Berita Terkini

Pentingnya mengkaji tentang Alam Jin

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Masyarakat kita kebiasaannya masih tidak suka bercakap tentang jin dan yang berkenaan dengannya. Rata-ratanya kerana takut, ditambah lagi dengan ditakut-takutkan oleh generasi yang lepas, ditambah lagi dengan ilmu tentang ini ditapis sejak kedatangan penjajah ke tanahair kita.

Naga
Sedangkan kalau kita teliti, di dalam Al-Quran pun ada satu surah khusus yang dinamakan Surah Al-Jin. Dan di dalam surah-surah lain pun ada disebutkan tentang jin. Begitu juga banyak diceritakan dalam hadits-hadits shahih. Dan tidak ketinggalan, para ulama dulu siap menulis kitab khusus tentang jin, contohnya kitab oleh Imam As-Suyuthi iaitu Luqthul Marjan fii Ahkaamil Jaan.

Ini menunjukkan betapa pentingnya kita ada pengetahuan juga mengenai alam jin, kerana di kalangan mereka ada yang shaleh dan ada yang negatif (bersifat jahat dan seumpamanya). Yang jahat itulah syaitan dari golongan jin. Maka sebaiknya kita perlu tahu selok-belok tentang musuh kita iaitu syaitan. Perlu tahu tentang cara hidup mereka, strategi mereka, kelemahan mereka, tempat-tempat yang disukai oleh jin dan sebagainya, agar kita lebih berhati-hati, berwaspada dan boleh mencegah keburukan dari mereka (walaupun tidak sepenuhnya) insyaAllah. Sesuai dengan pesan dari Sayyidina Ali r.a iaitu;

"Barangsiapa mengumpulkan padanya enam perkara, nescaya dia tidak meninggalkan mencari syurga dan lari dari neraka, iaitu;

- Dia mengenal Allah, lalu mentaatiNya.
- Dia mengenal syaitan, lalu mendurhakainya.
- Dia mengenal kebenaran, lalu mengikutnya.
- Dia mengenal kebathilan, lalu menjaga diri darinya.
- Dia mengenal dunia, lalu menolaknya.
- Dia mengenal akhirat, lalu mencarinya." [1]

Sayyidina Umar al-Khattab r.a pernah mengingatkan; "Sesungguhnya akan muncul generasi selepas kamu, yang menafikan hukum rejam, menafikan kemunculan Dajjal, menafikan perkara ghaib dan menafikan kewujudan azab kubur.."   [Abdul Razak, Musannif Abdul Razak, Bab “Sesiapa yang keluar muncul dari api” tajuk ke 11, ms 412]

Selain dari mengetahui tentang musuh dari kalangan jin, kita juga dapat mengelak dari menuduh orang yang ada berhubungan dengan jin dengan sewenang-wenangnya. Kerana ada di kalangan jin juga yang baik (shaleh), malah adakalanya ibadah dan zikir jin yang shaleh itu lebih baik dari kita lagi.

"Dan ada di antara kami (jin) golongan yang shaleh, dan ada di antara kami yang lain dari itu; kami masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan." [Surah al-Jin : ayat 11]

"Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran) ada di antara kami golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam, maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar." [Surah al-Jin : ayat 14]

Sila baca juga Kisah Jin turut beribadat bersama Orang Shaleh.

Juga untuk mengelak dari kita cepat menyangka dan menuduh yang bukan-bukan orang yang mempunyai kemampuan melihat jin (sama ada anugerah Allah dari kecil, atau melalui proses pembelajaran dengan izin Allah belaka), akibat kejahilan kita tentang ilmu tersebut, walaupun kita alim dalam ilmu agama, dan sikap buruk sangka dan dengki kerana kita tidak mempunyai kebolehan sepertinya.

Kita juga dapat mengelakkan diri dari berbuat syirik kepada Allah S.w.t setelah kita tahu bahawa jin pun seperti kita, iaitu sama-sama mengharapkan qudrat dan iradat dari Allah Ta'ala juga. Semua makhluk mesti bergantung kepada Allah S.w.t sahaja.

Setinggi mana pun ilmu kita, tidak terkecuali dari akan mendapat godaan syaitan dari golongan jin. Kalau kita ada penyakit-penyakit hati seperti takabbur, 'ujub, riya', dengki, buruk sangka, berbangga kerana banyak pengaruh dan pengikut, bermegah, pemarah, leka dengan hiburan, leka dengan lawak-jenaka, ketagih pujian dari orang dan seumpamanya, maka berhati-hatilah.

