Berkata Abus As-Shiddiq an-Naji. "Nabi Sulaiman a.s keluar berdoa meminta hujan. Maka lalu-lah dia dekat seekor semut yang terlentang, belakangnya atas tanah, mengangkatkan segala kakinya ke langit, seraya berdoa, "Ya Allah Tuhanku, sesungguhnya kami adalah suatu makhluk dari makhluk-Mu dan tiada merasa cukup dari rezeki yang Engkau berikan. Maka janganlah Engkau binasakan kami dengan dosa yang diperbuat oleh selain kami!"
Maka bersabda Nabi Sulaiman a.s kepada rombongan-nya, "Pulanglah! Sesungguhnya kamu diberikan hujan dengan doa dari selain kamu."
Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s keluar meminta hujan. Maka tatkala mereka itu telah bosan, lalu bersabda Isa a.s, "Siapa dari kamu yang berbuat dosa, pulanglah!" Maka pulanglah mereka semua dan tidak ada orang yang tinggal bersama Isa a.s di padang kering itu melainkan seorang sahaja.
Lalu bersabda Isa a.s kepadanya, "Adakah engkau berdosa?" Maka jawab orang itu, "Demi Allah, aku tidak tahu sedikitpun bahawa aku berdosa, kecuali pada suatu hari aku mengerjakan shalat, maka lalu-lah berhampiran ku seorang wanita. Lalu aku menoleh kepadanya dengan mataku ini. Sewaktu wanita itu melintasi aku, maka aku masukkan jariku ke dalam mataku, kemudian aku tarik kembali dan aku ikuti lagi wanita itu dengan mataku."
Maka bersabda Isa a.s kepadanya, "Berdoalah kepada Allah, supaya aku membaca 'amin' kepada doamu."
Diterangkan bahawa orang itu lalu berdoa, maka nampaklah awan hitam di langit, kemudian langit itu mencurahkan hujan. Mereka pun memperolehi air.
Berkata Yahya al-Ghassani, "Telah ditimpa kemarau kepada manusia pada masa Nabi Daud a.s. Maka mereka memilih 3 orang dari ulamanya, lalu keluar meminta hujan untuk mereka. Berdoa seorang dari yang tiga itu;
"Ya Allah Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah menurunkan dalam Taurat Engkau, bahawa kami memaafkan orang yang berbuat kezaliman kepada kami. Ya Allah Tuhanku! Sesungguhnya kami telah berbuat kezaliman kepada diri kami sendiri, maka maafkanlah kami!"
Berdoa ulama yang kedua; "Ya Allah Tuhanku! Sesungguhnya telah Engkau turunkan dalam Taurat Engkau, bahawa kami memerdeka-kan hamba-hamba kami. Wahai Allah Tuhanku! Sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, maka merdeka-kanlah kami!"
Berdoa ulama yang ketiga; "Wahai Allah Tuhanku! Sesungguhnya telah Engkau turunkan dalam Taurat Engkau, bahawa tidaklah kami menolak orang-orang miskin apabila mereka berdiri di pintu-pintu kami. Wahai Allah Tuhanku! Sesungguhnya kami adalah orang-orang miskin-Mu, kami berdiri di pintu-Mu. Maka janganlah Engkau tolak doa kami!"
Maka hujan pun diturunkan kepada mereka.
Berkata 'Atha' as-Salmi, "Kami tidak diberikan hujan, lalu kami keluar meminta hujan. Tiba-tiba kami bertemu dengan Sa'dun Al-Majnun (gila) di perkuburan. Maka dia melihat kepadaku seraya berkata, "Hai Atha'! Adakah ini Hari Kebangkitan atau dikumpulkan apa yang dalam kubur?" Maka aku menjawab, "Tidak! Hanya kami tidak diturunkan hujan, maka kami keluar minta hujan."
Lalu bertanya Sa'dun Gila, "Dengan hati bumi atau hati langit?"
Aku menjawab, "Dengan hati langit."
Maka sambung Sa'dun, "Amat jauh tu wahai Atha'! Katakanlah kepada orang-orang yang takabbur itu, "Janganlah kamu takabbur! Kerana yang mengecam itu melihat."
