh ikatan material.

Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada

Pada masa itu, sebelum usianya mencapai tiga tahun, ketika itulah terjadi cerita yang banyak dikisahkan orang. Yakni, bahawa sementara dia dengan saudaranya yang sebaya sesama anak-anak itu sedang berada di belakang rumah di luar pengawasan keluarganya, tiba-tiba anak yang dari Keluarga Saad itu kembali pulang sambil berlari, dan berkata kepada ibu-bapanya: "Saudaraku yang dari Quraisy itu telah diambil oleh dua orang laki-laki berbaju putih. Dia dibaringkan, perutnya dibedah, sambil di balik-balikkan. "

Dan tentang Halimah ini ada juga diceritakan, bahawa mengenai diri dan suaminya dia berkata: "Lalu saya pergi dengan ayahnya ke tempat itu. Kami jumpai dia sedang berdiri. Mukanya pucat-lesi. Kuperhatikan dia. Demikian juga ayahnya. Lalu kami tanyakan:" Kenapa kau, nak?" Dia menjawab: "Aku didatangi oleh dua orang laki-laki berpakaian putih. Aku di baringkan, lalu perutku di bedah. Mereka mencari sesuatu di dalamnya. Tak tahu aku apa yang mereka cari. "

Halimah dan suaminya kembali pulang ke rumah. Orang itu sangat ketakutan, kalau-kalau anak itu sudah kerasukan. Sesudah itu, dibawanya anak itu kembali kepada ibunya di Mekah. Atas peristiwa ini Ibn Ishaq membawa sebuah Hadis Nabi sesudah kenabiannya. Tetapi dalam menceritakan peristiwa ini Ibn Ishaq nampaknya hati-hati sekali dan mengatakan bahawa sebab dikembalikannya kepada ibunya bukan karena cerita adanya dua malaikat itu, melainkan - seperti cerita Halimah kepada Aminah - ketika ia di bawa pulang oleh Halimah sesudah disapih, ada beberapa orang Nasrani Abisinia memperhatikan Muhammad dan menanyakan kepada Halimah tentang anak itu. Dilihatnya belakang kanak-kanak itu, lalu mereka berkata:

"Biarlah kami bawa anak ini kepada raja kami di negeri kami. Anak ini akan menjadi orang penting. Kamilah yang mengetahui keadaannya." Halimah lalu cepat-cepat menghindarkan diri dari mereka dengan membawa anak itu. Demikian juga cerita yang dibawa oleh Tabari, tapi ini masih di ragukan; sebab dia menyebutkan Muhammad dalam usianya itu, lalu kembali menyebutkan bahwa hal itu terjadi tidak lama sebelum kenabiannya dan usianya empat puluh tahun.


Lima Tahun Selama Tinggal Di Pedalaman

Baik kaum orientalis mahupun beberapa kalangan kaum Muslimin sendiri tidak merasa puas dengan cerita dua malaikat ini dan menganggap sumber itu lemah sekali. Yang melihat kedua-dua laki-laki (malaikat) dalam cerita penulis-penulis sejarah itu hanya anak-anak yang baru dua tahun lebih sedikit umurnya. Begitu juga umur Muhammad waktu itu. Akan tetapi sumber-sumber itu sependapat bahawa Muhammad tinggal di tengah-tengah Keluarga Saad itu sampai mencapai usia lima tahun. Andaikata peristiwa itu terjadi ketika dia berusia dua setengah tahun, dan ketika itu Halimah dan suaminya mengembalikannya kepada ibunya, tentulah terdapat kontradiksi dalam dua sumber cerita itu yang tak boleh diterima. Oleh kerana itu beberapa penulis berpendapat, bahawa dia kembali dengan Halimah itu untuk ketiga kalinya.

Dalam hal ini Sir William Muir tidak mahu menyebutkan cerita tentang dua orang berbaju putih itu, dan hanya menyebutkan, bahawa kalau Halimah dan suaminya sudah menyedari adanya suatu gangguan kepada anak itu, maka mungkin saja itu adalah suatu gangguan krisis urat-saraf, dan kalau hal itu tidak sampai mengganggu kesihatannya ialah kerana bentuk tubuhnya yang baik. Barangkali yang lain pun akan berkata: Baginya tidak diperlukan lagi akan ada yang harus membelah perut atau dadanya, sebab sejak dilahirkan Tuhan sudah mempersiapkannya supaya menjalankan risalahnya. Dermenghem berpendapat, bahawa cerita ini tidak mempunyai dasar kecuali dari yang diketahui orang dari teks ayat yang berbunyi: "Bukankah sudah Kami lapangkan dadamu? Dan sudah Kami lepaskan beban dari kamu? Yang telah memberati punggungmu?" (Qur'an 94: 1-3)

Apa yang telah diisyaratkan Qur'an itu adalah dalam erti rohani semata-mata, yang maksudnya ialah membersihkan (menyucikan) dan mencuci hati yang akan menerima Risalah Kudus, kemudian meneruskannya seikhlas-ikhlasnya, dengan menanggung segala beban kerana Risalah yang berat itu.