Para Nabi a.s pernah melihat jin. Para sahabat Nabi S.a.w pun ramai yang pernah melihat jin. Sehinggakan Sayyidina Umar r.a sendiri pernah bergusti dengan jin. Maka beranikah kita sekarang mengatakan bahawa SALAH MELIHAT JIN?

Pada firasat saya, dari dulu lagi ada fahaman-fahaman yang mahukan kita semakin jauh dari perkara-perkara ghaib dan mistik begini dan hanya berpijak kepada yang hanya nampak pada mata kasar  dan materialistik sahaja. Sedangkan kalau kita perhatikan, di dalam rukun iman semuanya melibatkan perkara-perkara yang tidak nampak pada mata kasar. Jika berterusan anak cucu kita hanya percaya kepada perkara yang hanya nampak pada mata kasar, bayangkan masalah keimanan generasi akan datang pada perkara ghaib. 

Adakah jin termasuk dalam perkara GHAIB seperti yang dimaksudkan di dalam Al-Quran? Perkara ini ada khilaf ulama. Ada yang mengatakan jin termasuk dalam perkara GHAIB. Ada yang mengatakan jin tidak termasuk dalam perkara ghaib kerana ada manusia yang dapat melihatnya. Jin cuma ghaib dari segi bahasa, kerana mata kasar manusia biasa tidak dapat melihatnya, melainkan dengan adanya tenaga dalaman (yang boleh dijelaskan secara saintifik dengan ilmu Metafizik, berkaitan dengan cahaya, tenaga, gelombang elektromagnet, frekuensi dan sebagainya) dengan izin Allah S.w.t.

Jin sendiri pun dapat melihat jin yang lain. Jin dapat melihat alam jin. Banyak haiwan pun dapat melihat jin, seperti yang disebut dalam beberapa hadits Nabi S.a.w.  Mana mungkin jin dan haiwan mengetahui perkara GHAIB seperti yang dimaksudkan dalam Al-Quran.

"Katakanlah lagi: "Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" ..."  [Surah an-Naml : ayat 65]   Dan pada ayat yang lain, perkara ghaib diberitahu sedikit hanya kepada para nabi dan rasul.  Jika diperhatikan pada konteks ayat yang menyebut perkara-perkara GHAIB ini adalah yang berkaitan dengan Hari Kiamat, azab akhirat, syurga neraka, dan seumpamanya. Perkara-perkara ini sudah tentu hanya Allah S.w.t yang tahu bila, dimana, bagaimana ianya.


Info tambahan berkenaan Alam Jin;

- Menurut seorang pengamal paranormal iaitu Mister(i), kerajaan jin yang terbesar di dunia antaranya ialah di Segitiga Bermuda, Laut Merah dan Alas Purwo (Indonesia).

- Jin bertelur. Jin dapat mendengar jarak jauh.  [2]

- Batu permata yang ditarik dari alam jin biasanya sudah tiada penghuni di dalamnya. Kerana penghuninya lari ketika kalah bertempur dengan orang yang menarik batu tersebut. [3]

- Jin yang negatif sukakan bau busuk, sedangkan jin yang positif sukakan bau wangi. Ada hikmahnya kenapa Rasulullah S.a.w mengajarkan kita agar sentiasa memakai wangi-wangian.

- Naga wujud, tetapi bukan di alam kita, tetapi di alam jin. Ada beberapa kejadian kesurupan, dimana jin yang masuk ke dalam tubuh manusia itu mengatakan bahawa mereka dari kerajaan jin yang berada di lautan. Di mana istana jin itu dikelilingi oleh ular-ular besar sebagai penjaga. Dan setelah diterangkan oleh mereka-mereka yang ahli dan dapat melihat rupa ular-ular tersebut, ianya berupa seperti naga, kerana ada di kalangan ular-ular tersebut yang mempunyai kaki.

Kisah tentang ular-ular besar mengelilingi istana jin ini juga ada disebutkan dalam hadits, iaitu kisah Ibnu Shayyad yang menceritakan kepada Nabi S.a.w tentang apa yang dia lihat di lautan (mungkin dia melihat dengan mata batin).