Kemudian dia menoleh ke langit seraya berdoa, "Wahai Tuhanku, yang mengaturku dan yang memerintahkan-ku! Janganlah Engkau binasakan negeri Engkau disebabkan dosa hamba Engkau! Tetapi dengan rahsia tersembunyi dari nama-nama Engkau dan apa yang disembunyikan oleh hijab-hijab dari segala rahmat Engkau, tidaklah lain, melainkan kiranya Engkau sirami kami dengan air yang banyak membanjir, yang hiduplah hamba-hamba-Mu dengan air itu yang menghilangkan kehausan negeri dengan-nya. Wahai kiranya Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu!"
Berkata Atha' seterusnya, "Maka belum lagi habis kata-kata itu diucapkan, lalu mengguruh-lah langit dan kilat sambung-menyambung, dan turunlah hujan, seperti dicurahkan dari langit. Maka Sa'dun berpaling seraya bermadah;
"Beroleh kemenangan orang zahid dan abidmereka melaparkan perut kerana Tuhan-nyatidak menidurkan mata yang sakit kerana cintamaka lalu-lah malam, sedang mereka berjaga-jagadisibukkan mereka oleh ibadah kepada Allah Ta'alasampai orang menyangka, di antara mereka ada yang gila ......."
Berkata Ibnul Mubarak, "Aku datang ke Madinah pada tahun yang betul-betul kemarau. Maka keluarlah manusia meminta hujan. Lalu aku pun keluar bersama mereka. Tiba-tiba datanglah seorang budak hitam, dengan memakai 2 helai kain kasar. Dia bersarung dengan yang sehelai dan yang sehelai lagi diletakkan di atas bahunya.
Dia duduk hampir padaku maka aku mendengar dia berdoa, "Wahai Tuhanku! Adakah Engkau jadikan segala wajah, yang banyak dosa dan perbuatan jahat pada sisi-Mu? Telah Engkau tahan hujan dari langit untuk Engkau ajarkan hamba-Mu dengan yang demikian. Maka aku bermohon kepada-Mu, wahai Yang Maha Penyantun, Yang Mempunyai Belas-kasihan! Wahai Yang Tidak dikenal hamba daripadanya Selain Kebaikan. Kiranya, turunkan-lah kepada mereka, jam demi jam!"
Maka terus meneruslah budak hitam itu mengucapkan, "jam demi jam", sehingga langit berpakaian dengan mendung dan turunlah hujan dari segala penjuru.
Diriwayatkan bahawa Umar ibnu al-Khattab r.a meminta hujan bersama dengan Abbas r.a. Sewaktu Umar telah selesai dengan doanya, lalu berdoa pula Abbas r.a, "Ya Allah Tuhanku! Sesungguhnya tidaklah turun bencana dari langit, selain disebabkan dosa. Dan dosa itu tidak akan hilang, selain dengan taubat. Dan orang ramai telah menghadapkan wajahnya kepada-Mu, disebabkan aku, kerana kedudukanku dari Nabi-Mu S.a.w! Ini-lah tangan kami, kami angkatkan kepada-Mu dengan segala doa, dan kami telah nasihat-menasihati sesama kami dengan taubat! Engkaulah pengembala, yang tidak mensia-siakan yang telah hilang dan tidak meninggalkan yang sudah pecah di rumah yang disia-siakan. Sesungguhnya yang kecil telah merendahkan diri, yang besar telah berperasaan halus. Telah meninggi-lah suara dengan pengaduan dan Engkau mengetahui akan rahsia dan yang tersembunyi. Wahai Allah Tuhanku! Maka turunkan-lah hujan dengan rahmat-Mu, sebelum mereka berputus asa, lalu binasalah mereka. Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari rahmat Allah, melainkan orang-orang kafir."
Berkata Umar r.a seterusnya, "Belum lagi habis perkataannya, lalu terangkatlah langit seperti bukit-bukit."
[Imam al-Ghazali - Ihya' Ulumuddin, Keutamaan doa]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)