Dengan demikian apa yang diminta oleh kaum Orientalis dan pemikir-pemikir Muslim dalam hal ini ialah bahawa kisah hidup Muhammad adalah sifatnya manusia semata-mata dan bersifat peri kemanusiaan yang luhur. Dan untuk menguatkan kenabiannya itu memang tidak perlu dia harus bersandar kepada apa yang biasa dilakukan oleh mereka yang suka kepada yang ajaib-ajaib. Dengan demikian mereka beralasan sekali menolak tanggapan penulis-penulis Arab dan kaum Muslimin tentang kisah hidup Nabi yang tidak masuk akal itu. Mereka berpendapat bahawa apa yang dikemukakan itu tidak sejalan dengan apa yang diminta oleh Qur'an supaya merenungkan ciptaan Tuhan, dan bahawa undang-undang Tuhan takkan ada yang berubah-ubah. Tidak sesuai dengan ekspresi Qur'an tentang kaum Musyrik yang tidak mahu mendalami dan tidak mahu mengerti juga.

Muhammad tinggal bersama Keluarga Saad sampai mencapai usia lima tahun, menghirup jiwa kebebasan dan kemerdekaan dalam udara sahara yang lepas itu. Dari kabilah ini dia belajar menggunakan bahasa Arab yang murni, sehingga pernah dia mengatakan kepada teman-temannya kemudian: "Aku yang paling fasih di antara kamu. Aku dari Quraisy tapi diasuh di tengah-tengah Keluarga Saad bin Bakr."

Lima tahun masa yang ditempuhnya itu telah memberikan kenangan yang indah sekali dan kekal dalam jiwanya. Demikian juga Ibu Halimah dan keluarganya tempat dia menumpahkan rasa kasih sayang dan hormat selama hidupnya itu.

Penduduk daerah itu pernah mengalami suatu masa paceklik sesudah perkahwinan Muhammad dengan Khadijah. Bilamana Halimah kemudian mengunjunginya, sepulangnya dia dibekali dengan harta Khadijah berupa unta yang dimuatkan air dan empat puluh ekor kambing. Dan setiap kali dia datang dibentangkannya pakaian yang paling berharga untuk tempat duduk Ibu Halimah sebagai tanda penghormatan. Ketika Syaima, puterinya berada di bawah tawanan bersama-sama pihak Hawazin setelah Ta'if dikepung, kemudian dibawa kepada Muhammad, dia akan mengenalinya. Dia dihormati dan dikembalikan kepada keluarganya sesuai dengan keinginan wanita itu.

Sesudah lima tahun, kemudian Muhammad kembali kepada ibunya. Dikatakan juga, bahawa Halimah pernah mencari tatkala dia sedang membawanya pulang ke tempat keluarganya tapi tidak menjumpainya. Dia mendatangi Abdul-Muttalib dan memberitahu bahawa Muhammad telah sesat jalan ketika berada di hulu kota Mekah. Lalu Abdul-Muttalib pun menyuruh orang mencarinya, yang akhirnya dikembalikan oleh Waraqah bin Naufal, demikian setengah orang berkata.

Di Bawah Asuhan Abdul-Muttalib

Kemudian Abdul-Muttalib yang bertindak mengasuh cucunya itu. Dia memeliharanya sungguh-sungguh dan mencurahkan segala kasih-sayangnya kepada cucu ini. Biasanya buat orang tua itu - pemimpin seluruh Quraisy dan pemimpin Mekah - diletakkannya hamparan tempat dia duduk di bawah naungan Ka'bah, dan anak-anaknya lalu duduk pula sekeliling hamparan itu sebagai penghormatan kepada orang tua. Tetapi apabila Muhammad yang datang maka didudukkannya dia di sampingnya di atas hamparan itu sambil dia mengelus-ngelus punggungnya. Melihat betapa besarnya rasa cintanya itu bapa-bapa saudara Muhammad tidak mahu membiarkannya di belakang dari tempat mereka duduk itu.

Lebih-lebih lagi kecintaan datuk itu kepada cucunya ketika Aminah kemudian membawa anaknya itu ke Madinah untuk diperkenalkan kepada saudara-saudara datuknya dari pihak Keluarga Najjar.

Dalam perjalanan itu dibawanya juga Ummu Aiman, hamba perempuan yang ditinggalkan ayahnya dulu. Sesampai mereka di Madinah kepada anak itu diperlihatkan rumah tempat ayahnya meninggal dulu serta tempat dia dikuburkan. Itu adalah yang pertama kali dia merasakan sebagai anak yatim. Dan barangkali juga ibunya pernah menceritakan dengan panjang lebar tentang ayah tercinta itu, yang setelah beberapa waktu tinggal bersama-sama, kemudian meninggal dunia di tengah-tengah bapa saudaranya dari pihak ibu. Sesudah Hijrah pernah juga Nabi menceritakan kepada sahabat-sahabatnya kisah perjalanannya yang pertama ke Madinah dengan ibunya itu. Kisah yang penuh cinta pada Madinah, kisah yang penuh duka pada orang yang ditinggalkan keluarganya.


Aminah Wafat

Sesudah cukup sebulan mereka tinggal di Madinah, Aminah sudah bersiap-siap akan pulang. Dia dan rombongan kembali pulang dengan dua ekor unta yang membawa mereka dari Mekah. Tetapi di tengah perjalanan, ketika mereka sampai di Abwa', ibunda Aminah menderita sakit, yang kemudian meninggal dan dikuburkan pula di tempat itu.

Anak itu oleh Ummu Aiman ​​dibawa pulang ke Mekah, pulang menangis dengan hati yang pilu, sebatang kara. Dia makin merasa kehilangan; sudah ditakdirkan menjadi anak yatim. Terasa olehnya hidup yang makin sunyi, makin sedih. Baru beberapa hari yang lalu dia mendengar dari Ibunda keluhan duka kehilangan Ayahanda semasa dia masih dalam kandungan. Kini dia melihat sendiri dihadapannya, ibu pergi untuk tidak kembali lagi, seperti ayah dulu. Tubuh yang masih kecil itu kini dibiarkan memikul beban hidup yang berat, sebagai yatim-piatu.