Imam Ahmad berkata bahawa telah bercerita kepadaku Yunus dari Hammad bin Salamah dari Ali dari Abu Nadhrah dari Abu Said al-Khudri bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada Ibnu Shayyad;

 ما ترى?  قال أرى عرشا على الماء , أوقال على البحر, حوله حيات , قال " ذلك عرش ابليس

  "Apa yang kamu lihat?" Dia menjawab, "saya melihat singgahsana di atas air / lautan, yang dikelilingi oleh beberapa ular." Maka Rasulullah S.a.w bersabda; "itu adalah singgahsana iblis." [5]

Kerana itulah, gambar naga seperti yang ada dalam kepercayaan sesetengah agama bukan hanya rekaan dan khayalan manusia semata-mata, tetapi kerana makhluk itu memang wujud dan ada yang telah melihatnya. Dan bukan sahaja bangsa cina yang ada cerita tentang naga, tetapi juga banyak bangsa lain lagi di dunia ini seperti orang Korea, Jepun, Vietnam, Siberia, Hungary, Romania, Scandinavia dan macam-macam lagi.

- Dari pengamatan dan pengalaman saya sendiri, kalau di Malaysia ini, di setiap daerah mesti ada jin-jin yang berupa seperti pontianak (kuntilanak), hantu raya (genderuwo), pocong dan toyol. Itu adalah jelmaan mereka sahaja, kerana mereka cuba visualisasikan apa yang ada di alam kita ini untuk menakut-nakutkan kita, sedangkan rupa sebenar mereka lain.

Dan kadang-kadang boleh dijumpai yang berupa ular besar, yang bersayap, harimau. Dan macam-macam rupa lagi boleh dijumpai jika kita pergi ke tempat-tempat yang sunyi dari manusia seperti di bukit-bukau, gunung-ganang, lautan, hutan dan seumpamanya.

Secara ringkasnya, ada yang bersayap dan dapat terbang di udara, ada yang seperti haiwan melata, dan ada yang seperti manusia iaitu bertempat tinggal dan berpindah-randah (seperti bunian).

Bertepatan dengan hadits Nabi S.a.w; "Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai sayap yang terbang di udara, satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi yang tinggal setempat dan ada yang berpindah-randah." [6]

Jin-jin di atas adalah jin-jin yang berada di luar sana. Sedangkan ada lagi jin lain yang sentiasa mendampingi setiap manusia, iaitu Jin Qarin.

Nabi Muhammad S.a.w bersabda kepada Abdullah ibnu Mas'ud, "Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa Malaikat. Mereka bertanya: "Engkau juga Ya Rasulullah?" Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku Islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja." [7]

"Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran (Al-Quran) Tuhan Yang Maha Pemurah, kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya." [Surah Az-Zukhruf :36]

- Zikrullah adalah benteng ampuh terhadap serangan dan tipu-daya syaitan dari golongan jin. Qais bin al-Hajjaj berkata, "Syaitanku berkata kepadaku, "Aku masuk padamu dan aku adalah seperti unta gemuk. Dan sekarang aku seperti burung pipit."

Lalu aku bertanya; "Mengapa demikian?" Syaitan itu menjawab, "Engkau cairkan aku dengan zikir (mengingati) Allah Ta'ala." [8]

Menurut pengamal perubatan Islam iaitu Ustaz Jumadi Mustar, ada 4 pintu masuk utama jin pada manusia. Iaitu apabila manusia terlalu marah, terlalu sedih (dengan hal dunia), terlalu gembira (gelak ketawa) dan terlalu menurut syahwat.

Dan menurut ramai pengamal ilmu paranormal, antara keadaan yang mudah menyebabkan manusia dirasuk (kesurupan) ialah ketika fikiran manusia itu kosong.

Jangan sesekali mengelamun dan berfikiran kosong ketika memandu kenderaan di jalanraya, apa lagi di tempat-tempat yang sudah kerap berlaku kemalangan dan tempat-tempat yang keras (angker). Dibimbangi fikiran kita akan diganggu oleh jin-jin nakal yang berada di situ dan menyebabkan kecelakaan, na'udzubillahi min dzaalik. Kerana itulah amat pentingnya zikrullah di mana saja kita berada.

- Fikiran-fikiran NEGATIF juga perlu dijauhi, kerana jin-jin NEGATIF (jahat) mudah tertarik dan mempengaruhi orang-orang yang berfikiran negatif. Sewaktu kita sedang berfikiran negatif itulah jin-jin negatif itu mudah mengambil peluang untuk menambahkan lagi kacau-bilau fikiran kita.

- Untuk menjelma ke alam kita, biasanya jin perlu MENYERAP tenaga, terutamanya tenaga dari badan kita. Kerana itulah badan kita akan menjadi semakin lemah, apa lagi jika kita sedang berfikiran negatif dan takut terlampau pada mereka.

