Berita Terkini

Pendapat mereka berkenaan isu nama Allah


Saya secara peribadi berpendapat bahawa penggunaan nama Allah pada majalah Kristian itu tidak membawa masalah jika masyarakat Islam semua tahu selok-belok ilmu Kristologi. Ini kerana dalam agama Kristian, Tuhan mereka ialah Allah juga. Cuma sayangnya, hampir semua mazhab mereka melainkan Unitarian menganggap bahawa Yesus itu Tuhan atau anak Allah. Itu adalah satu perbuatan menyekutukan Allah ataupun Syirik.

Daripada pengalaman-pengalaman saya berdialog dengan umat Kristian di Malaysia dan Indonesia, sememangnya dari dulu lagi mereka menggunakan perkataan Allah dalam AlKitab mereka. Cuma mungkin penggunaan dalam majalah mereka di Malaysia ini akan menimbulkan kekeliruan kepada mereka-mereka yang tidak ada ilmu dalam bidang ini.

Maka bagi saya, adalah satu keperluan bahawa ilmu Kristologi ini dipelajari oleh semua Muslim bagi menghadapi dakyah-dakyah dari pihak Kristian. InsyaAllah, jika ilmu agama Islam diperkemaskan terlebih dahulu di dalam dada, dan kemudian mempelajari lagi ilmu Kristologi , akan dapat menambah dan memantapkan iman kita kepada si Dia.

Kerana kita akan semakin nampak KEBENARAN yang dijelaskan dalam AlQuran dan akan semakin terbongkar kepada kita kebathilan-kebathilan dalam AlKitab yang telah banyak diubah suai. Dan lagi kita akan nampak bahawa semua ajaran agama ini asalnya satu , iaitu mentauhidkan Allah S.w.t, tetapi telah berubah akibat peredaran zaman dan pengaruh-pengaruh dari manusia yang tidak bertanggung jawab.

Ajaran Nabi Isa AlMasih pada asalnya memang menTauhidkan Allah dan TIDAK mengubah ajaran dalam kitab Taurat (Perjanjian Lama). Tetapi sayang, ajaran itu telah diubah suai sendiri oleh umatnya yang dipelopori oleh Paulus dan kerajaan Rome serta orang-orang Yahudi.



PAS adakan mesyuarat khas bincang isu nama Allah


Harakah , 3 januari 2009 - PAS memanggil mesyuarat khas Lajnah Politik, iaitu lajnah paling berpengaruh dalam parti itu bagi membincangkan beberapa perkembangan terbaru termasuk isu penggunaan nama Allah oleh agama Kristian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, mesyuarat itu akan diadakan malam nanti di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

"Kita turut menjemput AJK PAS Pusat dalam mesyuarat khas ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mesyuarat ini dijangka membincangkan secara mendalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah milik aktivis Kristian, Herald, untuk menggunakan nama Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

Sejak keputusan itu dibuat, kelihatan pemimpin PAS tidak seragam pandangan mereka dalam isu ini.

Mesyuarat ini dijangka akan memberikan kata putus apakah pendirian bersama parti Islam itu dalam isu ini.



Nik Aziz bimbang perkataan Allah disalahguna


Harakah , 3 januari 2009 - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Menteri Besar Kelantan itu melahirkan rasa bimbang kalimah Allah kemungkinan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, "biar pun penggunaan kalimah Allah mengikut hukum bagi pengamal agama Samawi, ia tidak menjadi satu kesalahan, namun saya takut ia disalahgunakan, itu yang menjadi kebimbangan sebenarnya,” katanya selepas majlis perasmian pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap pihak berwajib seperti persatuan ulama menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi mencari penyelesaian isu tersebut.

“Melalui perbincangan terbabit diharap dapat meredakan kekeliruan masyarakat. Selain itu falsafah Islam dapat dikembangkan melalui majlis-majlis seumpama itu,” katanya.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau tiada halangan jika dipanggil menjadi ahli panel dalam majlis rundingan tersebut bagi menjelaskan keadaan sebenar.



Kalimah Allah: KDN akan rayu ke mahkamah lebih tinggi


Berita Harian , 3 januari 2009 - "Kerajaan menyedari bahawa isu agama adalah perkara yang sangat sensitif di negara ini. Memandangkan isu ini membabitkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah menerusi undang-undang, maka pihak Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji semula perkara ini dan mengemukakan rayuan secepat mungkin ke mahkamah yang lebih tinggi," kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, semua pihak diminta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung mana-mana pihak serta boleh menjejaskan kehidupan masyarakat berbilang kaum serta menimbulkan masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara sementara menunggu keputusan rayuan itu.