Lebih-lebih lagi kecintaan Abdul-Muttalib kepadanya. Tetapi sungguh pun begitu, kenangan sedih sebagai anak yatim-piatu itu bekasnya masih mendalam sekali dalam jiwanya sehingga di dalam Qur'an pun disebutkan, ketika Allah mengingatkan Nabi akan nikmat yang dianugerahkan kepadanya itu: "Bukankah engkau dalam keadaan yatim-piatu? Lalu diadakan orang yang akan melindungimu? Dan mencari kamu kehilangan pedoman, lalu ditunjukkanNya jalan itu? " (Quran, 93: 6-7)

Abdul-Muttalib Wafat

Kenangan yang memilukan hati ini barangkali akan terasa agak meringankan juga sedikit, sekiranya Abdul-Muttalib masih dapat hidup lebih lama lagi. Tetapi orang tua itu juga meninggal, dalam usia lapan puluh tahun, sedang Muhammad waktu itu baru berumur lapan tahun. Sekali lagi Muhammad dirundung kesedihan kerana kematian datuknya itu, seperti yang sudah dialaminya ketika ibunya meninggal. Begitu sedihnya dia, sehingga selalu dia menangis sambil menghantar keranda jenazah sampai ke tempat peraduan terkini.

Bahkan selepas itu pun dia masih tetap mengenangkannya sekalipun sesudah itu, di bawah asuhan Abu Talib bapa saudaranya dia mendapat perhatian dan pemeliharaan yang baik sekali, mendapat perlindungan sampai masa kenabiannya, yang terus demikian sampai bapa saudaranya itu pun akhirnya meninggal.

Sebenarnya kematian Abdul-Muttalib ini merupakan pukulan berat bagi Keluarga Hasyim semua. Di antara anak-anaknya itu tak ada yang seperti dia: mempunyai keteguhan hati, kewibawaan, pandangan yang tajam, terhormat dan berpengaruh di kalangan Arab semua. Dia telah menyediakan makanan dan minuman bagi mereka yang datang berziarah, memberikan bantuan kepada penduduk Mekah bila mereka mendapat bencana. Sekarang ternyata tak ada lagi dari anak-anaknya itu yang akan dapat meneruskan. Yang dalam keadaan miskin, tidak mampu melakukan itu, sedang yang kaya hidupnya bakhil sekali. Oleh kerana itu maka Keluarga Umayyah yang lalu tampil ke depan akan mengambil tampuk pimpinan yang memang sejak dulu diinginkan itu, tanpa menghiraukan ancaman yang datang dari pihak Keluarga Hasyim.

Di Bawah Asuhan Abu Talib

Penjagaan Muhammad di pegang oleh Abu Talib, sekalipun dia bukan yang tertua di antara saudara-saudaranya. Saudara tertua adalah Harith, tapi dia tidak seberapa mampu. Sebaliknya Abbas yang mampu, tapi dia bakhil sekali dengan hartanya. Oleh kerana itu dia hanya memegang urusan siqayah (pengairan) tanpa mengurus rifadah (makanan). Sekalipun dalam kemiskinannya itu, tapi Abu Talib mempunyai perasaan paling halus dan terhormat di kalangan Quraisy. Dan tidak pula menghairankan kalau Abdul-Muttalib menyerahkan asuhan Muhammad kemudian kepada Abu Talib.

Abu Talib mencintai anak saudaranya itu sama seperti Abdul-Muttalib juga. Kerana kecintaannya itu dia mendahulukan anak saudaranya daripada anak-anaknya sendiri. Budi pekerti Muhammad yang luhur, cerdas, suka berbakti dan baik hati, itulah yang lebih menarik hati bapa saudaranya. Pernah pada suatu ketika dia akan pergi ke Syam membawa dagangan - ketika itu usia Muhammad baru 12 tahun - mengingat sulitnya perjalanan menyeberangi padang pasir, tak difikirkan olehnya akan membawa Muhammad. Akan tetapi Muhammad yang dengan ikhlas menyatakan akan menemani bapa saudaranya itu, itu juga yang menghilangkan sikap ragu-ragu dalam hati Abu Talib.

Pergi Ke Suria Dalam Usia Dua belas Tahun

Anak itu lalu turut serta dalam rombongan kafilah, hingga sampai di Bushra di sebelah selatan Syam. Dalam buku-buku riwayat hidup Muhammad diceritakan, bahawa dalam perjalanan inilah dia bertemu dengan rahib Bahira, dan bahawa rahib itu telah melihat tanda-tanda kenabian padanya sesuai dengan petunjuk cerita-cerita Kristian. Sebahagian sumber menceritakan, bahawa rahib itu menasihatkan keluarganya supaya jangan terlampau dalam memasuki daerah Syam, sebab dikhuatirkan orang-orang Yahudi yang mengetahui tanda-tanda itu akan berbuat jahat terhadap dia.

Dalam perjalanan itulah sepasang mata Muhammad yang indah itu melihat luasnya padang pasir, menatap bintang-bintang yang berkilauan di langit yang jernih cemerlang. Dilaluinya daerah-daerah Madyan, Wadit'l-Qura serta peninggalan bangunan-bangunan Thamud. Didengarnya dengan telinganya yang tajam segala cerita orang-orang Arab dan penduduk pedalaman tentang bangunan-bangunan itu, tentang sejarahnya masa lampau. Dalam perjalanan ke daerah Syam ini dia berhenti di kebun-kebun yang lebat dengan buah-buahan yang sudah masak, yang akan membuat dia lupa akan kebun-kebun di Ta'if serta segala cerita orang tentang itu. Taman-taman yang dilihatnya dibandingkannya dengan dataran pasir yang gersang dan gunung-gunung tandus di sekeliling Mekah itu. Di Syam ini juga Muhammad mengetahui berita-berita tentang Kerajaan Rom dan agama Kristiannya, didengarnya berita tentang Kitab Suci mereka serta oposisi Parsi dari penyembah api terhadap mereka dan persiapannya menghadapi perang dengan Parsi.