Walaupun begitu, jin-jin yang sedang menjelma juga sedang dalam keadaan lemah kerana dia memasuki dimensi kita (seumpama kita masuk ke alam lain, contohnya alam laut / sungai, sudah tentu kita menjadi lemah di dalamnya). Jin menjadi lemah ketika itu kerana dia memerlukan tenaga yang besar untuk menjelma. Dan bukan semua jin boleh menjelma, tetapi mereka juga perlu belajar untuk melakukan yang sedemikian.

- Penyakit akibat buatan orang (sihir), kalau yang teruk dan sukar untuk diubati, biasanya bukan akibat olahan seekor jin sahaja, akan tetapi mereka bekerja berpasukan dan ada seorang pemimpin.

- Dari kajian saya setelah mendengar dari ramai pelaku-pelaku sihir seperti santau (santet), pelaris, guna-guna, pengasih dan sebagainya, boleh dikatakan semua perkara itu dilakukan mesti mengadakan KORBAN terhadap jin.

- Menurut Ustad Soleh Pati, korban terhadap jin yang biasa berlaku ada 4 jenis. 

1. Korban musuh seseorang manusia. Contohnya seseorang pergi jumpa dukun untuk menghancurkan musuhnya. Maka musuhnya itu dijadikan korban kepada jin.

2. Korban saudara-mara. Contohnya membuat perjanjian dengan jin dan menyediakan jin dengan korban saudaranya sendiri, sama ada anak, adik, abang, kakak, ayah dan sebagainya.

3. Korban umur. Iaitu membuat perjanjian dengan jin hingga sampai umurnya yang tertentu, maka dia sendiri yang menjadi korban.

4. Korban janin. Iaitu korban anak yang dalam kandungan atau yang sudah lahir kepada jin. [4]

- Berhati-hatilah ketika mahu menebang pokok-pokok besar. Berdoa dan buat apa-apa yang patut sebelum menebang, kerana ada jenis jin yang memang suka membuat rumah di atas pokok.

- Jika manusia pergi buat maksiat di kawasan yang dihuni oleh jin Muslim, sudah tentu jin itu akan marah, dan mungkin mengganggu manusia tadi. Sedangkan jika manusia pergi buat bising dan mengganggu kawasan yang dihuni oleh mana-mana jin pun, mereka akan marah. Sama lah jika kita pergi buat bising dan mengganggu ketenteraman di rumah orang lain.

Kita tidak perlu takut pada jin, yang perlu kita takutkan hanyalah Allah S.w.t. Sama lah kita tak perlu takut pada manusia lain. Tetapi jangan sampai kita bercakap besar dan celupar, kerana kemungkinan jika ianya didengari oleh jin-jin yang terasa dengan percakapan kita itu, mereka akan lakukan perkara yang tidak kita ingini. Sama lah jika kita pergi bercakap besar dan celupar pada orang yang panas baran (sebagai contoh), mungkin muka kita akan disinggahi dengan penumbuk sebiji atau beberapa biji.

- Dan macam-macam lagi. Setakat ini sahaja dulu, insyaAllah bersambung lagi.

"Siapa yang menghendaki dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang menghendaki akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan siapa yang menghendaki kedua-duanya (dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu". [9]

Kehidupan manusia memang TIDAK TERPISAH dengan kehidupan jin, kerana kita hidup di alam yang sama, cuma dimensi yang berlainan. Semoga keimanan kita kepada Allah S.w.t semakin bertambah, dengan menyaksikan alam ciptaan Allah yang sangat canggih dan kompleks ini. Ini baru di atas muka bumi, belum lagi di planet-planet dan galaksi-galaksi lain, apa lagi di akhirat nanti, subhanAllah.

Wallahu a'lam .......


Rujukan:

1 - Imam Al-Ghazali - Ihya’ Ulumuddin Juz 5, Kitab tercelanya dunia.
2 - Mister(i).
3 - Mbah Mijan.
4 - Ustad Soleh Pati.
5 - Hadits riwayat Imam Ahmad.
6 - Hadits riwayat Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak.
7 - Hadits riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim.
8 - Imam al-Ghazali - Ihya' Ulumuddin, Kitab Huraian Keajaiban Hati.
9 - Hadits riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (10) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (48) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (112) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (2) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (24) Dunia Hiburan (127) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (347) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (53) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (26) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (93) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (39) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (57) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (193) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (59) Kristologi (47) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (5) Misteri (60) Motivasi (33) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (49) Paranormal (31) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (19) Perubatan Islam (5) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (101) Robotik (27) Sains (61) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (5) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (42) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (241) Teknologi Nano (7) Teori konspirasi (165) Time lapse (39) Timur Tengah (176) Tumbuhan (36) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (294) Wallpaper Islamik (39) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.