"Dalam menangani isu ini, jangan ada pihak yang bertindak di luar peraturan dan undang-undang kerana kita di negara ini mungkin melalui pelbagai cabaran dan ujian, dan segala halangan serta masalah dapat kita tangani dengan menggunakan akal yang waras," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, KDN akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara dan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta menggunakan sumber dan kekuatan undang-undang termasuk Perlembagaan bagi memastikan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi terus terjamin.

Beliau berkata, KDN akan meneliti dan mengkaji semua maklum balas dan pandangan sebelum melihat kemungkinan meneliti peruntukan undang-undang sedia ada.



Bertindak segera


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat isu itu sebagai amat bahaya dan perlu diselesaikan segera kerana tidak mahu peristiwa Natrah di Singapura berulang di Malaysia.

"Penggunaan perkataan Allah (dalam majalah Herald-The Catholic Weekly) secara tidak langsung menyebarkan dakyah `Christianity' di kalangan orang Islam yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Perkara ini harus dilihat oleh pengamal undang-undang, sama ada kehakiman mahupun guaman.


"Kita mengharapkan keadilan. Kes ini perlu diteliti bukan saja dari aspek perundangan sivil, tetapi juga perundangan syariah serta maksud tersirat Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam," katanya.

Beliau meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu bimbang dengan implikasi yang timbul berikutan keputusan mahkamah itu dan akan berjuang bagi menentukan kedudukan serta kesucian agama Islam tidak dicemarkan.

"Jika perlu kami akan memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, Wanita Umno juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bagi membincangkan isu itu.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat walau apa pun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Terjemahan 'God' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah 'Tuhan', bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia... tetapi di Semenanjung kita tak pernah dengar pula," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.


Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berharap rayuan segera dilakukan kerana melihat semacam ada satu usaha cuba merobek keadaan sehingga timbul kekeliruan di kalangan umat Islam.

"Ini bukan isu politik, ini isu akidah, tauhid yang umat Islam tidak akan beri respon (maklum balas) senyap terhadap isu ini," katanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, juga berharap kerajaan menyegerakan proses rayuan itu kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan orang bukan Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh meragukan umat Islam.


Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kalimah Allah dalam akidah adalah membabitkan soal tauhid dan isu berkenaan perlu diteliti secara halus dan jika perlu, ada campur tangan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan bagi mengelak suasana tegang dalam masyarakat.

"Jika kalimah Allah digunakan dalam agama Kristian, ia tidak membawa maksud sebenar dalam al-Quran kerana tidak menggambarkan ketauhidan.

"Kita tidak nafi ada istilah yang Allah sebut mengenai penggunaan Allah oleh bukan Islam, contohnya `Kalau kamu tanya mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka kata Allah. Dalam konteks penciptaan memang mereka mengatakan Allah tetapi nilai ketauhidan yang membezakan antara Islam dan bukan Islam," katanya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dari PKR berpendapat keputusan mahkamah berkenaan tidak tepat dan boleh dipertikaikan, malah akan menyebabkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman menggesa kerajaan memfailkan rayuan serta-merta supaya keputusan itu dikaji semula dan melarang mana-mana agama selain Islam menggunakan kalimah Allah.

"Negara telah menikmati suasana kebebasan beragama selama mana Islam menjadi agama rasminya dan semua kaum di negara ini harus menghargainya dengan tidak mencuba menggugatnya dengan bertindak secara bodoh membangkitkan perkara remeh seperti ini," katanya.

Katanya, PPIM bimbang keputusan itu bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen agama umat Islam yang sensitif dengan perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka dan kebimbangan mereka akan nasib keturunan mereka jika perkara ini berterusan.

"Umat Islam mengenal Allah berserta sifatnya sekali dengan ketauhidan yang meliputi ketauhidan rububiah, uluhiah dan asma' wa sifat. Kita percaya Allah yang bercirikan ahadiah dan samadiah.