Sekalipun usianya baru dua belas tahun, tapi dia sudah mempunyai persiapan kebesaran jiwa, kecerdasan dan ketajaman otak, sudah mempunyai tinjauan yang begitu dalam dan ingatan yang cukup kuat serta segala sifat-sifat seperti itu yang diberikan alam kepadanya sebagai suatu persiapan akan menerima risalah (misi ) amat besar yang sedang menantinya. Dia melihat ke sekeliling, dengan sikap menyelidik, meneliti. Dia tidak puas terhadap segala yang didengar dan dilihatnya. Dia bertanya kepada diri sendiri: di ​​manakah kebenaran dari semua itu?

Nampaknya Abu Talib tidak banyak membawa harta dari perjalanannya itu. Dia tidak lagi mengadakan perjalanan demikian. Malah sudah merasa cukup dengan yang sudah diperolehinya itu. Dia menetap di Mekah mengasuh anak-anaknya yang banyak sekali pun dengan harta yang tidak seberapa. Muhammad juga tinggal dengan bapa saudaranya, menerima apa yang ada. Dia melakukan pekerjaan yang biasa dilakukan oleh mereka yang seusia dia. Bila tiba bulan-bulan suci, kadang dia tinggal di Mekah dengan keluarga, kadang pergi bersama mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dengan 'Ukaz, Majanna dan Dhu'l-Majaz, mendengarkan sajak-sajak yang dibawakan oleh penyair-penyair Mudhahhabat dan Mu 'allaqat [3]. Pendengarannya terpesona oleh sajak-sajak yang fasih melukiskan lagu cinta dan puisi-puisi kebanggaan, melukiskan nenek moyang mereka, peperangan mereka, kemurahan hati dan jasa-jasa mereka. Didengarnya ahli-ahli pidato di antaranya orang-orang Yahudi dan Nasrani yang membenci paganisma Arab. Mereka bicara tentang Kitab-kitab Suci Isa dan Musa, dan mengajak kepada kebenaran menurut keyakinan mereka. Dinilainya semua itu dengan hati nuraninya, dilihatnya ini lebih baik daripada paganisma yang telah menghanyutkan keluarganya itu. Tetapi tidak sepenuhnya dia merasa lega.

Dengan demikian sejak muda-belia takdir telah menghantarkannya ke jurusan yang akan membawanya ke suatu saat bersejarah, saat mula pertama datangnya wahyu, tatkala Tuhan memerintahkan dia menyampaikan risalahNya itu. Yakni risalah kebenaran dan petunjuk bagi seluruh umat manusia.

Perang Fijar

Kalau Muhammad sudah mengenal selok-belok jalan padang pasir dengan bapa saudaranya Abu Talib, sudah mendengar para penyair, ahli-ahli pidato membacakan sajak-sajak dan pidato-pidato dengan keluarganya dulu di pekan sekitar Mekah selama bulan-bulan suci, maka dia juga telah mengenal erti memegang senjata, ketika dia mendampingi bapa-bapa saudaranya dalam Perang Fijar. Dan Perang Fijar itulah di antaranya yang telah menimbulkan dan ada sangkut-pautnya dengan peperangan di kalangan kabilah-kabilah Arab. Dinamakan Al-Fijar [4] ini kerana ia terjadi dalam bulan-bulan suci, pada kabilah-kabilah seharusnya tidak boleh berperang. Pada waktu itulah pekan-pekan dagang diadakan di 'Ukaz, yang terletak di antara Ta'if dengan Nakhla dan antara Majanna dengan Dhu'l-Majaz, tidak jauh dari' Arafat. Mereka di sana saling tukar menukar perdagangan, berlumba dan berdiskusi, sesudah itu kemudian berziarah ke tempat berhala-berhala mereka di Ka'bah. Pekan 'Ukaz adalah pekan yang paling terkenal di antara pekan-pekan Arab lain. Di tempat itu penyair-penyair terkemuka membacakan sajak-sajaknya yang terbaik, di tempat itu Quss (bin Sa'ida) berpidato dan di tempat itu pula orang-orang Yahudi, Nasrani dan penyembah-penyembah berhala masing-masing mengemukakan pandangan dengan bebas, sebab bulan itu bulan suci.

Akan tetapi Barradz bin Qais dari kabilah Kinana tidak lagi menghormati bulan suci itu dengan mengambil kesempatan membunuh 'Urwa ar-Rahhal bin' Utba dari kabilah Hawazin. Kejadian ini disebabkan oleh kerana Nu'man bin'l-Mundhir setiap tahun mengirimkan sebuah kafilah dari Hira ke 'Ukaz membawa muskus, dan sebagai gantinya akan kembali dengan membawa kulit haiwan, tali, kain tenun sulam Yaman. Tiba-tiba Barradz tampil sendiri dan membawa kafilah itu ke bawah pengawasan kabilah Kinana. Demikian juga 'Urwah lalu tampil pula sendiri dengan melintasi jalan Najd menuju Hijaz.

