Berita Terkini

Selebriti-selebriti yang meninggal dunia pada tahun 2012

Selebriti-selebriti tempatan

Penyanyi Izwan Pilus meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 20 Januari 2012 - Penyanyi Khairil Izwan Pilus, 32, yang popular dengan lagu "Kembali senyum", meninggal dunia di wad ICU hospital Ampang kira-kira jam 6 petang tadi.

Finalis Bintang RTM yang juga abang kepada Aril AF meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah yang menyebabkan kegagalan organ dalaman.   [Harian Metro]

Innalillah .. 









Latif Ibrahim Meninggal Dunia

PETALING JAYA, 20 Februari 2012 - Penyanyi Abdul Latif Ibrahim, 60, atau lebih dikenali sebagai Latif Ibrahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, Isnin akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.10 petang di samping keluarga termasuk isteri dan anak-anak.

Adik beliau, Khatijah ketika ditemui Wartawan mStar Online, Wahiduzzman di kediaman Allahyarham di AU3 Keramat dekat sini pada malam Isnin berkata, seluruh keluarga Allahyarham berasa sedih dengan kematian itu.

Ujarnya, Allahyarham sepatutnya bersama keluarga menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada 13 Mac depan tetapi hajatnya tidak kesampaian.

"Kami turut sedih kerana arwah bukan sahaja tidak dapat menunaikan impian untuk mengerjakan umrah tetapi dia meninggal dunia tiga hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 tahun pada Khamis ini," katanya.

Allahyarham yang turut menghidap kencing manis dan paru-paru berair dimasukkan ke IJN pada Sabtu lalu.

Selain menyanyi, Allahyarham juga aktif berlakon dan membintangi lebih 15 buah filem termasuklah Hapuslah Air Matamu, Dendang Perantau, Sumber Ilhamku dan Ragam Pemandu.

Filem terakhir Allahyarham ialah 4 Madu arahan A.Razak Mohaideen yang diterbitkan pada tahun 2010.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di AU3, Keramat dekat sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, selepas solat Zohor, Selasa.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Masriah Mahadan, 57, dan dua orang anak iaitu Mohd. Hazriq, 35, dan Haznally, 34.  [mStar Online]



Tom Jones Singapura, Ismail Haron Meninggal Dunia

PETALING JAYA, 9 April 2012 - Penyanyi veteran yang mendapat jolokan Tom Jones Singapura iaitu Ismail Haron meninggal dunia dalam tidur di rumah kakaknya di Jurong West, Singapura kira-kira pukul 2 petang Isnin.

Pengurus syarikat rakaman Produksi Matahati, Maria Satar berkata, Allahyarham dipercayai terkena serangan jantung.

“Sewaktu kejadian, kakak Allahyarham iaitu Halimah Haron keluar rumah. Ketika dia pulang, dia cuba kejutkan Allahyarham dan terkejut kerana Allahyarham tidak bergerak,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Maria berkata, Allahyarham yang berusia 66 tahun tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama adik-beradiknya sejak pulang dari Brisbane, Australia pada tahun 2003 selepas 28 tahun berada di negara itu.

Beliau merupakan anak keempat daripada 12 beradik.

Allahyarham terkenal dengan lagu-lagu Delailah, Dendamku Kerana Maria, Senyum Terakhir dan Mari Menari.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Pusara Abadi 2, Jalan Bahar, Jurong, Singapura pada pukul 10 pagi Selasa.  [mStar Online]



Bob Kuman meninggal dunia

PETALING JAYA, 3 Mei 2012 - Pelakon dan pelawak Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi, 40, meninggal dunia di kediamannya  di Seksyen 11 di sini, 4.38 petang tadi.

Jururawat peribadi Allahyarham Mohd Farid  Hamzah berkata, dia menerima panggilan daripada isteri arwah, Normah pada 3.50 petang memberitahu bahawa Bob tidak sedarkan diri selepas beberapa kali cuba dikejutkan.

Difahamkan Bob sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tawakal  kerana  sakit jantung, darah tinggi dan paru-paru berair serta mengalami masalah obesiti.

