Berita Terkini

Kisah Imam Malik dengan kehidupan Zuhud

Solat mazhab Maliki
Imam Malik rahimahullah anhu sangat memuliakan ilmu Agama. Sehinggakan apabila dia bermaksud untuk meriwayatkan hadits, dia terlebih dahulu mengambil wudhu', duduk di hadapan tempat duduknya dan menyikat janggut, memakai wangi-wangian serta duduk dengan tenang dan beradab. Maka barulah beliau meriwayatkan hadits itu.

Kerana caranya yang sedemikian, maka orang bertanya kepadanya, lalu dia menjawab, "Aku suka membesarkan hadits Rasulullah S.a.w."

Berkata Imam Malik r.a, "Ilmu itu nur (cahaya), yang diberikan oleh Allah mengikut kehendakNya. Dan tidaklah ilmu itu dengan banyak cerita."

Kehormatan dan kemuliaan yang diberikan oleh Imam Malik itu, menunjukkan ketinggian mutu pengetahuannya tentang kebesaran Allah S.w.t.

Tentang tujuan Imam Malik r.a dengan ilmunya itu hanya kerana wajah Allah Ta'ala dibuktikan dengan ucapannya, "Bertengkar dalam agama tiada gunanya sama sekali." Dibuktikan lagi dengan ucapan Imam as-Syafi'e r.a; "Saya melihat Imam Malik r.a ketika diajukan kepadanya 48 permasalahan, maka dia menjawab mengenai 32 dari permasalahan itu, "Saya tidak tahu."

Orang yang bertujuan dengan ilmunya bukan kerana wajah Allah Ta'ala, tentu tidak bersedia mengaku "tidak tahu." Dari itu, berkata Imam as-Syafi'e r.a, "Apabila disebut nama ulama, maka Malik adalah bintangnya yang cemerlang. Dan tidak ada seorang (manusia) pun yang lebih banyak jasanya kepadaku selain dari Imam Malik."

Menurut riwayat, Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur melarang Imam Malik dari meriwayatkan hadits mengenai Talaq dari orang yang dipaksa. Kemudian Abu Ja'far mengancam orang yang bertanyakan hal itu kepada Imam Malik. Lalu Imam Malik menyambut ancaman tadi dengan meriwayatkan kepada umum hadits Nabi S.a.w yang menerangkan bahawa tidak jatuh talaq orang yang dipaksa.

Maka khalifah menyuruh agar Imam Malik dipukul dengan cemeti. Tetapi beliau terus meriwayatkan hadits tersebut.

Imam Malik r.a berkata, "Tiadalah seseorang yang benar dalam pembicaraannya dan tidak berbohong, melainkan akal fikirannya mendapat hiasan dan tidak akan kena bencana dan fikiran-fikiran khurafat pada hari tuanya."

Zuhud

Tentang zuhudnya Imam Malik r.a menghadapi dunia dibuktikan oleh riwayat bahawa Khalifah Al-Mahdi bertanya kepada Imam Malik, "Adakah tuan mempunyai rumah?"

"Tidak ada." Jawab Imam Malik. "Tetapi dapat aku terangkan bahawa pernah mendengar Rabi'ah bin Abi Abdir Rahman berkata, "Bangsa seseorang ditunjukkan oleh rumahnya."

Khalifah Harun Ar-Rasyid bertanya kepada Imam Malik, "Adakah tuan mempunyai rumah?"

"Tidak ada." Jawabnya.

Lalu Harun Ar-Rasyid menganugerahkan wang 3 ribu dinar kepada Imam Malik, seraya mengatakan, "Belilah rumah dengan wang ini."

Imam Malik r.a mengambil wang itu, tetapi tidak dibelinya rumah. Ketika Harun Ar-Rasyid ingin bertambah terkenal, lalu mengatakan kepada Imam Malik r.a, "Sayugia lah tuan pergi bersama kami. Aku bercita-cita membawa perhatian manusia kepada kitab "Al-Muwattha'" (nama kitab yang dikarang oleh Imam Malik), sebagaimana Khalifah Utsman r.a membawa perhatian manusia kepada Al-Qur'an.

