Imam Bukhari mengatakan bahawa Habib ibnu Abu Amrah pernah meriwayatkan dari Sa'id, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah S.a.w bersabda kepada Al-Miqdad;
"Apabila seorang lelaki mukmin menyembunyikan imannya kerana dia hidup bersama orang-orang kafir, lalu dia menampakkan imannya, tetapi kamu membunuhnya; maka demikian pula halnya kamu ketika di Mekah, kamu menyembunyikan imanmu sebelum itu."
Demikianlah menurut apa yang diketengahkan oleh Imam Bukhari secara mu'allaq lagi singkat.
Akan tetapi, hadits ini diriwayatkan secara panjang lebar lagi mausul. Untuk itu Al-Hafiz Abu Bakar Al-Bazzar mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Ali Al-Bagdadi, telah men- ceritakan kepada kami Ja'far ibnu Salamah, telah menceritakan kepada kami Abu Bakar ibnu Ali ibnu Miqdam, telah menceritakan kepada kami Habib ibnu Abu Amrah, dari Sa'id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa Rasulullah S.a.w mengirimkan suatu sariyyah (pasukan) yang dipimpin oleh Al-Miqdad ibnu Aswad. Ketika mereka sampai di tempat kaum yang dituju, ternyata mereka tidak menjumpai seorang pun kerana semuanya melarikan diri. Hanya ada seorang lelaki yang tetap tinggal di tempatnya, dia mempunyai banyak harta-benda. Lalu lelaki itu mengucapkan, "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah."
Akan tetapi, Al-Miqdad tetap menyerang dan membunuhnya. Maka seorang lelaki dari kalangan anak buahnya berkata, "Apakah kamu berani membunuh seseorang yang telah mengucapkan, "Tidak ada Tuhan selain Allah?" Demi Allah, aku benar-benar akan melaporkannya kepada Nabi S.a.w."
Setelah mereka kembali kepada Rasulullah S.a.w, maka mereka berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya ada seorang lelaki yang telah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, lalu lelaki itu dibunuh oleh Al-Miqdad." Maka beliau Saw. bersabda, "Panggillah Al-Miqdad menghadapku.''
Lalu Rasulullah S.a.w bersabda kepadanya;
يَا مِقْدَادُ ، أَقَتَلْتَ رَجُلا قَالَ : لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ؟ . فَكَيْفَ بِلا إِلَهَ إِلا اللَّهُ غَدًا ؟
"Hai Miqdad, apakah kamu telah membunuh seorang lelaki yang mengucapkan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah? Maka bagaimanakah kamu dengan kalimah "Tidak ada Tuhan selain Allah" besok (di hari kiamat)?"
Maka Allah S.w.t. menurunkan firman-Nya;
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَتَبَيَّنُواْ وَلَا تَقُولُواْ لِمَنۡ أَلۡقَىٰٓ إِلَيۡڪُمُ ٱلسَّلَـٰمَ لَسۡتَ مُؤۡمِنً۬ا تَبۡتَغُونَ عَرَضَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فَعِندَ ٱللَّهِ مَغَانِمُ ڪَثِيرَةٌ۬ۚ كَذَٲلِكَ ڪُنتُم مِّن قَبۡلُ فَمَنَّ ٱللَّهُ عَلَيۡڪُمۡ فَتَبَيَّنُوٓاْۚ
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kalian pergi (berperang) di jalan Allah maka telitilah, dan janganlah kalian mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepada kalian, "Kamu bukan seorang mukmin" (lalu kamu membunuhnya), dengan maksud mencari harta-benda kehidupan di dunia, kerana di sisi Allah ada harta yang banyak. Begitu juga keadaan kalian dahulu, lalu Allah menganugerahkan nikmat-Nya ke atas kalian, maka telitilah ......." [Surah An-Nisa' : 94]
Lalu Rasulullah S.a.w bersabda kepada Al-Miqdad;
كَانَ رَجُلا مُؤْمِنًا يُخْفِي إِيمَانَهُ مَعَ قَوْمٍ كُفَّارٍ ، فَأَظْهَرَ إِيمَانَهُ فَقَتَلَهُ ، كَذَلِكَ كُنْتَ أَنْتَ تُخْفِي إِيمَانَكَ بِمَكَّةَ قَبْلُ
"Dia adalah seorang mukmin yang menyembunyikan imannya dari orang-orang kafir, lalu dia menampakkan imannya, tetapi kamu membunuhnya. Padahal begitu jugalah keadaanmu dahulu di Mekah sebelum itu, kamu menyembunyikan imanmu."
[Petikan dari Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah an-Nisa', ayat 94]
Di dalam sebuah hadits shahih disebutkan bahawa ketika Usamah mengangkat pedangnya kepada seorang lelaki, lalu lelaki itu mengucapkan, "Tidak ada Tuhan selain Allah," tetapi Usamah tetap memukulnya hingga membunuhnya. Selanjutnya hal itu diceritakan kepada Rasulullah S.a.w, maka Rasulullah S.a.w bersabda kepada Usamah;
? أَقَتَلْتَهُ بَعْدَ مَا قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
"Apakah engkau membunuhnya sesudah dia mengucapkan, "Tidak ada Tuhan selain Allah?"
