Berita Terkini

Tentera Malaikat bantu Rasulullah dalam Perang Hunain

Pahlawan Muslimin
Ketika Perang Hunain, kaum Muslimin merasa ujub (kagum diri) dengan jumlah mereka yang ramai. Tetapi sekalipun demikian, jumlah yang ramai itu tidak memberikan manfaat apa pun pada mereka, kerana kemudiannya mereka lari mundur, kecuali sebahagian kecil dari mereka yang tetap bertahan bersama Rasulullah S.a.w.

Kemudian Allah menurunkan pertolongan dan bantuan-Nya kepada rasul-Nya dan kaum mukmin yang bersamanya.

Perang Hunain terjadi selepas kemenangan ke atas kota Mekah, iaitu pada bulan Syawal tahun ke lapan Hijrah. Setelah Rasulullah S.a.w selesai membuka kota Mekah dan membenahi urusannya serta majoriti penduduknya telah masuk Islam, lalu Rasulullah S.a.w membebaskan mereka. Maka setelah itu sampailah berita kepada Rasulullah S.a.w bahawa orang-orang Hawazin telah mempersiap bala tentera untuk memeranginya di bawah pimpinan amir mereka (iaitu Malik ibnu Auf an-Nadri) dengan dibantu oleh semua orang Saqif, Bani Jusym, Bani Sa'd ibnu Bakr, dan beberapa puak dari Bani Hilal yang jumlahnya tidak ramai, serta sejumlah orang dari kalangan Bani Amr ibnu Amri.

Mereka datang membawa kaum wanita dan anak-anaknya, dan semua ternak kambing serta ternak lainnya milik mereka, mereka datang dengan segala sesuatunya tanpa ada yang ketinggalan.

Maka Rasulullah S.a.w berangkat untuk menghadapi mereka dengan pasukannya yang terdiri dari orang-orang yang ikut bersamanya dalam membuka kota Mekah. Jumlah mereka terdiri dari sepuluh ribu orang dari kalangan kaum Muhajirin dan kaum Ansar serta kabilah-kabilah Arab lainnya. Dan ikut serta dengan Nabi S.a.w, orang-orang yang telah masuk Islam dari kalangan penduduk Mekah yang disebut sebagai kaum Tulaqa (orang-orang yang dibebaskan), mereka berjumlah dua ribu orang.

Rasulullah S.a.w membawa mereka menuju daerah musuh. Akhirnya mereka bersua di lembah Hunain, iaitu sebuah lembah yang terletak antara Mekah dan Taif. Pertempuran terjadi di lembah itu pada awal pagi.

Mereka menuruni lembah itu, sedangkan orang-orang Hawazin telah memasang perangkap bagi pasukan kaum Muslimin. Ketika kedua pasukan saling berhadapan, maka pasukan Muslim merasa terkejut kerana mereka diserang secara mendadak. Musuh menghujani mereka dengan anak-anak panahnya, dan mereka menghunus pedangnya masing-masing, lalu secara beramai-ramai menyerang pasukan kaum Muslim, sesuai dengan perintah raja mereka.

Menghadapi serangan dari dua arah itu pasukan kaum Muslim terpukul mundur, lalu mereka lari. Sedangkan Rasulullah S.a.w sendiri tetap bertahan seraya mengenderai haiwan baghalnya yang berwarna merah, dan beliau maju terus menuju jantung pertahanan musuh. Bapa saudara kepada Rasulullah (iaitu al-Abbas) memegang kendalinya di sebelah kanan, sedangkan yang memegang kendali di sebelah kirinya adalah Abu Sufyan ibnul Harits ibnu Abdul Muthalib.

Ikut bertahan bersama Rasulullah S.a.w sejumlah orang dari kalangan sahabat-sahabatnya yang jumlahnya lebih kurang seratus orang, tetapi ada yang mengatakan lapan puluh orang.  Di antaranya ialah Abu Bakar, Umar, al-Abbas, Ali, al-Fadl ibnu Abbas, Abu Sufyan ibnul Harits, Aiman ibnu Ummu Aiman, Usamah ibnu Zaid, dan sahabat-sahabat lainnya, semoga Allah melimpahkan redha-Nya kepada mereka.

Kemudian Nabi S.a.w memerintahkan bapa saudaranya (iaitu al-Abbas) yang terkenal mempunyai suara yang keras untuk menyeru dengan kata-kata, "Wahai orang-orang yang telah berbaiah di bawah pohon!" dengan sekeras suaranya. Pohon tersebut ialah pohon tempat Baiatul Ridhwan dilakukan. Kaum Muslim dari kalangan Muhajirin dan Ansar berbaiah kepada Nabi S.a.w di tempat itu, bahawa mereka tidak akan lari meninggalkan Nabi S,a.w dalam keadaan apa pun.

Maka al-Abbas menyeru mereka dengan kata-kata, "Ya Ashhaabus Samrah!" Adakalanya pula dia menyeru, "Wahai orang-orang yang memiliki Surah al-Baqarah!" Maka kaum Muslim menjawabnya dengan ucapan, "Labbaika, ya labbaika."

Pasukan kaum Muslim kembali dan bergabung dengan Rasulullah S.a.w sehingga seorang lelaki yang untanya menolak, berbalik turun dari untanya dan memakai baju besinya, lalu melepaskan untanya dan bergabung dengan Rasulullah S.a.w.


