Berita Terkini

Apa tujuan Allah cipta kita?

Adakah kita dicipta oleh Allah S.w.t agar kita sama-sama melakukan maksiat, lalai kepada Allah, sentiasa berseronok, bermegah sesama sendiri, menzalimi manusia lain, dan segala macam maksiat lagi. Sudah tentu TIDAK SAMA SEKALI. Akan tetapi, tujuan kita diciptakan ialah;


- Untuk kita mengenali Allah S.w.t.

Rasulullah meriwayatkan firman Allah dalam satu hadits Qudsi, "Aku adalah Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Aku suka dikenali lalu Aku ciptakan makhluk agar Aku dikenali."

Ini bermakna Dia boleh dikenali di dalam dunia ini melalui sifat-sifat, asma' dan perbuatanNya. Tetapi untuk melihat dan mengenali Zat-Nya sendiri hanyalah boleh terjadi di akhirat. Di sana melihat Allah adalah secara langsung sebagaimana yang Dia kehendaki dan yang melihatnya adalah mata hati. 

"Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya mereka melihat." [Surah Al-Qiamah : ayat 22 & 23)  [1]

Para ulama Tauhid telah menyimpulkan bahawa, اَوَّلُ الّدِينْ مَعْرِفَةُ الله  yang maksudnya, "Permulaan agama itu ialah MENGENAL ALLAH," berdasarkan kepada hadits-hadits nabi S.a.w, antaranya;

Dari Abu Ma'bad dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Mu'az bin Jabal ketika Baginda s.a.w mengutusnya ke negeri Yaman ".. Sebenarnya engkau akan sampai kepada suatu kaum:  Ahli kitab, kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah supaya mereka meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah ."

Menurut satu riwayat yang lain (Baginda s.a.w. bersabda): ..."Maka hendaklah dakwah yang mula-mula engkau kemukakan kepada mereka ialah supaya mereka mengakui keEsaan Allah Taala..."

Dan pada satu riwayat pula, (Baginda s.a.w. bersabda) "...Maka hendaklah perkara yang mula-mula sekali engkau mengajak mereka kepadanya ialah (tunjang atau asas) ibadat kepada Allah. .."  [HR Bukhari dan Muslim]

ALLAH MAHU diriNya dikenali. Tetapi cuba tanya diri kita, sudahkah kita MENGENAL ALLAH lebih dari kita mengenal artis-artis, pelakon-pelakon, orang-orang popular dan sebagainya? Sudah kah kita belajar ILMU TAUHID / AQIDAH / USULUDDIN (salah satu Ilmu Fardhu Ain) dengan sebaik mungkin dan istiqomah?  Sudah kah kita belajar ILMU FIQH / SYARIAH / FURU'UDDIN sebaik mungkin dan istiqomah?  Dan sudah kah kita belajar ILMU AKHLAQ / TASAWWUF sebaik mungkin dan istiqomah?

Ibnul Qoyyim dalam kitab Al Fawaid hal 29, mengatakan: "Allah mengajak hamba-Nya untuk mengenal diri-Nya di dalam Al Qur’an dengan dua cara iaitu pertama, melihat segala perbuatan Allah dan yang kedua, melihat dan merenungi serta menggali tanda-tanda kebesaran Allah seperti dalam firman-Nya: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian siang dan malam terdapat (tanda-tanda kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal."" [Surah Aali-Imran : 190]


- Untuk beribadah semata-mata kepadaNya.

Firman Allah S.w.t, "Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku." [Surah Al-Dzariyat : 56]

Tujuan utama kita dicipta tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menjadi HAMBA ALLAH. Bukannya HAMBA NAFSU, hamba dunia, hamba manusia, hamba berhala dan sebagainya.

Dan kita diperintahkan agar beribadah kepada dan kerana Allah S.w.t semata-mata, bukan beribadah kerana Riya', Sum'ah, Takabbur dan 'Ujub. Contoh beribadah kerana Riya' (menunjuk pada manusia lain), semoga kita berhati-hatilah dalam masalah ini. Kerana Allah TIDAK MAHU DISEKUTUKAN IBADAH kita dengan SUATU APA PUN.

Kerana itulah kita wajib KENAL ALLAH terlebih dahulu, kerana jika kita tidak MENGENAL ALLAH, dibimbangi kita menyembah atau beribadah kepada tuhan yang lain selain Allah S.w.t. Dan agar kita tahu segala Sifat, Asma' dan PerbuatanNya.

Apa jadinya jika kita menyembah, sedangkan yang kita sembah itu belum kita kenal asma' dan sifat-sifat zatNya, serta sifat wajib dan mustahil bagiNya? Kerana kadang-kadang seseorang mengiktikadkan suatu yang tidak layak bagiNya. Maka ibadah yang demikian itu akan sia-sia. [2]


- Untuk menjadi Khalifah di muka bumi ini.

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [Surah Al-Baqarah : Ayat 30]

Manusia diciptakan oleh Allah Azza wa Jalla untuk MENTADBIR bumi ini dengan menurut syariatNya. Kerana itulah Nabi S.a.w dan Khulafa' Ar-Rasyidun (Abu Bakr, Umar, Utsman, Ali r.anhum) jadi pemimpin. Mereka memimpin manusia menurut Hukum-hukum Allah.