وَكَيْفَ تَصْنَعُ بِلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Lalu bagaimanakah yang akan kamu lakukan terhadap kalimah "Tidak ada Tuhan selain Allah" kelak di hari Kiamat?"
Usamah berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia mengucapkannya hanya semata-mata untuk melindungi dirinya."
Rasulullah S.a.w bersabda;
هَلاَّ شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ
"Apakah engkau belah dadanya untuk mengetahui isi hatinya?"
Rasulullah S.a.w mengulang-ulang sabdanya itu kepada Usamah seraya bersabda, "Siapakah yang akan membelamu terhadap kalimah 'Tidak ada Tuhan selain Allah' kelak di hari kiamat?" Usamah mengatakan bahawa mendengar jawapan itu Usamah berharap seandainya saja dia baru masuk Islam pada hari itu (yakni kerana merasa berdosa besar).
[Petikan dari Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Anfal, ayat 39]
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kalian pergi (berperang) di jalan Allah, maka telitilah dan janganlah kalian mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepada kalian, "Kamu bukan seorang mukmin" (lalu kamu membunuhnya), dengan maksud mencari harta-benda kehidupan di dunia, kerana di sisi Allah ada harta yang banyak. Begitu juga keadaan kalian dahulu, lalu Allah menganugerahkan nikmat-Nya ke atas kalian, maka telitilah ......." [Surah An-Nisa' : 94]
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang lelaki dari Bani Sulaim yang menunggang kambing biri-birinya bertemu dengan sekumpulan sahabat Nabi di pertengahan jalan. Kemudian dia memberi salam kepada mereka. Mereka berkata, "Dia memberi salam dengan maksud untuk menyelamatkan diri dari kita." Oleh itu mereka mengepung lalu membunuhnya. Kemudian mereka bawa kambing biri-biri kepada Rasulullah S.a.w. Maka turunlah ayat ini (Surah an-Nisa' : 94) sebagai teguran supaya berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu hukum. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Tirmidzi, al-Hakim dan selainnya, dari Ibnu Abbas]
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah S.a.w telah mengirim satu pasukan tentera yang di dalamnya disertai oleh al-Miqdad. Ketika mereka sampai di tempat yang dituju, kesemua penduduknya telah lari kecuali seorang yang kaya raya. Pada ketika itu dia mengucap dua kalimah syahadah "Asyhadu alla ilaaha illallah." Akan tetapi orang itu dibunuh oleh al-Miqdad. Kemudian Rasulullah bersabda kepada al-Miqdad, "Bagaimana tanggungjawab mu di akhirat kelak dengan ucapan "La ilaaha illallah?" Maka Allah menurunkan ayat ini (An-Nisaa' : 94) sebagai teguran kepada tindakan yang terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu hukuman. [Diriwayatkan oleh al-Bazzar dari riwayat lain, dari Ibnu Abbas]
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa nama orang yang dibunuh itu adalah Mirdas bin Nahiq dari golongan Fadaq. Manakala pembunuhnya ialah Usamah bin Zaid dan nama pemimpin pasukan tentera pada waktu itu ialah Ghalib bin Fudhalah al-Laitsi.
Dalam riwayat tersebut ada dikemukakan bahawa ketika kaum Mirdas melarikan diri, tinggal-lah Mirdas seorang diri yang sedang mengiringi kambingnya menuju ke atas gunung. Ketika orang Islam menyusulinya, dia mengucapkan, "La ilaaha illallah, Muhammad Rasulullah, Assalaamu'alaikum." Akan tetapi dia dibunuh oleh Usamah bin Zaid.
Pada ketika mereka pulang, turunlah ayat ini (An-Nisa' : 94) sebagai teguran akan tindakan yang terburu-buru. [Diriwayatkan oleh ats-Tsa'labi, dari al-Kalbi, dari Abi Salleh, dari Ibnu Abbas. Diriwayatkan juga oleh Ibnu Jarir, dari as-Suddi dan Ab'd, dari Qatadah]
[Petikan dari Imam as-Suyuthi - Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzuul]
p/s: Begitulah pengajaran dari kisah di atas. Zaman Rasulullah S.a.w dan para sahabat ialah zaman proses pembelajaran secara langsung melalui pengalaman. Maka hendaklah kita faham bahawa keterlanjuran dalam kisah di atas adalah kerana ketika itu Islam belum lagi sempurna turunnya. Maka sahabat r.anhum belajar melalui kesilapan masing-masing.
Tetapi zaman sekarang, Islam telah pun disempurnakan oleh Rasulullah S.a.w. Maka, untuk berperang membela agama Allah pun, perlukan ilmu fiqh tentangnya. Mesti belajar seperti mana ibadah-ibadah lain juga. Tidak boleh semberono dan membabi-buta seperti yang berlaku kepada sesetengah golongan dalam dunia hari ini. Wallahu a'lam .......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)