Adapun pilihan Nu'man terhadap 'Urwah (Hawazin) ini telah menimbulkan kemarahan Barradz (Kinana), yang kemudian mengikutinya dari belakang, lalu membunuhnya dan mengambil kabilah itu. Sesudah itu kemudian Barradz memberitahu kepada Basyar bin Abi Hazim, bahawa pihak Hawazin akan menuntut balas kepada Quraisy. Pihak Hawazin akan menyusul Quraisy sebelum masuknya bulan suci. Maka terjadilah perang antara mereka itu. Pihak Quraisy mundur dan menggabungkan diri dengan pihak yang menang di Mekah. Pihak Hawazin memberi peringatan bahawa tahun depan perang akan diadakan di 'Ukaz.

Perang demikian ini berlangsung antara kedua-dua belah pihak selama empat tahun terus-menerus dan berakhir dengan suatu perdamaian model pedalaman, iaitu yang menderita korban manusia lebih kecil harus membayar ganti sebanyak jumlah kelebihan korban itu kepada pihak lain. Maka dengan demikian Quraisy telah membayar pampasan sebanyak dua puluh orang Hawazin. Nama Barradz ini kemudian menjadi peribahasa yang menggambarkan kemalangan. Sejarah tidak memberikan kepastian mengenai umur Muhammad pada waktu Perang Fijar itu terjadi. Ada yang mengatakan umurnya lima belas tahun, ada juga yang mengatakan dua puluh tahun. Mungkin sebab perbezaan ini kerana perang tersebut berlangsung selama empat tahun. Pada tahun permulaan dia berumur lima belas tahun dan pada tahun berakhirnya perang itu dia sudah memasuki umur dua puluh tahun.

Juga orang berselisih pendapat mengenai tugas yang dipegang Muhammad dalam perang itu. Ada yang mengatakan tugasnya mengumpulkan anak-anak panah yang datang dari pihak Hawazin lalu di berikan kepada bapa-bapa saudaranya untuk dibalikkan kembali kepada pihak lawan. Yang lain lagi berpendapat, bahawa dia sendiri yang ikut melemparkan panah. Tetapi, selama peperangan tersebut telah berlangsung sampai empat tahun, maka kebenaran kedua pendapat itu dapat saja diterima. Mungkin pada mulanya dia mengumpulkan anak-anak panah itu untuk bapa saudaranya dan kemudian dia sendiri pun ikut melemparkan. Beberapa tahun sesudah kenabiannya Rasulullah menyebutkan tentang Perang Fijar itu dengan berkata: "Aku mengikutinya bersama dengan bapa-bapa saudaraku, juga ikut melemparkan panah dalam perang itu; sebab aku tidak suka kalau tidak juga aku ikut melaksanakan."

Sesudah Perang Fijar Quraisy merasakan sekali bencana yang menimpa mereka dan menimpa Mekah seluruhnya, yang disebabkan oleh perpecahan, sesudah Hasyim dan 'Abdul-Muttalib wafat, dan masing-masing pihak berkeras mahu jadi yang berkuasa. Kalau tadinya orang-orang Arab itu menjauhi, sekarang mereka berebut mahu berkuasa. Atas anjuran Zubair bin 'Abdul-Muttalib di rumah Abdullah bin Jud'an diadakan pertemuan dengan mengadakan jamuan makan, dihadiri oleh keluarga-keluarga Hasyim, Zuhra dan Taym. Mereka sepakat dan berjanji atas nama Tuhan Maha Pembalas, bahawa Tuhan akan berada di pihak yang teraniaya sampai orang itu ditolong. Muhammad menghadiri pertemuan itu yang oleh mereka disebut Hilf'l-Fudzul. Beliau berkata, "Aku tidak suka menukar fakta yang kuhadiri di rumah Ibn Jud'an itu dengan jenis unta yang baik. Kalau sekarang aku diajak pasti kukabulkan."

Seperti kita lihat, Perang Fijar itu berlangsung hanya beberapa hari sahaja setiap tahun. Selebihnya masyarakat Arab kembali ke pekerjaannya masing-masing. Pahit-getirnya peperangan yang tergores dalam hati mereka tidak akan menghalang mereka daripada kegiatan perdagangan, menjalankan riba, minum minuman keras serta pelbagai macam kesenangan dan hiburan sepuas-puasnya

Adakah juga Muhammad ikut serta dengan mereka dalam hal ini? Atau sebaliknya perasaannya yang halus, kemampuannya yang terbatas serta asuhan bapa saudaranya membuatnya jadi menjauhi semua itu, dan melihat segala kemewahan dengan mata bernafsu tapi tidak mampu? Bahawasanya dia telah menjauhi semua itu, sejarah cukup menjadi saksi. Yang terang dia menjauhi itu bukan kerana tidak mampu mencapainya. Mereka yang tinggal di pinggiran Mekah, yang tidak mempunyai mata pencarian, hidup dalam kemiskinan dan kekurangan, ikut hanyut juga dalam hiburan itu. Bahkan di antaranya lebih gila lagi dari pemuka-pemuka Mekah dan bangsawan-bangsawan Quraisy dalam menghanyutkan diri ke dalam kesenangan demikian itu.