Tahap kesihatan Bob mula merosot selepas dia terjatuh ketika pengambaran selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak akhir 2010, yang menyebabkan dia mengalami masalah sesak nafas dan bengkak kaki.
Bob  mengemparkan industri hiburan negara  selepas berita palsu mengatakan dirinya sudah meninggal dunia tersebar melalui laman sosial 21 April lalu.  

Jenazah Bob dimandi dan dikafan di Masjid Kota Damansara sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Negeri Sembilan. [Sinar Harian]



Sam D'lloyd Meninggal Dunia

9 Jun 2012 - VOKALIS kumpulan terkenal era tahun 70-an iaitu D'lloyd, Saymsuar Hasyim atau lebih dikenali sebagai Sam menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi pada Sabtu.

Allahyarham meninggal pada usia 64 tahun.

Sahabat baiknya yang juga ahli kumpulan D'lloyd iaitu Bartje Van Houten ketika dihubungi media Indonesia memberitahu, Sam meninggal dunia akibat penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dihadapinya sebelum ini.

"Sakit jantung dan kanser paru-paru adalah punca kematian Allahyarham. pemergiannya adalah satu kehilangan buat industri muzik Indonesia," ujarnya.

Tambah Bartje, jenazah akan dikebumikan di Tanah Kusir, Jakarta.

Antara lagu popular kumpulan itu adalah seperti Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana, Karena Nenek, Semalam di Malaysia dan banyak lagi.

D'lloyd bukan sahaja popular di Indonesia malah Malaysia, Singapura dan Brunei.   [mStar Online]



Osman Kering meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2012 - Pelawak terkenal tanah air Osman Kassim atau lebih dikenali dengan nama Osman Kering meninggal dunia hari ini akibat batuk kering (tetapi kemudian disahkan bahawa kematiannya disebabkan oleh kegagalan fungsi otak).

Osman, 58, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini pada kira-kira pukul 3.45 petang.

Osman yang berasal dari Pauh Lima, Kelantan, meninggalkan seorang balu Che Norhayati Che Omar, 48, dan tujuh orang anak serta tiga cucu.

Anak keempatnya Norhidayah Osman berkata bapanya itu telah lama menghidap penyakit batuk kering dan dimasukkan ke HUKM sejak 11 Jun lepas bagi menerima  rawatan.

Jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al Najihin, Bandar Sri Pemaisuri di sini sebelum dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya selepas Maghrib.

Osman telah berkecimpung dalam dunia seni lebih 30 tahun dan antara filem yang dibintanginya ialah "Kantoi", "Senario The Movie Episod 1", "Tentang Bulan" dan "Man laksa".

Norhidayah berkata sebelum menghembuskan nafas terakhir arwah bapanya ada berpesan agar menjaga ibu mereka dengan baik selain sering memberitahu bermimpikan rakan artisnya yang telah meninggal dunia.

"Ayah ada memberitahu dia kata dia pernah bermimpi (berjumpa allahyarham) M.Rajoli dan Zami Ismail dan mereka berbual sekali. Sebelum meninggal dunia ayah sering bermanja dengan kami dan berbual-bual," katanya.

Beliau tidak menduga gurauan bapanya sebelum ini merupakan kali yang terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.  [Sinar Harian]



Pelakon veteran Ismail Hutson meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2012 - Pelakon veteran dan Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS) Datuk Ismail Hutson atau nama sebenarnya Ismail Omar, meninggal dunia awal hari ini.
   
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara di sini tengah hari ini.
   
Ismail, 72, meninggal dunia pada pukul 1.05 pagi di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya akibat komplikasi penyakit jantung, kata isteri kedua Allahyarham Hafidzah Khasbullah kepada Bernama di sini hari ini.
   
Beliau berkata suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Kritikal (CCU) pusat perubatan itu sejak Selasa ekoran demam panas yang berpanjangan.
   
"Sudah ketentuan Ilahi untuk Allahyarham pergi meninggalkan kami (keluarga) pada awal Ramadan ini, dan sudah pasti sambutan raya tahun ini berbeza dengan ketiadaan beliau," katanya.
   
Selain Hafidzah, Allahyarham turut meninggalkan isteri pertama Zaiton Osman dan tujuh orang anak.   
   