Menjawab Imam Malik, "Adapun membawa manusia kepada kitab Al-Muwattha', maka tiada jalan kepadanya. Kerana para sahabat Rasulullah S.a.w sudah bertebaran ke segenap negeri selepas wafatnya. Lalu mereka memperkatakan hadits. Maka pada tiap-tiap penduduk negeri ada ilmunya. Nabi S.a.w pernah mengatakan;

"Perbezaan pendapat umatku itu adalah suatu rahmat." [HR al-Baihaqi, dari Ibnu 'Abbas, sanadnya Dha'if]

Adapun keluar bersama tuan, maka tiada jalan kepadanya. Nabi S.a.w pernah bersabda; "Madinah ini lebih baik bagi mereka kalau mereka mengetahuinya." [HR al-Bukhari dan Muslim, dari Sufyan ibnu Abi Zuhair]

Dan lagi Nabi S.a.w bersabda; "Madinah itu menghilangkan kotorannya seperti penempaan menghilangkan kotoran besi."  [HR al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah]

Inilah dinarmu, seperti adanya! Kalau kamu mahu, maka ambillah! Dan kalau kamu tidak mahu, maka tinggalkanlah! Yakni sekiranya engkau memaksa aku supaya berpisah dengan kota Madinah, maka tidak dapat engkau berbuat demikian kepadaku. Aku tidak dapat memilih dunia dari Madinah Rasulullah S.a.w."

Begitulah zuhudnya Imam Malik r.a pada dunia! Sewaktu dibawa kepadanya harta yang banyak dari beberapa sudut dunia untuk perkembangan ilmunya dan teman-temannya, maka dibahagi-bahagikan wang itu pada jalan kebaikan. Kemurahan hatinya menunjukkan kepada zuhudnya dan sedikit cintanya kepada dunia. Zuhud sebetulnya bukan ketiadaan harta, tetapi zuhud ialah kosongnya hati dari harta itu. Nabi Sulaiman a.s pun salah seorang yang zuhud dalam pemerintahannya.

Dibuktikan betapa hinanya pandangan Imam Malik r.a pada dunia, oleh suatu riwayat dari Imam as-Syafi'e, bahawa Imam as-Syafi'e menerangkan, "Aku melihat pada pintu tempat tinggal Imam Malik ada seekor kuda Khurasan, namanya "Misr". Aku belum pernah melihat kuda secantik itu. Lalu aku mengatakan kepadanya, "Alangkah cantiknya kuda ini."

Maka beliau menjawab, "Kuda ini hadiahku kepadamu, wahai Abu Abdullah."

Maka aku menjawab, "Biarlah kuda ini untuk tuan hamba, menjadi kuda tunggangan tuan hamba sendiri."

Imam Malik berkata, "Aku malu kepada Allah Ta'ala memijakkan tanah dengan kuku kuda, dimana di dalamnya dikuburkan Nabiyullah S.a.w."

Lihatlah betapa kemurahan hati Imam Malik dengan menyerahkan semuanya itu sekaligus dan betapa penghormatannya kepada tanah Madinah.

Dibuktikan kepada kehendaknya dengan ilmu itu akan wajah Allah Ta'ala dan tentang hina pandangannya kepada dunia, oleh riwayat yang menerangkan bahawa Imam Malik r.a pernah berkata, "Aku pernah datang ke tempat Harun ar-Rasyid. Lalu berkatalah Harun ar-Rasyid kepadaku, "Wahai Abu Abdullah! Sayugialah tuan selalu datang kepada kami, sehingga anak-anak kami mendengar kitab al-Muwattha' langsung dari tuan sendiri." Lalu jawabku, "Semoga Allah menambahkan kemuliaan Amir penghulu kami. Sesungguhnya ilmu itu seumpama wang yang keluar daripadamu. Jikalau engkau muliakan maka mulialah ia, dan jika engkau hinakan maka hinalah ia. Ilmu itu didatangi dan bukannya mendatangi (Al-'ilmu yu'ta wa laa ya'ti)."

Maka sambung Harun Ar-Rasyid, "Benar tuan! Keluarlah ke masjid supaya tuan mendengar bersama manusia ramai."

[Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Jilid 1, Kitab Ilmu]

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.