Akan tetapi jiwa Muhammad adalah jiwa yang ingin melihat, ingin mendengar, ingin mengetahui. Dan seolah tidak ikut sertanya dia belajar seperti yang dilakukan teman-temannya dari anak-anak bangsawan menyebabkan dia lebih keras lagi ingin memiliki pengetahuan. Kerana jiwanya yang besar, yang kemudian pengaruhnya nampak berkilauan menerangi dunia, jiwa besar yang selalu mendambakan kesempurnaan, itu jugalah yang menyebabkan dia menjauhi berfoya-foya, yang biasa menjadi sasaran utama pemduduk Mekah. Dia mendambakan cahaya hidup yang akan lahir dalam segala manifestasi kehidupan, dan yang akan dicapainya hanya dengan dasar kebenaran. Kenyataan ini dibuktikan oleh jolokan yang diberikan kepadanya dan pembawaan yang ada dalam dirinya. Itu sebabnya, sejak masa dia kanak-kanak gejala kesempurnaan, kedewasaan dan kejujuran hati sudah nampak, sehingga penduduk Mekah semua memanggilnya Al-Amin (artinya 'yang boleh dipercayai').

Menggembala Kambing

Yang menyebabkan dia lebih banyak merenung dan berfikir, ialah pekerjaannya menggembalakan kambing sejak dalam masa mudanya itu. Dia menggembalakan kambing keluarganya dan kambing penduduk Mekah. Dengan rasa gembira dia menyebutkan saat-saat yang dialaminya pada waktu menggembala itu. Di antaranya dia berkata: "Nabi-nabi yang diutus Allah itu gembala kambing." Dan katanya lagi: "Musa diutus, dia gembala kambing, Daud diutus, dia gembala kambing, aku diutus, juga gembala kambing keluargaku di Ajyad."

Gembala kambing yang berhati terang itu, dalam udara yang bebas lepas di siang hari, dalam kemilau bintang bila malam sudah bertakhta, menemukan suatu tempat yang serasi untuk pemikiran dan permenungannya. Dia menerawang dalam suasana alam demikian itu, kerana dia ingin melihat sesuatu di balik semua itu. Dalam pelbagai manifestasi alam dia mencari suatu penafsiran tentang penciptaan semesta ini. Dia melihat dirinya sendiri. Kerana hatinya yang terang, jantungnya yang hidup, dia melihat dirinya tidak terpisah dari alam semesta itu. Bukankah juga dia menghirup udaranya, dan kalau tidak demikian bererti kematian? Bukankah dia dihidupkan oleh sinar matahari, bermandikan cahaya bulan dan kehadirannya berhubungan dengan bintang-bintang dan dengan seluruh alam? Bintang-bintang dan semesta alam yang nampak membentang di depannya, berhubungan satu dengan yang lain dalam susunan yang sudah ditentukan, matahari tiada seharusnya dapat mengejar bulan atau malam akan mendahului siang. Apabila kumpulan kambing yang ada di depan Muhammad itu memintakan kesedaran dan perhatiannya supaya jangan ada serigala yang akan menerkam kambing biri-biri itu, jangan sampai - selama tugasnya di pedalaman itu - ada kambing yang sesat, maka kesedaran dan kekuatan apakah yang menjaga susunan alam yang begitu kuat ini ?

Pemikiran dan permenungan demikian membuat dia jauh dari segala pemikiran nafsu manusia duniawi. Dia berada lebih tinggi dari itu sehingga adanya hidup palsu yang sia-sia akan nampak jelas di hadapannya. Oleh kerana itu, dalam perbuatan dan tingkah-lakunya Muhammad terhindar dari segala penodaan nama yang sudah diberikan kepadanya oleh penduduk Mekah, dan memang begitu adanya: Al-Amin.

Semua ini dibuktikan oleh keterangan yang diceritakannya kemudian, bahawa ketika itu dia sedang menggembala kambing dengan seorang kawannya. Pada suatu hari hatinya berkata, bahawa dia ingin bermain-main seperti pemuda-pemuda lain. Hal ini dikatakannya kepada kawannya pada suatu senja, bahawa dia ingin turun ke Mekah, bermain-main seperti para pemuda di gelap malam, dan dimintanya kawannya menjagakan kambing ternaknya itu. Tetapi sesampainya di hujung Mekah, perhatiannya tertarik pada suatu pesta perkahwinan dan dia hadir di tempat itu. Tetapi tiba-tiba dia tertidur. Pada malam berikutnya datang lagi dia ke Mekah, dengan maksud yang sama. Terdengar olehnya irama muzik yang indah, seolah turun dari langit. Dia duduk mendengar. Lalu tertidur lagi sampai pagi.

Jadi apakah gerangan pengaruh segala daya penarik Mekah itu terhadap kalbu dan jiwa yang begitu padat oleh fikiran dan renungan? Gerangan apa pula ertinya segala daya penarik yang kita gambarkan itu yang juga tidak disenangi oleh mereka yang martabatnya jauh di bawah Muhammad?

Kerana itu dia terhindar dari cacat. Yang sangat terasa benar nikmatnya, ialah bila dia sedang berfikir atau merenung. Dan kehidupan berfikir dan merenung serta kesenangan bekerja sekadarnya seperti menggembalakan kambing, bukanlah suatu cara hidup yang membawa kekayaan berlimpah-limpah baginya. Dan memang tidak pernah Muhammad mempedulikan hal itu. Dalam hidupnya dia memang menjauhkan diri dari segala pengaruh material. Apa gunanya dia mengejar itu padahal sudah menjadi bawaannya dia tidak pernah tertarik? Yang diperlukan dalam hidup ini asal dia masih dapat menyambung hidupnya.