Ismail, yang juga Presiden Persatuan Artis Veteran mewarnai dunia perfileman tanah air sejak tahun 1970-an dan pernah berlakon dalam filem dan drama. Antara filem lakonan beliau ialah Dayang Suhana (1978), Tujuh Biang Keladi (1984), Hantu Siang (1986), Cinta Kita (1995), Layar Lara (1997) dan Mr Cinderella 2 (2003).   [Bernama , Sinar Harian]



Pelakon veteran Raja Hamidah Meninggal Dunia Akibat Barah

PETALING JAYA, 13 September 2012 - Seniwati veteran Raja Hamidah Raja Saat meninggal dunia pada usia 80 tahun akibat penyakit barah payudara pada kira-kira pukul 7 malam Rabu.

Allahyarham yang juga isteri kepada pengarah filem legenda Salleh Ghani menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Klang Gate Hulu Kelang, dekat sini.

Menurut anak keduanya Zulkiflee, 55, Allahyarham yang semakin uzur sejak dua bulan lalu pada mulanya diserang semput dan sesak nafas selepas menunaikan solat Asar pada petang Rabu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi 10 daripada 12 anaknya.

Zulkiflee berkata, ibunya yang terlantar sakit di rumah sejak sebelum Ramadan lagi berasa gembira apabila mereka sekeluarga sempat berkumpul pada sambutan Hari Raya lepas.

Ditanya mengenai amanat terakhir Allahyarham, Zulkiflee berkata, ibunya sempat berpesan agar anak-anaknya terus mengekalkan keharmonian keluarga dan hidup bersatu-padu.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate Baru, Hulu Kelang pada pukul 11 pagi Khamis.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Salleh Ghani pada 1955 dan meninggalkan 12 anak termasuklah pengarang di akhbar Harian Metro, Adam Salleh serta 24 cucu.

Raja Hamidah dilahirkan pada 9 Disember 1932 dan berasal dari Johor Bahru, Johor.

Allahyarham menceburi bidang lakonan pada 1948 melalui filem 'Kampung Sentosa' arahan B Reaves E Elliot terbitan Sound Master of New York Ins.

Selain berlakon, Raja Hamidah merupakan penari dan penyanyi latar di Shaw Brothers serta pemimpin kumpulan muzik Seni Wanita.

Filem-filem lain lakonannya termasuklah 'Musang Berjanggut', 'Orang Minyak' dan 'Hang Tuah'.

Suami Allahyarham meninggal dunia pada 28 Ogos 1986.  [mStar Online]



Penyanyi 60-an J. Kamisah Meninggal Dunia

PETALING JAYA, 12 November 2012 - Penyanyi era 60-an, J. Kamisah meninggal dunia pada awal pagi Rabu kerana komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung. Allahyarham berusia 64 tahun.

Menurut anak angkatnya Rahimah Rahim, 41, Allahyarham yang juga bekas anggota kugiran The Wisma, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 1.20 pagi di kediaman keluarganya di Bukit Panjang, Singapura.

Rahimah berkata dia berasa terkejut dan terkilan kerana tidak berkesempatan untuk menziarahi penyanyi itu yang sudah terlantar sakit sejak Ramadan lalu.

“Saya membesar di samping Allahyarham kerana bapa saya Rahim Rahman juga adalah anggota kumpulan The Wisma.

“Saya berasa terkejut apabila mendapat berita kematiannya pada pukul 2 pagi tadi (Rabu). Kali terakhir saya menziarahinya adalah pada Hari Raya Haji lalu.

“Saya baru bercadang untuk menjenguknya tetapi nampaknya tidak kesampaian,” katanya yang berada di Singapura ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Rabu.

Allahyarham meninggalkan suami, Mohd Kadar Sultan dan tiga anak yang berusia di antara 36 hingga 43 tahun.

Kata Rahimah, jenazah penyanyi itu dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura sebelum solat Zuhur, Rabu.

Antara rakan artis seangkatan yang hadir memberikan penghormatan terakhir adalah Fatimah M. Amin, Sanisah Huri dan pelakon Maria Menado.

Beliau pernah popular dengan lagu-lagu antaranya Jelingan Manja, Irama Desa Seberang, Bingkisan Hati Setia, Salam Terakhir, Rayuan Ku dan Jangan Chemburu.  [mStar Online]



Innaalillahi wa innaa ilaihi roji'uun .. Allahummaghfirlahum warhamhum .......





Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.