Manusia yang bergelar Muslim sepatutnya mengangkat pemimpin yang dapat menjadi wakil mereka untuk melaksanakan Hukum-hakam Allah secara menyeluruh. Pemerintah yang MENJAGA AGAMA ialah pemerintah yang memerintah dengan Hukum-hukum Allah.

"...Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu, dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (iaitu orang yang bersepakat membuat hukum sendiri dan meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah)." [Surah Al-Maa'idah : Ayat 48-49]

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad), dengan beransur-ansur. Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu, dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di antara mereka, atau orang yang kufur ingkar."  [Surah Al-Insaan : Ayat 23 - 24]


- Untuk menguji kita.

Firman Allah S.w.t, "Yang mencipta mati dan hidup untuk menguji dan mengetahui, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya." [Surah Al-Mulk : 2]

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur, yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat." [Surah Al-Insaan: Ayat 2]

Setiap saat yang kita lalui di atas muka bumi ini adalah UJIAN dari Allah S.w.t.  Setiap manusia telah disertakan dengan Jin Qarin (yang sentiasa menyuruh berbuat jahat, melainkan jin Qarin Nabi Muhammad S.a.w yang sejak lahirnya telah Islam), dan juga Malaikat Qarin (yang membisikkan agar kita berbuat kebaikan).

"Serta mengilhamkannya jalan keburukan, dan jalan taqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikan dirinya (hatinya). Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori dirinya (hatinya)." [Surah As-Syams : Ayat 8 - 10]

Disamping kita juga akan digoda dengan syaitan-syaitan luaran yang terdiri dari jin dan manusia. Dan MUSUH kita yang paling besar sekali ialah HAWA NAFSU kita sendiri.

Suatu hari, Rasulullah S.a.w menyambut para sahabatnya yang baru pulang dari medan perang seraya berkata, "Selamat datang wahai kaum yang telah melaksanakan jihad kecil dan bersiaplah untuk melakukan jihad paling besar." Dengan penuh kehairanan mereka bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang dimaksud dengan jihad paling besar itu?" Beliau menjawab, "Jihad melawan hawa nafsu. Sesungguhnya jihad terbesar dan paling utama adalah memerangi hawa nafsu yang ada dalam dirimu sendiri."

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeterai pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"  [Surah Al Jaatsiyah : 23]

"....... Sekiranya Allah mengkehendaki, nescaya kalian dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kalian pada apa yang diberikan pada kalian......." [Surah al-Maaidah : 48]

Dengan kata lain, Allah S.w.t telah menetapkan berbagai macam syariat untuk menguji hamba-hamba-Nya terhadap apa yang telah disyariatkan untuk mereka dan memberi mereka pahala kerana taat kepadanya, atau menyeksa mereka kerana durhaka kepada-Nya melalui apa yang mereka perbuat atau yang mereka tekadkan dari kesemuanya itu. [3]


- Untuk saling kenal-mengenal antara manusia

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya." [Surah Al-Hujurat : ayat 13]

Manusia dijadikan berbilang bangsa dan berpuak-puak agar masing-masing saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Manusia bukan disuruh kenal-mengenali untuk sama-sama melakukan maksiat, lalai kepada Allah, sentiasa berseronok, bermegah sesama sendiri, menzalimi manusia lain, dan segala macam maksiat lagi.

Akan tetapi manusia disuruh kenal-mengenali agar mudah untuk berdakwah dan saling mengajak untuk mengenal Allah, beriman dan beribadah hanya kepadaNya sahaja. Saling berzikir, memuji-muji Allah S.w.t, melakukan amar ma'ruf nahi mungkar.

Dan manusia juga boleh saling berpesan-pesan atau menasihati bahawa manusia yang paling mulia ialah yang PALING BERTAQWA kepada Allah S.w.t, bukannya yang paling kaya, pandai, cantik, kuat dan sebagainya.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". [Surah Al-Asr : 1-3]

Dan sesama umat, kita disuruh bersatu di dalam tali Allah (Al-Quran) dan tidak bercerai-berai agar umat menjadi kuat.

Rasulullah S.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah redha kepada kalian dalam tiga perkara dan murka kepada kalian dalam tiga perkara. Allah redha kepada kalian bila kalian menyembah-Nya dan kalian tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun, bila kamu sekalian berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak bercerai-berai, dan bila kalian saling menasihati dengan orang yang dikuasakan oleh Allah untuk mengurus perkara kalian. Dan Allah murka kepada kalian dalam tiga perkara iaitu; qil dan qal (banyak bicara atau berdebat), banyak bertanya dan mensia-siakan harta." [HR Muslim, dari Abu Hurairah]


Penutup

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" [Surah Al-Mu'minuun : Ayat 115]

Kita semua nanti akan dikembalikan kepada Allah S.w.t dan akan dihisab (dihitung) dan ditimbang segala amalan kita pada Al-Mizan di Mahsyar. Amalan baik kah yang lebih berat, atau amalan buruk?



Rujukan:

1 - Syeikh Abdul Qadir Al-Jeilani - Sirr Al-Asraar 
2 - Imam Al-Ghazali - Minhajul Abidin
3 - Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Maaidah, ayat 48

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.