Bukankah dia juga yang pernah berkata: "Kami adalah golongan yang hanya makan bila merasa lapar, dan bila sudah makan tidak sampai kenyang?" Bukankah dia juga yang sudah dikenal orang hidup dalam kekurangan selalu dan minta supaya orang bergembira menghadapi penderitaan hidup? Cara orang mengejar harta dengan serakah hendak memenuhi hawa nafsunya, sama sekali tidak pernah dikenal Muhammad selama hidupnya. Kenikmatan jiwa yang paling besar, ialah merasakan adanya keindahan alam ini dan mengajak orang merenungkannya. Suatu kenikmatan besar, yang hanya sedikit sahaja dikenali orang. Kenikmatan yang dirasakan Muhammad sejak masa pertumbuhannya yang mula-mula yang telah diperlihatkan dunia sejak masa mudanya adalah kenangan yang selalu hidup dalam jiwanya, yang mengajak orang hidup tidak hanya mementingkan dunia. Ini bermula sejak kematian ayahnya ketika dia masih dalam kandungan, kemudian kematian ibunya, kemudian kematian datuknya. Kenikmatan demikian ini tidak memerlukan harta kekayaan yang besar, tetapi memerlukan suatu kekayaan jiwa yang kuat. sehingga orang dapat mengetahui: bagaimana dia memelihara diri dan menyesuaikannya dengan kehidupan batin.

Andaikata pada itu Muhammad dibiarkan saja begitu, tentu takkan tertarik dia kepada harta. Dengan keadaannya itu dia akan tetap bahagia, seperti halnya dengan gembala-gembala pemikir, yang telah menggabungkan alam ke dalam diri mereka dan telah pula mereka berada dalam pelukan kalbu alam.

Akan tetapi Abu Talib bapa saudaranya - seperti sudah kita sebutkan tadi-hidup miskin dan ramai anak. Dari anak saudaranya itu ddia mengharapkan akan dapat memberikan tambahan rezeki yang akan diperolehi dari pemilik-pemilik kambing yang kambingnya digembalakan. Suatu waktu dia mendengar berita, bahawa Khadijah binti Khuwailid mengupah orang-orang Quraisy untuk menjalankan perniagaannya. Khadijah adalah seorang wanita pedagang yang kaya dan dihormati, mengupah orang yang akan memperdagangkan hartanya itu. Berasal dari Keluarga (Banu) Asad, dia bertambah kaya selepas dua kali dia kahwin dengan keluarga Makhzum, sehingga dia menjadi seorang penduduk Mekah yang terkaya. Dia menjalankan dagangannya itu dengan bantuan ayahnya Khuwailid dan beberapa orang kepercayaannya. Beberapa pemuka Quraisy pernah melamarnya, tetapi ditolaknya. Dia yakin mereka itu melamar hanya kerana memandang hartanya. Sungguhpun begitu usahanya itu terus dikembangkan.

Ke Suria Membawa Dagangan Khadijah

Tatkala Abu Talib mengetahui, bahawa Khadijah sedang menyiapkan perdagangan yang akan dibawa dengan kafilah ke Syam, dia memanggil anak saudaranya - yang ketika itu sudah berumur dua puluh lima tahun.

"Anakku," kata Abu Talib, "aku bukan orang berpunya. Keadaan makin menekan kita juga. Aku mendengar, bahawa Khadijah mengupah orang dengan dua ekor anak unta. Tapi aku tidak setuju kalau akan mendapat upah seperti itu juga. Setujukah kau kalau hal ini ku bicarakan dengan dia? "

"Terserah," jawab Muhammad.

Abu Talib pun pergi melawat Khadijah.

"Khadijah, setujukah kau mengupah Muhammad?" tanya Abu Talib. "Aku mendengar engkau mengupah orang dengan dua ekor anak unta tapi buat Muhammad aku tidak setuju kurang dari empat ekor."

"Kalau permintaanmu itu buat orang yang jauh dan tidak ku sukai akan kukabulkan, apalagi buat orang yang dekat dan ku sukai." Demikian jawab Khadijah.

Kembalilah bapa saudara itu kepada anak saudaranya dengan menceritakan peristiwa itu. "Ini adalah rezeki yang dilimpahkan Tuhan kepadamu," katanya.

Setelah mendapat nasihat bapa-bapa saudaranya Muhammad pergi dengan Maisarah, hamba Khadijah. Dengan mengambil jalan padang pasir kafilah itu pun berangkat menuju Syam, dengan melalui Wadi'l-Qura, Madyan dan Diar Thamud serta daerah-daerah yang dulu pernah dilalui Muhammad dengan bapa saudaranya Abu Talib tatkala umurnya baru dua belas tahun.

Perjalanan sekali ini telah menghidupkan kembali kenangannya tentang perjalanan yang pertama dulu itu. Hal ini menambah dia lebih banyak bermenung, lebih banyak berfikir tentang segala yang pernah dilihat, yang pernah didengar sebelumnya: tentang peribadatan dan kepercayaan-kepercayaan di Syam atau di pasar-pasar sekeliling Mekah.

Setelah sampai di Bushra dia bertemu dengan agama Nasrani Syam. Dia bercakap dengan ahli-ahli ibadat dan pendeta-pendeta agama itu, dan seorang rahib Nestoria juga mengajaknya bicara. Barangkali dia atau rahib-rahib lain pernah juga mengajak Muhammad berdebat tentang agama Isa, agama yang waktu itu sudah berpecah-belah menjadi beberapa golongan dan mazhab-mazhab.

Dengan kejujuran dan kemampuannya ternyata Muhammad mampu benar memperdagangkan barang-barang Khadijah, dengan cara perdagangan yang lebih banyak menguntungkan daripada yang dilakukan orang lain sebelumnya. Demikian juga dengan watak yang manis dan perasaannya yang luhur dia dapat menarik kecintaan dan penghormatan Maisarah kepadanya. Setelah tiba waktunya mereka akan kembali, mereka membeli segala barang dagangan dari Syam yang kira-kira akan disukai oleh Khadijah.