Bantuan tentera Malaikat

Setelah sejumlah pasukan dari kalangan kaum Muslim bergabung dengan Rasulullah S.a.w, maka beliau memerintahkan untuk mulai membalas serangan dengan bersungguh-sungguh.  Lalu beliau mengambil segenggam pasir setelah berdoa kepada Tuhan, dan meminta pertolongan kepada-Nya, lalu dia bersabda;

اللَّهُمَّ أنْجِزْ لي ما وَعَدْتَنِي

"Ya Allah, tunaikanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku."

Kemudian beliau S.a.w melemparkan kepada pasukan kaum Musyrik dengan pasir itu. Maka tidak ada seorang pun dari pasukan musuh melainkan kedua mata dan mulutnya terkena pasir itu yang membuatnya sibuk dengan keadaan dirinya sehingga lupa kepada peperangan yang dihadapinya. Akhirnya mereka terpukul mundur, dan kaum Muslim mengejar mereka dari belakang seraya membunuh dan menawan mereka.

Ya'la ibnu Atha' mengatakan, telah menceritakan kepadaku anak-anak orang Hawazin, dari bapa-bapa mereka, bahawa mereka mengatakan, "Tidak ada seorang pun dari kami melainkan kedua mata dan mulutnya di penuhi pasir,  dan kami mendengar suara gemerencing loceng antara langit dan bumi seperti suara besi yang di pukul kepada loceng besi."  Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Al-Hafidz al-Baihaqi dalam kitab Dalaailun Nubuwwah melalui hadits Abu Daud at-Thayalisi dari Hammad ibnu Salamah dengan sanad yang sama.

Di dalam kitab Shahihain, melalui hadits Syu'bah, dari Abu Ishaq, dari Al-Barra ibnu Azib r.a, disebutkan bahawa seorang lelaki bertanya kepadanya, "Wahai Abu Imarah, apakah engkau lari meninggalkan Rasulullah S.a.w dalam Perang Hunain?" Al-Barra ibnu Azib menjawab, "Tetapi Rasulullah S.a.w tidak lari."

Al-Barra melanjutkan kisahnya, "Sesungguhnya orang-orang Hawazin itu (musuh) adalah satu kaum yang terkenal mahir dalam memanah. Ketika kami berhadapan dengan mereka dan menyerang mereka, maka mereka terpukul mundur. Maka pasukan kaum Muslim merampas harta rampasan, tetapi pasukan musuh menghadang kami dengan panah-panah mereka, akhirnya pasukan kaum Muslim terpukul mundur. Dan sesungguhnya aku melihat Rasulullah S.a.w bersama Abu Sufyan ibnul Harits yang memegang tali kendali baghal yang ditunggangnya, sambil Nabi S.a.w mengucapkan;

أنا النبي لا كذب أنا ابن عبد المطلب

"Aku adalah nabi yang tidak pernah dusta, aku adalah anak Abdul Muthalib!"

Menurut kami, dari kisah ini dapat ditarik kesimpulan keberanian Nabi S.a.w yang tidak terperi. Dalam situasi seperti itu (pertempuran sedang sengit), pasukan beliau telah mundur dan lari meninggalkan dirinya. Tetapi beliau tetap berada di atas baghalnya, padahal baghal tidak laju larinya dan tidak layak untuk lari atau menyerang. Sekalipun demikian, beliau memacunya menuju jantung musuh seraya mengisyaratkan nama dirinya, agar orang yang tidak mengenalinya menjadi kenal kepadanya, semoga selawat dan salam Allah terlimpahkan kepadanya sampai hari pembalasan. Sikap seperti itu tiada lain hanyalah kerana percaya kepada Allah dan bertawakkal kepada-Nya, bahawa Allah pasti menolongnya dan akan menyempurnakan risalah yang dikembangkannya, serta pasti meninggikan agama-Nya di atas semua agama lain.

Imam Abu Ja'far Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku al-Hasan ibnu Arafah, telah menceritakan kepadaku al-Mu'tamir ibnu Sulaiman, dari Auf (iaitu ibnu Abu Jamilah al-'Arabi) bahawa dia pernah mendengar Abdur Rahman maula Ibnu Bursun mengatakan, "Telah menceritakan kepadaku seorang lelaki yang bersama kaum Musyrik dalam Perang Hunain. Dia mengatakan bahawa ketika kami berhadapan dengan sahabat-sahabat Rasulullah dalam Perang Hunain,  para sahabat itu berperang dengan kami dalam waktu yang singkat. Setelah kami berhasil memukul mundur para sahabat, kami mengejar para sahabat itu dari belakang, hingga sampailah kami kepada seorang yang mengenderai baghal putihnya. Ternyata dia adalah Rasulullah S.a.w sendiri.

Ketika kami sampai dekatnya, tiba-tiba kami dihadang oleh ramai kaum lelaki yang semuanya berpakaian putih dengan wajah yang tampan-tampan, lalu kaum lelaki itu berkata kepada kami, "Semoga wajah-wajah itu terkena pasir, kembalilah kalian!" Maka pada akhirnya kami terpukul mundur, dan orang-orang itu menaiki belakang-belakang kami. Ternyata orang-orang tersebut adalah para malaikat."

[Petikan dari Imam Ibnu Katsir - Tafsir ibnu Katsir, Surah at-Taubah, ayat 25 - 27]


Bersambung ke tajuk Kisah Syaibah peluk Islam setelah gagal Bunuh Rasulullah dalam Perang Hunain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.