Ahad, 5 Jun 2011

Umno pentingkan rakyat, PAS pentingkan parti - kata Muhyiddin

"Umno melihat kepentingan rakyat secara keseluruhan manakala PAS hanya fokus pada kepentingan parti,” begitulah kata-kata Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin seperti yang dilaporkan dalam Malaysian Insider.

Umno seringkali mempelawa PAS untuk bergabung dengan mereka akhir-akhir ini. Nampak macam bagus, tetapi ntah ada udang atau hantu di sebalik batu, kita pun tak pasti. Cuma rasanya PAS sudah belajar dari pengalamannya yang lampau setelah pernah tertipu dengan taktik pujuk rayu Umno yang sedemikian rupa.

Bagaimana mungkin sebuah parti yang memperjuangkan ISLAM, akan menyertai parti yang memperjuangkan BANGSA? Nama UMNO pun ialah 'United Malay National Organnisation' , dan perjuangan utama mereka ialah untuk memartabatkan bangsa Melayu. Maka bagaimana dengan bangsa lain yang beragama Islam? Bukankah Cina, India atau apa saja bangsa yang beragama Islam adalah saudara kita juga?

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin berucap bahawa pendirian partinya akan masih lagi bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi Pilihanraya Umum 13 nanti.

Dan saya harap Tok Guru Haji Abdul Hadi tidak akan terpengaruh dengan taktik UMNO yang nampaknya kian terdesak dan semakin tersepit itu.

Bagi saya UMNO boleh untuk bergabung dengan PAS, tetapi sebaiknya UMNO perlu mempertimbangkan untuk secara sedikit demi sedikit nanti cuba untuk menegakkan Undang-undang Islam. Tidak perlu dilaksanakan dalam masa sehari, itu memang tidak masuk akal, tetapi sekurang-kurangnya mereka berminat dan mahu cuba melaksanakannya secara beransur-ansur.

Buat permulaan, seperti agenda PAS yang baru juga iaitu untuk ke arah negara yang 'berkebajikan'. Berkebajikan pun mesti diterapkan unsur-unsur Islamik dan cuba menolak dan menghakis budaya-budaya luar yang tidak sihat. Kerana negara-negara barat pun membuat kebajikan kepada rakyatnya.

Di samping kerajaan mesti menyediakan satu ruang dalam media televisyen dan radio terutamanya, untuk menerangkan tentang betapa bagus dan terbaiknya Undang-undang Islam untuk dilaksanakan. Beri pemahaman kepada rakyat yang majoritinya masih belum faham dengan baik lagi tentang Undang-undang dari Allah itu. Akibat dari tidak faham itulah yang menyebabkan segelintirnya takut dan tidak yakin dengan Undang-undang yang telah dirangka oleh Pencipta kita sendiri itu.


Adakah PAS pentingkan parti dan UMNO pentingkan rakyat?

Tentang siapa pentingkan parti dan siapa pentingkan rakyat ini bukan senang mahu diukur, kerana masing-masing peribadi dalam PAS dan UMNO bukannya sama belaka hati dan niatnya. Mungkin ada juga yang berniat baik, dan tidak mustahil ada yang berkepentingan peribadi dan parti semata-mata.

Untuk mengukur secara kasar mungkin boleh, iaitu kita lihat saja apa yang dilakukan oleh UMNO dan PAS selama ini. Kerajaan BN yang terdiri dari UMNO itu membebankan rakyat atau tidak? Melaksakan apa yang lebih penting dari yang kurang penting atau tidak?

Dan adakah PAS pentingkan parti sehingga mengenepikan agama dan juga rakyat? Sedangkan kita tahu pimpinan-pimpinan PAS rata-ratanya adalah ulama' yang faham Islam dan tawadhu', walaupun sekarang ini pimpinan PAS sudah mula diberi kedudukan kepada para professional pula. Akan tetapi para professional itu nampaknya jenis mendengar kata ulama' dan mahu membangun bersama Islam juga. Bukan seperti kebanyakan pimpinan dalam BN yang melawan kata ulama' dan tidak minat untuk menegakkan Undang-undang Islam.

Maka adakah PAS pentingkan rakyat atau tidak, sebenarnya masih tidak dapat dijawab dengan sempurna lagi. Untuk mengetahuinya dengan sempurna, sebaiknya beri dulu peluang kepada PAS untuk memerintah Malaysia, di saat itu nanti kita boleh membuat penilaian insyaAllah.

Setakat beri peluang memerintah peringkat negeri, itu sebenarnya masih belum boleh dikira sangat, kerana pimpinan utama masih di tangan BN. Apa lagi kerajaan BN yang ada pada hari ini suka sangat memanipulasikan keadaan dan memutar belitkan fakta dan memburuk-burukan pihak pembangkang.


Adakah perlu PAS bergabung dengan UMNO untuk menghadapi Pilihanraya Umum 13?

Mungkin tidak. Mungkin selepas pilihanraya nanti PAS boleh beri pertimbangan. Tetapi saya rasa, jika sekiranya Pilihanraya Umum 13 nanti dimenangi oleh BN juga , payah dah selepas ini UMNO akan beri tawaran untuk bergabung. Mungkin dekat Pilihanraya Umum ke 14 akan datang pula akan keluar tawaran sedemikian  :D

Dalam akhbar Harakah hari ini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ada berkata, "Jalan menuju Putrajaya makin jelas." Ini kerana beliau yakin dengan kabinet baru PAS yang baru dilakar dalam muktamar ke 57 baru-baru ini.

"Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya," katanya.

Betul juga kata Tok Guru itu, kerana jika kerajaan BN menggunakan taktik lama yang kurang sihat, seperti memanipulasikan polis dan tentera, pengundi-penggundi hantu, rasuah sana sini terutamanya orang-orang kampung dan orang-orang asli, dan sebagainya, maka beratlah untuk Pakatan Rakyat memenangi Pilihanraya, walaupun hakikatnya mungkin lebih ramai pengundi yang mengundi Pakatan Rakyat dari Barisan Nasional.

Tentang kabinet baru PAS itu, saya kurang selesa sedikit dengan kabinet baru ini, walaupun Tok Guru Nik Abdul Aziz sendiri sudah suka. Bagi saya, perlu diangkat lagi ulama'-ulama' seperti Dato' Dr Harun Din, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, dan beberapa lagi. Kerana ulama-ulama itu berpengetahuan luas dalam agama dan mempunyai karisma serta ada pengaruh juga terhadap masyarakat Islam khususnya.

Dan tidak lupa, saya cadangkan naikkan juga Ustaz Azhar Idrus dalam menerajui parti. InsyaAllah mereka-mereka ini ada potensi besar jika diberikan peluang. Cuba lah kalau tak percaya. :)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.