Dalam perjalanan kembali kafilah itu singgah di Marr'-z-Zahran. Ketika itu Maisarah berkata: "Muhammad, cepat-cepatlah kau menemui Khadijah dan ceritakan pengalamanmu. Dia akan mengerti hal itu."

Muhammad berangkat dan tengah hari sudah sampai di Mekah. Ketika itu Khadijah sedang berada di ruang atas. Bila dilihatnya Muhammad di atas unta dan sudah memasuki halaman rumahnya. dia turun dan menyambutnya. Didengarnya Muhammad bercerita dengan bahasa yang begitu fasih tentang perjalanannya serta keuntungan yang diperolehinya, demikian juga mengenai barang-barang Syam yang dibawanya. Khadijah gembira dan tertarik sekali mendengarkannya. Sesudah itu Maisarah pun datang pula, lalu bercerita juga tentang Muhammad, betapa halusnya wataknya, betapa tinggi budi-pekertinya. Hal ini menambah pengetahuan Khadijah di samping yang sudah diketahuinya sebagai pemuda Mekah yang besar jasanya.

Perkahwinannya Dengan Khadijah

Dalam masa yang singkat saja kegembiraan Khadijah ini telah berubah menjadi rasa cinta, sehingga dia - yang sudah berusia empat puluh tahun, dan yang sebelum itu telah menolak lamaran pemuka-pemuka dan pembesar-pembesar Quraisy - tertarik juga hatinya mengahwini pemuda ini, yang tutur kata dan pandangan matanya telah menembusi kalbunya. Pernah dia membicarakan hal itu kepada saudaranya yang perempuan - kata sebuah sumber, atau dengan sahabatnya, Nufaisa bint Mun-ya - kata sumber lain. Nufaisa pergi merisik Muhammad sambil bertanya: "Kenapa kau tidak mahu kahwin?"

"Aku tidak punya apa-apa sebagai persiapan perkahwinan," jawab Muhammad.

"Kalau itu disediakan dan yang melamarmu itu cantik, berharta, terhormat dan memenuhi syarat, tidakkah akan kau terima?"

"Siapa itu?"

Nufaisa menjawab hanya dengan sepatah kata: "Khadijah."

"Dengan cara bagaimana?" tanya Muhammad. Sebenarnya dia sendiri berkenan kepada Khadijah sekali pun hati kecilnya belum lagi memikirkan soal perkahwinan, mengingat Khadijah sudah menolak permintaan hartawan-hartawan dan bangsawan-bangsawan Quraisy.

Setelah atas soalan itu Nufaisa berkata: "Serahkan hal itu kepadaku," maka dia pun menyatakan persetujuannya. Tak lama kemudian Khadijah menentukan waktunya yang kelak akan dihadiri oleh bapa-bapa saudara Muhammad supaya dapat bertemu dengan keluarga Khadijah untuk menentukan hari perkahwinan.

Kemudian perkahwinan itu berlangsung dengan diwakili oleh bapa saudara Khadijah, Umar bin Asad, sebab Khuwailid ayahnya sudah meninggal sebelum Perang Fijar. Hal ini dengan sendirinya telah membantah apa yang biasa dikatakan, bahawa ayahnya ada tapi tidak bersetuju dengan perkahwinan itu dan bahawa Khadijah telah memberikan minuman keras sehingga dia mabuk dan dengan begitu perkahwinannya dengan Muhammad kemudian dilangsungkan.

Di sinilah bermulanya lembaran baru dalam kehidupan Muhammad. Dimulainya kehidupan itu sebagai suami-isteri dan ibu-bapa, suami-isteri yang harmoni dan bahagia dari kedua-dua belah pihak, dan sebagai ibu-bapa yang telah merasakan pedihnya kehilangan anak sebagaimana pernah dialami Muhammad yang telah kehilangan ibu-bapa semasa dia masih kecil.


Nota kaki:

[1] Muhammad atau Mahmud ertinya yang terpuji (A).
[2] Abwa 'ialah sebuah desa antara Medinah dengan Juhfa, jaraknya 23 batu (37 km) dari Medinah.

[3] Al-Mu'allaqat nama yang diberikan kepada tujuh buah kumpulan puisi Arab pra Islam yang dianggap terbaik, oleh tujuh penyair: Imr'l-Qais, Tarafa, Zuhair, Labid, 'Antara,' Amr ibn Kulthum dan Harith ibn Hilizza . Mu'allaqat bererti 'yang digantungkan' yakni sajak-sajak yang ditulis dengan tinta emas (almudhahhab) di atas kain lina (A).
[4] Pelanggaran ketentuan yang berlaku (A).

[Sejarah Hidup Muhammad - oleh: Muhammad Husain Haekal]


«
Next
Catatan Terbaru
»
Previous
Catatan Lama


Artikel berkaitan:

Tiada ulasan:

Leave a Reply

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Alam sekitar (10) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (48) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (112) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (2) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (24) Dunia Hiburan (127) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (346) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (52) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (26) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (91) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (35) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (57) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (191) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (59) Kristologi (47) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (5) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (49) Paranormal (28) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (19) Perubatan Islam (5) Polis (9) Politik (130) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (101) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (5) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (42) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (241) Teknologi Nano (7) Teori konspirasi (163) Time lapse (39) Timur Tengah (175) Tumbuhan (36) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (291) Wallpaper Islamik (39) Yahudi (10) Zionis (20)