BANDAR BAHARU 16 Jun - Seorang lelaki dan anak perempuannya maut setelah motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Serdang-Selama, di Kampung Terap Batu 22 di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, ASP Helmi Ariff, berkata kemalangan ngeri itu berlaku kira-kira 7.10 pagi tadi ketika mangsa Md Daud Taib, 62, dalam perjalanan dari Kampung Sungai Air Hitam, Selama ke Pekan Serdang untuk menghantar anaknya Siti Hajar, 14, pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Serdang, dekat sini.
"Sebuah lori pasir kosong dalam perjalanan dari arah Serdang ke Selama memotong sebuah lagi lori dari arah sama lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa yang membawa anaknya menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting di atas jalan raya dan digilis lalu diseret lori berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserah kepada waris berkenaan untuk dikebumikan di kampung mereka.
Sementara itu, Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan, yang menghubungi BERNAMA berkata pihaknya menghulurkan sedikit sumbangan untuk pengkebumian mayat kedua-dua beranak berkenaan.
Helmi juga menyarankan pihak berkenaan supaya menjadualkan laluan puluhan lori pengangkut pasir dan tanah merah di sekitar daerah itu.
Katanya, pemandu lori berkenaan bukan sahaja memandu laju tetapi juga secara tidak berhemah dan besar kemungkinan lebih ramai lagi pengguna jalan raya di daerah itu akan menjadi mangsa.
"Sebilangan mangsa kebanyakannya pelajar sekolah di daerah ini menjadi mangsa pemandu lori pasir dan tanah merah yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.
[BERNAMA]
* Update 17 Jun 2011
Laporan dari Berita Harian hari ini pula, dua adik beradik mati digilis treler dalam kemalangan di Kuala Trong dekat Taiping semalam.
Norshafikah Abdul Rahim, 15, dan adiknya Mohd Azizi Abdul Rahim, 5, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada 6.15 petang.
Nahas berlaku semasa Mahmud Din, 75, bersama Mohd Azizi, sedang dalam perjalanan balik ke rumah selepas mengambil Norshafikah dari sekolah.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak berkata, motosikal itu tergesel treler berkenaan di satu persimpangan menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak dan kedua-dua beradik itu digelek kenderaan berkenaan.
Katanya, Mahmud dimasukkan ke Hospital Taiping dan keadaannya dilaporkan stabil. Pemandu treler berusia 40-an itu ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)