"Bagaimana mungkin pihak lain merujuk Allah sewenang-wenangnya tanpa melihat semula akan sifat dan ciri-ciri Allah yang sediakala itu? Apakah sifat Allah yang mereka percaya itu? Al-Quran ada menjelaskan bahawa orang Yahudi mempercayai Uzair itu anak Allah dan orang Nasrani pula percaya bahawa Al-Maseh itu anak Allah. Ini jelas bertentangan dengan Allah yang diimani oleh umat Islam," katanya.



PM menghadap Agong


Utusan Malaysia , 3 januari 2009 - Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam tempoh terdekat ini bagi menjelaskan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah yang menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta umat Islam bertenang sambil menyerahkan kepada kerajaan menyelesaikannya menerusi proses undang-undang.

Beliau juga meminta umat Islam terutama kumpulan tertentu mengurangkan aktiviti rapat umum yang boleh memanaskan isu yang amat sensitif itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

‘‘Saya akan melakukan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong nanti dan jika Seri Paduka perkenan, perkara ini akan ditaklimat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuarat akan datang.

2 ulasan:

  1. Kufur jika sokong bukan Islam guna kalimah Allah: Haron Din

    BANGI, Sinar Harian, Rabu 6.1.2010 - Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan The Herald Catholic Weekly boleh membawa kepada kekufuran.

    Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung menyebabkan kekufuran dan syirik.

    Menurutnya, semua pihak termasuk Institusi Raja-raja dan kerajaan digesa supaya mengambil serius isu penggunaan kalimah Allah ini dan mengambil langkah segera dalam menangani masalah ini.

    “Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka. Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur,” katanya dalam sidang media, semalam.

    Beliau berkata, isu ini merupakan isu yang melibatkan agama yang mampu mewujudkan suasana tidak harmoni dalam negara sekiranya penggunaan kalimah tersebut dibenarkan.

    Menurutnya, niat sebenar akhbar tersebut untuk menggunakan kalimah yang sebelum ini hanya digunakan oleh umat Islam diragui kerana agama Kristian sebelum ini hanya menggunakan perkataan God, Jesus dan Lord :dalam kitab Injil mereka.

    “Saya mahu tunjukkan bukti bahawa hanya agama Islam sahaja yang menggunakan kalimah Allah berdasarkan kitab al-Quran dan Injil.

    “Dalam Kitab Injil agama Kristian tidak menggunakan perkataan Allah sebaliknya mereka menggunakan perkataan God, Jesus dan Lord, namun kalau kita merujuk pula dalam al-Quran kalimah Allah digunakan dalam setiap muka surat,” katanya.

    Beliau berkata, umat Islam perlu bersatu membantah usaha ini bagi mengelakkan yang buruk berlaku kepada agama Islam pada masa hadapan.

    BalasPadam
  2. Kufur jika sokong bukan Islam guna kalimah Allah: Haron Din

    BANGI, Sinar Harian, Rabu 6.1.2010 - Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan The Herald Catholic Weekly boleh membawa kepada kekufuran.

    Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung menyebabkan kekufuran dan syirik.

    Menurutnya, semua pihak termasuk Institusi Raja-raja dan kerajaan digesa supaya mengambil serius isu penggunaan kalimah Allah ini dan mengambil langkah segera dalam menangani masalah ini.

    “Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka. Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur,” katanya dalam sidang media, semalam.

    Beliau berkata, isu ini merupakan isu yang melibatkan agama yang mampu mewujudkan suasana tidak harmoni dalam negara sekiranya penggunaan kalimah tersebut dibenarkan.

    Menurutnya, niat sebenar akhbar tersebut untuk menggunakan kalimah yang sebelum ini hanya digunakan oleh umat Islam diragui kerana agama Kristian sebelum ini hanya menggunakan perkataan God, Jesus dan Lord :dalam kitab Injil mereka.

    “Saya mahu tunjukkan bukti bahawa hanya agama Islam sahaja yang menggunakan kalimah Allah berdasarkan kitab al-Quran dan Injil.

    “Dalam Kitab Injil agama Kristian tidak menggunakan perkataan Allah sebaliknya mereka menggunakan perkataan God, Jesus dan Lord, namun kalau kita merujuk pula dalam al-Quran kalimah Allah digunakan dalam setiap muka surat,” katanya.

    Beliau berkata, umat Islam perlu bersatu membantah usaha ini bagi mengelakkan yang buruk berlaku kepada agama Islam pada masa hadapan.

    BalasPadam

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (58) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.